Memaparkan catatan dengan label artikel bolasepak yang macam cerpen. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label artikel bolasepak yang macam cerpen. Papar semua catatan
104

English Reds

LuciusMaximus Khamis, April 29, 2010
29 Mei 1985
Tragedi Stadium Heysel, penyokong Liverpool merusuh dalam stadium usang berusia 55 tahun. 39 maut, 600 lagi cedera. Pengurus Liverpool, Joe Fagan meletak jawatan. Kelab-kelab England diharamkan dari pertandingan UEFA.

Tenang Sebelum Badai
Tragedi yang berlaku ibarat petanda awal. Seperti awan hitam yang kelihatan jauh di ufuk, perlahan-lahan hampir untuk menyelimuti Anfield dalam kegelapan. Pada saat yang getir ini, Liverpool mengangkat Kenny Dalglish sebagai pengendali yang baru, mengisi kekosongan pra matang akibat pemergian Joe Fagan.

Minggu-minggu pertama Dalglish memperlihatkan tiupan angin deras mirip sebelum melandanya badai. Takdir seperti bergurau, ibarat memberitahu imbangan kekuasaan akan berpindah dari Anfield ke Old Trafford. Awal musim 1985/86, musim pertama Liverpool di bawah Dalglish, Manchester United menang 10 perlawanan pertama mereka di bawah Ron Atkinson.

Untuk seketika Dalglish, pengurus juga pemain, kelihatan bakal berakhir dengan kegagalan. Manchester United jauh meninggalkan Liverpool, yang bergelut dengan pesaing liga yang lain, Everton, West Ham United, Sheffield Wednesday dan Chelsea. Kemudian tahun baru 1986 tiba, Bryan Robson menerima kecederaan dan Manchester United gugur ibarat daun layu.

Liverpool muncul juara Divisyen 1, dengan Dalglish menjaringkan gol di Stamford Bridge untuk Liverpool menewaskan Chelsea 1-0 pada perlawanan hari terakhir. Dalglish, yang naik sebagai pengurus kerana perletakan jawatan mengejut Joe Fagan, membawa kejuaraan liga ke-16 buat Liverpool.

Kenny Dalglish terus membuktikan keupayaan beliau selaku pengurus-pemain. Kejuaraan liga muncul lagi buat Liverpool pada musim 1987/88 (17) dan 1989/90 (18). 2 FA Cup datang bergolek pada 1986 dan 1989. Umum tertanya-tanya, andai tiada pengharaman UEFA berapakah kejuaraan Eropah bakal dibawa pulang Dalglish barangkali.

Di Old Trafford, Ron Atkinson sedang meniti hari-hari terakhir beliau.

To Knock Liverpool Off Their Fucking Perch
Jauh di utara England, khabar dibawa tentang seorang pengurus yang panas baran dan gila-gila. Kelab yang diurusnya, Aberdeen.

Panas baran dan gila-gila kerana kata orang, dia pernah mendenda pemainnya sendiri kerana memotong keretanya di jalanraya dan menendang teko kepada para pemainnya setelah persembahan separuh masa pertama yang buruk.

Tapi kegilaannya juga diterjemahkan ke dalam pencapaian luar biasa Aberdeen. Aberdeen muncul juara liga Scotland selepas 15 musim ianya didominasi oleh kelab-kelab Old Firm yakni Rangers dan Celtic. Tahun 1983, mereka muncul juara Eropah setelah menundukkan Real Madrid 2-1. Lapan tahun di bawah pengurus panas baran dan gila-gila ini, Aberdeen merangkul 10 kejuaraan.

Tottenham Hotspur dan Arsenal dilaporkan merisik khabar, tapi pengurus panas baran dan gila-gila ini kononnya tidak suka kota London.

Hinggalah 6 November 1986, sehari selepas Ron Atkinson ditunjukkan jalan keluar, Old Trafford mengumumkan mereka telah berjaya mendapatkan Furious Fergie, Alex Ferguson.

Kata-kata pertamanya sebaik tiba di Old Trafford, “to knock Liverpool off their fucking perch”.

15 April 1989
Ada yang mengatakannya karma atas apa yang terjadi 4 tahun dulu di Heysel. Ada yang mengatakannya petanda kedua tentang badai yang bakal melanda. 96 maut akibat Tragedi Stadium Hillsborough, ketika Liverpool bermain menentang Nottingham Forest dalam saingan FA Cup.

Pergeseran Keseimbangan
Kegemilangan Dalglish di Liverpool berlanjutan di tahun-tahun awal Ferguson di Manchester United. 18 kejuaraan liga seperti di luar jangkauan untuk bukan saja Manchester United, malahan Everton dan Arsenal.

Selepas Hillsborough, Liverpool masih kuasa dominan bolasepak England. Tetapi awan hitam yang dulunya di ufuk seakan-akan sudah tegak di atas Anfield. Pengharaman UEFA berterusan untuk kelab-kelab England dan menafikan Dalglish peluang untuk menjadi antara pengurus Liverpool yang berjaya di peringkat Eropah.

Di Old Trafford, pengurusan Manchester United terus tabah dan sabar menanti Ferguson menghidupkan kembali sentuhan ajaib yang pernah beliau lakukan ketika bersama Aberdeen.

Badai melanda Anfield tepat pada 22 Februari 1991. Kenny Dalglish meletakkan jawatan sebagai pengurus kelab, tekanan diberikan sebagai alasan. Vakum kuasa diisi oleh Arsenal yang muncul juara Divisyen 1 musim 1990/91, diikuti Leeds United pada musim 1991/92, musim terakhir Divisyen 1. Liverpool jatuh ke-6 pada musim 1991/92.

Sementara itu di Old Trafford, Ferguson seakan sudah menemui kembali sentuhan ajaibnya. Musim 1991/92 ditamatkan dengan kedudukan naib juara liga. Musim berikutnya, era baru akan bermula, baik untuk Manchester United dan tidak lupa bolasepak England.

Fajar Baru
22 buah kelab teratas hirarki liga bolasepak England mengambil keputusan untuk berpisah dari The Football League dan membentuk liga baru yang dikenali dengan nama Premier League. Dengan sekelip mata, bolasepak bertukar dari sekadar sukan kepada industri hiburan yang mewah. Duit dilabur seperti air dicurah, kelab-kelab hidup dalam kemewahan dan nilai para pemain melambung kepada jutaan Pound Sterling.

Musim pertama EPL, 1992/93 menyaksikan Manchester United menjuarai liga. Alex Ferguson, yang satu masa dulu dikenali di Aberdeen sebagai Furious Fergie yang panas baran dan gila-gila, muncul sebagai pengurus yang menamatkan kemarau kejuaraan liga 26 tahun di Old Trafford. Bersama membantu beliau dalam menyempurnakan tugasnya ialah seorang lelaki Perancis. Le King, Eric Cantona.

Liverpool, di bawah Graeme Souness, hanya mampu mengekalkan kedudukan ke-6 liga mereka. Tapi para Kopites ketika itu masih yakin, rekod 18 kejuaraan liga mereka di luar jangkauan. Jika Everton (9) dan Arsenal (10) tidak mampu, apatah lagi Manchester United yang baru memenangi kejuaraan liga yang ke-8?

Au Revoir Cantona, Come Back When You’ve Got 18 Titles
Musim 1993/94 menyaksikan Alex Ferguson meneruskan sentuhan ajaib beliau. Dengan kuasa dominan 80-an seperti Everton, Arsenal dan tidak lupa juga Liverpool menempuhi era kemerosotan, dominasi Manchester United tidak dapat dikekang.

Kejuaraan liga ke-9 buat Manchester United disambut oleh Liverpool dengan sindiran sinis. “Au revoir Cantona, come back when you’ve got 18 titles” dikibarkan di Anfield, untuk Manchester United dan khusus buat Eric Cantona, tonggak Red Devils yang muncul sebagai Player of The Year musim itu.

Sindiran Liverpool kepada Manchester United tahun itu ibarat jalan melupakan kesengsaraan mereka sendiri. Graeme Souness meletakkan jawatan pada 28 Januari 1994, pengurus pertama semenjak era Bill Shankly yang gagal memenangi kejuaraan liga buat The Reds. Liverpool menamatkan musim 1993/94 di kedudukan ke-8 liga.

Tersedak Sekejap
Eric Cantona, Le King, menghiasi musim 1994/95 dengan tendangan kungfu kepada seorang penyokong Crystal Palace yang bertuah. Bertuah kerana bukan calang-calang orang dapat rasa tendangan Le King.

Alex Ferguson, biar tanpa Cantona, kelihatan akan sekali lagi membawa trofi liga pulang ke Old Trafford. Segalanya jelas ketara bila Liverpool menundukkan pendahulu Blackburn Rovers di hari terakhir perlawanan liga, hanya untuk Red Devils diikat 1-1 oleh West Ham United.

Blakcburn Rovers muncul juara EPL, tapi Liverpool terus dikenang kerana hampir-hampir membantu Manchester United menjulang kejuaraan liga ke-10 mereka. Red Devils berpuas hati dengan gelaran naib juara EPL, The Reds di tangga ke-4, tetapi 14 mata di belakang Manchester United, saksi kepada jurang perbezaan yang makin ketara antara mereka.

You’ll Never Win Anything With Kids, Mungkin Untuk Arsenal, Tapi Bukan Untuk United
Ketandusan kejuaraan liga di bawah kendalian Graeme Souness mula memberi tekanan kepada Liverpool. Dengan Roy Evans mengambil alih tampuk, Scousers kebanyakannya yakin pengurus baru yang telah menyertai Liverpool sejak era Bill Shankly akan kembali membawa Liverpool ke persada bolasepak England.

Evans berazam untuk memberi suntikan baru buat skuad Liverpool. Penyerang veteran Ian Rush diketepikan untuk memberi laluan buat pendatang baru, Stan Collymore yang dibeli dari Nottingham Forest. Gandingan Collymore dan penyerang muda sensasi, Robbie Fowler diharap dapat menjadi senjata utama Liverpool untuk imbangan kuasa condong kembali ke Anfield.

Yang sebaliknya pula berlaku di Old Trafford. Furious Fergie buat gila sekali lagi, menjual Paul Ince (Inter), Mark Hughes (Chelsea) dan Andrei Kanchelskis (Everton), tanpa membeli mana-mana nama besar sebagai pengganti sebaliknya menyandar harapan pada barisan pemain muda.

Alan Hansen mengulas prospek Manchester United di awal musim, “you’ll never win anything with kids”. Menjelang Mei, Red Devils muncul juara EPL musim 1995/96. Kejuaraan liga ke-10 mereka. United telah mendahului Everton dan menyamai rekod Arsenal.

Liverpool cuma berjaya naik ke kedudukan ke-3 liga. Harapan untuk melihat mereka memberi saingan sengit kepada Manchester United punah di penghujung musim. Newcastle United, naib juara di bawah Kevin Keegan dilihat lebih berpotensi menggugat Red Devils.

Spice Boys
Spice Girls ialah kumpulan muzik pop paling popular di Britain ketika itu. Spice Boys pula ialah kumpulan pemain bolasepak Liverpool yang segak dengan sut Armani tetapi hancur bila menyarung jersi Liverpool.

Stan Collymore, Robbie Fowler, Steve McManaman, Jamie Redknapp dan David James sepatutnya adalah nama-nama pemain bolasepak yang menggerunkan. Tetapi mereka lebih sinonim dengan sindiran Spice Boys, terima kasih kepada Lad Culture yang menular di Anfield.

Trofi EPL sekali lagi ke Old Trafford, salah satu tenaga penyumbang utama ialah Babyface Assassin bernama Ole Gunnar Solksjaer dan tenaga muda anak watan bernama David Beckham.

Musim 1996/97 terbukti merupakan satu lagi episod kekecewaan buat Liverpool. Mengganas di awal musim tapi layu di penghujung. Mereka jatuh ke-4 dalam liga.

Kevin Keegan membawa Newcastle United kekal naib juara, manakala Arsenal tempat ke-3 hasil pimpinan pendatang baru EPL, Arsene Wenger.

Kejayaan Alex Ferguson mempertahankan mahkota EPL bermakna kejuaraan liga ke-11 buat Manchester United. Red Devils sudah mendahului Arsenal dan hanya 7 kejuaraan lagi sebelum menyamai rekod Liverpool.

Arsene Who?
Ketibaan Arsene Wenger pada musim 1996/97 disambut dengan tajuk berita “Arsene Who?”. Musim 1997/98 komuniti bolasepak England mula mengenali siapa sebenarnya Arsene Wenger.

Arsenal muncul seperti Blackburn Rovers sebelum ini untuk memecahkan dominasi Manchester United buat seketika. Biar ketinggalan jauh di awal musim, The Gunners bangkit dengan kemenangan 1-0 di Old Trafford pertengahan Mac dan menjelang April muncul juara EPL. Ianya kejuaraan liga ke-11 buat Arsenal.

Manchester United muncul naib juara, hanya 1 mata membezakan mereka dengan Arsenal. Liverpool naik semula ke tangga ke-3, tetapi perbezaan 12 mata dengan Manchester United membuktikan Anfield masih lagi terperangkap dalam era Spice Boys mereka.

Treble Di Old Trafford, Trouble Di Anfield
1998/99 adalah musim yang lebih baik dilupakan saja oleh para Kopites. Manchester United bangkit kembali untuk merampas takhta EPL dari Arsenal dan mereka juga turut menjulang FA Cup dan Champions League, mencipta rekod sebagai kelab England pertama mencatat treble sedemikian. Oh, mereka juga dinobatkan kelab paling kaya di dunia ketika itu.

Liverpool yang buat sekian lama berusaha mencabar dominasi Red Devils kali ini mendapati prestasi mereka merudum lebih teruk lagi. Roy Evans mengundurkan diri awal musim selepas gagal bekerjasama dengan rakan pengurus baru, Gerard Houllier. Kucar-kacir ini memporak-perandakan Anfield dan menjelang penghujung musim, Liverpool berada di bawah Manchester United, Arsenal, Chelsea, Leeds United, West Ham United dan Aston Villa untuk menghuni tangga ke-7.

Manchester United kini memiliki 12 kejuaraan liga pada penghujung Milenium ke-2. Namun sedikit tidak terlintas dalam pemikiran kelompok The Reds bahawa Red Devils akan menyamai rekod mereka dalam tempoh 10 tahun berikutnya.

Juara Milenium
Bolasepak memasuki milenium baru dan Ferguson memastikan dominasi Manchester United berkekalan. Old Trafford kekal menjadi kiblat trofi EPL dengan kejuaraan liga dipertahankan untuk musim 1999/2000.

Manchester United menjuarai liga dengan kelebihan 18 mata berbanding naib juara Arsenal, yang di bawah kendalian Wenger sudah mula menampakkan potensi untuk memecah dominasi Red Devils. Leeds United menduduki tempat ke-3, 22 mata di belakang United.

Di Anfield, pengambil alihan pengurusan oleh Houllier mula menampakkan sedikit harapan buat Liverpool. Houllier membawa masuk pemain-pemain dari benua Eropah dan merombak skuad asal yang dibina oleh Roy Evans. Hasilnya mereka memperbaiki kedudukan mereka untuk naik semula ke posisi ke-4 liga, biarpun sejumlah 24 mata menjadi jurang antara Liverpool dan Manchester United.

Melengkapkan Hat-trick Di Old Trafford, Mickey Mouse Di Anfield
Musim 2000/01 menyaksikan Manchester United mencipta satu lagi rekod baru, muncul sebagai salah satu kelab England yang berjaya mengekalkan kejuaraan liga selama 3 musim berturut-turut. Alex Ferguson mencatat rekod peribadi beliau tersendiri, muncul pengurus pertama yang kekal bersama satu pasukan dalam melengkapkan pencapaian hat-trick mereka. Kini hanya 4 kejuaraan liga sahaja memisahkan Manchester United dan Liverpool.

Manakala di Anfield, kejayaan Ferguson dan Manchester United diperkecilkan oleh Kopites yang berbangga dengan apa yang digelar musim terbaik mereka sejak sekian lama. Liverpool muncul juara UEFA Cup, FA Cup dan League Cup. Sebagai balasan, propaganda yang keluar dari Manchester United ialah Liverpool telah berjaya mencapai Mickey Mouse Treble, sebagai perbandingan hina dengan Treble yang dicipta Manchester United ketika musim 1998/99.

Wenger dan Arsenal sekali lagi terpaksa berpuas hati sebagai naib juara liga, sementara Houllier mula memberi sinar kepada Liverpool dengan naik setapak lagi ke tangga ke-3 liga.

Suria Terbit Di Anfield
Liverpool buat pertama kalinya di atas Manchester United sejak bermulanya era EPL, bila mereka menduduki posisi ke-2 liga pada musim 2001/02 sementara Manchester United tempat ke-3.

Buat entah berapa kali harapan kembali bersinar di Anfield. Mickey Mouse Treble musim lepasnya dan mengatasi Manchester United kemudiannya. Pastinya musim depan menjanjikan kejuaraan liga buat Liverpool?

Arsenal muncul juara musim 2001/02, setelah 3 musim berikutnya berhempas pulas cuba merampas mahkota liga dari Manchester United.

Tapi Panas Yang Disangka Ke Petang, Rupanya Hujan Di Tengah Hari
Alex Ferguson jelas mempunyai kelebihan berbanding mana-mana pesaingnya yang pernah menghuni Anfield. Pertama, Ferguson mempunyai dana yang cukup untuk memperkuatkan skuad Red Devils. Kedua, Ferguson mempunyai deria yang baik untuk membuat pembelian yang bijak.

Rio Ferdinand dibawa masuk dengan nilai GBP29 juta dari Leeds United, yang ketika itu sedang menuju ambang kehancuran. Dan hanya dengan satu pembelian berprofil tinggi, Red Devils kembali muncul juara liga buat musim 2002/03, menafikan Arsenal yang muncul naib juara.

Liverpool kembali mencatat keputusan mengecewakan, jatuh tangga ke-5. Saat ini Manchester United sudah merangkul 15 kejuaraan liga, hanya 3 lagi untuk menyamai rekod Liverpool.

London Calling
Macam lagu The Clash. Untuk 3 musim berikutnya, trofi EPL kekal dalam kota London.

Transformasi Wenger dalam Arsenal menuju kemuncaknya pada musim 2003/04. The Gunners berubah menjadi The Invincibles, menang 26, seri 12 dan tidak kalah satu perlawanan pun untuk muncul juara liga.

Chelsea pula beralih ke era baru. Roman Abramovich muncul sebagai pemilik baru kelab ketika musim 2003/04. Musim berikutnya Abramovich membawa masuk Jose Mourinho, The Special One yang membawa Chelsea kepada kejuaraan liga 2 musim berturut pada 2004/05 dan 2005/06.

Di Anfield, Gerard Houllier mengundur diri pada 2004 dan tempat beliau diambil alih oleh Rafael Benitez. Liverpool muncul juara Champions League pada 2005 dan sekali lagi bibit-bibit harapan muncul di Anfield.

Manakala di Old Trafford, kemerosotan 3 musim digunakan Ferguson untuk merencana masa depan Manchester United. Cristiano Ronaldo dibawa masuk pada 2003 dengan harga hanya GBP12 juta. Wayne Rooney pula dibeli pada 2004 dengan harga GBP27 juta. Tidak ada siapa pun menyangka pada masa itu dua pemain muda ini akan memberi impak maksima beberapa tahun kemudian.

Mati Hidup Kembali
Macam lagu Butterfingers. Musim 2006/07 Manchester United merampas kejuaraan liga dari Chelsea. Cristiano Ronaldo dan Wayne Rooney mula menampakkan pulangan hasil pelaburan, masing-masing menjaringkan 23 gol dalam semua pertandingan pada musim tersebut.

Di Anfield, harapan yang dibawa oleh Benitez dengan trofi Champions League tahun 2005 masih belum menampakkan hasil. Biar Liverpool menduduki posisi ke-3 liga, mereka ketinggalan sejumlah 21 mata di belakang Red Devils yang menjulang kejuaraan liga ke-16 mereka.

Red Devils & The Blues
Musim 2007/08 menyaksikan persaingan di antara Manchester United, yang sedang berada di kemuncak, dengan Chelsea, yang di dalam krisis akibat pemergian Jose Mourinho.

Red Devils muncul juara liga buat kali ke-17 mengatasi The Blues yang hanya berpuas hati sebagai naib juara. Dalam arena Champions League, Red Devils sekali lagi menundukkan The Blues pada saingan akhir di Moscow selepas John Terry terpijak kulit pisang, khabarnya.

Liverpool menamatkan saingan liga di posisi ke-4. Kini Manchester United sudah memiliki 17 kejuaraan liga berbanding 18 milik Liverpool. Sama ada musim depan Red Devils bakal menyamai rekod, semuanya terpulang kepada The Reds sendiri.

Berat Mata Memandang, Berat Lagi Bahu Memikul
Musim 2008/09 adalah ‘do or die mission’ buat Liverpool. Rekod sejarah yang mereka banggakan selama ini bakal ternoda jika mereka gagal menghalang serangan gencar Red Devils.

Ogos 2008 menyaksikan Liverpool mendahului Manchester United. Menang 2 dan seri 1 dari 3 perlawanan meletakkan mereka selesa dengan 7 mata. Manchester United pula cuma bermain 2 perlawanan, seri dengan Newcastle United dan menang ke atas Portsmouth untuk mengutip 4 mata.

September 2008, Liverpool menewaskan Manchester United di Anfield 2-1. Mereka kemudian seri dengan Stoke City dan menang ke atas Everton. Manchester United pula seri dengan Chelsea selepas kekalahan di Anfield, kemudian menang ke atas Bolton Wanderers. Liverpool 14 mata, Manchester United 8.

Oktober 2008 Liverpool menang semua 4 perlawanan mereka bulan itu dan kekal pendahulu liga dengan 26 mata. Manchester United menang 3 dan seri 1 untuk mengutip 18 mata di penghujung Oktober. Lapan mata memisahkan mereka.

November 2008 menjelang tiba, Liverpool tunduk pada Tottenham Hotspur. Mereka menang 2 perlawanan berikutnya sebelum seri tanpa jaringan dengan Fulham. Manchester United pula menang 3, seri 1 dan kalah kepada Arsenal sepanjang November. Liverpool 33 mata, Manchester United 28 mata, tinggal 5 perbezaan mata.

Bulan terakhir tahun 2008, Disember padat seperti biasa dengan perlawanan, Krismas dan Boxing Day. Dari 6 perlawanan Liverpool menang 3 dan seri 3 untuk mengutip 12 mata dan menjadikan pungutan mata setakat ini sebanyak 45. Manchester United pula menang 3 dan seri 1 dari 4 perlawanan, sibuk dengan kejuaraan kelab dunia, menjadikan kutipan mata mereka 38.

Januari 2009 menyaksikan Manchester United bermain 4 perlawanan dan menang kesemuanya. Liverpool pula sekadar 3 perlawanan, semuanya berakhir dengan seri. Manchester United 50, Liverpool 48. Dalam tempoh sebulan kelebihan 7 mata Liverpool telah diatasi.

Rafael Benitez, “18 kejuaraan liga dan itu ialah FAKTA”.

Februari 2009, Manchester United meneruskan kecemerlangan, 4 perlawanan dan menang semuanya sekali lagi. Liverpool pula menang 2, seri 1 dan kalah kepada Middlesbrough 2-0. Manchester United 62, Liverpool 55. Kini Manchester United pula mendahului dengan 7 mata. Apa sudah jadi?

Rafael Benitez, “18 kejuaraan liga dan itu ialah FAKTA”.

Bulan Mac membuka tirai, Liverpool menang semua 3 perlawanan, paling manis menundukkan Manchester United 1-4 di Old Trafford. Manchester United cuma menang 1, mereka juga tewas kepada Fulham 0-2 selain dari kekalahan pada Liverpool. Manchester United 65, Liverpool 64.

Rafael Benitez, “18 kejuaraan liga dan itu ialah FAKTA”. Sambil menarik nafas lega.

April, Manchester United menemui kegemilangan, menang semua 4 perlawanan. Liverpool cuma menang 3, mereka diikat 4-4 oleh Arsenal di Anfield. Manchester United 77, Liverpool 74.

Rafael Benitez terdiam.

Bulan Mei 2009, EPL bakal melabuhkan tirai. Liverpool telah bermain 34 perlawanan dan cuma berbaki 4 sahaja lagi. Tapi Manchester United masih berbaki 5 perlawanan dan mendahului dengan 3 mata.

Liverpool menang semua perlawanan terakhir mereka untuk menamatkan kempen dengan 86 mata. Manchester United menewaskan Middlesbrough 0-2, Manchester City 2-0, Wigan Athletic 1-2, seri dengan Arsenal 0-0 kemudian menang ke atas Hull City 0-1. Red Devils muncul juara liga dengan 90 mata, kejuaraan liga ke-18 mereka.

Peminat Red Devils, “18 kejuaran liga dan itu juga, ialah FAKTA”.

Alex Ferguson, lelaki dari Aberdeen yang pernah dikenali dengan jolokan Furious Fergie telah mencapai matlamatnya, “to knock Liverpool off their fucking perch”.

(Esok: Epilog artikel ini dan prebiu Liverpool lawan Chelsea)
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...