ANDA SEDANG MEMBACA

0

Supermokh Cup 2014

Ahmad Fairuz Isnin, Disember 08, 2014
Kawan-kawan sekalian,

Bila berbicara tentang bolasepak, saya rasa kita sudah hampir tiba disatu persimpangan yang menuju dua jalan yang berbeza sama sekali.

Simpang di kanan kelihatan sebuah institusi bolasepak yang berkembang pesat dengan struktur pembangunan bolasepak mampan, didokong oleh professional yang berkebolehan. Kita dipersembahkan dengan mutu permainan bolasepak tahap dunia, dibarisi oleh pemain-pemain yang berkemahiran serta memiliki teknik tinggi dan stadium-stadium kita dibanjiri oleh peminat yang bukan sahaja padu malah bertamadun.

Simpang kiri pula, tak perlulah saya perincikan kerana umum lebih arif barangkali.

Hujung minggu sudah, saya berpeluang menyaksikan pertandingan Supermokh Cup yang dianjurkan oleh National Football Development Program, singkatnya NFDP di padang Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil. Malaysia diwakili oleh tiga pasukan bawah 12 tahun manakala pasukan lainnya adalah skuad remaja bawah 12 tahun dari Sepanyol, Thailand, Korea, Indonesia, Myanmar, Croatia, Bangladesh dan Singapura.

Jujur saya katakan bahawa saya jarang pergi ke perlawanan yang melibatkan pasukan remaja negara tetapi apabila saya perhatikan usaha bersungguh-sungguh pihak NFDP untuk memartabatkan kembali bolasepak Malaysia, sifat ingin tahu saya tentang tahap terkini bolasepak remaja negara membuak-buak.

Perlawanan pertama yang saya saksikan ialah Malaysian Cougars (pasukan yang paling sedap diantara tiga pasukan bawah 12 tahun Malaysia) menentang Bangladesh. Ternyata Bangladesh bukan tentangan mereka. Saiz badan mungkin sama tetapi kecerdasan fizikal pasukan kita lebih baik. Saya difahamkan taktik yang Lim Teong Kim ingin terapkan secara menyeluruh kedalam bolasepak remaja kita ialah hantaran bola harus sentiasa rendah (bukan bola tinggi), larian pantas, memberikan tekanan kepada pihak lawan (bertahan) dari barisan hadapan lagi dan yang paling ketara, tidak perlu memegang bola terlalu lama.

Taktik ini sangat jelas kelihatan. Penjaga gol jarang menendang terus ke atas tetapi akan memberikan bola kepada bek untuk memulakan serangan. Jika midfield tidak datang menerima bola, serangan akan dilancarkan dari bahagian tepi. Bek kiri dan kanan Malaysia sangat cergas dan laju. Teknik menahan bola yang baik, "one-touch" yang bijak, hantaran pendek tepat, larian membuka ruang yang bijak membuatkan saya agak teruja dengan pasukan remaja Malaysia ini. Tapi dalam hati saya masih ada keraguan kerana lawan mereka ialah Bangladesh. Dari cara permainan yang Bangladesh tunjukkan, taktik Lim Teong Kim jauh lebih hebat.

Perlawanan kedua yang saya saksikan ialah Malaysian Cougars menentang Malaysian Tigers. Separuh akhir Malaysia lawan Malaysia. Dari perlawanan ini dapat saya rumuskan bahawa pasukan remaja kita sedang didokong oleh barisan jurulatih yang sangat bagus. Cara permainan kedua-dua pasukan agak sama. Tiada tendangan bola tinggi. Hantaran semuanya rendah. "Drill" yang sama. Cuma ketika Malaysian Cougars ketinggalan, mereka agak terdesak untuk mencari gol penyamaan dan mula melakukan kesilapan namun segala asas permainan mereka masih sama. Itu yang amat amat mengujakan saya. Dua pasukan Malaysia yang berbeza tetapi cara permainan, teknik, "drill" semuanya sama!

Cara memanaskan badan pemain kita juga sangat professional. "Fitness instructor" ialah seorang Jerman. Kita menggunakan "marker" untuk memanaskan badan, stretching yang sama seperti pasukan kelab professional di Eropah gunakan sebelum perlawanan. "Marker" bukanlah satu benda yang mahal tapi bila ia digunakan untuk memanaskan badan tampak pasukan kita lebih serius dan tersusun.


Saya tidak dapat menyaksikan perlawanan akhir semalam. Diberitakan kita kalah kepada kelab Pohang Steelers, Korea 4-0 tapi saya pasti permainan pasukan negara mantap.  Saiz badan pemain Korea lebih padu dan mereka ialah tentangan yang baik untuk skuad Malaysia. Dari "tweet" mereka yang berada di final, kesemuanya memuji pasukan remaja negara kerana semangat juang dan cara permainan serangan serta teknik yang bagus. Korea sebaliknya menggunakan taktik bertahan dan "counter-attack". Saya juga pasti mereka yang kalah akan belajar dari kekalahan itu.

Ini semua masih diperingkat pembangunan. Kalah atau menang sebenarnya tidak penting pada tahap ini. Yang paling penting ialah pemain kita faham taktik permainan dan mempraktikkan apa yang jurulatih ajar dengan menggunakan teknik yang betul dan belajar dari kesilapan. Bak kata seorang dari jurulatih di NFDP yang sempat saya temubual,

"mereka (di NFDP) masih budak2. Yang penting ialah samada mereka faham atau tidak apa yang diajar. Bila mereka dah dewasa, persoalannya ialah bukan lagi pemain tersebut faham atau tidak tetapi samada mereka mahu atau tidak".

Pendek kata, jika sudah dewasa pun masih menahan bola dan bola terpelanting kena telor sendiri maka akan sentiasa kena telor lah pemain itu menahan bola sampai bila-bila.

Saya amat berharap agar NFDP dapat mengekalkan momentum. Jelas ada mutu didalam permainan skuad remaja kita kini. Yang akan menjadi tandatanya ialah mampukah pemain-pemain ini mengekalkan teknik bermain bolasepak, tahap kecergasan dan kekuatan fizikal apabila umur mereka meningkat nanti? Mampukah juga NFDP bertahan untuk melahirkan lebih ramai lagi pemain-pemain pelapis yang setaraf atau mungkin yang lebih baik?

Buat masa ini masih ada harapan untuk bolasepak Malaysia. Dimana ada usaha, disitu ada kejayaan. Jangan tatkala taraf bolasepak kita sudah meningkat nanti kita yang menyokong ini pula hancurkan dengan mengamalkan keganasan dalam budaya bolasepak kita.

Simpang itu sudah dekat. Mudah-mudahan kita akan pusing ke kanan.

0 Ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...