Memaparkan catatan dengan label copa libertadores. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label copa libertadores. Papar semua catatan
10

Copa Libertadores: Marion Caunter Melaporkan Dari Amerika Selatan

LuciusMaximus Khamis, Ogos 05, 2010 , ,
Siapa yang rajin mengikuti Sokernet secara beriman pasti masih ingat awal tahun ini aku telah terbang ke Amerika Selatan bersama Marion Caunter untuk membuat rangkuman Copa Libertadores. Hal sedemikian berlaku kerana penyingkiran awal sebuah kelab Inggeris dalam Champions League (cerita lain).

Tapi faktor semasa seperti Chelsea menang EPL dan FA Cup serta Piala Dunia 2010 membuatkan aku terpaksa meninggalkan Amerika Selatan, Copa Libertadores dan Marion Caunter. Dua yang pertama tu aku tak kisah sangat tapi bab tinggalkan Marion tu yang tak berapa best.

Apa pun, Marion sepatutnya meneruskan tugas dan menghantar rangkuman bulanan Copa Libertadores tapi aku agak pantai Copacabana, bikini bertali dan lelaki Brazil mirip Kaka (atau Ronaldinho mungkin?!) menjadi batu penghalang untuk Marion meneruskan tugas beliau.

Jadi aku terpaksa bergegas terbang ke Amerika Selatan baru-baru ini walaupun bajet Sokernet tidak cukup gara-gara seorang pengulas bernama Nazri telah banyak menghabiskan duit ke Korea. Apa pekdah pergi Korea aku pun tak tau, takat Korea ni dengan Malaysia pun kalah hari tu kat Bukit Jalil.

Pun begitu, Marion berjaya dikesan dan sukacita aku melaporkan dia masih dalam keadaan solid-molid.

Copa Libertadores telah masuk ke peringkat separuh akhir yang terdiri dari CD Guadalajara (Mexico), Universidad de Chile (Chile) dan dua kelab Brazil, Sao Paulo dan Internacional. Kedua kelab Brazil ditemukan dalam separuh akhir maka ini bermakna wakil dari Brazil sah berada dalam perlawanan akhir nanti.

Selepas bercuti sempena Piala Dunia, Copa Libertadores kembali menyambung saingan dan saingan separuh akhir pertama telah dimainkan pada 28 Julai antara Guadalajara dan Universidad de Chile, berkesudahan dengan kedua pasukan terikat 1-1. Dalam satu lagi saingan 100% Brazil pada 29 Julai, kelab dari Porto Alegre, Internacional berjaya mengatasi Sao Paulo 1-0.



Salah seorang penyokong Universidad de Chile yang sempat kami temui



Pusingan kedua melibatkan antara Universidad dan Guadalajara. Bermain di Santiago, Universidad merupakan pilihan utama untuk menang dan layak ke akhir tetapi wakil Mexico, Guadalajara membuat kejutan dengan kemenangan 2-0 hasil jaringan Xavier Baez dan Jose Magallon. Nasib baik El Chicharito, Javier Hernandez sudah berpindah ke Manchester United, kalau tidak mungkin lebih teruk Universidad kena tapau.



Salah seorang penyokong CD Guadalajara, khabarnya ada tatu 'El Chicharito' di bahagian badan yang tersembunyi



(Nota: El Chicharito yang memulakan karier di CD Guadalajara telah dirembat oleh Manchester United sebelum Piala Dunia 2010. Dalam Piala Dunia 2010 beliau menjaringkan 2 gol untuk Mexico (lawan Perancis dan Argentina). Gol pertama beliau untuk Manchester United dijaringkan ketika menentang MLS All-Star dan dalam perlawanan testimoni antara CD Guadalajara dan Manchester United, di mana Chicharito bermain untuk Guadalajara separuh masa pertama dan Manchester United pada separuh masa kedua, beliau menjaringkan gol untuk Guadalajara yang menang 3-2 ke atas Red Devils. Javier Hernandez baru berusia 22 tahun, tapi jelas dia bakal jadi bintang bolasepak dunia)

Kemenangan Guadalajara memberikan mereka kelebihan agregat 3-1 ke atas Universidad dan menjadikannya kelab Mexico kedua selepas Cruz Azul yang layak ke akhir Copa Libertadores.

Sao Paulo bakal menyambut kedatangan Internacional esok untuk menentukan kelab Brazil yang bakal bertemu Guadalajara di akhir Copa Libertadores nanti. Mengikut prestasi semasa, Internacional dilihat pilihan utama layak ke perlawanan akhir.

Perlawanan akhir akan diadakan dua pusingan timbal balik, pada 11 dan 18 Ogos nanti. Aku sempatkan nasihatkan Marion Caunter untuk komited pada tugasan beliau ketika kami keluar minum malam tadi atau tidak tempatnya akan diambil alih oleh Reem Shahwa.

Marion kalau lepas minum memang beginilah jadinya (wajah pengulas Sokernet terpaksa digelapkan atas sebab keselamatan)

28

Pos Pasca Khutbah Jumaat

(UPDATE BY NAZRI DI BAWAH SEKALI)

1. Aku dah janji akan tulis pasal Copa Libertadores sekiranya Chelsea terkeluar dari Champions League. Oleh itu aku tekad penuhi janji walaupun mungkin tidak semua perlawanan Copa Libertadores aku dapat cover, tapi aku cuba sedaya upaya.

2. Aku tulis apa yang aku nak tulis dan bolasepak bagi aku adalah alam sejagat. Selama ini aku tulis pasal Major League Soccer, Debar Derbi Sedunia atau bolasepak Malaysia sebab aku mahu, bukan sebab terpaksa. Kalau suka baca, kalau agak tak boleh blah boleh tengok gambar awek Brazil pakai seluar ketat. Tak salah.

3. Tapi kalau ada permintaan yang munasabah mungkin aku pertimbangkan. Kecuali permintaan yang mahu artikel tentang kelab bolasepak di negara benua Afrika macam Cuba. Tak boleh sebab Cuba bukan di Afrika.

4. Ni yang kecoh-kecoh pasal pengulas Manchester United tak kreatif, tak berilmiah dan tak berwibawa ni apa hal? Tak pernah baca Karipap-Karipap Cinta atau LKNY ke?

5. Bakar-membakar memang amalan kita bersama. Tapi aku tak suka orang kutuk peminat Manchester United lebih-lebih sebab kenangan manis aku dengan peminat Red Devils ialah susuk seorang gadis berjersi Manchester United saiz XS. Sangat devilish.

6. Gadis tu bukan Marion Caunter.

7. Tapi kutuk Arsenal aku tak kisah, sebab diorang memang emo.

Apasal tulis pakai nombor? Sebab malam tadi termimpi Che Det. Damn!

(Kisah seterusnya untuk mereka yang rajin tengok saluran 811, bukan setakat 812 atau 813)

Copa Libertadores Dan Kenapa Kita Perlu Jadi Pengurus Kelab Bolasepak Argentina

Tiga lagi perlawanan Copa Libertadores berlangsung sesudah subuh tadi. Nasib baik kuliah subuh hari ini tak panjang sangat.

Racing Club 1 – 0 Independiente Medellin (Kumpulan 1)

Racing Club de Montevideo (tidak ada kena mengena dengan F1 atau gejala rempit) dari Uruguay menerima kunjungan kelab Colombia, Independiente Medellin di Estadio Gran Parque Central.

Kedua pasukan seri tanpa jaringan dalam perlawanan sebelum ini di Colombia tetapi pertemuan di Uruguay jelas memihak kepada tuan rumah.

Jaringan tunggal Santiago Ostolaza (75) memastikan peluang cerah buat Racing mengiringi pasukan feveret Kumpulan 1, Corinthians ke Round of 16.

Deportivo Quito 1 – 0 Emelec (Kumpulan 5)

Ianya percaturan Ecuador dalam Kumpulan 5 apabila dua kelab negara itu bertarung di Estadio Olimpico Atahualpa, gelanggang keramat Deportivo Quito.

Emelec sekalipun mempunyai kedudukan lebih baik (4) dalam liga domestik Primera A berbanding Deportivo Quito (10) gagal menyaingi lawan mereka di pentas Copa Libertadores.
Jaringan minit ke-64 Michael Arroyo memberi kemenangan tipis buat Deportivo Quito dalam meneruskan saingan Kumpulan 5 yang jelas dikuasai oleh pendahulu CA Cerro (Uruguay) dan Internacional (Brazil).

Velez Sarsfield 2 – 1 Colo-Colo (Kumpulan 7)

Velez Sarsfield dari Argentina menyambut kehadiran pesaing mereka dari Chile, Colo-Colo di Estadio Jose Amalfitani dalam perlawanan Kumpulan 7.

Kumpulan 7 boleh dianggap sebagai kumpulan maut kerana turut menempatkan kelab Brazil, Cruzeiro yang mendapat sokongan padu awek seluar ketat.

Kedua pasukan perlu menang bagi mencerahkan peluang ke Round of 16 tambahan lagi Cruzeiro telah mencatat kemenangan ke atas pasukan belasahan Deportivo Italia (Venezuela) sehari sebelumnya.

Namun pelawat terlebih dulu membuat jaringan bila Ezequiel Miralles menerobos gawang Velez Sarsfield seawal minit ke-8. Ironinya, Miralles ialah pemain import dari Argentina.

Tenang, tuan rumah mengikat kembali kedudukan pada minit ke-13 melalui Rodrigo Lopez dan asakan diteruskan hingga Santiago Silva meletakkan Velez Sarsfield di depan pada minit ke-29. Kedua-duanya adalah pemain import dari Uruguay.

Kedudukan kekal hingga ke wisel penamat sekaligus meletakkan Velez Sarsfield selesa mendahului Kumpulan 7 dengan 10 mata. Cruzeiro di kedudukan ke-2 dengan 7 mata manakala Colo-Colo ke-3 dengan 4 mata.

(Kisah yang berikut pula untuk mereka yang hanya tahu 812 dan 813 sahaja)

Prebiu Chelsea Lawan Aston Villa – Bukan Sekadar Pemanas Badan

Chelsea akan melayan kunjungan Aston Villa di Stamford Bridge Sabtu ini sebelum kedua pasukan bertemu lagi di saingan separuh akhir Piala FA.

Namun perlawanan Sabtu ini bukan sekadar pemanas badan separuh akhir Piala FA.

Chelsea dan Villa telah bertemu 138 kali dalam semua perlawanan dengan Chelsea menang 51 dan Villa, 55. Tetapi kali terakhir Villa menang di Stamford Bridge ialah pada musim 2001/02. Chelsea menang 32 dari 62 pertemuan dengan Villa di Stamford Bridge.

Arsenal disahkan bakal seri dengan Birmingham City manakala Manchester United mungkin menang ke atas Bolton Wanderers seandainya mata Park Ji Sung terbuka luas.

1,414 hari telah berlalu semenjak kali terakhir Liverpool memenangi sebarang kejuaraan.

Untuk lawan Aston Villa ini, aku bajet Chelsea menang 2-0. Drogba dan Malouda.

Oh ya, kenapa kita perlu jadi pengurus kelab bolasepak Argentina?



Cuba teka yang mana satu Ricardo 'El Tigre' Gareca, pengurus Velez Sarsfield?

UPDATE

PELANCARAN novel KARIPAP-KARIPAP CINTA (dilancarkan oleh sutradara Mamat Khalid) pada 28hb Mac di booth PTS, PWTC sempena Pesta Buku. Maklumat lanjut boleh cekidout di sini: www.dunia-vovin.com

Masa untuk membuktikan peminat bola juga membaca buku. Hehe.

46

Rangkuman Copa Libertadores (kerana ini laman web rasmi bolasepak dunia) Dan Berita-Berita Lain

LuciusMaximus Khamis, Mac 25, 2010
Juan Sebastian Veron -post Old Trafford



Kalau disuruh pilih antara Adriana Lima dan Marion Caunter, aku pilih dua-dua sekali.

Tidak ada kena mengena sebenarnya dengan rangkuman Copa Libertadores hari ini.

Lima perlawanan berlangsung dua hari sudah dalam penentuan pasukan yang layak ke Round of 16. Macam biasa, kelab dari Brazil dan Argentina memenangi semua perlawanan mereka.

Estudiantes 2 – 0 Bolivar (Kumpulan 3)

Estudiantes, juara Copa Libertadores 2009 menyambut kunjungan kelab Bolivia, Bolivar di stadium sementara mereka, Estadio Jose Luis Meiszner.

Estudiantes yang seri tanpa jaringan dengan pasukan yang sama ketika bertandang ke Bolivia 2 minggu sudah pantas melakukan serangan sebaik permainan bermula.

Bekas flop Manchester United, Juan Sebastion Veron beraksi cemerlang di bahagian tengah dalam menggerakkan jentera serangan Estudiantes. Namun pertahanan Bolivar kental sepanjang separuh masa pertama.

Tuah menyebelahi Estudiantes minit ke-50 bila gerakan satu-dua Veron dan Jose Sosa membolehkan Sosa meledak gawang Bolivar. Gold kedua pula datang pada minit ke-78 melalui Mauro Boselli, pemenang kasut emas Copa Libertadores 2009.

Kemenangan 2-0 meletakkan Estudiantes selesa di kedudukan ke-2 dalam Kumpulan 3. Menang dengan Juan Aurich tanggal 30 Mac nanti bakal menjamin laluan Estudiantes ke Round of 16. Bolivar pula secara rasmi sudah terkeluar.

Libertad 1 – 1 Universitario (Kumpulan 4)

Kelab Peru, Universitario bertandang ke Estadio Defensores del Chaco di Asuncion, Paraguay untuk bertemu dengan Libertad.

Kedua-dua pasukan seri tanpa jaringan dalam perlawanan di Lima, Peru sebelum ini tetapi keduanya berkongsi mata mendahului Kumpulan 4.

Victor Ayala terlebih dulu meletakkan Libertad di depan melalui jaringan beliau pada minit ke-55. Ketika perlawanan dilihat bakal memihak kepada Libertad, Universitario berjaya mengikat kedudukan hasil jaringan Luis Ramirez minit ke-86.

Keputusan seri sekali lagi meletakkan kedua pasukan sebagai pendahulu Kumpulan 4 dengan Libertad di atas hasil perbezaan gol. Ini memberi tekanan kepada Lanus yang perlu menang ke atas Blooming dalam satu lagi perlawanan Kumpulan 4.

Lanus 1 – 0 Blooming

Jaringan penalti Santiago Salcedo pada minit ke-17 memberi nafas lega kepada kelab Argentina, Lanus yang menerima kunjungan kelab Bolivia, Blooming di Estadio Ciudad de Lanus.

Lanus yang agak sengsara dalam Primera Division Argentina jelas tidak berupaya mengalahkan Blooming jika tidak kerana penalti yang diberikan.

Kemenangan Lanus sekali lagi memberi nafas buat mereka mengejar Libertad dan Universitario dalam Kumpulan 4 manakala Blooming sudah pasti terkeluar dari saingan Round of 16.


Tidak pasti piala apakah yang dimenangi oleh Cruzeiro, yang pasti awek sebelah tu mantap


Cruzeiro 2 – 0 Deportivo Italia (Kumpulan 7)

Naib juara Copa Libertadores 2009, Cruzeiro menerima kunjungan kelab Venezuela, Deportivo Italia di Estadio Governador Magalhaes Pinto.

Kedua-dua kelab mempunyai sejarah yang hampir sama iaitu ditubuhkan oleh imigran Itali di Amerika Selatan. Tetapi persamaan mereka tamat di situ.

Sebagai kelab Brazil, Cruzeiro jelas lebih unggul berbanding lawan mereka dari Venezuela.

Pemain tengah Fabinho meletakkan tuan rumah di depan seawal minit ke-6 sebelum Pedro Ken memastikan 3 mata penuh buat Cruzeiro hasil jaringan minit ke-70.

Velez Sarsfield terus selesa mendahului Kumpulan 7. Mereka bakal bertemu Colo-Colo esok pagi sesudah subuh (waktu Malaysia).

Universidad Catolica 1 – 1 Caracas FC (Kumpulan 8)

Dua pasukan terbawah Kumpulan 8 bertembung dalam usaha meneruskan peluang mereka layak ke Round of 16.

Kelab Chile, Universidad Catolica menerima lawatan kelab Venezuela, Caracas FC di Estadio San Carlos de Apoquindo.

Jaime Bustamante meletakkan pelawat di depan terlebih dulu pada minit ke-50 sebelum Catolica mengikat kedudukan melalui Juan Morales 8 minit sebelum wisel penamat.

Keputusan seri tidak mengubah kedudukan kedua pasukan dalam Kumpulan 8. Jika Flamengo menang ke atas Universidad de Chile pada 7 April, Catolica dan Caracas bolehlah melupakan Round of 16.

Berita Lain

Harry Redknapp pastinya suka tengok Copa Libertadores juga. Atas sebab itu beliau membuat keputusan bernas dengan berbelanja sekitar £15 juta untuk membeli pemain tengah Internacional, Sandro Ranieri Guimaraes Cordeiro.

Sandro adalah produk akademi bolasepak Internacional, pernah menjadi kapten skuad bawah 20 tahun Brazil dan kini disenarai pendek untuk skuad Piala Dunia.

Aku yakin, dengan perpindahan Sandro ke Spurs membawa makna bukan saja musim ini Liverpool tidak masuk Top 4, tapi musim depan pun sama juga.

Sandarkan pada… ah malas aku mahu cakap.

Berita Yang Buat Park Ji Sung Tidak Tidur Malam

Chelsea belasah Portsmouth 5-0.

15

Hola!

LuciusMaximus Jumaat, Mac 19, 2010
Bienvenido a America del Sur!


Nampaknya sekarang aku kena pergi stadium pakai baju kalis peluru. Topeng gas kira optional tapi untuk kebaikan bersama kena bawa buat back up.

Perjalanan Copa Libertadores agak terkebelakang berbanding Champions League.

Buat masa ini semua 32 kelab sedang berentap dalam saingan kumpulan, ada 8 kumpulan, 4 kelab setiap kumpulan dan juara setiap kumpulan layak ke Round of 16 disertai oleh 6 pasukan terbaik tempat kedua dalam setiap kumpulan di mana 14 kelab yang layak ini bakal berentap dalam saingan kalah mati bersama 2 kelab Mexico yang mendapat bye kerana insiden selsema babi tahun lepas.

Tak faham? Boleh skip artikel ni.

Oleh kerana ini adalah kejohanan bolasepak anjuran CONMEBOL, maka jadual perlawanan boleh tahan berteraburnya.

Antara perlawanan yang terkini ialah dari Kumpulan 1 melibatkan Corinthians (Brazil) yang bertandang ke Cerro Porteno, sebuah kelab Paraguay. Corinthians hanya menang tipis melalui jaringan tunggal El Gordo Ronaldo, bekas pemain Inter (hampeh!). Sebagai balasan Policia Paraguaya menyumbatkan 35 orang alcoholizados del Corinthians ke dalam lokap atas dakwaan mabuk terlampau.

Satu lagi perlawanan Kumpulan 1 pula ialah antara Independiente Medellin (Colombia) yang menyambut kedatangan Racing (Uruguay). Perlawanan berkesudahan seri tanpa jaringan, berita baik buat Racing barangkali kerana terlepas dari ugutan bunuh Senores de la droga de Colombia.

Kumpulan 2 pula menyaksikan pertembungan antara kelab Mexico, Monterrey yang meraikan kunjungan kelab Colombia, Once Caldas. Walaupun Mexico ialah ahli CONCACAF bukan CONMEBOL, kelab mereka tetap dijemput atas nama semangat Amerika Latin. Ya ini satu lagi keluarbiasaan Copa Libertadores. Perlawanan berkesudahan seri 2-sama.

Sementara itu dari kumpulan yang sama, kelab nombor 1 Brazil iaitu Sao Paulo melanyak Nacional dari Paraguay dengan 3 berbalas kosong. Dagoberto, Leo Lima dan Washington menjaringkan gol-gol Sao Paulo. Sao Paulo ialah kelab yang pernah mengalahkan Liverpool pada perlawanan akhir FIFA World Club Championship tahun 2005.

Fakta terakhir ini saja aku masukkan sebab nak kutuk Liverpool.

Perlawanan seterusnya ialah pada 23 Mac melibatkan Estudiantes lawan Bolivar (Kumpulan 3) dan Libertad lawan Universitario (Kumpulan 4). Boca Juniors tidak terlibat musim ini bagi sesiapa yang belum maklum.

Okaylah, aku nak pergi teman Marion Caunter beli bikini bertali jap.
22

The Special One

LuciusMaximus Khamis, Mac 18, 2010 , ,
He came, he saw, he Mourinho'd

Aku akui, Chelsea semalam memang kecil anak lawan Internazionale, di bawah kendalian Jose Mourinho.

Kata-kata Zola bahawa kelab-kelab Seria A ‘tidak setajam’ kelab-kelab EPL mungkin ada betulnya, tapi ini Inter di bawah Jose Mourinho.

The Special One.

Jose Mourinho salah satu punca kenapa Carlo Ancelotti berpindah dari Serie A ke EPL. Mourinho juga punca kenapa Roberto Mancini mengikut jejak Ancelotti. Oh ya, lama dulu Mourinho juga menjadi sebab kenapa Claudio Ranieri berpindah dari EPL dan balik ke Serie A.

Hidup Mourinho ialah menghantui pengurus-pengurus Itali. Tujuh belas dari 20 kelab dalam Serie A dikendali oleh pengurus Itali tetapi Jose Mourinho mengatasi mereka semua dengan Inter di puncak klasemen.

Itu Jose Mourinho. The Special One. Bahkan di zaman EPL, Mourinho juga menghantui pengurus-pengurus kelab EPL yang lain.

Arsene Wenger menurut Mourinho ialah seorang voyeur, obses dengan kejayaan Chelsea kerana Arsenal tidak menang apa-apa bertahun lamanya. Rafael Benitez pula meluahkan perasaan bahawa hidup lebih baik buat dirinya tanpa Mourinho di Chelsea.

Hanya Pak Alex saja yang diluar jangkauan provokasi Mourinho.

Jose Mourinho. Diundi pengurus bolasepak paling seksi oleh wanita-wanita England. Diabadikan patung lilinnya di Madame Tussaud. The Special One.
Sampai sekarang aku tidak faham bagaimana Roman Abramovich dan Jose Mourinho berubah haluan pada musim luruh 2007. Lagi aku tidak faham ialah bagaimana 5 bulan selepas Mourinho meninggalkan Chelsea, Abramovich bermurah hati menghadiahkan Mourinho sebuah Ferrari 612 Scaglietti?

Apakah?

Tiga tahun selepas meninggalkan Chelsea, Mourinho masih menghantui Stamford Bridge. Di padang atau di bilik persalinan.

Semalam, Mourinho kembali dengan Inter ke Stamford Bridge sebagai pasukan pelawat tapi lebih kelihatan seperti bermain di tempat sendiri.

Sepanjang perlawanan kamera lebih banyak terfokus ke arah Mourinho, bukan Ancelotti.

The Special One.

Ketika sesi memanaskan badan, Mourinho muncul dari terowong dengan sebatang pen dan menandatangani permintaan autograf para peminat Chelsea.

Sebelum perlawanan bermula Stamford Bridge melaungkan nama Mourinho dan The Special One bangun serta melambai ke setiap penjuru Stamford Bridge.

Setiap perkara yang berlaku dalam padang akan disusuli dengan rakaman reaksi Mourinho.

Bila bola terkeluar, Mourinho berkeras tidak mahu memulangkannya kepada Yuriy Zhirkov untuk lontaran ke dalam.

Setiap percubaan ke pintu gol oleh Inter disusuli dengan reaksi Mourinho.

Jaringan Samuel Eto’o diraikan dengan beberapa genggaman tumbukan padu, sederhana dan tidak terlalu menonjol.

Ketika perlawanan terhenti buat sementara, Mourinho dilihat memangil Diego Milito dan Goran Pandev ke sisi padang untuk sedikit hairdryer treatment.

Setiap kali Mourinho memasukkan pemain gantian, kamera dengan pantas merakamkan aksi beliau. Body language dan pergerakan tangan mengiringi mulut Mourinho yang kumat-kamit memberi arahan kepada Dejan Stankovic, MacDonald Mariga dan Marco Materazzi.

Yang terbaik ialah bila Materazzi dimasukkan. Pemain Itali yang pernah disodok Zinedine Zidane ini sangat gemar memakai perhiasan diri yang melampau seperti gelang lalu ketika mahu masuk ke dalam padang telah diarahkan oleh pembantu pengadil untuk membuang gelangnya.

Apa yang Jose Mourinho buat? Bangun dan meragut semua gelang Materazzi sebelum membuangnya ke tanah. Kemudian pantas menolak Materazzi masuk ke padang.

The Special One. Mourinho ada aurau keyakinan dan ianya terpancar jelas di kalangan pemain Inter. Mourinho juga menunjukkan who is in charge, tidak ada satu pun pemain yang terlepas dari beliau.

Ketika tinggal beberapa minit sebelum wisel penamat ditiup, Jose Mourinho bangun dan berjalan masuk ke terowong terlebih dulu. Tanpa sebarang reaksi tapi yang pasti dengan penuh rasa puas hati. Kata-kata terakhir Mourinho, “Pada mulanya mungkin Roman beranggapan mudah untuk beliau menang, sekarang dia tahu ianya tidak.”

Sehari selepas kejayaan membenam pasukan lamanya, Jose Mourinho menghantar SMS kepada John Terry.

“Hari ini, salah seorang dari kita dalam keadaan bersedih. Itulah kehidupan.”

Hanya The Special One saja yang boleh hantar SMS begitu.

P/S: Lembu berpegang pada tali, manusia berpegang pada janji. Aku suka makan daging lembu maka oleh sebab itu aku bakal ke Amerika Selatan bersama Marion Caunter kerana Amerika Selatan antara penternak lembu terbesar dunia. Doakan kebahagiaan kami di Copacabana.

Jom Copa Libertadores?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...