ANDA SEDANG MEMBACA

17

Fox 40

MDM FARAH FAIZURA Selasa, Januari 12, 2010
Sebuah cerpen berkenaan bolasepak oleh saudara Alias Ismail. Cerpan ini disiarkan di berita minggu pada10/10/2010 yang lepas. enjoi.

Fox 40

STADIUM Old Trafford bergegar dengan sorakan penonton tatkala bola rembatan Dimitar Berbatov diselamatkan penjaga gol Kenyir Bersatu - R. Arumugam. Alex Ferguson bangkit dari tempat duduk. Dengan lantang dia memaki hamun pengadil terkenal EPL - Mark Clattenberg.


Puluhan ribu manusia yang berbaju merah menyokongnya sambil mengacah-acah tangan dengan ganas ke arah penyokong pasukan lawan yang berbaju kuning emas.


Lelaki yang mendapat gelaran Sir daripada Ratu England itu mendakwa penjaga gol Kenyir Bersatu menampan bola di luar kota penalti sambil kakinya mencangkuk betis Dimitar Berbatov yang sudahpun berada dalam kawasan itu. Alex Ferguson mahu Red Devils diberi sepakan penalti dan R. Arumugam dikenakan kad merah. Bantahan Alex Ferguson langsung tidak diendahkan pengadil yang berdiri hanya kira-kira empat meter dari kawasan insiden dan nampak apa yang berlaku dengan jelas.


Lelaki yang terkenal sebagai pembuli pengadil itu kembali ke tempat duduk dengan muka merah padam sambil mengunyah gula-gula getah. Dia bimbang satu lagi keputusan upset berlaku dan Red Devils pasukan terbaru yang menjadi mangsa Kenyir Bersatu. Tewas kepada pasukan kerdil dari benua Asia sudah tentu akan mencalarkan reputasinya.

Perlawanan akhir bola sepak Juara Kelab Dunia Impian baru saja melewati minit ke-7. Kedudukan masih 0-0. Statistik perlawanan menunjukkan bahawa Kenyir Bersatu sedikit di depan dari segi penguasaan bola. Bersama-sama Bakri Ibni, Shukor Salleh yang berasal dari Pulau Mutiara dapat menggerakkan bahagian tengah dengan baik. Di bahagian pertahanan, berdiri dengan kukuh Soh Chin Aun dan rakan-rakannya termasuklah Santokh Singh.


Kenyir Bersatu menggunakan formasi 4-2-4. Bahagian serangan dibarisi oleh striker kembar - Abdul Ghani Minhad dan Mokhtar Dahari. Beberapa kali Mokhtar yang mendapat jolokan Supermokh dan bertubuh sasa itu berjaya memperdayakan Rio Ferdinand sebelum melepaskan rembatan padu namun Edwin Van De Sar masih kebal di gawangnya.


Red Devils pula tidak berkurangan bisanya. Biarpun tanpa kelibat Christiano Ronaldo yang berhijrah ke Real Madrid, pasukan itu tetap hebat. Wayne Rooney, Ryan Giggs dan Paul Scholes kerap kali mencemaskan kubu Juara Kelab Asia Impian yang berasal dari Malaysia.


Azharuddin duduk di bangku pengadil; menunggu giliran untuk mengadili perlawanan pada babak kedua. Masa masih lagi panjang namun dia sudah pun bersedia sepenuhnya.


Peraturan perlawanan akhir kejohanan itu sememangnya unik. Dua pengadil iaitu seorang dari setiap negara bagi pasukan atau kelab yang terbabit, diwajibkan bertugas. Tiada had usia. Pengadil dipilih secara merit. Hal ini cukup menguji kemantapan keadilan kedua-dua pengadil. Sentimen bangsa dan negara diketepikan.


Azharuddin akur akan perkara itu. Kini dia memerhatikan gelagat Alex Ferguson. Pengurus Manchester United itu berterusan memperlekeh Mark Clattenberg yang sedaya upaya mengawal perlawanan. Tidak berubah juga perangai lelaki itu, fikir Azharuddin.


Beberapa bulan yang lalu Alex Ferguson mencerca Alan Wiley ketika Red Devils diikat Sunderland dengan jaringan 2-2 dalam perlawanan liga EPL pada 3 Oktober lalu. Dia mendakwa pengadil EPL itu kurang cergas dan hanya berjalan pada penghujung perlawanan.


“Separuh masa kedua nanti dia akan mendapat pengajaran yang amat berguna kalau dia berterusan kurang ajar,” bisik Azharuddin kepada Daniel, 10 tahun, yang juga rakan sekelasnya di SK Tengku Ampuan Intan, sebuah sekolah pinggir bandar di Hulu Terengganu. Malam ini Daniel bertindak sebagai pembawa beg pengadil cilik dari Malaysia itu.


Mereka berada di bangku khas tidak jauh dari tempat duduk kedua-dua pasukan yang sedang beradu kehandalan. Azharuddin meneguk air galian daripada botol kecil seketika.


“Beranikah kau?" Daniel menarik zip baju sejuknya.


“Tak perlu sangsi. Kau lihat saja nanti.”


“Okey, aku setuju. Aku percaya…”


“Bagus!"


“Kau perlu tegas dan adil nanti,” kata Daniel memberi motivasi.


“Mesti! Bukan berdendam, tapi aku perlu mengubah mentaliti orang macam dia. Kita sudah terlalu lama membiarkan pengadil bola sepak dibuli dengan teruk. Sudah terlalu lama pengadil dijadikan kambing hitam. Apa-apa sahaja malang yang menimpa pasukan mereka di padang, pengadillah puncanya. Itu perlu diperbetul,” balas Azharuddin bersemangat.


“Betul tu… Dilihat dari aspek world viewnya terhadap pengadil, orang macam Fergie tak boleh dibiarkan menjadi perkasa,” kata Daniel sambil fikirannya singgah pada isu konflik Alex Ferguson dengan Persatuan Bola Sepak England.


“Itu sebabnya aku bersetuju dengan Pengerusi Persatuan Sukan dan Undang-Undang Britain - Mel Goldberg, bahawa Wiley mempunyai alasan yang kukuh untuk mengheret Fergie ke muka pengadilan atas tuduhan fitnah,” balas Azharuddin.


Bergegar


Belum sempat Daniel berkata apa-apa kepada Azharuddin, Stadium Old Trafford tiba-tiba bergegar. Patrice Evra yang berasal dari Perancis melakukan sepakan akrobatik bagi meletakkan Red Devils satu gol di depan lawannya setelah teruk menyerap asakan lawan.


Seperti selalunya, Alex Ferguson melonjak dengan tangan tergenggam bagi meraikan jaringan. Perlawanan menjadi kian berbahang. Suara teriakan dan nyanyian bersemangat para penyokong Red Devils menenggelamkan sokongan pasukan berjersi kuning emas.


Azharuddin tidak menunjukkan apa-apa reaksi. Sekarang dia menjadi manusia yang berkecuali. Buat seketika ini, dia tidak boleh menyokong Kenyir Bersatu. Dia pengadil yang beretika dan tindakannya mestilah profesional dalam semua aspek sama ada sebelum, ketika, mahu pun sesudah bertugas.


Perlawanan memasuki minit ke-43. Red Devils bertahan dengan hebat. Mereka masih mampu mengekalkan kelebihan satu gol biarpun diasak bertubi-tubi oleh rangkaian serangan dan jentera midfield Kenyir Bersatu dari segenap arah.


Pada perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil tiga hari lalu kedua-dua pasukan gagal menjaringkan gol. Keputusan seri tanpa jaringan langsung tidak diduga para peminat bola sepak seluruh dunia kerana jurang antara dua pasukan itu amat luas.


Sekarang Alex Ferguson boleh bernafas buat seketika tetapi seandainya pasukan berjersi kuning emas menjaring satu gol dan perlawanan berakhir begitu, Kenyir Bersatu akan menjulang piala. Tewas dengan kiraan kelebihan jaringan di tempat lawan sudah tentu amat memeritkan mana-mana pasukan apatah lagi sebuah kelab gergasi dunia seperti Red Devils.


Fox 40 bersuara nyaring. Penyokong Red Devils bangun serentak lalu bersorak tanda kelegaan. Mereka menyambut tiupan wisel Mark Clattenberg dengan satu kepuasan; paling tidak, untuk tempoh 45 minit yang pertama. Mereka menanti baki 45 minit seterusnya.


Pemain kedua-dua pasukan meninggalkan padang menuju bilik persalinan. Mereka akan membincangkan strategi permainan separuh masa kedua.


Dari tengah padang, Mark Clattenberg diiring dua pembantu pengadil. Dia mengesat peluh di mukanya sambil membawa bola ke arah bangku pegawai perlawanan.


Azharuddin bangun ke tepi garisan padang sebagai tanda hormat kepada pengadil berpengalaman itu. Mark Clattenberg menyerahkan bola kepada Azharuddin selepas mereka bersalaman. Sambil menyerahkan wiselnya kepada Azharuddin, lelaki budiman itu berkata dalam bahasa Melayu dengan fasih dan bertatabahasa;


“Ini untuk simpanan saudara, pengadil cilik dari Malaysia.”


“Terima kasih,” kata Azharuddin, menyambut Fox 40 daripada tangan lelaki itu lalu memasukannya ke dalam saku seluarnya yang berzip kukuh.


Bersorak


Penonton kedua-dua pasukan bersorak dengan gamat.


“Di Barat, bakat seperti anda sangat dihargai. Di negara anda sendiri bagaimana?”


“Semakin dihargai…”


“Bagus! Kembangkan bakat anda. Jangan tunduk kepada tekanan. Buktikan bahawa pengadil kecil seperti anda mampu mengawal satu perlawanan berkelas dunia seperti malam ini. Jangan mengalah kepada sesiapapun. Buat keputusan atas paksi keadilan. Ingat tu,” kata Mark Clattenberg lagi sebelum berlalu ke bilik persalinan.


Waktu rehat berakhir. Semua pemain kedua-dua pasukan sudah berada di padang dan mengambil posisi masing-masing. Sorakan penonton kedua-dua belah pasukan kian gamat dan menggegarkan Stadium Old Trafford seperti sorakan di medan perang.


Azharuddin meletakkan Fox 40 ke bibirnya. Dia cukup sedar bahawa baki perlawanan cukup menguji kewibawaannya sebagai pengadil muda yang berasal dari sebuah negara Asia Tenggara. Dia akan berdepan dengan cabaran yang cukup besar tapi dia yakin melakukannya.


“Priiit!”


Bola bergolek. Kenyir Bersatu melancarkan serangan. Baki 45 minit akan menentukan nasib mereka. Abdah Aliff yang menggantikan Bakri Ibni lincah seperti lipas kudung. Bola diumpan kepada Shukor Salleh. Shukor melebarkan hantaran ke sebelah kanan. Belum sempat bola sampai ke kaki Abdullah Ali, Wayne Rooney menyambarnya lalu menyerbu ke kawasan lawan. Pergerakan mereka pantas tetapi Santokh Singh lebih awal bersedia.


Masa berlalu pantas dan perlawanan kian rancak. Red Devils memperoleh sepakan percuma di luar kotak penalti. Alex Ferguson menyepak botol air mineral ke dalam padang. Dia mendakwa kekasaran ke atas Dimitar Berbatov berlaku dalam kawasan penalti.


Azharuddin menoleh ke arah pengurus Red Devils. Sekali lagi, kau buat perangai, kau akan pungut kad merah, bisik hati kecilnya.


Sepakan percuma yang diambil Ryan Giggs sipi di sebelah kiri gawang lawan. Kenyir Bersatu pula melancarkan serangan. Sepakan gol oleh R. Arumugam sampai ke kaki Jamal Nasir. Bola dihantar kepada Ghani Minhad yang kemudiannya menggelecek empat pemain lawan. Di sebelah kirinya menunggu Supermokh sebaris dengan Rio Ferdinand.


Ghani menunggu Supermokh berundur sedikit. Sebaik saja rakannya beraksi seperti yang dimahukannya, Ghani menolak bola. Gerakan 1-2 berlaku. Ghani menyerbu hantaran balas Supermokh dengan satu gerakan yang memperdayakan pertahanan Red Devils itu. Bola ditolak ke sudut gawang. Penyokong kuning emas bangkit. Alex Ferguson menyerbu ke arah pengadil keempat dan membantah hingga beberapa meter ke tengah padang.


Azharuddin meletakkan wisel ke mulutnya.


“Priiit!"


Azharuddin terduduk. Suasana hingar-bingar hilang tiba-tiba. Baru dia sedar bahawa dia berada di sofa di rumahnya. Di muka pintu kelihatan ayahnya berdiri dengan lemah dalam pakaian seorang pengadil bola sepak.


“Mujur kau dengar cakap ayah dan tak ikut ke padang. Teruk ayah dan dua penjaga garisan kena kejar tadi,” kata ayahnya sambil memujuk Azharuddin yang belum kering air mata kerana merajuk tidak diajak ayahnya ke Padang Astaka Kuala Berang.


“Bergaduh lagi pasukan yang abang adili?” tanya ibu Azharuddin dari dapur.


“Ya! Perlawanan di padang yang satu lagi pun macam tu”


“Berhentilah menjadi pengadil bola sepak kalau macam tu, bang!”


“Jangan! Saya bercakap dengan Mark Clattenberg tadi. Dia kata, pengadil kena tabah. Tak boleh tunduk kepada tekanan,” kata Azharuddin sambil teringat pesanan lelaki Inggeris kepadanya dalam mimpinya sebentar tadi.


“Mark Clattenberg?” Ayah Azharuddin hairan. Dia ingat-ingat lupa siapa lelaki itu.


“Ya, kami bercakap di Old Trafford tadi. Ini wisel yang dia beri kepada saya,” balas kanak-kanak itu sambil menunjukkan wisel Fox 40 kepada ibunya.


Ibu dan ayah Azharuddin terpinga-pinga!


17 Ulasan:

Dewajiwa berkata...

best gila.

Jorji berkata...

markah penuh!

bungwahab berkata...

***** 5 Bintang.

pakkordi berkata...

Panjang sangat lah, tapi gua baca gak.

Oh Me berkata...

tak kelakar pun....

linda radzi berkata...

kena kelakar ke?

sesekali baca cerita panjang, apa ada hal..

Cob Nobbler berkata...

apakah abang dingin cuba bereksperimental dengan aliran seni surrealisme yang bermain dengan emosi dan realiti?atau apakah abang dingin cuba berdolak-dalih dengan bermain perasaan seperti kebanyakan karya faisal tehrani?

aiseh,cerita ni cam tergantung la gua rasa.

pakkordi berkata...

kak kinda, kalau kenyir bersatu lawan Liverpool cerita panjang berjela gua akan baca dengan tekun.

Nazri berkata...

Dingin meletak link tentang cerpen tulisan Alias Ismail. Bukan tulisannya. Sudah terang lagi bersuluh rasanya, melainkan kamu tak baca betul-betul entri ni.

Motif perletakan cerpen ini sebagai satu berita - adanya cerpen bola di akhbar Malaysia.

Jadi tujuannya - uniknya cerpen tentang bolasepak. Rare tu. Untuk dinikmati bersama regardless apa team sokongan kita.

Aduh, baru cerpen, belum satu buku - kempen membaca untuk rakyat Malaysia perlu dipertingkatkan lagi nampaknya.

Tanpa Nama berkata...

meremang bulu roma.

pakkordi berkata...

gua pun.

FIRZA berkata...

respek dingin......

zan berkata...

nice one vovin. susah nak deal dengan orang yang malas membaca ni...

talkIZcheap! berkata...

berdebar aku baca citer nie, takut Man Utd kalah karang, xpasal2 SAF bid Messi plak karang... :D

Kamarul XY berkata...

kesimpulannya, bungwahab malas membaca..

K berkata...

Alias Ismail ni mesti sek jeggong ni.
haha
nice one Alias.

Aslina berkata...

penangan teknologi klon2 ke ni?

berpeluh jugak aku baca...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...