Memaparkan catatan dengan label kedah fa. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label kedah fa. Papar semua catatan
49

Fail X Sokernet: Ayah Pin Dan Kerajaan Langit Tilik Separuh Akhir Piala Malaysia!


Untuk perlawanan malam ini, Ayah Pin letak:

Kelantan 2 – Kedah 3

Johor FC 1 – Negeri Sembilan 0

Kali ini mesti betul punya. Kerajaan Langit punya tilikan, jangan main-main bai!
31

Debaran Piala Malaysia Ke Separuh Akhir

LuciusMaximus Rabu, Oktober 20, 2010 , , , , , ,
Sebelum kita pergi lebih jauh, tahniah dan terima kasih diucapkan kepada kerajaan 1Malaysia kerana prihatin dengan nasib bolasepak Malaysia. Penubuhan Akademi Bolasepak bernilai RM20 juta merupakan satu langkah yang tepat bagi melahirkan pemain bolasepak yang berkualiti dan berkemahiran tinggi.

Soalan dari Sokernet, kenapa Pahang? Sebab PM 1Malaysia orang Pahang atau sebab Sultan Bola orang Pahang?

Kita nantikan saja kesan penubuhan Akademi Bolasepak ini nanti, sama ada membuahkan hasil atau tidak. Memang sudah tiba masanya rakyat Malaysia menggantikan tempat Wayne Rooney di Manchester United, kelab kesayangan rakyat Malaysia.

Sementara itu saingan separuh akhir Piala Malaysia 2010 berlangsung malam ini. Kedah menantikan kunjungan Kelantan sedang Negeri Sembilan bakal diuji oleh Johor FC.

Kedah – Kelantan

Hijau Kuning bakal menyambut kedatangan Red Warriors malam ini di Stadium Darul Aman. Kedua-dua pasukan telah bertemu 4 kali musim ini (Liga Super dan Piala FA) dengan Kedah menang sekali dan selebihnya seri.

19 Januari Kelantan 0 – Kedah 1 (Liga Super)
16 Februari Kedah 0 – Kelantan 0 (Piala FA)
20 Februari Kelantan 1 – Kedah 1 (Piala FA)
25 Mei Kedah 0 – Kelantan 0 (Liga Super)

Kemenangan Kedah ke atas Kelantan pada 19 Januari merupakan kekalahan tunggal Kelantan sepanjang musim Liga Super 2010.

Atas kertas, kedua-dua pasukan agak seimbang walaupun ramai yang akan mengatakan Kelantan tampak lebih kuat. Pun begitu Kedah di tempat sendiri bukanlah lawan yang mudah seperti dibuktikan dalam pertembungan suku akhir menentang Terengganu.

Sumber risik Sokernet memaklumkan B Sathianathan bakal menggunakan taktik menyerang untuk memastikan bekalan yang cukup dibawa ke Stadium Sultan Mohammad IV nanti, mengambil kira Kelantan agak gugup bila beraksi di depan penyokong sendiri (kalah pada Kedah dalam Liga Super dan Negeri Sembilan dalam Piala Malaysia). Norshahrul Idlan masih digantung kerana kad merah dan harapan Red Warriors terletak pada gandingan Hairuddin Omar, Indra Putra dan pemain kelahiran Jitra, Akmal Rizal.

Bagaimanapun Kedah juga tidak kurang hebat dan sandaran mereka pastinya Baddrol Bakhtiar dan Khyril Muhymeen untuk membekalkan umpanan kepada penyerang kelahiran Tumpat, Azlan Ismail.

Tilikan Al Ustaz Tabib Nicolas Anelka: Kedah 2 – Kelantan 1

Negeri Sembilan – Johor FC

Sepintas lalu, Negeri Sembilan nampak mempunyai laluan mudah berdepan dengan Johor FC. Kedua-dua pasukan juga telah bertemu 4 kali musim ini (Liga Super dan Piala FA).

13 Januari Johor FC 1 – Negeri Sembilan 1 (Liga Super)
2 Februari Johor FC 2 – Negeri Sembilan 2 (Piala FA)
6 Februari Negeri Sembilan 5 – Johor FC 3 (Piala FA)
18 Mei Negeri Sembilan 2 – Johor FC 1 (Liga Super)

Setakat ini laluan skuad Jang dalam Piala Malaysia bolehlah dikatakan agak mudah. Dalam peringkat kumpulan hanya Kelantan saja yang mampu menggugat Jang, sedang KL Plus dan PKNS FC hanya pelengkap jadual. Dalam suku akhir pula berdepan Perlis memang tidak memberi masalah langsung buat Jang (Perlis menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-12 dari 14 pasukan, macam mana boleh masuk Piala Malaysia aku pun tak faham).

Kapten Jang, Rezal Zambery yakin sangat Negeri Sembilan akan ke perlawanan akhir buat kali kedua berturut-turut. Shukor Adan pula dilaporkan dah berkira-kira kalau menang Piala Malaysia, duit bonus nanti nak buat bayar muka Proton Inspira.

Tapi sebelum itu semua tercapai, Johor FC perlu ditangani terlebih dulu. Negeri Sembilan wajib menang di Paroi atau bakal berdepan dengan laluan sukar di Pasir Gudang nanti. Johor FC mempunyai rekod yang agak baik bermain di tempat sendiri (belum pernah kalah sepanjang saingan Piala Malaysia).

Persoalannya, adakah Wan Jamak berjaya menjadi arkitek kemenangan Negeri Sembilan malam ini atau bakal dikotak-katikkan oleh jurulatih Johor FC yang pernah berguru di Kanada?

Tilikan Al Ustaz Tabib Nicolas Anelka: Negeri Sembilan 2 – Johor FC 0
74

2 Kemenangan, 2 Seri, 6 Gol Dan Seorang Maut

Lupakan kelab bawahan seperti Liverpool, ini bulan Piala Malaysia.

Jang Pekena Singa Masak Lomak Cili Api

Negeri Sembilan 1
Perlis 0



Shahurain Abu Samah ketika memperbudakkan budak Kelate dulu-dulu (bukan malam tadi punya gambar)

Juara bertahan, Negeri Sembilan memulakan saingan suku akhir dengan langkah kanan apabila menang tipis 1-0 ke atas Perlis di Paroi. Jaringan tunggal pemain tengah Shahurain Abu Samah pada minit ke-50 cukup untuk mengukir senyuman di wajah Ebby Yus dan Jorji, dua penyokong fanatik Jang, walaupun Shahurain Abu Samah sebenarnya lahir di Kajang, Selangor (saja selit fakta). Bekalan satu gol akan dibawa oleh juara bertahan dan Jang sekalian ke Kangar pada 15 Oktober bila berentap dengan Perlis di gelanggang keramat mereka Stadium Utama a.k.a. Lion’s Den (ala-ala Milwall gitu). Adakah tuah akan menyebelahi Wan Jamak yang bongkak atau Yunus Aliff mempunyai rencana tersendiri menundukkan juara bertahan, kita nantikan debarannya.

Penyu Dan Kenari Terikat

Terengganu 2
Kedah 2



Peteh jumpa Pulun = Seri

Lain pula ceritanya di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, maaf terlupa pula stadium itu dah runtuh. Lain pula ceritanya di Stadium Ismail Nasiruddin Shah, pasukan pelawat Kedah gagal memanfaatkan peluang walaupun mendahului skuad Penyu sebanyak 2 kali dalam perlawanan yang disiarkan secara langsung oleh RTM. Seawal minit ke-23 Baddrol Bakhtiar terlebih dulu meletakkan Hijau Kuning di depan. Pemain Kedah yang dikenali dengan nama panggilan ‘Bad’ ini pernah berlatih bersama Chelsea sebelum ini. Tetapi pada minit ke-73 Joseph Kalang Tie kembali mengikat kedudukan melalui rembatan luar kota penalti. Pemain kelahiran Sarawak ini juga tidak kurang hebatnya, pernah menyertai latihan dua bulan bersama Hartlepool United. Meraikan jaringan dengan menjelir lidah serta menari di depan penyokong Kedah, Joseph kemudian dilayangkan kad kuning oleh pengadil yang tak berapa ‘sporting’. Kedah kembali di depan melalui Mohd Fikri Isa pada minit ke-51 hasil sepakan sudut yang disambut baik beliau. Ketinggalan, Terengganu melipat gandakan serangan dan kembali mengikat kedudukan pada minit ke-68 melalui Mohd Fikri Isa. Terengganu gagal mencari gol kemenangan sehingga wisel penamat dan nampaknya kini berdepan laluan sukar di Stadium Darul Aman Jumaat nanti.

Pasukan Kelab Merobek Jiwa Raga Sultan Bola

Johor FC 1
Pahang 0

Lawan tetap lawan, jangan tunduk pada persatuan negeri gila kuasa


Kita sudah sedia maklum perancangan halus untuk menguburkan Johor FC. Johor FA telah pun berbincang dengan FAM untuk memastikan rancangan mereka ‘menelan’ Johor FC berjaya. Dan seperti ditakdirkan, Johor FC telah ditemukan dengan Pahang, pasukan kesayangan Sultan Bola dan Pipiyapong. Khairi Kiman muncul wira pasukan berstatus kelab dalam menentang pasukan negeri yang dibiaya oleh duit jualan sayur Cameron Highlands dan duit jualan ‘sayur’ Genting Highlands. Gol jaringannya pada minit ke-59 cukup untuk memberikan tanda protes jelas dari sebuah kelab kecil yang stadiumnya tidak sampai separuh dari kapasiti Stadium Darul Makmur, tetapi besar jiwa penyokongnya.

Buntu Dan Maut Di Shah Alam

Red Giants 0
Red Warriors 0

Clash of Titans. Nasib baik Yob takde.


‘Old Trafford Malaysia’ malam tadi menjadi saksi kepada kebuntuan dalam perlawanan antara Red Giants dan Red Warriors, serta perginya seorang pencinta bolasepak kembali menemui Sang Pencipta. 50,000 penonton hadir ka Stadium Shah Alam dalam apa yang diiktiraf perlawanan suku akhir paling panas dan sensasi. Di satu sudut ialah para penyokong Selangor, dari Sabak Bernam hingga ke Sepang dan dari Klang hingga ke Gombak. Di satu sudut lagi padat macam sardin ialah penyokong Kelantan, dari Wakaf Che Yeh hingga ke Kompleks Pertama. Di tengah padang pula, P Gunalan dan Norshahrul Idlan Talaha dilayangkan kad merah setelah bertinju sesama mereka!

Perlawanan tidak disiarkan RTM tetapi mengikut laporan dari mereka yang bertandang ke stadium dan bernasib baik untuk masih pulang bernyawa, keadaan ibarat berada di Kabul, Afghanistan. Mercun dibaling oleh penyokong kedua belah pihak, sama ada kepada satu sama lain atau kepada abang FRU yang terpacak. Di tengah padang pula, kedua-dua pasukan gagal menyumbatkan sebarang gold an lebih banyak bermain secara agresif.

Penyokong Red Warriors baik dari Wakaf Che Yeh atau Kompleks Pertama yang ditempatkan padat macam sardin di satu sudut dikatakan mula bergerak masuk ke grandstand yang kosong. Tindakan mereka bagaimanapun dihalang oleh FRU. Dalam kesesakan inilah dilaporkan seorang penyokong Kelantan mengalami sesak nafas dan menemui ajalnya.

Perlawanan berkesudahan tanpa sebarang jaringan. Selangor bakal bertandang ke Stadium Sultan Mohamad IV dan kegagalan memenangi pusingan pertama di tempat sendiri bakal memberi laluan sukar buat Red Giants. Siapa-siapa orang Selangor yang ada merancang nak ke Kota Bharu pandu kereta sendiri berplet ‘B’, baik untuk tengok bola atau beli tudung di Wakaf Che Yeh, Sokernet nasihatkan tangguh dulu perjalanan anda.


Takziah dari Sokernet kepada ahli keluarga arwah dan semua peminat Red Warriors

75

Biar Jasa Jadi Kenangan


Sinopsis

Setiap dari kita ada kali pertama. Kali pertama mengorat makwe, kali pertama cuba-cuba nak hisap rokok atau kali pertama ke stadium untuk tengok bola. Aku ingat betul kali pertama aku ke stadium, di bawa oleh Abah yang dapat tiket percuma dari kawannya dalam Perak FA. Dan kali pertama aku tengok bola di stadium ialah Perak lawan Kedah dalam satu pertembungan Piala Malaysia, tahun 1989.

Stadium Perak tahun itu tidaklah besar seperti sekarang. Paling-paling kalau tidak silap aku boleh mengisi 15,000 penonton. Pun begitu jumlah yang hadir tersangatlah ramai dan aku ingat jelas memori melihat orang tak bertiket memanjat pagar stadium yang dililit kawat berduri. Dan semestinya luka terkena kawat itu berbaloi buat mereka kerana ini pertemuan Perak dan Kedah, derbi utara Semenanjung.

Status raja bolasepak Malaysia memang kita tidak dapat nafikan adalah milik Selangor. Tetapi kalau ada pesaing untuk hegemoni Selangor dalam bolasepak ianya pada pendapat aku datang dari negeri-negeri utara Semenanjung. Bukan negeri Sultan Bola, bukan negeri kaki bakar stadium dan jauh sekali negeri Jang bersembilan. Secara kolektif, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak telah menghimpun 17 Piala Malaysia, 8 kejuaraan liga dan 6 Piala FA. Masih belum mampu menandingi rekod peribadi Selangor tetapi jauh lebih banyak jika dibandingkan dengan himpunan kolektif negeri Pantai Timur, selatan Semenanjung atau Borneo. Pendek kata, wilayah kuasa dan kegilaan bolasepak Malaysia ialah di utara Semenanjung, sama seperti utara England (Manchester – Liverpool) yang menjadi wilayah bolasepak mereka.

Tahun 1989 itu, Perak tumpas kepada Kedah dan terkeluar dari saingan Piala Malaysia. Walaupun kecewa, bermula dari hari itu terbit rasa hormat aku pada Kedah dan hijau kuning.

Pulun Kedah Pulun

Tidak ada siapa yang kenal Kedah sebelum pertengahan dekad 1980-an. Satu-satunya pencapaian terbaik mereka dalam bolasepak Malaysia datang pada tahun 1940 sebagai naib juara Piala Malaysia (tewas kepada Singapura 2-0). Tetapi pada tahun 1986 angin perubahan melanda Kedah FA dan ianya dibawa oleh satu susuk bernama Ahmad Basri Akil.

Siapa Ahmad Basri Akil ini? Tidak ramai yang kenal melainkan mereka yang selalu berkunjung ke Jabatan Tanah dan Mineral Kedah pada tahun itu. Kenapa? Sebab dia pengarah jabatan. Itu pun nak tanya lagi ke?

Rancangan pertama Ahmad Basri Akil sebaik saja menjawat pengurus Kedah FA ialah mewujudkan rancangan pembangunan 5 tahun (1987 – 1991) bolasepak Kedah dengan matlamat utama memenangi Piala Malaysia. Di dalam fikiran Ahmad Basri Akil hanya satu, mengubah Kedah dari pasukan bawahan kepada kuasa baru bolasepak Malaysia.

Dengan perancangan teliti dan pengurusan yang cekap, hasil rancangan pembangunan 5 tahun ini sudah mula menunjukkan potensi pada tahun pertama. Kedah layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali kedua dalam sejarah mereka. Malangnya, bertemu Kuala Lumpur pasukan hijau kuning tunduk 1-0.

Tahun 1987 itu juga menyaksikan lagu ‘Biar Jasa Jadi Kenangan’ diangkat menjadi lagu rasmi pasukan Kedah, lirik ilham Ahmad Basri Akil dan muzik oleh Freddie Fernandes.

1988 menyaksikan Kedah sekali lagi layak ke akhir Piala Malaysia. Sekali lagi juga negeri jelapang padi berdepan dengan skuad metropolitan Kuala Lumpur. Kedah tumpas lagi, kali ini 3-0. Tetapi dengan kejayaan layak ke perlawanan akhir dua kali berturut-turut, rakyat Malaysia mula memandang Kedah dengan rasa hormat.

Apabila FAM memberi lampu hijau kepada pemain import buat kali pertama dalam bolasepak Malaysia pada tahun 1989, Kedah pantas bertindak. Sekali pun sebuah negeri yang miskin tetapi berkat pengurusan cekap Ahmad Basri Akil, Kedah mempunyai dana yang cukup untuk mendapatkan khidmat jurulatih Czechoslovakia, Milous Kvacek. Kedah juga mendapatkan khidmat pemain import dari Yugoslavia, Rincic Bratislav dan Goran Tankovic serta memanggil pulang pemain Singapura, V Sundramoorthy yang ketika itu bermain di Switzerland. Turut menguatkan Kedah ialah penjaga gol tersohor Ahmad Sabri Ismail dan Captain Marvel, Muhammad Radhi Mat Din.

Ahmad Basri Akil selaku pengurus sedar bahawa mendapatkan khidmat import perlukan dana tambahan. Kedah pantas mencari penaja dan hasilnya pada tahun 1989 itu mereka berjaya mengikat perjanjian dengan Sharp Roxy, menjadi pasukan Asia pertama di taja oleh syarikat elektronik itu dan kedua di dunia. Sebuah lagi kelab bawah tajaan Sharp ketika itu ialah Manchester United. Ya, kita boleh katakan Kedah setaraf dengan Manchester United hebatnya pada zaman itu.

Kedah layak sekali lagi ke perlawanan akhir Piala Malaysia 1989, sekali lagi bertemu Kuala Lumpur tapi malangnya sekali lagi tewas, 2-1. Tiga kali kalah kepada pasukan yang sama seakan satu sumpahan. Tetapi ianya sumpahan yang akan berakhir.

1990 – Bertemu Sang Singa

Tahun 1990 terbukti menjadi tahun bertuah buat Kedah. Sekali lagi layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia, Kedah berdepan dengan lawan yang berbeza, kali ini Singapura. Kali ini menyaksikan Kedah menerima sokongan padu 100% dari rakyat Malaysia. Kenapa? Kerana tidak ada seorang pun rakyat Malaysia yang mahu melihat Singapura merampas piala kebanggaan bolasepak Malaysia. Kali terakhir Singapura melakukannya ialah pada tahun 1980, menewaskan Selangor 2-1. Tahun 1990 menyaksikan Sang Singa kembali lagi, dengan dibarisi pemain seperti D Tokijan, Borhan Abu Samah dan awang import Abbas Saad dan Alistair Edwards.

Kemuncak malam perlawanan akhir, aku masih ingat TV3 menayangkan dokumentari khas bolasepak Kedah sebelum bermulanya siaran langsung. Lagu Biar Jasa Jadi Kenangan diperdengarkan, sambil mengisahkan tentang bolasepak Kedah dah messiah di belakangnya, Ahmad Basri Akil. Tidak terkelaluan untuk dikatakan harapan 100% rakyat Malaysia ialah untuk Kedah menang ke atas Singapura.

Malam Keramat


Perlawanan akhir Piala Malaysia 1990. Stadium Merdeka yang padat, api dan asap flare dari penyokong. Inilah zaman kegemilangan bolasepak Malaysia. Siapa yang lahir selepas tahun 1990 dan hanya kenal bolasepak Inggeris, memang malang nasibmu wahai anak muda.

Di Stadium Merdeka, stadium keramat bolasepak Malaysia, Kedah bertemu Singapura. Ini adalah perlawanan akhir Piala Malaysia ke-4 buat Kedah dalam tempoh 4 tahun dan peminat Hijau Kuning tidak mahu kempunan lagi. Kedua-dua pasukan memulakan permainan dengan berhati-hati. Ketika separuh masa pertama hampir tamat dan perlawanan kelihatan seperti terus buntu, pemain Kedah Rincic Bratislav melakukan larian pantas di sebelah kanan dan membuat hantaran silang ke dalam kotak kepada Husin Jaafar. Husin pantas menanduk bola kepada V Sundramoorthy yang meledak gol melepas penjaga gol Singapura, David Lee. Kedah 1 – Singapura 0.

Hujan renyai turun ketika waktu rehat dan pada ketika itu kelihatan seakan sumpahan Kedah dalam Piala Malaysia akan berakhir. Tetapi seperti kita tahu, football is a game of two halves.

Singapura bangkit pada separuh masa kedua melalui gandingan import Australia mereka, Alistair Edwards dan Abbas Saad. Minit ke-73, Singapura diberi tendangan percuma. Hasnim Haron menghantar bola ke dalam kotak penalti Kedah dan ditanduk baik oleh Alistair Edwards untuk gol penyamaan.

Kedudukan terikat hingga minit ke-90 dan kedua pasukan terpaksa bermain dalam masa tambahan. Tiga minit dalam masa tambahan, Ng Chew Beng merembat gol kedua Kedah dan kemudiannya Romli Ghani memastikan kedudukan menjadi 3-1 selepas menyambut baik sepakan sudut Aziz Azizan.


Kesebelasan Hijau Kuning yang menundukkan Sang Singa dan menjuarai Piala Malaysia pertama Kedah

Kedah menang 3-1 dan rakyat Malaysia menarik nafas lega kerana Singapura berjaya disekat. Ahmad Basri Akil berjaya membawa Kedah menggapai matlamatnya dan ia merupakan langkah sulung Kedah menjadi kuasa bolasepak Malaysia.

(Nota: Singapura akhirnya berjaya juga merampas Piala Malaysia buat kali terakhir pada tahun 1994, negeri Sultan Bola yang ditugaskan untuk menghalang Sang Singa telah mengecewakan kita semua apabila dilauk 4-0. Dasar tak boleh nak diharap)

Jatuh Bangun

Susuk yang mentransformasi bolasepak Kedah, Ahmad Basri Akil kekal bersama skuad Hijau Kuning hingga tahun 1996. Dalam eranya bolasepak Kedah tidaklah sentiasa indah, tetap ada jatuh bangun (Kedah tersingkir ke Divisyen 2 pada tahun 1991). Tetapi kemudiannya sekali lagi Ahmad Basri Akil membawa Kedah ke mercu jaya, juara Piala Malaysia dan juara liga pada 1993 dan juara Piala FA 1996.

Di peringkat kebangsaan, Ahmad Basri Akil kali pertama menjadi pengurus Malaysia dan membawa Harimau Malaya kepada kejayaan pingat emas Sukan SEA 1989 (kejayaan yang hanya dapat diulang 20 tahun kemudian). Beliau memangku tugas Naib Presiden FAM dari tahun 1994 hingga 1998 dan terkenal kerana pendirian lantang beliau dan keengganan menjadi Pak Turut dalam pentadbiran FAM.

Pendirian lantang dan keengganan menjadi Pak Turut inilah yang menyaksikan beliau tersingkir dari FAM kemudiannya. Ahmad Basri Akil kemudian digantung dari memegang apa-apa jawatan berkaitan bolasepak dalam Malaysia oleh FAM dari tahun 2001 hingga 2005, hanya kerana beliau mengkritik FAM dan bersuara untuk masa depan bolasepak Malaysia. Pun begitu ia tidak menyekat Ahmad Basri Akil dari terus cuba berbakti kepada bolasepak, khususnya buat Kedah.

Kembali Bersama Hijau Kuning

Dan itulah yang dibuktikannya sebaik tamat penggantungan pada tahun 2005. Ahmad Basri Akil kembali bersama Kedah tahun berikutnya, di saat skuad Hijau Kuning melalui zaman gelap, terperosok di Liga Perdana. Sekali messiah Hijau Kuning membuktikan sentuhan ajaib beliau, membawa Kedah menjuarai Liga Perdana dan dipromosi naik ke Liga Super untuk musim 2007.

(Nota: Kedah FA mendapatkan khidmat Ahmad Basri Akil sebagai ‘penasihat’ semenjak 2004, ia adalah strategi Kedah FA menggunakan kepincangan teknikal FAM yang menghalang Ahmad Basri Akil dari memegang jawatan rasmi. Sebaik tamat tempoh penggantungan, fungsi ‘penasihat’ ditukar secara rasmi kepada pengurus. Rebel juga Kedah FA!)

Bersama Ahmad Basri Akil ialah bekas pemain Kedah, Azraai Khor Abdullah (sebagai jurulatih), Muhammad Radhi Mat Din (penolong jurulatih) dan Ahmad Sabri Ismail (jurulatih penjaga gol) dalam musim pertama Kedah kembali sebagai pesaing Liga Super. Hijau Kuning muncul juara treble, menyapu bersih Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA.


Trio Double Treble yang dibawa masuk oleh Ahmad Basri Akil dalam gelombang kedua kebangkitan Kedah

Dalam kenyataan beliau selepas mencatat treble, Ahmad Basri Akil mendedahkan perancangan jangka pendek bermula seawal 2005 dan disasarkan dalam tepoh 3 tahun. Kedah dijangka berjaya memonopoli bolasepak Malaysia menjelang 2008, tetapi ia berlaku setahun lebih awal. Bukti jelas keberkesanan perancangan jangka pendek dari tahun 2005 itu.

Di sebalik kejayaan treble 2007 beliau masih tidak dapat lari dari kontroversi. Malaysia ketika itu sedang sibuk menyediakan persiapan untuk Piala Asia 2007 dan pada masa yang sama Manchester United pula mahu bertandang ke Kuala Lumpur. FAM sebagai sebuah badan organisasi bolasepak yang terkenal dengan budaya mengampu, membodek dan menjilat pantas menyambut kedatangan Manchester United, yang membuatkan AFC dan FIFA berang kerana dilihat mengabaikan persiapan Piala Asia 2007. Ahmad Basri Akil, selaku tokoh bolasepak tersohor mengkritik FAM yang mengagungkan kelab bolasepak Inggeris dan sekali lagi digantung untuk tempoh 3 tahun.

Ahmad Basri Akil sekali lagi disekat dari cintanya terhadap bolasepak. Namun begitu beliau tabah menerima dugaan berdepan dengan sebuah persatuan bolasepak kebangsaan yang tidak sedar diri dan gila kuasa. Atau mungkin, di luar pengetahuan kita, Ahmad Basri Akil sebenarnya sedar hidup kita di dunia ini hanya sementara maka biar jasa jadi kenangan.

Legasi

15 Julai 2008, Ahmad Basri Akil kembali menemui Sang Pencipta. Pemergian beliau merupakan kehilangan besar buat bolasepak Malaysia tetapi legasi beliau kekal. Kedah muncul juara treble sekali lagi pada 2008, sekaligus mencatat pencapaian Double Treble (pencapaian yang tidak bisa dicapai untuk tempoh 100 tahun lagi mengikut kata Radhi Mat Din). Penghujung musim, FAM menghukum Kedah berserta Marlon Alex James, Bernard Huggins dan Nelson San Martin dengan mengharamkan pemain import atas alasan ia menjejaskan pembangunan bolasepak Malaysia. Tetapi yang sebenarnya negeri-negeri kesayangan Sultan Bola tidak mampu membayar khidmat pemain import kerana banyak songlap duit.

Dato’ Paduka Haji Ahmad Basri Akil ialah legenda sebenar bolasepak Malaysia, selayaknya menerima gelaran Dato’ Paduka dan dipahat namanya dalam Hall of Fame bolasepak Malaysia. Tetapi seperkara yang perlu kita fikirkan, kenapa sepanjang hayatnya kita tidak meletakkan beliau sebagai peneraju FAM dan bolasepak Malaysia sekaligus mengubah nasib bolasepak kita?



“Saya memang gembira demi Hijau Kuning walaupun jasa tidak dikenang lagi” – Allahyarham Dato’ Paduka Haji Ahmad Basri Akil

Kredit:
Pekan Naka
Forum Komuniti Hijau Kuning
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...