Saya kongsi kekecewaan yang diharungi hampir seluruh peminat
bolasepak tempatan semalam. Saya juga berkongsi pendapat bahawa mutu
pengadilan yang tidak begitu konsisten telah sedikit sebanyak menyumbang
kepada kekecewaan saya ini. Namun begitu tidak boleh kita sangkal
bahawa secara keseluruhannya, Thailand lebih layak ke final.
Tektikal,
mereka lebih tersusun. Teknikal, mereka lebih padu. Mental, mereka
lebih bersemangat untuk memenangi perebutan bola dan kelihatan amat
bersungguh-sungguh.
Semalam Malaysia telah mencuba tetapi
bagi saya layangan kad merah kepada Fadhli Shas bukan penyebab utama
kegagalan Malaysia untuk cuba bersaing. Gol pertama jaringan Teerasil
semalam juga bukan. Jika kita kaji lebih dalam lagi, gol penyamaan
jaringan Teerasil di Stadium Nasional Bukit Jalil juga bukan.
Kegagalan
skuad bolasepak negara harus kita pandang dari sudut micro. Keseluruhan
sistem pentadbiran yang mendukung skuad harimau malaya bertapak diatas
satu platform yang rapuh. Ibarat kondominium Highland Tower, sistem ini
telah pun punah menerkam tanah.
Kita berjaya memenangi
beberapa kejohanan sebelum ini tetapi tahukah anda bahawa peminat
mahukan konsistensi dan hala tuju, misi dan visi yang lebih mudah untuk
semua fahami. Menang kerana hebat, kalah kerana berjuang dan bukan
kerana sistem itu sendiri tidak tahu kenapa.
Kita perlukan
anjakan paradigma bukan hanya dari sudut pentadbiran tetapi juga dari
sudut bekalan pemain yang patut dipertimbangkan oleh mereka. Kita tidak
boleh hanya mencaci walhal kita boleh menerapkan pendidikan dan
mentaliti semangat juang yang tinggi kepada anak kecil didalam rumah
kita sendiri. Kita boleh tiupkan kedalam jiwa-jiwa mereka erti bolasepak
Malaysia yang sebenar.
Ultras Malaya berhak untuk
menyokong sebegitu rupa, admin sokernet juga berhak untuk menyokong
dengan cara mereka yang tersendiri. Maka tepuk dada, tanyalah selera.
Kita
akan jadi yang terbaik jika opsyen yang kita ada bukan hanya
kesebelasan atau seratus yang terbaik dikalangan kita. Kita akan jadi
yang terbaik apabila Harimau Malaya memiliki seratus ribu opsyen
berkualiti untuk dipilih menyarung jersi negara.
Malang
sekali, ramai yang tidak sedar bahawa membina seratus ribu opsyen
berkualiti ini semuanya bermula dari dalam rumah kita sendiri.