ANDA SEDANG MEMBACA

0

Pengswastaan Liga Malaysia - Satu Era Baru.

pakkordi Ahad, Mei 10, 2015

(NOTA: Terdapat pembetulan dari segi perkiraan jumlah penajaan untuk musim hadapan jika ianya ialah RM100juta).

Didalam posting sebelum ini saya telah maklumkan bahawa pengswastaan liga kita mengambil pendekatan Bundesliga dari aspek organisasi dan EPL dari segi pembahagian hak penyiaran. Fig.3 dibawah menunjukkan struktur organisasi dan pembahagian hak ini.

Saya telah terangkan bahawa Kongres Liga akan menentukan dasar liga. Kuasa eksekutif sekretariat untuk menjalankan operasi pengswastaan ini dari sudut komersil dan teknikal pula ialah Football Malaysia Limited Liability & Partnership (FMLLP).



Sebelum itu, kita harus faham bahawa FMLLP bukan syarikat enterprise, sendirian berhad atau berhad. Ianya ialah sebuah perkongsian terhad diantara 3 rakan kongsi; FAM, pasukan negeri yang terbabit dalam MSL/PL dan pihak komersil.

Kenapa perkongsian terhad? Tidak gah langsung bunyinya.

Semua harus faham jika FMLLP ialah sebuah syarikat sendirian berhad atau berhad, ia harus ada pemegang saham. Kita ambil contoh jika Pahang menjadi pemegang saham dalam FMLLP dan tiba2 Pahang jatuh ke liga FAM (yang tidak ditaja oleh pengswastaan liga), bagaimana dengan saham yang Pahang pegang tadi? Tukar pada pasukan yang naik dari liga FAM ke Liga Premier? Berapa peratus saham Pahang? Berapa yang akan diberikan kepada pasukan baru? Dinamik pengswastaan akan terganggu. Dengan perkongsian terhad, semua rakan kongsi akan mendapat hak yang sama. Perbezaannya cuma dari segi pertukaran pasukan naik turun liga akan menjadi lebih mudah.

Tugas utama FMLLP ialah menguruskan liga super, liga premier, piala FA dan piala Malaysia secara profesional. Mereka akan menentukan jadual perlawanan mengikut kesesuaian penajaan. Mereka juga akan memaksimakan keupayaan komersil liga kita dan dalam masa yang sama menaik tarafkan saluran perkhidmatan kepada pelabur yang akan melabur didalam liga kita.

Contohnya jika dahulu pasukan Pahang terpaksa membuat “launching” penajaan Puma untuk jersi baru mereka di sebuah hotel di Kuala Lumpur, FMLLP sebaliknya akan menyediakan sebuah pusat media canggih di pejabat mereka yang mana pasukan negeri boleh gunakan sebagai tempat untuk menyampaikan taklimat usaha sama dengan penaja. Ini akan memudahkan pasukan negeri untuk menarik penajaan secara professional dan secara tidak langsung menaikkan imej dan menjana pendapatan pasukan negeri.

FMLLP akan memastikan taraf penyampaian siaran langsung perlawanan ditahap yang tinggi. Dimaklumkan setiap stadium perlu ada jumlah kamera teknoloji canggih yang tertentu (minima 10 kamera jika tidak salah saya). Tiada lagi kamera sudut hampeh dan pengacaraan yang membelakangkan tempat duduk penonton. Aras pengukur FMLLP ialah cara penyampaian EPL. Interbiu pra-perlawanan, semasa perlawanan dan selepas perlawanan akan lebih professional.

FMLLP juga ditugaskan untuk menguruskan perkongsian wang hak penyiaran kepada rakan kongsi liga.

Nilai minima yang akan setiap pasukan negeri dalam MSL dan PL dapat ialah 30% dari jumlah tajaan untuk musim tersebut. Maka untuk musim depan, tajaan minima yang dijamin ialah RM70juta. Ini bermakna setiap pasukan akan menerima lebih kurang RM1.5juta setiap pasukan. Ini ialah anjakan 500% dari kadar yang pasukan terima musim lepas. Ini ialah satu jumlah lompatan yang banyak. Dengan wang penajaan ini, diharap pasukan negeri akan ada lebih peluang untuk memegang pemain mereka yang berpotensi dari melompat ke pasukan lain apabila mendapat tawaran lumayan.

FAM pula akan menerima 40% dari jumlah tajaan. Nampak memang jumlah yang banyak tetapi jika dibandingkan dengan tajaan musim dahulu, FAM mendapat jumlah yang agak sama. Dengan duit ini diharapkan FAM dapat meningkatkan mutu infrastruktur bolasepak kita.

20% dari tajaan akan FMLLP pegang untuk kos operasi liga dan wang hadiah liga. Mereka akan menggunakan sistem markah yang akan dijumlahkan pada setiap hujung liga.

Contohnya, pemenang liga super akan mendapat 24 markah dan yg ditempat terakhir liga super pula mendapat 13 markah. Pemenang liga premier mendapat 12 markah dan tempat terakhir liga premier mendapat 5 markah. Untuk setiap pusingan piala FA dan piala Malaysia juga menjanjikan markah. Lagi jauh perjalanan pasukan itu dalam piala FA dan piala Malaysia, lagi banyak markah yang pasukan itu kumpul.

Jumlah markah yang tersedia untuk musim hadapan ialah 512 markah.

Dengan itu, jika Selangor memenangi liga super tahun depan tapi gagal di piala FA dan piala Malaysia, jumlah duit minima yang Selangor akan dapat ialah RM750, 000 (hadiah juara liga) + 24 markah (markah sebagai juara liga super) + markah dari perjalanan piala FA dan piala Malaysia.

Kita dapat lihat bahawa perkongsian wang ini lebih telus.

10% dari penajaan akan menjaga hak pengadil dan akademi negeri. Pengadil akan mendapat habuan mereka dan diharapkan mutu pengadilan akan lebih meningkat. Akademi bolasepak negeri pula akan mendapat peratusan duit ini sekiranya mereka meningkatkan tahap infra akademi mereka ketahap yang lebih baik. Contohnya jika akademi Kelantan menaikkan gred jurulatih pasukan belia mereka dari jurulatih taraf gred C ke B, akademi Kelantan akan mendapat peratusan wang dari 10% penajaan ini. Akademi kini akan ada lebih motivasi untuk meningkatkan infrastruktur mereka kerana ada insentif sumber kewangan.

MP & Silva (MPS) ialah salah seorang rakan kongsi yang mengambil tempat sebagai rakan kongsi komersil. Buat masa ini hanya MPS sahaja yang tampil dan ada kemungkinan besar akan ada rakan kongsi lain. Sebagai rakan kongsi komersil didalam FMLLP, MPS mendapat hak imej, branding dan penyiaran untuk liga super, liga premier, piala FA dan piala Malaysia sahaja. Liga FAM dan liga Futsal Kebangsaan bukan dibawah MPS.

MPS akan memaksimakan nilai komersil liga kita dan akan bekerjasama dengan syarikat penyiaran tempatan yang membeli hak penyiaran sesebuah perlawanan yang MPS pegang. Sekiranya tiada syarikat penyiaran tempatan yang membeli siaran itu, MPS akan menyiarkannya sendiri. Saya difahamkan MPS memang mampu untuk menyaingi Astro Arena sekiranya perlu. Tiada masalah disini.

RM70juta yang MPS akan berikan adalah kadar minima dimana MPS tidak ambil komisyen langsung. Malah mereka akan rugi sebenarnya. MPS hanya akan untung jika jumlah tajaan yang dapat mereka kumpulkan setahun adalah lebih dari RM70juta dimana perkiraannya adalah seperti dibawah.

Contohnya, jika jumlah tajaan musim hadapan ialah RM100juta, MPS akan ambil 100% lebihan dari RM70juta sehingga jumlah RM84juta. Lebih dari RM84juta, akan dikongsi MPS 40:60 dengan FMLLP.

-          Jumlah tajaan musim depan =  RM100juta
-          MPS akan dapat =[ RM14juta (RM84j-RM70j) ] +  RM6.4juta [40%  x (RM100j-RM84j)]
                                   = RM20.4juta 
-          FMLLP dan rakan2 = RM79.6 juta (FAM: RM31.8j, FA negeri: RM23.9j, FMLLP: RM15.9j, Akademi/ref: RM8j)

Saya nampak penyiar tempatan akan mensabotaj usahasama dengan FMLLP-MPS ini. Maklumlah, penyiar-penyiar lama dah tak boleh buat duit banyak-banyak lagi. Dulu mereka bayar “lump sum” pada FAM dan kemudian semua duit dari sub sponsor dan pengiklan mereka sapu habis licin.

FMLLP juga akan menguruskan "twinning program" dengan kelab dari Bundesliga dan kelab-kelab dari Bundesliga sudah bersetuju dengan cadangan ini. JDT telah memulakannya dengan memilih B.Dortmund sebagai kelab pilihan mereka. Jika Pahang mahu belajar dan majukan akademi mereka menjadi seperti kelab FC Hamburg, FMLLP akan uruskan.

Saya harap artikel runcit-runcit saya ini berjaya membuka mata peminat bolasepak tempatan akan kesediaan FAM dan FA negeri untuk memajukan bolasepak Malaysia. 

Bolasepak kita, cara kita.

0 Ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...