ANDA SEDANG MEMBACA

25

Debar Derbi Sedunia - Derbi Lembah Klang

LuciusMaximus Khamis, Januari 21, 2010
“Abang bukan suka-suka kompelin dik, abang kompelin sebab abang sayang,” getus lelaki pemotong ayam bernama Solo. Tapi di Pasar Chow Kit kawan-kawan sepasar yang lain panggil dia Castello. Muka aku tengok tak pula macam Rosyam Nor.

“Dulu, ada Serbegeth Singh, ada Lim Teong Kim, ada Rashid Hassan, ada Mat Zan Mat Aris, ada Razip Ismail tapi sekarang siapa yang ada?”

“Razip Ismail ada lagi apa?” Aku cuba membetulkan kekhilafan.

“Aku maksudkan sebagai player je la. Memanglah dia ada sekarang tapi jadi coach je la. Abang punya point sekarang, mana dia player-player gempak. Yang ada sekarang ni orang tak kenal pun,” tegas Solo.

“Eh jap, nanti lu nak tulis Sokernet jangan letak nama Solo, letak Castello okay? Baik punya.”

Maksud aku Castello.

Castello kali pertama menjejakkan kaki di Kuala Lumpur pada tahun 1982. Mula-mula kerja construction, lepas tu kerja kilang di Petaling Jaya. Dapat kumpul duit buat modal sikit, Castello JV dengan geng rumah sewa di Kampung Chu Badak. Berniaga ayam sembelih di Pasar Chow Kit.

Dulu-dulu belum ada Astro dan kedai mamak 24 jam.Jadi tidak ada siaran langsung bolasepak orang putih. Zaman tu karaoke pun belum mula lagi. Merempit kat Jalan Raja Laut jauh sekali. Bosan malam-malam, anak muda Kuala Lumpur bertandang ke Stadium Merdeka.

Kuala Lumpur tahun 80-an macam Liverpool dulu-dulu, mantap. Tapi legenda Sang Helang dulu semua dah pencen. Rashid Hassan dah gantung sarung tangan, Serbegeth Singh dah jadi Shebby Singh dan Lim Teong Kim sekarang satu kompeni dengan Louis Van Gaal. Pengganti mereka sekarang macam Norazlan Razali, Jeremy Matthew Danker dan See Kok Luen adalah pemain yang penuh misteri dan tanda tanya.



Kuala Lumpur zaman sebelum ada kondominium, padang golf dan gelanggang futsal. Lawatan sambil bermain di Belanda ini berlaku di zaman Robin van Persie baru masuk tadika.

“Dah jom la gerak sekarang. Federal Highway jalan jem. Abang tak ada duit nak bayar tol NKVE,” ajak Castello.

Dalam van Perodua Rusa milik Castello, bersesak di Federal Highway dari Kuala Lumpur ke Shah Alam, dia berceramah lagi.

“87, 88 dan 89. Tahun keramat tu. Hanya KL dan Selangor je yang pernah menang Piala Malaysia 3 tahun berturut-turut. Kedah dan Perak pun tak pernah. Negeri Sultan Bola toksah cerita la.”

Aku cuba perbetulkan keadaan. Singapura pun pernah menang 3 kali berturut-turut.

“Yang tu tak boleh kira la dia orang mana main Liga Malaysia sekarang ni.”

Selepas satu jam bersesak di jalanraya kerana kurangnya perancangan bersepadu sistem pengangkutan negara, aku dan Castello tiba di Stadium Shah Alam yang jauh lebih besar dari Old Trafford.

Di luar stadium, sekumpulan penyokong Red Giants sudah bersedia dengan bendera merah kuning mereka. Aku pandang dengan penuh kebencian seperti kebanyakan rakyat Malaysia yang lain. Red Giants sama seperti Red Devils, terlalu berjaya hingga dibenci rakyat jelata.

Selangor lawan Kuala Lumpur, 12 Januari 2009 di Stadium Shah Alam. Derbi Lembah Klang

Derbi Lembah Klang sebenarnya tidaklah begitu menonjol. Tetapi dalam dekad 80-an kebangkitan Kuala Lumpur mula membayangi Selangor dan hakikat bahawa kedua-dua pasukan berkongsi Stadium Merdeka pada masa itu menjadikannya jauh lebih menarik.

“Tapi Stadium Merdeka dalam KL, jadi kalau nak kira yang sebenarnya itu stadium kami, gelanggang kami. Selangor datang menumpang saja,’ tegas Castello.

Kesebelasan kedua-dua pasukan mula berarak masuk ke tengah padang. Stadium Shah Alam macam kebanyakan stadium lain di Malaysia dipenuhi lebih ramai kerusi kosong dari manusia. Ada lebih kurang 3 ribu penonton, bukan 30 ribu.

“Seri pun jadilah”. Castello meletakkan sandaran yang realistik. “Kalau dulu bolehlah Kuala Lumpur kasi Selangor goyang. Tapi sekarang tak dapat dah kot.”

Bagaimanapun Kuala Lumpur terlebih dulu memberikan kejutan kepada Red Giants. Penyerang muda Yong Kuong Yong meletakkan si kulit bundar dalam gawang Selangor seawal minit ke-7, menanduk bola tendangan percuma dari Azwan Malek.

Aku macam percaya. Castello pun sama. Macam biasa, bolasepak Malaysia sukar diduga. Hanya di Malaysia sekumpulan pemain muda yang tidak dikenali boleh memporak-perandakan para otai yang sudah berpuluh cap mewakili negara.

Untuk 30 minit pertama Selangor diperbudakkan oleh Kuala Lumpur, walaupun ada Safee Sali, Hardi Jaafar dan Liew Kit Kong dalam skuad Red Giants. Amri Yahyah juga tidak menonjol, mungkin kecewa kerana gagal berpindah ke pasukan bawahan EPL, Liverpool.

Namun pengalaman seperti biasa menjadi faktor penentu. Kembali menyusun strategi, Selangor menyamakan kedudukan pada minit ke-35 hasil tandukan Safee Sali.

Castello tengok aku dan sengih. “Aku dah cakap, seri je la kot.”

Tamat separuh masa pertama, aku dan Castello macam biasa pergi membeli burger stadium. Berniaga burger di stadium pun masa kini sudah tidak sehebat dulu, hujah Castello. “Dulu member aku seorang boleh jual dekat 1000 burger. Dalam satu stadium mungkin ada 10 peniaga burger. Sekarang ni, nak jual 100 pun susah padahal yang berniaga kau seorang je.”

Aku mengangguk sambil membaham burger stadium di dalam genggaman. Dagingnya tidak berapa masak, macam dulu-dulu. Pelik juga, buat burger tak banyak tapi masih juga susah nak pastikan daging masak sepenuhnya?

Separuh masa kedua bermula dan pemain kedua pasukan berarak masuk ke padang. Aku menghabiskan sisa burger kurang masak dan menyedut habis Milo ais kurang susu yang dijual dalam cawan kertas. Masih ada saki-baki ketulan ais yang memberatkan cawan kertas, sesuai untuk dibaling ke padang macam biasa.

Entah apa agaknya amanat K Devan, Selangor pantas memulakan permainan dengan serangan (meminjam kata Tuan Haji Hasbullah). Tak lama, Amri ‘Red Devils Slayer’ Yahyah meledakkan gol kedua Selangor pada minit ke-59.

Castello tepuk dahi. Aku tersengih macam kambing. “Kalau Rashid Hassan yang jadi goalie mesti selamatkan?” aku kata dengan niat membakar sate.

“Kalau ada supersub, masa inilah paling sesuai Razip Ismail bawa masuk,” Castello berhujah macam pengulas di ESPN. “A pair of fresh legs will surely change the rhythm of the game,” bukan kata Castello, tapi aku pinjam ungkapan dari FIFA10.

Tapi malangnya supersub malam ini bukan dari Kuala Lumpur. K Devan membawa masuk R Surendran yang pada perlawanan sebelum ini menjaringkan gol kemenangan Selangor menentang Negeri Sembilan.

Ibarat supersub Selangor dulu-dulu, Rusdi Suparman, R Surendran tanpa membuang masa meledakkan gol minit ke-78 dan ke-88 untuk Selangor selesa di depan.


R Surendran = R Suparman?


4-1. Red Giants dengan mudah menundukkan The Hawks.

Dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur menempuh Federal Highway, Castello berhujah lagi.

“Orang FAM, orang politik semua sembang je kencang. Bila Malaysia menang pingat emas Sukan Sea semua sibuk bagi cadangan dan idea bernas kononnya. Tapi semua cadangan dan idea bukan boleh pakai pun, macam hantar pemain pergi Eropah. Masalah yang sebenar di akar umbi. Kenapa bolasepak khususnya di Kuala Lumpur jatuh? Sebab anak muda KL tak dapat main bola. Ada tanah kosong kena rembat dengan cukong. Padang bola tukar jadi kondominium, jadi shopping complex tak pun lagi hina jadi car park. Sana-sini sibuk nak buat padang golf, habis tu padang bola apa cerita? Kalau ada pun padang milik dewan bandaraya atau majlis sukan nak kena bayar, nak kena tempah 2 atau 3 bulan awal. Nak main kat padang sekolah kena halau dengan Pak Guard. Susah nak main bolasepak di KL. Bila anak muda tak ada padang main bola mulalah merempit, hisap gam, hisap dadah tak pun hisap buah dada anak jiran. Apa cerita bai?!”


Aku diam je. Betul apa yang Castello cakap. Sekarang ini pun di Kuala Lumpur mahu bermain bolasepak memang susah. Lalu futsal jadi pengganti. Tapi futsal tak sama macam bolasepak dan main futsal kena keluar duit. Mana padang bolasepak awam? Padang yang anak-anak muda boleh bermain dengan bebas jam 5 petang setiap hari?

Apa cerita, DBKL?

Nota kaki: Memang lambat gila laporan Derbi Lembah Klang. Sengaja aku simpan dulu sebab nak letak atas pos Pipiyapong dan laporan kelab cikai, Arsenal.

25 Ulasan:

aishah aurelia berkata...

gud entri..
bagi saya, apa saja yang ditulis oleh lucius, ada nilainya..
err sori bungwahab, masuk la dulu kalau berani.. komen anda pun bernas gak tapi untuk skinhead berhaluan kiri laa.. kakaka

err x reti nak komen pasal sepak bola malaysia..
dapat la info skit2 kat sini..
walaupun olahan cerita yang baik, melibatkan castello, tapi saya tetap akan mengundi artikel 'mengapa liverpool kalah dengan portsmouth' karya agung dingin.

pakkordi berkata...

Meniaga ayam chowkit main kutu sehari RM1000 bro. Zuhud si castello ni.

r.k berkata...

the thing is , kita tak ada satu entiti yang besar untuk menggesa pengunduran mereka yang diatas sekarang dan beri laluan kpada mereka yang sayang bola sepak negara ..

farwalis berkata...

dulu kecik-kecik gua main kat padang hari2..

skang, padang takder dah.. wat balai raya.

Jorji berkata...

wakakaka.

debar derbi debik sekali.

Dari Jalan Kopi berkata...

cerita buat gua terkenang memori stadium darul makmur zaman azman adnan dan anuar abu bakar kena booOOoOoOoo......

zan berkata...

Walaupun komen2 diatas berbaur lucu, aku rasa macam nak menitik air mata bila si Castello imbas balik zaman derby dulu2. Pasal aku antara yang tawaf stadium merdeka tiap kali Selangor main kat situ dulu.

3 tahun berturut-turut KL jumpa Kedah final Piala Malaysia. V. Sundramoorthy jumpa Fandi Ahmad, Radhi Mat Din jumpa Razip Ismail, Tan Sri Elyas Omar jumpa Dato' Basri Akil...

Sampai bila kita nak kenang benda yang lepas je ni? Bodoh la FAM!

aishah aurelia berkata...

r.k - sedari dulu lagi mmg kita lihat ramai suara2 marhaein di luar sana yg amat inginkan perubahan dalam arus bola sepak negara kita ini..
yang bersidai tiap minggu di kedai mamak, yang bergaduh anak bini berebut nak tengok af, sehati berdansa apa bagai sumer, mereka itu lah antara kelompok golongannya.
mungkin kita boleh bermula dgn melakukan satu 'wave' di laman facebook. atau mgkn juga sudah ada tapi saya yang tak perasan kot..
mendesak dan menggesa pengunduran secara mega terhadap mereka2 yang berada di tampuk atas adalah satu kemestian..

lihat sajalah siapa yang menyalak bukit ingin mendesak rombakan pentadbiran terhadap persatuan sepak takraw malaysia kala ini.. tak boleh kah mereka buat perkara yg sama ke atas fam..
antara PSM dan FAM mmg nampak double standard di situ.. bongok.
baik saja dana tersebut disalurkan kepada PHM yg pasukannya saban kali asyik hampir2 layak ke piala dunia.. walaupun tak layak..
drpd membazir ke pasukan yg rantau sendirik pun mati..
ish bila sebut pasal bola sepak malaysia ni, hilang terus idea aku.. terus jadik bangang rasanya..

deus X machina berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
ymn berkata...

hahahaha ..
sokernet skrg mcm politik ..
ramai sgt pengundi hantu...

deus X machina berkata...

merah kuning lambang kebanggaan
selangor merancang kejayaan!!!!!!!!


kat facebook ada group "Presiden FAM Sila Letak Jawatan"
join ramai2 woke

jamsarisabian berkata...

aku da join..yearrghhh...

julu berkata...

aku x ingat zaman 87,88 n 89..
sbb aku bru umo lahir.. ekekkee

FreDDy O7eRmaRS berkata...

ini entry terbaik dari lelaki yang bernama lucius maximus he he..last sekali aku pergi stadium meredeka tgk liga semi pro ialah masa perlis lawan kl..tu pon aku tidur dekat riba abah aku

ayobkelubi berkata...

serius ada grup tu?. skang gak aku join!.

tapi

liverpool tetap kena bahan kan?.

MOFASAD berkata...

bai.... fam bebal... lagi2 atas dia 2... kelab dia selamatkan 2 dah xselamat dah... haha

Cob Nobbler berkata...

pengaruh hishamuddin rais cukup menebal dalam artikel ni kah kah kah!

Ajeossi berkata...

erm...sila update liga malaysia punya stnding.

Putera Katak berkata...

entri terbaik...

s t a b i l z berkata...

ko silap weh.. 12 Januari 2010.. bukan 2009. Ketinggalan setahun ko ni.

Berbo berkata...

Red Giants sama seperti Red Devils, terlalu berjaya hingga dibenci rakyat jelata.

betul!

HafizChan berkata...

padang dah takde...futsal pom kena bayar. main baling tin jelah malaysia. heh

LuciusMaximus berkata...

Gua punya jam biologi belum apdet lagi, bangun pagi lambat sejam, jadi bila tulis artikel pun ketinggalan setahun

HafizChan berkata...

http://www.facebook.com/pages/Presiden-FAM-sila-letak-Jawatan/237249269407?ref=ts&v=info

Ejoi berkata...

"Susah nak main bolasepak di KL. Bila anak muda tak ada padang main bola mulalah merempit, hisap gam, hisap dadah tak pun hisap buah dada anak jiran. Apa cerita bai?!”"

CLASSIC!

Apapun, padang awam di AU2 Setiawangsa antara Masjid dan Petronas serta padang rekreasi berhampiran Putri Apartment ada lagi kan?

Kalau nasib baek boleh jumpa aweks cantik balik kerja kalau main bola kat area tu.


PS - Lucy, kau pakai no tel yang mana ni? Aku text kau pompuan plak yang balas!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...