ANDA SEDANG MEMBACA

2

BELASUNGKAWA 56 TAHUN-HERO TIDAK DIDENDANG

Unknown Isnin, Ogos 05, 2013
Terlebih dahulu, untuk pengetahuan, artikel ini ditulis oleh saudara Yusof Mohamed Salleh yang sudi berkongsi artikelnya di Sokernet.

---------------------



Para peminat bola sepak tentunya tahu tentang "Tragedi Munich" yang mengorbankan 23 nyawa daripada 44 penumpang BEA Penerbangan 609. Tragedi melibatkan para pemain Manchester United yang lebih popular dengan nama jolokan "The Busby Babes" pada ketika itu berlaku pada tanggal 6 Februari 1958 di mana kapal terbang yang membawa para pemain, penyokong dan pegawai pasukan terhempas ketika hendak berlepas. Akan tetapi, tahukah anda, tentang tragedi tempatan yang berlaku kurang setahun daripada peristiwa itu?

Hari Jumaat, 2 Ogos 1957 menemukan dua pasukan utara tanah air dalam pertembungan Malaya Cup zon A. Pasukan Perak berangkat ke negeri Perlis dengan menaiki beberapa buah kereta bersama sama pemain dan pegawai pasukan dengan misi membawa kemenangan ke Ipoh tanpa mengetahui malapetaka yang akan mereka tempuhi. Sejurus selepas perlawanan tamat, skuad Perak memulakan perjalanan pulang dari Kangar dengan kereta yang mereka naiki tadi. Malang tidak berbau, kenderaan yang dinaiki enam orang pemain, Yip Wan Thoong, Wan Tai Thoong, Ng Pooi Wah, Chan Peng Lum, Ahmad Daniel dan kapten pasukan Lee Sai Chong, seorang pegawai kastam berumur 30 tahun mengalami kemalangan di Bagan Serai yang mengakibatkan kematian Yip Wan Thoong, Wan Tai Thoong dan Ng Pooi Wah pada hari Isnin, 5 Ogos 1957 di Hospital Taiping manakala tiga lagi cedera parah.

Situasi sebegini biasanya akan mengakibatkan sesebuah pasukan lumpuh, akibat hilangnya pemain pemain utama tetapi tidak bagi sebuah pasukan yang penuh dengan warna warni- Perak FA. Tepat dua bulan selepas pemergian Ng Pooi Wah iaitu pada 5 Oktober 1957, Perak mengesahkan tiket ke perlawanan akhir Malaya Cup dengan membenam pasukan Kelantan 6-1 di Padang Dewan Perhimpunan Cina di Ipoh. Ketika itu pasukan Perak hanya turun dengan seorang pemain berbangsa Melayu manakala Kelantan pula hanya seorang sahaja bukan Melayu. Wong Kong Leong, pemain sayap kiri berusia 20 tahun menjadi hero Perak pada perlawanan tersebut apabila menyumbat hatrik (13', 60', 70') dan mencipta ketiga tiga ruang bagi Ramadass Rao (18',75') dan Loh Kam Fook (46'). Pada ketika itu 7 daripada 11 pemain utama Perak adalah berbangsa Cina, membuktikan penguasaan Perak Chinese Recreation Club yang ditubuhkan seawal 1913 oleh Dr KT Khong dan Chung Thye Pin, Kapitan China terakhir Perak dan Malaya yang juga merupakan anak kepada pemimpin kumpulan Hai San dalam sukan bola sepak di negeri ini. Mungkin pemilihan tersebut berdasarkan merit Kelab PCRC yang memenangi Liga Ipoh pada tahun sebelumnya. Ironinya, hanya seorang saja pemain berbangsa Cina yang bermain dalam skuad liga super dan Piala Presiden Perak kini, itupun kedua duanya datang dari luar negeri. Begitu juga dengan kelab yang ditubuhkan 9 Jun 1906, Kinta Indian Association (KIA) yang dahulunya melahirkan pemain berkualiti seperti Nanthakumar Kaliappan dan mungkin juga Ramadass Rao perlu lebih proaktif dalam melahirkan bakat bakat baru di dalam negeri. Skuad Perak telah lama mengamalkan konsep 1 Malaysia lama sebelum pengenalannya oleh Perdana Menteri.

Dalam perlawanan Malaya Cup 1957 di Stadium Merdeka, Perak berjaya menjulang Piala Malaysia buat kali ketiga sekaligus bergelar pasukan pertama memenangi Piala Malaya selepas era kemerdekaan negara setelah menundukkan pasukan Selangor 3-2. Pemain muda berusia 18 tahun, Ramadass Rao menjaringkan dua gol dalam perlawanan tersebut sebelum kedudukan disamakan menjadi 2-2 oleh pemain Selangor. Pemain terbaik perlawanan sebelum ini, Wong Kong Leong membuktikan bisanya apabila meledak gol kemenangan bagi membolehkan Perak menjulang Piala yang paling lama dipertandingkan di benua Asia ini.

Di tarikh yang sama dan hari yang sama dengan tragedi ini, #050857-ISNIN, setulus ingatan bagi mereka yang terkorban dalam kemalangan 56 tahun lepas dan tidak lupa juga bagi hero hero yang berjuang untuk kemenangan pasukan.

Terima kasih National Library Singapore yang membekalkan info untuk tulisan ini, buku IPOH: When Tin Was King oleh Tak Ming Ho dan juga hasil kajian Refugee Review Tribunal Australia. Gambar ehsan HangPC Dua Malaya di google.


2 Ulasan:

Apostolos Velios berkata...

Perak lintau ??? Khalid Jamlus dan Shahrulnizam Mustapha (kapten) promo dari kelab ni.

zaileefd2 berkata...

Don't mess with the yob

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...