Memaparkan catatan dengan label kelab punk. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kelab punk. Papar semua catatan
39

Lu Ingat Kelab Lu Sayap Kiri Dan Punk? Nampak Sangat Lu Belum Kenal FC St Pauli

LuciusMaximus Selasa, Ogos 24, 2010 , , ,

Soalan yang mungkin timbul sebelum kita mengenali FC St Pauli ini lebih lanjut. Siapa FC St Pauli ni sebenarnya? Kelab mana? Siapa pemain bintang dia? Berapa kali dah menang Champions League? Bersejarah macam Liverpool ke?

Layan video dulu.



FC St Pauli ini kalau kita nak menilai dia dari segi bagaimana kita suka menilai kelab-kelab Big 4 di England, atau Real Madrid dan Barcelona mahupun AC Milan dan Internazionale, memanglah jauhnya seperti langit dengan bumi. Tapi ada satu perkara yang menjadikan St Pauli ini unik dan mempunyai jutaan peminat dari seluruh dunia, tetapi perkara itu bukanlah berapa banyak trofi sudah dimenanginya atau siapa pemain ternama yang menyarung jersi St Pauli.

Sebaliknya, St Pauli ini menjadi ikutan jutaan peminat bolasepak kerana statusnya sebagai sebuah kelab ‘kult’ atau dalam bahasa omputih, ‘cult’. Lupakan AS Roma dan sayap kiri mereka, atau Liverpool dan kelas pekerja, St Pauli jauh lebih proletariat dan sosialis dari kelab-kelab tersebut.

FC St Pauli adalah sebuah kelab bolasepak Jerman yang bertapak dalam daerah St Pauli di bandaraya Hamburg. Sebenarnya kelab ini bukan saja bergiat dalam sukan bolasepak, tetapi juga sukan-sukan lain. Bagaimanapun dalam bolasepaklah St Pauli menjadi ikutan meluas seluruh dunia.


Ditubuhkan pada tahun 1910 (tetapi mereka lebih suka memanggilnya sebagai Non established since 1910), tahun ini merupakan ulangtahun ke-100 St Pauli. Musim 2010/11 juga sangat bermakna kerana ia merupakan detik kembalinya semula St Pauli ke dalam Bundesliga selepas 8 tahun menghilangkan diri bermain di liga bawahan bolasepak Jerman.

Pada dekad 1980-an, sesuai dengan lokasi kelab ini yang terletak berdekatan Reeperbahn (sebuah kawasan pelacuran terkenal Eropah), St Pauli melalui revolusi social yang ketara. Elemen politik berhaluan kiri, fahaman anti fasis, budaya punk atau mana-mana subculture yang lain menular dalam kelab ini. Ketika bolasepak Eropah dilanda fahaman Nazisme dan perkauman, St Pauli berdiri gagah dengan slogan ‘Gegen Nazis’ mereka.


Elemen kiri dan subculture ini membawa St Pauli ke arah budaya yang lebih progresif. Mereka dikenali ramai sebagai anti perkauman, anti seksisme dan anti homofobik. St Pauli dilihat sebagai simbol sebuah kelab yang anti kapitalisme dan sebaik mungkin menolak sebarang unsur komersial yang melampau. Keterbukaan mereka dalam menerima perbezaan jantina juga meletakkan St Pauli sebagai antara kelab yang mempunyai paling ramai peminat wanita.

Dan penerapan nilai-nilai ini semua sangat jelas dalam pengurusan harian St Pauli. Nama stadium mereka ditukar kepada Millerntor-Stadion, setelah nama asal dari bekas presiden kelab bernama Wilhelm Kock ditolah kerana pernah terlibat dengan parti Nazi. Corny Littman, satu masa dulu presiden kelab merupakan presiden kelab bolasepak pertama yang secara terang-terangan mengaku gay. Dan pengurus mereka, Holger Stanislawski adalah bekas pemain St Pauli serta popular di kalangan peminat sebagai seorang yang anti komersialisme, sentiasa turun ke padang dengan seluar jeans, t-shirt, jersi atau memakai jaket. Pakai sut macam Jose Mourinho? Dah kira sell out!


St Pauli memulakan perlawanan liga mereka dengan lagu iringan Hell’s Bell oleh AC/DC dan meraikan setiap jaringan gol dengan lagu Song 2 oleh Blur. Asian Dub Foundation, Turbonegro, Bad Religion, KMFDM dan Sigur Ros semua pernah menghasilkan lagu mengenai St Pauli atau menyarung jersi dan t-shirt St Pauli dalam pertunjukan mereka.

St Pauli tidak pernah menang apa-apa trofi dalam bolasepak Jerman, tetapi tetap menjadi ikutan ramai peminat bolasepak. Bak kata peminatnya, “St Pauli adalah cara hidup. Kami bukan kelab yang mahu membuat duit, kami hanya sukakan bolasepak.”

Cara hidup, sukakan bolasepak dan penerapan pegangan progresif.

FC St Pauli.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...