![]() |
| Membincangkan hal ehwal sukan negara, dari kiri - Akbar Sahari, Lucius Maximus, Khawari Isa & Rizal Hashim |
Perihal masuk TV ini benda yang berlaku kepada ramai orang hampir setiap hari. Dan setiap hari jugalah kita akan buka TV dan nampak ada orang bercakap dalam TV. Ada yang cakapnya petah, ada juga yang cakapnya biasa-biasa saja dan kadangkala kita akan tertengok orang yang langsung tak boleh bercakap melainkan 'ya' atau 'tidak' bila di dalam TV.
Bagi aku, masuk TV ini memang belum pernah dibuat lagi. Tak macam menulis yang memang sudah menjadi asam garam bagi aku. Jadi pada hari Khamis minggu sudah bila Rozaini, seorang penerbit di Astro Arena telefon aku untuk memaklumkan jemputan ke Kafe Sukan, aku kena fikir mahu 2 ke 3 kali juga.
Tapi yang sebenarnya aku fikir hanya dalam sekali. Selepas berbual di telefon aku minta pihak Astro Arena kirim emel berkenaan topik yang bakal menjadi bualan dalam Kafe Sukan nanti. Tajuk topik berbunyi 'Lanskap Media Baru: Sejauh mana penggiat sukan terima pandangan peminat'. Bakal turut serta dalam bual bicara nanti ialah pengacara Akbar Sahari, Presiden SAM yakni Khawari Isa dan tidak lain lagi blogger sukan, Rizal Hashim. Selepas menerima emel dari pihak Astro Arena aku dengan pantas jawab setuju untuk hadir dalam rancangan Kafe Sukan.
Jemputan ke Kafe Sukan ini sebenarnya memang secara kebetulan sedang elok dengan rancangan aku mahu balik bercuti di Kuala Lumpur. Kalau tidak kerana aku memang merancang mahu balik dari awal lagi, memang susah untuk aku balik semata-mata kerana Kafe Sukan. Dan hal jemputan Kafe Sukan ini turut dibawa ke perhatian sidang majlis tertinggi Sokernet, kerana aku mewakili Sokernet maka ada baiknya juga kalau didapatkan dulu persetujuan dari ahli-ahli Sokernet yang bukan sikit bilangannya.
Bila tiba hari yang dijanjikan, yakni petang Isnin bertarikh 12 Disember, aku hadir diiringi seorang lagi rakan Sokernet merangkap pemilik DuBook Press yang bertanggungjawab menerbitkan buku Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia. Duduk di dalam studio Kafe Sukan, memang tipulah kalau aku cakap tidak merasa gabra dan gugup. Walaupun ini hanya sesi rakaman, tapi ianya boleh dikatakan 'live recording' di mana perbincangan dijalankan secara terus menerus dan spontan. Memanglah tidak dipancarkan terus ke seluruh kaca TV di Malaysia, tapi 3 biji kamera besar gabak yang menghala ke arah kami berempat sudah cukup buat aku tak berapa tenteram.
Rakaman berjalan lancar. Akbar Sahari selaku pengacara macam biasa tahu mengawal rentak dan halatuju perbincangan. Khawari Isa selaku Presiden SAM adalah lawan atau kontra kepada hujah-hujah aku dalam perbincangan. Sementara Rizal Hashim pula lebih kepada pihak tengah mengambil kira bahawa beliau dulu seorang wartawan sukan dan kini lebih pula kepada blogger sukan. Aku yang kali pertama masuk TV berkelakuan macam kebanyakan orang yang kali pertama masuk TV. Nasib baik boleh juga bercakap walau gugup dan sangkut-sangkut, daripada jadi batu dan hanya mampu keluar sepatah bila ditanya 10 patah.
Bercakap depan TV di dalam sebuah rancangan sukan nasional memanglah perlu untuk kita menjaga adab dan tingkah laku. Tapi aku cuba berlaku sejujur mungkin dan mengembangkan aura Sokernet selaku laman web bolasepak rasmi dunia yang, well you know how it is. Dan walaupun banyak dibingkas oleh brader Khawari Isa yang berjaket kulit, aku cuba juga mempertahankan prinsip dan pandangan aku serta Sokernet.
Di penghujung rancangan, kita bersetuju untuk tidak bersetuju. Pokok pangkalnya setiap pihak ada cara tersendiri tetapi matlamat kita semua, baik wartawan sukan atau blogger sukan, penyokong atau peminat mahupun yang Ultra atau biasa-biasa saja, adalah untuk melihat sukan di Malaysia berkembang maju dengan jayanya.
Maaf Footie Friday kali ini agak jinak nadanya. Aku masih lagi mengalami trauma masuk TV. Dan disebabkan Rizal Hashim, aku pun terasa nak masuk TV banyak kali lagi ;)
LANGGANI RSS KAMI























