Projek Cerita Bola Sepak Malaysia (CBSM) adalah
satu usaha murni untuk menceritakan perihal bola sepak Malaysia. Apa yang
hendak diceritakan kali ini bukanlah tentang kenapa Malaysia tidak ke Piala
Dunia, atau Piala Asia atau Piala Negara-negara Afrika. Juga bukanlah tentang
kenapa FAM sangat power dalam bermesyuarat tapi mati pucuk dalam mentadbir bola
sepak. Bukan juga tentang kenapa pemain bola kita suka tendang bola ke langit,
bergambar tanpa baju di tepi kolam renang, skandal dengan artis atau model dan
kemudian mudah pula disuap bookie. Bukan, bukan itu semua.
Tetapi apa
yang hendak diceritakan dalam CBSM ialah tentang bagaimana setiap pasukan negeri
yang bertanding dalam kancah bola sepak tempatan, dari Perlis hinggalah ke
Sabah, pernah pada satu masa bernasib baik dan menjuarai piala-piala yang
dipertandingkan oleh FAM.
Dalam erti kata lain, CBSM ialah cerita tentang
Perak menjuarai Piala FA 1990, atau tentang Sabah menjuarai liga musim 1996,
atau tentang Terengganu menjuarai Piala Malaysia 2001. Atau juga tentang cerita
Kedah menjuarai kesemua Piala Malaysia, Piala FA dan kejuaraan liga pada tahun
2008. Ini sebagai contoh.
Tapi apa yang lebih menarik, cerita-cerita ini
akan diceritakan oleh anda. Ya, projek CBSM ini terbuka buat mereka yang merasakan
ilmu bola sepak mereka setaraf atau jauh lebih hebat dari abang fakta seperti
Lucius Maximus. Kalau anda penyokong
Kelantan dan mahu menulis cerita tentang Kelantan menjuarai Piala Malaysia
2010, silakan mencuba nasib.
Projek CBSM mensasarkan untuk menghimpun sejumlah
16 cerita bola (terdiri dari 13 negeri dan 1 wilayah serta 2 cerita lagi
tentang Singapura dan Brunei) dalam satu buku bola yang pertama seumpamanya di
Malaysia.
Berminat menyertai projek CBSM?
Berikut ialah pengeras dan pantang larangnya:
1) Satu cerita untuk setiap satu pasukan negeri.
Oleh itu hanya cerita yang terbaik akan dipilih mewakili pasukan negeri
tersebut.
2) Cerita tersebut mestilah karya anda sendiri,
lengkap dengan fakta dan tepat dari segi sejarah.
3) Menceritakan dengan menarik kisah kejayaan
pasukan tersebut. Contohnya jika ia tentang Pulau Pinang menjuarai liga tahun
1998, maka ceritakan perjalanan Pulau Pinang dalam menjuarai liga. Jika ianya
tentang Selangor menjuarai Piala FA dan Piala Malaysia 2005, ceritakan tentang
kisah Selangor menjuarai kedua piala tersebut.
4) Panjang setiap cerita ialah sekitar 2,500
hingga 5,000 patah perkataan dalam bahasa Melayu ejaan Rumi.
5) Ditulis oleh seorang manusia yang menjiwai bola
sepak.
Mereka yang berminat mahu bercerita bolehlah
menghantar draf 500 patah perkataan pertama ke ceritabolasepak@gmail.com untuk
penilaian pakar dan tindakan selanjutnya.
Tarikh tutup penyertaan projek CBSM ialah 29
Februari 2012 bersamaan 7 Rabiulakhir 1433H.
Sebarang perkembangan terkini dan pengumuman
mengenai projek CBSM akan dihebahkan di laman Facebook rasmi Cerita Bola Sepak Malaysia.