Perak 2-1 Negeri Sembilan
Ramai yang khabarnya tidak puas hati bila Astro Arena memilih untuk menyiarkan siaran langsung perlawanan antara Perak dan Negeri Sembilan, hingga ada yang memerli bahawa Astro Arena patut ditukar nama kepada Astro Owona (sempena Jean Effa Owona, pemain import Jang). Tetapi tindakan Astro sebenarnya adalah satu langkah yang tepat.
Pertemuan antara Yob dan Jang sebenarnya sentiasa menjanjikan aksi menarik. Menarik kerana setiap kali Jang bergelar juara satu-satu piala, mereka pasti akan tersungkur disondol oleh Yob.
Musim 2010, Negeri Sembilan yang baru dinobat juara Piala FA rebah 2-1 di Stadium Perak. Ketika musim 2011, kali ini selaku juara Piala Malaysia tahun sebelumnya sekali lagi Negeri Sembilan tunduk 2-0 kepada Yob di Stadium Perak. Dan musim 2012 juga menyaksikan kisah yang sama, biarpun bergelar juara Piala Malaysia dan Sumbangsih, Jang tewas lagi 2-1 apabila bertandang ke kandang Yob.
Jurulatih Jang memang sporting! |
Yang pasti, Stadium Perak merupakan badi buat Jang. Sekali pun kali ini Jang turun dengan dubuk liar mereka sendiri, Effa Owona.
Syukur pada Tuhan, sepak mula perlawananan dapat dimulakan setepat mungkin. Yob selaku tuan rumah memberi penghormatan buat Jang dengan memainkan lagu Berkatlah Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan yang terkandung ungkapan keramat "Musuhnya habis binasa", kemudian diikuti lagu Allah Lanjutkan Usia Sultan, satu-satunya lagu negeri yang nadanya sama seperti lagu Negaraku yang menyusul sebagai lagu terakhir.
Cikgu Jan selaku jurulatih Yob memilih gandingan penyerang muda Failee Ghazli dan penyerang import Lazar Popovic, sementara pertahanan Khairi Zainuddin tidak diturunkan, mungkin sedikit sebanyak berpunca dari kesilapan beliau yang menjadi penyebab gol Selangor di Bukit Jalil tempoh hari. Untuk tugas mengawal Effa Owona, Cikgu Jan meletak kepercayaan pada pemain tengah defensif, K Nanthakumar yang mempunyai fizikal setaraf Effa Owona.
Tetapi hanya 4 minit diperlukan oleh Jang untuk berada di depan. Dubuk liar mereka Effa Owona melepaskan rembatan padu dari sepakan percuma di luar kotak penalti Yob. Nasril Nourdin yang agak berisi cuba terbang menepis bola tapi sayangnya tidak kesampaian. Yob dari Alor Pongsu hingga ke Yong di Trolak semuanya tersentak. Yang di stadium apatah lagi.
Dengan Jang selesa mendahului, Yob pula nampak goyah. Lazar Popovic terus menyeksa jiwa raga penyokong di stadium dan di depan TV. Failee Ghazli walaupun lincah dan bertenaga masih lagi tidak mampu mengatasi kekangan hebat pertahanan Jang yang dikepalai Norhafiz Zamani. Segala usaha Yob mencari gol penyamaan terus dinafikan oleh Jang, sementara Effa Owona dan Shakir Ali sekali-sekala terus menguji pertahanan Yob.
Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga, entah bagaimana ketika mengejar bola yang dilorongkan, Failee Ghazli tiba-tiba ditimpa kecederaan hamstring. Yob muda ini tersungkur kesakitan di tengah padang dan terang lagi bersuluh, beliau terpaksa dikeluarkan segera.
Namun kata orang, ada hikmah di sebalik setiap kejadian. Cikgu Jan pantas memanggil Akmal Rizal untuk bersiap siaga masuk ke padang. Kerap dilabel ramai sebagai penyerang yang sudah senja, tetapi bagi Yob, AR14 tetap mempunyai kelebihan tersendiri.
Hanya sentuhan pertama diperlukan Akmal Rizal untuk meledak gol pertama Yob, melalui sepakan gunting dari luar kotak pada minit ke-38. Jang tersentak dan Yob pula kembali bernyawa. Kedudukan kekal 1-1 hingga tamat separuh masa pertama.
Apabila masuk separuh masa kedua, Yob lebih banyak menguasai perlawanan. Jang pula merosot permainannya, mengulang kembali tabiat dari dua perlawanan sebelumnya hingga kini kerap dilabel sebagai pasukan separuh masa pertama (separuh masa kedua terus hancur). Effa Owona dikawal baik oleh K Nanthakumar, pemain import Jang yang pernah bermain di Perancis ini langsung tenggelam pada babak kedua.
Sebaliknya, Akmal Rizal yang satu masa dulu pernah juga bermain di Perancis kembali menggegar jaring. Mendapat hantaran cantik dari Lazar Popovic, Akmal Rizal tidak menghadapai masalah untuk menjaringkan gol kedua Yob melepasi penjaga gol Jang, Farizal Marlias.
Don't Mess With The Yob! |
Kedudukan 2-1 kekal hingga wisel penamat, biar pun Jang cuba bangkit pada saat akhir untuk mencari gol penyamaan. Apa yang pasti, percaturan Cikgu Jan untuk meletak K Nanthakumar buat merantai Effa Owona terbukti berkesan, hanya melalui 'dead ball situation' dubuk liar Jang ini dapat mengganas. Dan yang lebih pasti lagi, Stadium Perak kekal badi buat Jang.
PKNS FC 0-0 Kedah
Fanatik Hijau Kuning hari ini pasti sesal kerana tidak mendapatkan Akmal Rizal ketika penyerang berpengalaman ini dilepaskan dari Kelantan pada tahun 2010 dulu. Atau sesal kerana melepaskan Shafiq Jamal untuk menyertai Perak pada tahun yang sama kerana pada hari ini, Kedah tumpul ibarat Kenari tanpa paruh.
Walaupun cuba memasukkan Baddrol Bakhtiar di separuh masa kedua, ia belum cukup untuk Kedah merobak barisan pertahanan PKNS. Terikat 0-0 hingga wisel penamat dan Kedah kini muncul pasukan tunggal dalam Liga Super yang masih belum menjaringkan sebarang gol walaupun sudah 3 perlawanan berlalu.
Wan Jamak pasti berbulu, hanya mampu melihat ketumpulan Hijau Kuning tapi tidak mampu berbuat apa-apa.
Felda United 1-0 Selangor
Gergasi Merah tumpas di tangan Peneroka? Felda United selamba mensawitkan Selangor?
Cap Traktor |
Inilah yang berlaku di Stadium Hang Jebat. Hanay satu atau dua peluang hadir buat Felda United tapi itu sudah cukup untuk Azrul Ahmad muncul wira menjentik telinga Gergasi Merah. Barisan bintang elit Selangor yang dihidangkan banyak peluang bagaimana pun gagal untuk menjaringkan sebarang gol sekaligus memberi tekanan buat jurulatih Irfan Bakti.
Usai perlawanan, Irfan Bakti dilapor menyalahkan faktor padang, cuaca dan waktu bermain petang sebagai punca kekalahan Selangor. Amboi, nak jadi Arsene Wenger lettew!
Sarawak 0-1 Terengganu
Terengganu membuktikan kenapa perjuangan jihad mereka untuk mendapatkan pemain import sehingga MB Ahmad Said turut meroyan adalah penting melalui perlawanan di Kuching ini. Berdepan Sarawak yang semakin meningkat naik, pemain kesayangan Terengganu dari Liberia, Francis Doe.
Francis Doe ini bukan sembarangan pemain import. Berumur 26 tahun, penyerang ini pernah bermain untuk Liberia dan pernah juga bermain untuk kelab bola seperti New York Red Bulls dan DC United di Amerika Syarikat serta Al-Ahly, kelab paling berjaya di Mesir. Pendek kata dalam kebanyakan pemain import Liga Super musim ini, Francis Doe antara yang memiliki 'resume' paling gah.
Macam iras-iras Drogba pun ada si Doe ni! |
Pemain Liberia ini turut membuktikan dia juga paling gah di atas padang dalam perlawanan yang dikuasai oleh pasukan lawan Sarawak. Gol tunggal beliau sudah cukup untuk membuat penyokong Terengganu dan MB Ahmad Said senyum sokmo.
T-Team 0-0 Sabah
Tapi lain ceritanya untuk pasukan adik Terengganu, T-Team.
Jika pasukan abang terbang ke Borneo dan pulang dengan 3 mata penuh, pasukan adik pula menyambut kunjungan lawan dari Borneo tetapi terpaksa berpuas hati untuk berkongsi mata.
Ketajaman barisan serangan T-Team yang sebelum ini telah menyumbat 6 gol tiba-tiba tumpul berdepan Sabah. Pun begitu, keputusan seri sudah memadai buat T-Team untuk kekal di puncak klasemen dan mengekalkan rekod masih belum bolos. Yunus Alif bagaimana pun dikatakan naik angin dengan keputusan seri ini.
Lions XII 2-1 Kuala Lumpur
Perlawanan menentang calon relegasi pilihan musim ini merupakan peluang terbaik untuk anak buah V Sundramoorthy mencatat kemenangan pertama dan ianya memang tidak disia-siakan oleh mereka.
Pun begitu jaringan sendiri pertahanan Kuala Lumpur, Aiman Syazwan yang meletakkan Lions XII di depan pada minit ke-41. Hanya pada separuh masa kedua barulah Lions XII dapat menggandakan jaringan melalui Shahdan Sulaiman pada minit ke-57.
Shahdan Sulaiman - Sang Singa akhirnya mengaum |
Kuala Lumpur bagaimana pun berjaya merapatkan jurang apabila dihadiahkan penalti yang disempurnakan oleh Fazuan Abdullah. Tetapi ia masih tidak cukup untuk menghalang kekalahan ketiga buat pasukan kendalian Razip Ismail, yang terus kekal di dasar Liga Super.
Kelantan 2-1 Johor FC
Red Warriors terus menunjukkan permainan yang kurang meyakinkan dalam perlawanan ketiga dan sekali lagi terpaksa diselamatkan oleh penyerang handalan, Norshahrul Idlan.
Separuh masa pertama berlalu tanpa sebarang gol. Hanya pada minit ke-55 Indra Putra berjaya meletakkan Kelantan di depan tetapi berselang 8 minit Khairul Ismail menyamakan kedudukan untuk Johor FC. Sekali lagi Kelantan dilihat seperti bakal diikat di gelanggang sendiri seperti perlawanan sebelumnya.
Lagi-lagi kawe yang jadi penyelamat, guane? |
Namun gerakan solo oleh Norshahrul Idlan pada minit ke-72 menghasilkan gol kedua Kelantan dan memberikan 3 mata penuh serta senyuman lega buat Peter Butler.
Kesimpulan Perlawanan 3
Pasukan dari Pantai Timur mengekalkan cengkaman ke atas Liga Super dengan T-Team di puncak diikuti rapat oleh Kelantan dan Terengganu (Pahang khabarnya turut mengganas di Liga Perdana tapi itu cerita budak-budak).
Hanya 11 gol dijaringkan dalam Perlawanan 3, membawa kepada jumlah keseluruhan jaringan gol setakat ini kepada 43 gol. Pemain tengah T-Team, Zairo Anuar terus kekal sebagai penjaring terbanyak dengan 3 gol setakat ini.
24 Ulasan:
steady la perak!
yob dan yong memang terbaek...
peteh trg peteh!!!
Scoreb Yob Score...
Silvermania
"Biar Jasa Jadi Kenangan" macam nak jadi "Sandarkan Pada Kenangan" ja....
peteh terengganu peteh
pok doe nelllanggg!!
yob memang le terbaik...tapi x consistent...sedey aku..bilela nk g stadium lagi ni..nk nengok sgor perak
aku pon tak faham ape jadi dengan midfield negeri nih. seken half tak erfungsi. masukkan hafiz si awan nano pon tak bole. kerja menyanyi dalam padang. masih menanti kelibat lagenda shukor dan abang derih.
terima kasih pada perak sebab pasang lagu negeri 9 sebelum start game. dekat paroi haram tak pasang.
musuhnya habis binasa!!!
lagu negeri perak ni tak original langsung. kenapa kena ikut negaraku punya rentak? cuba kreatif sikit macam lagu negeri kelantan
Ramalan TSAM, Perak antara pasukan yang akan memberikan cabaran musim ini ternyata tepat.
keep it up yob.
bunut payong ni wat malu ore kelate jah..lagu negaraku la hok tiru lagu perak tu...berat demo!
terbaekkkkkk yob...ada harapan pergi jauh musim ni...striker import je kena ganti lain...tak tajam depan gol....2 3 peluang lepas mcm tu je...akmal lg bisa...
kepala bana betoi bunut payung. lagu negaraku yang ikut lagu negeri perak, lagu negeri yang pertama di malaysia. tolong cerdik sikit!
berat demo ni. teman tunggu demo datang stadium ja, jangan kena tutuh 5 bijik lagi sudah
Okay memang aku rasa palat sebab Kedah tak ambil Akmal dan lepaskan Shafiq ke Perak. Ini la bahananya sekarang, nak skor pun payah
ah lucy ni pun satu, buat la entri pasal kutuk liverpool or arsenal ke, kesian budak malaysia yang lahir kat liverpool dgn north london takde ruang nak komen!
JohorFC must bounce back with fast. The momentum will help a lot, Insya'Allah. Work smart & sharp. Discipline is top priority, & that will help we win consistently.
Kalau ikutkan track record, Perak memang diperakui salah satu gergasi bolasepak Malaysia.. Cuma masalah deme ni, konsistensi kurang ada.
Jangan jadi macam Pahang udah ler yob.. Drp bergelar Real Madrid Malaysia masa zaman Azizul Kamaludin dulu la ni jadi kelab liga premier je..
demm team kene lambok sawit ngan peneroka. seminggu kene anjing ngan member2. sial la.
nak kutuk jihad ke, meroyan ke, apa ke, mat said cakap benda betul...bukan sebab tak dapat pemain import, tapi pasal FAM bangang...
panas-sang ngat doh...tu yang rapat-jik mat said bui ttepek atah muka miding...tghanung ssaloh beli Machado, dakpe lah pasal memang saloh tghanung pung...tapi wat bbabi apa kalu terek ning saloh dia, kita pulok hok kena dengor kata...baser bghayok-mok...
waner2pung, NNELANG!
//nasib baik mat said tak ajak bertumbuk 1 lawan 1 kat belakang wisma fam dengan hamidin..keh2
@hantuLongkang: kalau Ahmad Said bertumbuk, alamatnya makin gagap la Midin tu. keh keh keh.
cilake betul kalah dengan team sawit. dengan Perak bukan main lagi diorang perform. dengan Jang boleh comeback lagi. mohon konsistensi pada Red Giants.
bunut payung bangang. fan team ko tu ada je benda/isu nak bandingkan ngan negeri lain. tapi ilmu cetek,yela team baru up.sebab tu ramai jelik fan team ko. kekekekke
taun lepas pun Peghak camni gak...gempak awal2 je...masuk 2nd leg, lunyai gak...
Catat Ulasan