ARKIB SOKERNET

23

Johor Darul Takzim : The Damage Is Done!



Mungkin ini entri terakhir aku berkenaan Johor Darul Takzim FC kerana aku dah bosan mengulang cakap perkara yang sama. Kekecohan di Pahang malam tadi tidak termasuk dalam entri ini kerana benda remeh-temeh bukanlah makanan aku. Benda murahan ni mat saleh dah lama tolak tepi. Diorang lagi suka fikir cara nak buat ubat penyakit kanser atau cipta jet roket. Di sini ada beberapa perkara yang perlu dijelaskan dari penulisan pengulas terdahulu iaitu Lucius Maximus. Aku akan tulis cara Mahathir supaya aku yang Melayu ni susah lupa isi.

1. Penentangan Sokernet ke atas penubuhan JDT bermula sekitar suku terakhir 2011 dahulu bukanlah atas sentimen dengki atau cemburu. Malah, Sokernet menyokong penubuhan kelab bolasepak dengan pelaburan besar. Cuma, laluan penubuhan JDT itu yang dicemuh Sokernet. Laluannya salah kerana memberikan kesan negatif ke atas perkembangan bolasepak di perigkat kebangsaan. Memansuhkan kelab-kelab, menyatukan Johor FC dengan Johor FA di bawah satu bumbung PBNJ, dan banyak lagi yang tak perlulah aku bangkitkan. Sila periksa entri lama dari saudara Lucius (klik nama beliau). Sebelum saingan Liga Monyet 2014 bermula, FAM ada mengeluh betapa susahnya mencari kelab untuk disertakan dalam Liga FAM atas kuantiti kelab yang terhad. Ini sebab kelab yang sedia ada sudah dimansuhkan dan ini menimbulkan kesukaran kepada mereka. Kekurangan kelab mengurangkan saingan. Kekurangan saingan mengurangkan peluang mencari bakat.

2. Penentangan Sokernet dan sekelompok penyokong Johor FC seperti saudara Khuzrin Kamaruddin (klik nama beliau) dalam tempoh itu juga menemui kegagalan apabila JDT tetap ditubuhkan dan majoriti rakyat Johor menerima dengan terbuka kemasukan JDT ke kancah bolasepak tanah air. Aku anggap kegagalan ini biarlah jadi seperti kegagalan sebuah percintaan. Tidak perlu move on. Just live with it. The damage was done. HANYA MASA YANG AKAN TENTUKAN BAHAWA SOKONGAN MEREKA SELAMA INI BERADA DI LANDASAN YANG SALAH. Banyak perkara negatif pasal JDT ni sedang hangat diceritakan di Facebook. Aku tak mau cerita yang tu. Aku nak cerita lain. Sebagai individu yang berfikiran positif, aku lebih suka untuk menceritakan hikmah-hikmah di sebalik penubuhan JDT setakat ini.

3. Hikmah yang pertama, sudah ramai rakyat Johor yang sudah mula bercerita dan berpolemik tentang liga tempatan meskipun kebanyakan perbincangan adalah tentang gosip pemain, kehebatan import, kehandalan mereka mendapatkan khidmat pemain bertaraf bintang. Tanpa disedari, polemik seumpama itu sedikit sebanyak mengenepikan fundamental asas bolasepak seperti player rotation, taktikal, dan formasi. Apa boleh buat. Dah mereka menyokong atas sentimen kenegerian. Bukan atas sentimen bolasepak. Namun begitu, tidaklah boleh kita nafikan polemik yang masih berada atas paksi bolasepak sedikit sebanyak menambahkan kemeriahan. Itulah wajah kemeriahan liga kita selama ini.

4. Hikmah kedua, kejebatan FAM dirungkai dari sudut yang lain. Apa yang dilakukan Presiden PBNJ mencelikkan mata orang ramai bahawa sesebuah kelab sebenarnya tidaklah perlu bergantung kepada FAM semata-mata untuk memajukan bolasepak. Menaik taraf infrastruktur stadium, mencari publisiti dari luar (kes Guiza dan Aimar), jualan merchandise, dana kelab, dan banyak lagi diusahakan oleh Presiden PBNJ sendiri. Berdasarkan usaha-usaha ini, kita ada lagi satu sebab kenapa Presiden FAM sudah boleh berundur. Selama berada di tampuk pemerintahan FAM, tuan Presiden tidaklah mengambil berat akan perkara-perkara asas seperti itu. Kesannya, Barcelona datang Malaysia kena main di Shah Alam. Aku malu ada Presiden yang meminggirkan faktor asas sebegini.

5. Hikmah terakhir, ada rakyat Johor yang sudah mula minat bola Malaysia. Tak dinafikan, ramai penyokong JDT ke stadium atas sentimen kenegerian dan menyokong Tengku Mahkota Johor. Bukan ke stadium atas sebab betul-betul minat bola. Tapi kau fikirlah. Dalam setiap 100 orang Johor ke stadium atas sentimen kenegerian, mesti ada seorang dua yang mula nampak kecantikan bola sepak. Mesti ada seorang dua yang sudah mula sedar akan kepoweran menjadi pemain bola. Contohnya, aku namakan orang yang berubah sentimen itu sebagai Mamat. Mungkin untuk kali seterusnya, Mamat bukan lagi ke stadium atas sentimen kenegerian semata-mata tapi sebab minat. Mungkin selama ini Mamat yang hanya bermain Call of Duty akan main FIFA. Mamat masa ada Johor FC ni tak ke stadium sebab tak minat bola. Macam mana nak minat, takde dorongan. Satu-satunya dorongan Mamat ke stadium hanyalah sikap kenegerian beliau. Manusia ni boleh berubah niat bila-bila masa.

6. Apa yang aku nampak dari satu sisi, usaha Presiden PBNJ selama ini bukanlah untuk menang piala sangat sebenarnya. Bukan juga untuk menambahkan kacau bilau Liga Monyet kita. Presiden PBNJ hanya mahu buat orang-orang Johor yang selama ini tidak minat bola menjadi minat bola. Bila minat, kesannya boleh dilihat untuk satu jangka masa yang panjang. Mungkin selepas Presiden PBNJ tiada lagi, orang Johor masih memenuhi stadium sebab minat yang dah disemai. Menyediakan infrastruktur yang baik pula menunjukkan bahawa kita semua patutnya mendapat lebih dari yang kita dapat selama ini. Malaysia ni best. Tapi boleh best lagi. Presiden PBNJ dah tunjuk. Silapnya, jalan yang dipilih untuk mereovolusi bolasepak Johor adalah SALAH. Diharapkan Presiden PBNJ memperbetulkannya semula seperti mana kesilapan-kesilapan sebelum ini. Kesilapan bawak askar ke stadium Kota Bharu misalnya. Kunjungan kali kedua tidaklah kesilapan itu diulangi.

7. Mungkin ada yang akan cakap ini entri bodek. Entri jilat. Entri kipas. Namun, percayalah, sebagai Mat Kelate, aku boleh faham perasaan rakan-rakan JDT sekarang. Mereka sedang melalui jalan yang penyokong Kelantan lalui pada 5,6 tahun dahulu. Dikecam, dihina, disindir, dan banyak lagi di media sosial akibat tindakan segelintir penyokong perangai beruk. Sebagai pendatang baru, perkara itu amatlah menyebalkan hati mereka yang tidak bersalah. Mereka dihukum atas kesalahan orang lain. Semua ini hanya akan lenyap perlahan-lahan setelah JDT memenangi piala. Untuk ke arah itu, kritikan membina anda ke atas pasukan adalah wajib. Sokongan membabi buta dan menjadi pak angguk tidak akan ke mana-mana. Kritiklah untuk kebaikan.

8. Akhir kata, arwah Johor FC tidak akan kembali. Itu memang menyedihkan. Namun hidup mesti terus. The damage was done. Live with it. Hanya masa yang boleh membuktikan kebenaran yang diutarakan Sokernet tentang perkara ini beberapa tahun dahulu.

p/s : Liverpool lawan Arsenal malam karang aku ramal 1-3. Semua Mertesacker sumbat. Gila lemah nak mampos Liverpool sampai defend pun boleh hat trick.
12

Asas Professionalisme Dalam Sokongan Bolasepak : Pembezaan Kapasiti

zaileefd2 Selasa, Februari 04, 2014 , ,

Professional tahap tertinggi.

Situasi 1 : "Hal bola suku, politik suku. Biar la Nuar Muso wat kijo untuk bola tapi kalu politik kawe tak caya lasung", kata seorang lelaki yang sedang menjual pisang goreng di Bandar Kota Bharu dengan penuh bengis.

Situasi 2 : "Pada masa itu, saya mewakili negara saya. Bukan kelab saya. Itu memang perkara yang perlu dibuat demi kemenangan kami", ulas Cristiano Ronaldo semasa ditanyakan wartawan Sokernet berkenaan tindakannya mempengaruhi pengadil lantas menyebabkan Wayne Rooney dibuang pada Piala Dunia 2006.

Situasi 3 : "Dia Presiden PBNJ. Dia Tengku Mahkota. Kutuk Presiden PBNJ bermakna kutuk Tengku Mahkota Johor", kata seorang lelaki berjersi JDT secara tegas. Semangat anak muda.


Ada persamaan dalam situasi 1 dan 2 tetapi berbeza sedikit di situasi 3.

Situasi 1 - Seperti kita tahu, Kelantan ialah negeri yang diperintah Parti Islam Se-Malaysia (PAS). Ini bermakna majoriti penduduk Kelantan ialah penyokong PAS. Tan Sri Annuar Musa ialah pemimpin tertinggi UMNO di Kelantan. UMNO dan PAS ialah musuh dalam politik tanah air. Namun begitu, rakyat Kelantan merangkap penyokong Kelantan tiada masalah untuk menyokong Tan Sri Annuar Musa memajukan bolasepak negeri mereka. Menyokong Annuar Musa dalam bolasepak bukanlah bermakna menyokong karier politik beliau. Mungkin ada yang akan menyanggah dengan mengatakan Annuar Musa dapat menang Parlimen Ketereh sebab bola. Tapi, saya bercakap tentang majoriti. Bukan dalam satu parlimen semata-mata. Ini rumusan yang kolektif dan inklusif. PAS masih kukuh di Kelantan meskipun Annuar Musa dah bawak Kelantan menang treble.

Situasi 2 - Cristiano Ronaldo ialah rakan sepasukan Wayne Rooney yang paling serasi di Manchester United. Sorang assist, sorang score. Sorang dummy, sorang score. Macam telepathy. Power nak mampus. Namun, keadaan berbeza bila kedua-duanya bermain berasingan. Pertemuan Portugal dan England di Piala Dunia 2006 menjadi panas akibat tindakan Cristiano Ronaldo mempengaruhi pengadil sehingga Wayne Rooney dilayangkan kad merah. Mereka rakan sepasukan di Manchester United tapi tidak bila mewakili negara. Ronaldo dikecam hebat. Namun, dengan professionalisme yang dimiliki, beliau mampu memenangi Liga Juara-juara dua tahun kemudian bersama Manchester United. Kerana apa? Kau dah tahu jawapannya.

Situasi 3 - Kritikan demi kritikan menimpa Presiden PBNJ. Sebab musabab 'kepanasan' itu saya tidak mahu ulas. Kita pandang depan. Saya juga memilih untuk tidak menulis Tengku Mahkota Johor sebab saya sedang bercakap tentang bolasepak. Bukan bercakap tentang sistem monarki selatan tanah air. Saya tidak faham sebab apa ramai jadi hilang akal bila ada kritikan ke atas Presiden PBNJ. Kritikan adalah atas kapasiti 'beliau' (aku tahu ramai suruh tulis baginda) sebagai seorang presiden bolasepak negeri. Bukanlah sebagai pemerintah Johor. Dan setiap kritikan ke atas beliau adalah dalam konteks bolasepak. Agak senang seandainya setiap kritikan difahamkan seperti di bawah. Kau pun tak diketawakan nanti bila menulis kata-kata nista atas sebab emosional.

i. Isu askar ke stadium
Ayat - Tengku Mahkota Johor tidak hormat penyokong Kelantan bawa masuk askar ke stadium.
Cara nak faham - Presiden PBNJ tidak hormat penyokong Kelantan bawa masuk askar ke stadium

ii. Isu sasaran JDT
Ayat - Tengku Mahkota Johor mensasarkan 3 piala untuk musim 2014.
Cara nak faham - Presiden PBNJ mensasarkan 3 piala untuk musim 2014

Kekecohan sekarang jadi sampai ada nak buat laporan polis, ajak jumpa nak kelahi, maki-memaki di media sosial, dan banyak lagi sebab RAMAI antara penyokong JDT tidak faham tentang kapasiti kritikan. Kau dah gila ke kita sebagai orang Melayu nak jatuhkan institusi beraja. Saya secara peribadi juga menghormati institusi beraja. Tidak ada pun sebab pun aku nak menentang mereka. Pengulas lain aku tak tahu. Lepas ni diharapkan penyokong JDT lebih profesional menangani kritikan dan mencari arah tuju sokongan. Ini benda basic. Benda paling basic. Tapi terpaksa cakap sebab ramai menyimpang dari budaya bolasepak kepada budaya kenegerian. Cukup-cukuplah.

Aku nak tambah sikit lagi. Buat penyokong JDT, pandai-pandailah membezakan kapasiti kritikan. Saya tidaklah benci dengan JDT, jauh lagi berdendam berkenaan insiden di Stadium Sultan Muhammad ke-4. Saya profesional. TMJ juga dah belajar dari kesilapan apabila tidak mengulanginya pada kunjungan kedua tahun lepas jadi tidak guna untuk aku terus mengungkit benda sama. Dalam bolasepak, usik-mengusik, kutuk mengutuk, perli-memperli ialah perkara biasa. Itu kemeriahan dalam milieu Liga Malaysia. Kita dinafikan kemeriahan berupa permainan berkualiti, hantaran kemas, dan cubaan mengelirukan. Hanya itu kemeriahan yang ada. Accept it or get ready untuk sakit jubo.

Kesimpulannya, matang-matangkan fikiran. Jangan lebihkan sokongan ke atas negeri melebihi sokongan ke atas bolasepak sehingga menghilangkan roh the beautiful game. Orang pun menyampah. Ahh..panjang pulak. Malas dah aku tulis. Ahir kata, Arsenal power Arsenal power Arsenal power.

p/s : Untuk situasi-situasi dia atas, El Clasico dan skuad kebangsaan Sepanyol juga boleh dijadikan contoh. Kalau kau paham maksud aku, kau power.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...