Memaparkan catatan dengan label Mari belajar adik adik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Mari belajar adik adik. Papar semua catatan
25

Siri Bercakap Dengan Setan : JDT FC - Asas Pemahaman Dan Impak Kepada Persekitaran Sejagat (Bahagian 2)



Entri SBDS ini panjang sebenarnya. Namun pihak rakan pengulas sepakat mencadangkan aku pecahkan kepada beberapa bahagian. Bersambung dari bahagian SATU :

*Ritual memanggil Encik Setan*


Encik Setan: Hai bang. Berjumpa lagi kita. Nah aku payung dam sebalut. Ok. Kenapa logo JDT FC ada tiga bintang? Logo Johor FC dan PKENJ FC takde bintang pun. Cedok dari Johor FA punya piala ke?

Terima kasih. For the start, siapa yang kata bintang tu sebab menang piala? Siapa? Kalau macam tu, Selangor dah menang berpuluh piala maknanya berpuluh bintang la kena bubuh? Pihak JDT atau pemiliknya Johor Corp tak pernah kata bintang kat logo JDT tu bintang menang piala. Kau tahu ke tidak?

Ketika bergelar PKENJ FC dan Johor FC, kelab pernah memenangi beberapa piala bermula dengan Piala Sultan Johor (1988) yang melayakkan mereka untuk bermain Liga FAM. Seterusnya menang pula Liga FAM (1994 & 1995) dan menjuarai Liga Perdana 2 pada tahun 1997 dan 2001. Belum pernah menang sebarang piala utama pun.

Johor FA pula pernah menang 2 kali sahaja Piala Malaysia (1985 & 1991), Liga perdana 1 (1991) dan Piala FA (1998). Setakat yang aku tahu, 3 bintang tu sebab 3 kali perubahan yang pernah dialami kelab iaitu dari zaman PKENJ FC, Johor FC dan terkini JDT FC. Itu sahaja.

Dan ya, sejak bila orang Malaysia ni sibuk sangat pasal bintang kat logo? Dan ramai jadikan point ni (bintang di logo), untuk benci JDT. Dulu Kelantan kena pasal ni dan sekarang JDT. Apa yang kau sakit hati sangat pasal bintang kat logo? Kau tak penat ke benci kesumat hanya sebab bintang kat logo? Get a life, satan!

Encik Setan: Jangan marah aku bang. Aku setan. Dengki mendengki ni memang kerja aku. Beberapa kelab seperti MP Muar dan MBJB FC di lingkupkan. Apa komen kau?

Bukan di lingkupkan. Kelab kelab itu masih ada cuma tidak di ketengahkan macam dulu. Aku pun tak setuju pasal ni pada mulanya. Aku risau tak berbaloi. Alasan mereka untuk rakyat Johor bersatu. Hakikatnya memang semenjak kejayaan double (Menang liga dan Piala Malaysia) oleh Johor FA pada 1991, kemeriahan bolasepak di negeri Johor beransur hilang. Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) macam tak berfungsi. Bak kata orang lama lama, ‘kau ni mati lagi baik’.

Aku nak tekankan kat sini, masa game final Piala Malaysia 1991 antara Johor FA lawan Selangor FA, aku datang stadium. Kau ada? Walaupun masa tu aku sekolah rendah lagi. Aku masih ingat macam mana kemeriahan dan suasana dalam stadium zaman tu. Dasat sungguh. Johor menang dan Boban score hatrik malam tu. Peh, inzal gila babi.

Kemeriahan era tersebut  dah lama sangat aku tak rasa. Dah lebih 20 tahun. Sehinggalah transformasi di lakukan oleh TMJ (Tengku Mahkota Johor) bermula 2012. Bila pergi stadium sekarang, kadang kadang sampai kena tengok bola sambil berdiri sebab stadium penuh. Kat tangga pun tak boleh duduk! Mengingatkan aku tentang kemeriahan pada era di awal 90-an.

Mungkin langkah tu ramai tak suka (termasuk aku). Dan memang bukan semua langkah tranformasi baru ni aku setuju. Beli Safiq Rahim dan jadikan kapten, lagi lah aku tak setuju. Tapi aku tak boleh tolak kemeriahan bolasepak Johor kini benar benar kembali. Bukankah tu lebih penting? No pain, no gain.


Sekadar hiasan.

Sebenarnya sedari awal tranformasi, pertandingan bolasepak di bawah anjuran PBNJ telah meningkat secara mendadak. Pelbagai pertandingan untuk pelbagai lapisan peringkat umur gigih dilakukan. Bolasepak menjadi fenomena di negeri Johor. Semua marhain nak main bola!

Dan aku harap, jika dilihat dari momentum ini, selepas ini akan terbit lebih banyak kelab bolasepak dari Johor. Cuma ya. Buat masa ini JDT FC dan Johor FA lebih diketengahkan berbanding yang lain. Tapi usaha pembangunan akar umbi tu tetap giat dilaksanakan. Apa lagi kau nak kutuk?

Encik Setan: Kutuk orang memang makanan aku bang. Padahal aku pergi stadium pun kadang kadang. Kah kah kah. (Ketawa panjang). Next question, Sokernet bukan benci orang Johor ke bang? Ke kau baru campur Sokernet?

Kami ada berbincang sesama admin pasal benda ni. Kami sepakat, sentimen ‘orang baru, orang lama’ ni benda bangang. Personally, masa aku start follow blog Sokernet dulu, follower tak sampai seratus pun lagi. Pengulas baru lain pun lebih kurang sama. Tapi tak terdetik pulak kami nak mengaku sebagai ‘orang lama’.

Bila Sokernet buka peluang melalui Sokernet Angkuh 2013, kami berani hantar artikel. Kami masuk secara gentlement. Kami pengulas baru memang tak pernah maki entri sesiapa. Zaman awal Sokernet dulu follower menghormati hasil usaha pengulas. Segala benda di bincang secara matang. Kau handal sangat? Hantar artikel sini. Ni simpan punai dalam kerandut apa kau dapat?

Orang (biasanya follower baru) salah anggap ingatkan Sokernet kenegerian, anti itu dan ini. Contoh mudah begini, Sokernet selalu bahan Liverpool dan Kelantan dulu. Tapi adakah ini bermakna Sokernet anti Liverpool dan Kelantan? Jika begitu, macam mana boleh ada pengulas Liverpool dan Kelantan dalam Sokernet? Cuba kau pikir dari situ.

Dan jika Sokernet anti Johor, macam mana aku orang Johor boleh menulis kat sini. Malah tak silap aku pengulas dari Johor paling ramai dalam Sokernet.

Sokernet bermula sebagai suatu medan wacana bolasepak yang disampaikan secara sarkastik(sarcasm). Zaman tu semuanya disampaikan secara humor, berkias dan diselaputi gurauan. Semua orang suka. Dan aku tak nafikan dari gurauan sarkastik, Sokernet pernah berubah (bukan semua) menjadi lebih hitam. Gurauan sarkastik berubah kepada penghinaan dan makian secara langsung dan pada aku, sejak detik itulah Sokernet tenggelam.

Sebenarnya kami berusaha untuk kembali menjadi Sokernet asal sambil serap input baru yang dirasakan sesuai. Benda tu mungkin ambil masa dan usaha yang tinggi. Bak kata Metallica, Enter Sandman. Boleh gitu?

Dulu punya Metallica.

Encik Setan: Boleh agaknya. Baik brader. Aku ni nama pun dah setan. Melayu pulak tu. Bastard Combo. Apa kau harap bagi penerangan panjang lebar begini?

Secara ikhlas, aku tak harap apa pun. Idea asalnya general baru Sokernet (Danny Armando) berasakan perlu ada entri yang back up JDT. Sebab sekarang senario pun dah macam bongok. Tak kisahlah kau nak benci JDT sekalipun, tapi ada yang siap benci orang Johor pulak.

Jika kau tak mampu tolak perasaan kenegerian dan suku bangsa dalam diri kau, itu hak kau. Tapi rugilah jika kau lahir sebagai orang Islam. Sebab dalam Islam, hanya iman membezakan kita. Tiada yang lain. Di Sokernet, kami anti kenegerian dan anti perkauman. Tak suka? Jangan masuk blog ni.

Kau berhak nak bagi pendapat apa sekalipun, dan aku berhak nak bagi pendapat aku. Man man. Cuma sebenarnya kami lebih galakkan lebih ramai follower lebih berani hantar artikel ke sini. Tapi kau tak bolehlah. Kau setan.

Alamak. Aku ada hal mustahak. Jumpa kau lain hari!

Encik Setan : Ahhh. Balas dendam....




Bersambung~~~~ 

35

Siri Bercakap Dengan Setan : JDT FC - Asas Pemahaman Dan Impak Kepada Persekitaran Sejagat (Bahagian 1)

racYnc Selasa, Oktober 08, 2013 ,


Pencapaian 2013 
Liga Super : Tempat Ketiga
Piala FA    : Naib Juara
Piala Malaysia : Suku Akhir

Inilah pencapaian untuk musim sulung kepada sebuah kelab bolasepak yang mencetus fenomena ke seluruh pelusuk alam semesta dewata raya, Kelab Bolasepak Johor Darul Takzim (JDT FC). Pencapaian yang sebenarnya agak cemerlang dari sebuah kelab bolasepak yang baru melalui transisi baru buat musim yang pertama.


*Ritual memanggil Encik Setan*

Encik Setan : Hai brader. Ok, JDT ni pasukan baru kan?

Begini encik Setan. Kelab bolasepak ini sudah lama ditubuhkan tetapi nama JDT FC itu baru diperkenalkan utuk musim bolasepak 2013. Pasukan ini telah ditubuhkan sedari tahun 1972 oleh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Johor (PKENJ).

Namun pada awalnya, kelab ini diberi nama PKENJ FC, selaras dengan nama majikan dia. Sehinggalah pada akhir 1995, syarikat PKENJ telah bertukar nama kepada Johor Corporation (kekal sampai sekarang) dan PKENJ FC pula telah bertukar nama kepada Johor FC. Kira ikut majikan dia yang bertukar nama lah. 

Pencapaian di bawah nama Johor FC lebih membanggakan. Bermula dari liga pencacai iaitu Liga FAM, Johor FC terus melangkah maju dengan menjadi pasukan bolasepak pertama berstatus kelab yang layak bertanding di dalam Liga Perdana 2 (nama lama Liga Premier) pada tahun 1997. 

Johor FC juga menjadi pasukan berstatus kelab pertama yang layak sehingga ke peringkat suku akhir Piala Malaysia iaitu pada tahun 2000. Masa ni kelab bolasepak lain macam ATM FC ke, PKNS FC ke, semuanya masih kucing kurap lagi. Johor FA pun pada zaman ni boleh tahan barai dia.

Seterusnya pada tahun 2002, Johor FC meneruskan rentak bergaya apabila layak untuk bertanding dalam Liga Perdana 1 (nama lama Liga Super). Pencapaian terbaik kelab ini adalah pada tahun 2008 apabila Johor FC berjaya menduduki tempat ke empat dalam Liga Super dan melangkah sehingga ke separuh akhir Piala Malaysia. 

Masa game separuh akhir Piala Malaysia dekat stadium Pasir Gudang tu aku datang tengok. Dah lah tengok bola sambil berhujan, kalah pulak tu. Karipap betul!!

Encik Setan : Rilek brader. PKENJ atau Johor Corporation ni apa benda?

Bagus soalan tu. Ingatkan kau bodoh. PKENJ (kini Johor Corp) merupakan pemilik kepada JDT FC. Aku cerita mudah. Kenal PKNS FC? Kelab tu pulak milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Lebih kurang macam tu lah.

Cuma bezanya Johor Corp ni syarikat besar dan merupakan satu-satunya perbadanan pembangunan ekonomi negeri yang mempunyai perniagaan yang dilebarkan sehingga ke negeri lain. Antara syarikat terbitan awam di bawah Johor Corp adalah:

- Kulim Malaysia Berhad (Perladangan), 
- KPJ Healthcare Berhad (Kesihatan), 
- Johor Land Berhad (Pembangunan Hartanah),
- QSR Brand Berhad (F&B, pemilik KFC dan Pizza Hut)

Keuntungan Johor Corp mencecah berbilion ringgit setiap tahun. Sebab tu JDT FC banyak duit. Sebab pemilik dia dah memang kaya raya. 'Kalau aku kayaaa, hari hari hari rayaaa..' (Terkumat kamit)

Encik Setan : Nak nyanyi pergi karaoke la brader. Apehal Johor Corp power sangat? Biasanya syarikat seliaan kerajaan negeri ni serupa gampang dia punya pergi.  

Macam ni encik Setan. Negeri lain aku tak tahu sistem dia macam mana. Tapi di negeri Johor, Johor Corp ni payung dia besar. Shadow di belakang mereka adalah Kesultanan Johor sendiri. Sebab tu Johor Corp ni memang ketara dalam menjaga kepentingan orang Melayu. 

Sebagai contoh, kalau kau tengok segala projek berkaitan Johor Corp seperti di Pasir Gudang, ianya lebih berkonsepkan mesra Melayu. Malah majoriti kakitangan Johor Corp juga adalah anak Melayu.

Cerita mudah, ‘payung besar’ ini antara sebab kenapa Johor Corp menjadi perbadanan ekonomi negeri yang sangat berjaya dan megah. Aku nak cerita Johor Corp ni memang milik Kesultanan Johor kang ada yang meroyan cakap aku melampau. Tapi itulah hakikatnya.

Encik Setan : Ahhhh!! JDT pasukan palsu kan? Pasukan palsu!!!!

Amboi marah nampak. Aku penampar karang terperosok kau bawah meja nanti! (Wajah serius)

Encik Setan : Sori bang, sori. Ok aku tanya sopan. JDT FC ni pasukan palsu kan?

Terpulang pada akal kau. Jika JDT FC pasukan palsu, maknanya Johor FC juga adalah pasukan palsu. Sebab nama asal JDT FC adalah PKENJ FC. Bukan pertama kali pasukan ini bertukar nama.

Segala idea menukar nama kelab dan segala tranformasi besar besaran kelab ini dilakukan oleh pemilik kelab itu sendiri iaitu Johor Corp, melalui wakil dari pihak Kesultanan Johor (pemilik Johor Corp) iaitu Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail.

Senang cerita, itu kelab dia. Suka hati dia lah nak buat menda. Untuk aku, JDT FC adalah sebuah kelab yang ditubuhkan sejak tahun 1972 dan kini dimodenkan oleh pemilik mereka. Aku tak rasa palsu kat situ.

Walaupun aku memang sayang dan peminat tegar Johor FC. Tapi baik PKENJ FC, Johor FC dan terkini JDT FC, semua ni kelab yang sama dan pemiliknya juga masih sama. Kalau kau tak setuju, sila pergi jahanam.

Semangat baru dari sebuah kelab lama.
  

Encik Setan : Kenapa tak bangunkan Johor FA, kenapa kacau Johor FC?

Encik Setan, semenjak kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar, Tunku Ismail selaku Tengku Mahkota Johor yang baharu mengambil langkah drastik untuk ‘bersahabat’ dengan rakyat. Jadi beliau memilih untuk membangunkan sukan yang paling menjadi kegilaan rakyat iaitu bola sepak.

Johor FA turut mendapat tempias besar dalam proses transformasi ini, tapi baginda mengambil langkah bijak dengan mengutamakan kelab berbanding persatuan negeri. Kerana target baginda bukan setakat kejohanan di dalam Malaysia sahaja, malah ingin berjaya sehingga ke peringkat Asia (AFC Champions League).

Di peringkat Asia, pasukan bolasepak yang hebat terdiri dari pasukan berstatus kelab, bukan persatuan negeri tau encik Setan. Kau tahu ke tidak? Contohnya, Pohang Steelers, Seoul FC, Al Ittihad FC, Ulsan Hyundai dan banyak lagi.

Di peringkat eropah pula, pasukan bolasepak hebat seperti Tottenham Hotspurs, Real Madrid, AC Milan dan Borrusia Dortmund contohnya, juga adalah pasukan berstatus kelab, bukan pasukan persatuan negeri. 

Maka, nak maju kena lah naikkan kelab, bukan persatuan negeri. Ke macam mana?

Encik Setan : Betul jugak tu. Sambung hari lain bang. Saya tengah banyak job nak hasut manusia ni.

Leceh lah kau ni. Busy betul.



Bersambung...




* Hai. Saya racync. Penulis dari Gelang Patah yang meminati pasukan kelahiran saya iaitu Johor dan pasukan Kelantan. Pemain kegemaran saya pula ialah Idris Karim, Piya, Zairo, Alex dan ramai lagi. Salam hormat. Jumpa lagi. XOXO

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...