Ayam tambatan Red Devils
Aidiladha baru saja berlabuh pergi. Ramai juga yang berkesempatan melaksanakan ibadah korban, sementara yang tidak berkesempatan turut berkorban diet dengan memakan daging korban atau berkorban masa dengan memandu 20 kilometer sejam di lebuhraya bertol ciptaan kerajan Barisan Nasional. Semua ini manifestasi korban sebenarnya. Berkorban dalam melakukan perjuangan menentang kuasa kejahatan dan hasutan syaitan.
Sesungguhnya perjuangan menentang kuasa kejahatan tidak akan pernah mengenal erti sudah. Chelsea contohnya, sebagai kelab Harapan Terakhir Umat Manusia, masih terus berjuang menegakkan yang hak dan menghancurkan yang batil walaupun sudah menjulang Champions League. Usaha menentang kuasa kejahatan, hasutan syaitan, perancangan Illuminati tahap tertinggi mahu pun komplot sulit Freemason mesti berterusan kerana umat manusia tidak mempunyai harapan lain melainkan kepada singa-singa Aslan dari Chelsea.
Ya. Tak akan lah kita nak harapkan Arsenal yang terlalu lemah dan naif? Sekonyong-konyong ayam tambatan RVP mereka berjaya ditarik sebegitu mudah masuk ke ruang angkasa syaitan. Nak harapkan Liverpool? Kah kah kah!
Maka tidak hairanlah pertembungan kuasa baik dan jahat malam tadi disaksikan penuh debar oleh penyokong Arsenal, Liverpool dan QPR. Semua mengharapkan Chelsea untuk menang kerana mereka sudah putus asa dengan janji sia-sia pasukan masing-masing.
Tetapi Manchester United seperti biasa turun dengan segala armada kegelapan mereka. Tidak cukup dengan tentera berpakaian alas meja, Alex Ferguson turut membawa masuk ayam tambatan baru Red Devils, Mark Clattenburg.
Ini tidaklah menghairankan sebenarnya. Manchester United tidak pernah menang perlawanan EPL di Stamford Bridge sejak kali terakhir pada April 2002. Chelsea juga merupakan satu-satunya pasukan dalam sejarah EPL yang mencatat lebih banyak kemenangan (13) berbanding kekalahan (12) dalam menentang Manchester United. Patutlah Alex Ferguson membawa pemain kesayangan beliau Mark Clattenburg dalam kunjungan kali ini.
Seperti biasa, kuasa kejahatan terus terlebih dulu menguasai pertarungan. Dalam tempoh 12 minit mereka sudah pun 2 gol di hadapan, itu pun terima kasih kepada bantuan David Luiz berambut singa dan seekor Judas dari Arsenal. Tapi tidaklah Chelsea bergelar juara Eropah dan pemusnah Barcelona jika tidak boleh bangkit kembali.
Gabungan trisakti di bahagian tengah terdiri dari Hazard-Oscar-Mata menghidupkan persefahaman jitu mereka lantas membuatkan Wayne Rooney kelihatan seperti Fakri Saarani. Red Devils tertekan dalam asakan bertali arus, terpukau dengan corak permainan yang tidak mengharapkan bantuan pengadil atau penjaga garisan. Nasib baik kecemerlangan De Gea sedikit sebanyak membantu mempertahankan ruang angkasa syaitan dari dibolosi.
Namun tidak lama. Melalui satu aksi sepakan percuma yang hanya boleh kita lakukan dengan bantuan mesin bernama PS3, Mata memperdaya De Gea untuk merapatkan jurang. Kemudian masuk waktu rehat dan apabila perlawanan kembali bersambung, Ramires pula mengikat kedudukan 2-2. Peminat Liverpool dan Arsenal semua bangun bersorak.
Kemudian, di saat tertekan inilah pemain baru Manchester United mula beraksi. Mark Clattenburg, yang telah diceraikan isterinya serta pernah digantung FA kerana beban hutang peribadi yang melampau menjalankan tugas dengan melayangkad kad merah buat si Serbia Ivanovic dan Nando Torres, yang pertama kerana menjatuhkan Ashley Young dan yang kedua kerana dijatuhkan oleh Jonny Evans. Nampak permainan dia di situ? Nampak?
Chelsea bermain dengan hanya 9 orang. Menentang bukan 11, bukan 12 tetapi 14 aparat-aparat kuasa kejahatan. Pun begitu Manchester United nampak masih terlalu lemah dan Wayne Rooney masih seperti Fakri Saarani. Di saat inilah Mark Clattenburg memainkan peranan untuk gol ketiga dan penyelamat Red Devils. Umat manusia telah dianiaya sekali lagi!
Chelsea kecundang. Tetapi itulah adat hidup berjuang. Ada menang dan ada kalah. Dan selalunya kalah ini apabila pihak lawan membawa masuk 'pemain' seperti Anders Frisk, Tom Henning Ovrebo dan yang terkini pastilah Mark Clattenburg. Sebagai sebuah pasukan bola yang digeruni kawan dan lawan, adalah perkara biasa apabila syaitan seperti Manchester United (dan Barcelona) perlu bermain jahat semata-mata mahukan kemenangan duniawi.
2 kad merah, 1 gol ofsaid, 9 lawan 14. Itulah yang diperlukan oleh Manchester United semata-mata untuk mendapat 3 mata di Stamford Bridge. Pun begitu, Chelsea masih tetap klasemen. Apa ada hal?
Perlawanan malam tadi ada pemenang dan pihak yang tewas. Tetapi meminjam kata-kata seorang lagenda Chelsea yang cukup dihormati ramai:
It's a disgrace, it's a fucking disgrace!