Memaparkan catatan dengan label debar derbi sedunia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label debar derbi sedunia. Papar semua catatan
10

Debar Derbi Sedunia - Antara Anyer Dan Jakarta

LuciusMaximus Jumaat, Januari 22, 2010
“Maaf pak, pertandingan yang ini ngak bisa nonton,” sapa pak polisi di luar Stadion Gelora Bung Karno (GBK).

20 Januari 2010. Derbi Jakarta, Persija Jakarta lawan Persitara Jakarta Utara.

Di mana-mana juga derbi dalam dunia ini (kecuali Malaysia agaknya) akan dipenuhi penonton dari kedua pasukan. Tapi hari ini Derbi Jakarta di GBK bakal dipertandingkan dalam stadium yang kosong.

Kepala Kepolisian Daerah (Kapolda) Metro Jaya beberapa hari sebelum bermulanya derbi dengan penuh yakin memberi jaminan bahawa angkatan polisinya tidak bisa menjamin keamanan pertandingan. Satu pernyataan yang disambut dengan reaksi mudah dari penyokong Persija.


Hasilnya, sepanjang perjalanan menuju ke GBK para penyokong Persija dengan baju berwarna jingga yang bertulis ‘Gue Anak Jakarta’ atau ‘Jakmania 12’ memenuhi bahu jalan menyambut ketibaan bas para pemain Persija. Mesej mereka jelas, ‘Persija Kamu Takkan Pernah Sendiri’.

Jakarta, ibu negara Republik Indonesia seperti kebanyakan bandaraya yang lain berpecah dua dalam hal bolasepak. Tetapi perpecahan ini tidak seimbang, sebahagian besar anak Jakarta menyokong Persija sementara bahagian yang kecil pula memilih warna biru Persitara.


Persija Jakarta jauh lebih tua, ditubuhkan pada 28 November 1928 dengan nama Belanda, Voetbalbond Indonesische Jakarta (VIJ). Hubung kait yang mendalam dengan Belanda membawa ke hari ini dengan penggunaan jingga sebagai warna jersi mereka. Kelab yang terkenal dengan nama jolokan Macan Kemayoran (Harimau Kemayoran) ini bermain di Gelora Bung Karno (GBK) yang mempunyai kapasiti 88,083 penonton, stadium terbesar dalam Indonesian Super League (ISL).


Dirigen (capo) Persija bersama Jakmania - Macam Belanda pun ada

Terkenal sebagai antara kelab bolasepak paling berjaya di Indonesia, Persija telah merangkul 10 kejuaraan liga (9 era Perserikatan dan 1 era Profesional). Mereka mempunyai kelompok penyokong yang besar (standing Arema Malang dan Persib Bandung) yang dikenali dengan nama Jakmania.



Berbeza pula dengan Persitara Jakarta Utara, yang hanya lahir sekitar 1985 dan jauh lebih kecil berbanding Persija. Terbit melalui idea mahu mewujudkan sebuah lagi kelab dari Jakarta, Persitara bagaimanapun tidak mendapat sokongan yang meluas seperti saudara tuanya, Persija. Lebih-lebih lagi apabila Persija berusaha membangkitkan prinsip ‘Jakarta Satu’ yang mahukan hanya satu kelab bolasepak di Jakarta.

Tahun lepas, ketika usaha dilakukan oleh pihak tertentu untuk menyerap Persitara ke dalam Persija, demonstrasi besar-besaran diadakan oleh penyokong Persitara yang membantah langkah penggabungan tersebut. Sebuah keranda diletakkan di hadapan pejabat Wali Kota sebagai langkah protes.

Penyokong Laskar Si Pitung - Minoriti tapi tetap berdiri


Kelompok kecil penyokong Laskar Si Pitung (nama jolokan Persitara) wujud melalui kumpulan seperti The North, Bajak Laut dan NJ Mania. Mereka memenuhi Stadion Kamal Muara yang berkapasiti 10,000 penonton. Sejarah pendek kewujudan Persitara pula tidak mencoretkan sebarang kejuaraan liga atau piala setakat ini sekaligus mengekalkan status mereka sebagai adik tiri Persija.

Duel Jakarta

Pertandingan ISL 2009/10 antara Persija dan Persitara tetap dilangsungkan di GBK sekalipun Kapolda Metro Jaya memutuskan tiada penonton dibenarkan masuk. Keputusan pihak polisi ini menunjukkan betapa mereka sendiri tidak mampu membendung suasana fanatik para penyokong bolasepak Indonesia di saat PDRM di Malaysia mampu menghantar FRU untuk makan kuaci sambil menonton perlawanan MSL.

Kedua-dua pasukan berarak masuk ke kandang keramat sepakbola Indonesia dengan diiringi bunyi cengkerik. Di satu penjuru sekumpulan polisi sedang melepak makan kuaci barangkali. Pelik juga kerana kalau sudah ditetapkan perlawanan tanpa penonton, kenapa masih mahu bawa polisi ramai-ramai?



Sekumpulan pak polisi sedang mengeram telur masing-masing


Persija terlebih dulu melakukan cubaan. Bambang Pamungkas menyambut hantaran lintang Talaohu Musafry pada minit ke-7 namun tandukannya melencong dari gawang.

Seminit berselang Talaohu Musafry berjaya meletakkan Persija di depan hasil hantaran dari Ismed Sofyan. Jaringan gol pertama ini hanya disambut dengan tepukan pihak polisi dan wakil media.

Persitara rancak menyerang sebaik ketinggalan dan peluang terbaik mereka muncul pada minit ke-12 melalui tendangan percuma. Kuisan Kabir Bello bagaimanapun ditampan kemas penjaga gol Persija, M Yasir.

Talaohu Musafry muncul wira Persija kali kedua apabila hantaran datar Aliyudin ke dalam kotak penalty disambut baik Musafryuntuk menewaskan penjaga gol lawan, Wawan Darmawan minit ke-28. Persija selesa di depan dengan kedudukan 2-0.

Dengan babak pertama berbaki 8 minit, Persitara sekali lagi cuba menembusi gawang Persija tetapi cubaan dalam kotak penalti Dedi Mulyadi sekali lagi ditangkap kemas penjaga gol Persija.

Usai turun minum, Persija lebih banyak menguasai perlawanan dengan Persitara bertahan di kawasan sendiri. Beberapa cubaan merbahaya Persija melalui Bambang Pamungkas dan Aliyudin bagaimanapun ditepis baik oleh penjaga gol Persija.

Kebuntuan, Bambang Pamungkas mengatur gerak di sebelah kanan pertahanan Persitara sebelum membuat hantaran lintang ke dalam kotak. Si kulit bundar di sambut baik oleh Musafry yang unggul dengan gol ketiga peribadi dan ketiga untuk Persija tepat minit ke-71.



Ketiadaan penyokong, Musafry meraikan jaringan ketiga beliau di depan jurufoto Sokernet


Persitara cuba menyerang balas dengan sisa perlawanan seterusnya tetapi Persija yang selesa dengan kusyen 3 gol memilih untuk bertahan hingga wasit meniup peluit.

Di luar GBK, puluhan ribu Jakmania yang sabar menunggu meraikan kemenangan Persija ke atas seteru ibu kota mereka.

Kemenangan Persija membawa mereka keluar dari zon penyingkiran buat masa ini untuk berada di tangga ke-14 dengan 17 mata. Manakala Persitara pula terus tertekan di kedudukan ke-17 dengan hanya 11 mata. Tiga pasukan terbawah ISL bakal disingkirkan secara automatik.

Kelab P M S K M
14 Persija Jakarta 13 4 5 4 17
15 PSPS Pekanbaru 14 4 4 6 16
16 PSM Makassar 15 4 4 7 16
17 Persitara Jakarta Utara 14 3 2 9 11
18 Pelita Jaya 14 1 6 7 9

Nota kaki: Arema Malang terus kukuh di puncak klasemen selepas mencatat kemenangan 1-0 ke atas Persik Kediri di kandang lawan. Dilaporkan 82 buah bas membawa penyokong Aremania dari Malang ke Kediri (81 km). Kalau Kuala Lumpur lawan Selangor berapa bas agaknya bergerak dari KL ke Shah Alam?

25

Debar Derbi Sedunia - Derbi Lembah Klang

LuciusMaximus Khamis, Januari 21, 2010
“Abang bukan suka-suka kompelin dik, abang kompelin sebab abang sayang,” getus lelaki pemotong ayam bernama Solo. Tapi di Pasar Chow Kit kawan-kawan sepasar yang lain panggil dia Castello. Muka aku tengok tak pula macam Rosyam Nor.

“Dulu, ada Serbegeth Singh, ada Lim Teong Kim, ada Rashid Hassan, ada Mat Zan Mat Aris, ada Razip Ismail tapi sekarang siapa yang ada?”

“Razip Ismail ada lagi apa?” Aku cuba membetulkan kekhilafan.

“Aku maksudkan sebagai player je la. Memanglah dia ada sekarang tapi jadi coach je la. Abang punya point sekarang, mana dia player-player gempak. Yang ada sekarang ni orang tak kenal pun,” tegas Solo.

“Eh jap, nanti lu nak tulis Sokernet jangan letak nama Solo, letak Castello okay? Baik punya.”

Maksud aku Castello.

Castello kali pertama menjejakkan kaki di Kuala Lumpur pada tahun 1982. Mula-mula kerja construction, lepas tu kerja kilang di Petaling Jaya. Dapat kumpul duit buat modal sikit, Castello JV dengan geng rumah sewa di Kampung Chu Badak. Berniaga ayam sembelih di Pasar Chow Kit.

Dulu-dulu belum ada Astro dan kedai mamak 24 jam.Jadi tidak ada siaran langsung bolasepak orang putih. Zaman tu karaoke pun belum mula lagi. Merempit kat Jalan Raja Laut jauh sekali. Bosan malam-malam, anak muda Kuala Lumpur bertandang ke Stadium Merdeka.

Kuala Lumpur tahun 80-an macam Liverpool dulu-dulu, mantap. Tapi legenda Sang Helang dulu semua dah pencen. Rashid Hassan dah gantung sarung tangan, Serbegeth Singh dah jadi Shebby Singh dan Lim Teong Kim sekarang satu kompeni dengan Louis Van Gaal. Pengganti mereka sekarang macam Norazlan Razali, Jeremy Matthew Danker dan See Kok Luen adalah pemain yang penuh misteri dan tanda tanya.



Kuala Lumpur zaman sebelum ada kondominium, padang golf dan gelanggang futsal. Lawatan sambil bermain di Belanda ini berlaku di zaman Robin van Persie baru masuk tadika.

“Dah jom la gerak sekarang. Federal Highway jalan jem. Abang tak ada duit nak bayar tol NKVE,” ajak Castello.

Dalam van Perodua Rusa milik Castello, bersesak di Federal Highway dari Kuala Lumpur ke Shah Alam, dia berceramah lagi.

“87, 88 dan 89. Tahun keramat tu. Hanya KL dan Selangor je yang pernah menang Piala Malaysia 3 tahun berturut-turut. Kedah dan Perak pun tak pernah. Negeri Sultan Bola toksah cerita la.”

Aku cuba perbetulkan keadaan. Singapura pun pernah menang 3 kali berturut-turut.

“Yang tu tak boleh kira la dia orang mana main Liga Malaysia sekarang ni.”

Selepas satu jam bersesak di jalanraya kerana kurangnya perancangan bersepadu sistem pengangkutan negara, aku dan Castello tiba di Stadium Shah Alam yang jauh lebih besar dari Old Trafford.

Di luar stadium, sekumpulan penyokong Red Giants sudah bersedia dengan bendera merah kuning mereka. Aku pandang dengan penuh kebencian seperti kebanyakan rakyat Malaysia yang lain. Red Giants sama seperti Red Devils, terlalu berjaya hingga dibenci rakyat jelata.

Selangor lawan Kuala Lumpur, 12 Januari 2009 di Stadium Shah Alam. Derbi Lembah Klang

Derbi Lembah Klang sebenarnya tidaklah begitu menonjol. Tetapi dalam dekad 80-an kebangkitan Kuala Lumpur mula membayangi Selangor dan hakikat bahawa kedua-dua pasukan berkongsi Stadium Merdeka pada masa itu menjadikannya jauh lebih menarik.

“Tapi Stadium Merdeka dalam KL, jadi kalau nak kira yang sebenarnya itu stadium kami, gelanggang kami. Selangor datang menumpang saja,’ tegas Castello.

Kesebelasan kedua-dua pasukan mula berarak masuk ke tengah padang. Stadium Shah Alam macam kebanyakan stadium lain di Malaysia dipenuhi lebih ramai kerusi kosong dari manusia. Ada lebih kurang 3 ribu penonton, bukan 30 ribu.

“Seri pun jadilah”. Castello meletakkan sandaran yang realistik. “Kalau dulu bolehlah Kuala Lumpur kasi Selangor goyang. Tapi sekarang tak dapat dah kot.”

Bagaimanapun Kuala Lumpur terlebih dulu memberikan kejutan kepada Red Giants. Penyerang muda Yong Kuong Yong meletakkan si kulit bundar dalam gawang Selangor seawal minit ke-7, menanduk bola tendangan percuma dari Azwan Malek.

Aku macam percaya. Castello pun sama. Macam biasa, bolasepak Malaysia sukar diduga. Hanya di Malaysia sekumpulan pemain muda yang tidak dikenali boleh memporak-perandakan para otai yang sudah berpuluh cap mewakili negara.

Untuk 30 minit pertama Selangor diperbudakkan oleh Kuala Lumpur, walaupun ada Safee Sali, Hardi Jaafar dan Liew Kit Kong dalam skuad Red Giants. Amri Yahyah juga tidak menonjol, mungkin kecewa kerana gagal berpindah ke pasukan bawahan EPL, Liverpool.

Namun pengalaman seperti biasa menjadi faktor penentu. Kembali menyusun strategi, Selangor menyamakan kedudukan pada minit ke-35 hasil tandukan Safee Sali.

Castello tengok aku dan sengih. “Aku dah cakap, seri je la kot.”

Tamat separuh masa pertama, aku dan Castello macam biasa pergi membeli burger stadium. Berniaga burger di stadium pun masa kini sudah tidak sehebat dulu, hujah Castello. “Dulu member aku seorang boleh jual dekat 1000 burger. Dalam satu stadium mungkin ada 10 peniaga burger. Sekarang ni, nak jual 100 pun susah padahal yang berniaga kau seorang je.”

Aku mengangguk sambil membaham burger stadium di dalam genggaman. Dagingnya tidak berapa masak, macam dulu-dulu. Pelik juga, buat burger tak banyak tapi masih juga susah nak pastikan daging masak sepenuhnya?

Separuh masa kedua bermula dan pemain kedua pasukan berarak masuk ke padang. Aku menghabiskan sisa burger kurang masak dan menyedut habis Milo ais kurang susu yang dijual dalam cawan kertas. Masih ada saki-baki ketulan ais yang memberatkan cawan kertas, sesuai untuk dibaling ke padang macam biasa.

Entah apa agaknya amanat K Devan, Selangor pantas memulakan permainan dengan serangan (meminjam kata Tuan Haji Hasbullah). Tak lama, Amri ‘Red Devils Slayer’ Yahyah meledakkan gol kedua Selangor pada minit ke-59.

Castello tepuk dahi. Aku tersengih macam kambing. “Kalau Rashid Hassan yang jadi goalie mesti selamatkan?” aku kata dengan niat membakar sate.

“Kalau ada supersub, masa inilah paling sesuai Razip Ismail bawa masuk,” Castello berhujah macam pengulas di ESPN. “A pair of fresh legs will surely change the rhythm of the game,” bukan kata Castello, tapi aku pinjam ungkapan dari FIFA10.

Tapi malangnya supersub malam ini bukan dari Kuala Lumpur. K Devan membawa masuk R Surendran yang pada perlawanan sebelum ini menjaringkan gol kemenangan Selangor menentang Negeri Sembilan.

Ibarat supersub Selangor dulu-dulu, Rusdi Suparman, R Surendran tanpa membuang masa meledakkan gol minit ke-78 dan ke-88 untuk Selangor selesa di depan.


R Surendran = R Suparman?


4-1. Red Giants dengan mudah menundukkan The Hawks.

Dalam perjalanan balik ke Kuala Lumpur menempuh Federal Highway, Castello berhujah lagi.

“Orang FAM, orang politik semua sembang je kencang. Bila Malaysia menang pingat emas Sukan Sea semua sibuk bagi cadangan dan idea bernas kononnya. Tapi semua cadangan dan idea bukan boleh pakai pun, macam hantar pemain pergi Eropah. Masalah yang sebenar di akar umbi. Kenapa bolasepak khususnya di Kuala Lumpur jatuh? Sebab anak muda KL tak dapat main bola. Ada tanah kosong kena rembat dengan cukong. Padang bola tukar jadi kondominium, jadi shopping complex tak pun lagi hina jadi car park. Sana-sini sibuk nak buat padang golf, habis tu padang bola apa cerita? Kalau ada pun padang milik dewan bandaraya atau majlis sukan nak kena bayar, nak kena tempah 2 atau 3 bulan awal. Nak main kat padang sekolah kena halau dengan Pak Guard. Susah nak main bolasepak di KL. Bila anak muda tak ada padang main bola mulalah merempit, hisap gam, hisap dadah tak pun hisap buah dada anak jiran. Apa cerita bai?!”


Aku diam je. Betul apa yang Castello cakap. Sekarang ini pun di Kuala Lumpur mahu bermain bolasepak memang susah. Lalu futsal jadi pengganti. Tapi futsal tak sama macam bolasepak dan main futsal kena keluar duit. Mana padang bolasepak awam? Padang yang anak-anak muda boleh bermain dengan bebas jam 5 petang setiap hari?

Apa cerita, DBKL?

Nota kaki: Memang lambat gila laporan Derbi Lembah Klang. Sengaja aku simpan dulu sebab nak letak atas pos Pipiyapong dan laporan kelab cikai, Arsenal.

50

Debar Derbi Sedunia - Bila 22 Orang Arab Dan Yahudi Berebut Bola

LuciusMaximus Rabu, Januari 13, 2010
Kali pertama diberikan tugasan rumit ini, aku tidak berapa yakin. Lima kali Sokernet hantar permohonan, kena tolak. Ada sekali tu Pipiyapong pula yang hantar secara peribadi, sekali dengan surat sokongan dari Sultan Bola (sebab Pipi budak Kuala Lipis), pun kena tolak juga. Alasan Wisma Putra muka Pipi ada iras-iras Taliban.

Last sekali aku sukarelakan diri untuk pergi Wisma Putra. Direct pergi jumpa YB Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Luar Negeri. Masuk pejabat Datuk Seri, aku tak buang masa terus berikan hujah-hujah dan dalil kenapa aku mesti pergi. Datuk Seri muka poyo je.

“Tak boleh.”

Aku give up. Pasrah dengan kata putus Datuk Seri, aku pun minta permisi. Kena pantas ke KLIA aku cakap, balik Sabah.

Tiba-tiba Datuk Seri berubah wajah. “Kau urang Sabah ka?”

Aku dengan rilek menipu, “Ya bah, sia urang Sabah juga macam kau.”

“Astaga napa ko tia cakap awal-awal sama sia. Bah marilah sini itu borang sia kasi sign sama kau.”

“Ui buli ka?” aku tanya minta kepastian.

“Buli ba kalau kau!”

Dan hasilnya aku menjejakkan kaki ke satu-satunya negara yang tidak diiktiraf oleh kita, Israel.

Israel, sama seperti kebanyakan negara lain di dunia, mempunyai liga bolasepak mereka sendiri. Di panggil Ligat HaAl, atau nama Inggerisnya Israeli Premier League (IPL). Enam belas kelab bersaing setiap musim merebut kejuaraan liga dengan juara liga layak ke Champions League.

Tumpuan kali ini pastinya kepada perlawanan yang diberi jolokan Derbi Arab-Yahudi. Bnei Sakhnin, kelab Arab Israel yang paling berjaya bertandang ke Beiter Jerusalem, kelab Yahudi sayap kanan dan salah satu dari Ha-Reviya ha gdola (Big Four) dalam bolasepak Israel.


Bnei Sakhnin yang bermarkas di Sakhnin (sebuah penempatan Arab) ditbuhkan pada tahun 1991 hasil gabungan dua kelab, Maccabi Sakhnin dan Hapoel Sakhnin. Kali pertama bersaing di IPL dalam musim 2003/04, satu-satunya kejuaraan yang pernah dikecapi Bnei Sakhnin ialah menjuarai State Cup musim 2003/04. Ia satu rekod kerana belum pernah lagi sebelum ini mana-mana kelab Arab menjuarai sebarang kejohanan bolasepak Israel.

Berbeza pula dengan Beiter Jerusalem yang merupakan salah satu kelab elit Israel. Kelab dari ibu negara ini merupakan penghuni tetap IPL, telah menjuarai liga sebanyak 6 kali dan menjulang State Cup 7 kali. Mereka yang popular dengan jolokan The Menorah atau Lions From The Capital ibarat langit dengan bumi bezanya jika dibandingkan dengan Bnei Sakhnin.

Apa yang membuatkan pertemuan kedua kelab ini menjadi Derbi Arab-Yahudi ialah latar belakang mereka. Bnei Sakhnin sebagai kelab yang di dominasi warga Israel keturunan Arab dilihat sebagai kelab Arab nombor satu. Kejayan mereka menjulang State Cup merupakan satu kejutan dan rekod manakala stadium mereka, Doha Stadium dibina hasil sumbangan kerajaan Qatar.


Bnei Sakhnin mendapat sokongan padu dari Pak Arab berjubah


Kejayaan Bnei Sakhnin dilihat sebagai ancaman kepada hegemoni kelab-kelab Yahudi dalam bolasepak Israel. Dan ancaman itu dilihat sebagai sangat serius terutamanya oleh Beitar Jerusalem yang dipelopori oleh golongan sayap kanan dan pendukung Zionisme.

Lagenda Argentina dan Tottenham Hotspur Ossie Ardiles pernah menggelar Beiter Jerusalem sebagai kelab paling rasis atau perkauman dalam bolasepak. Mana tidak, salah satu polisi kelab tersebut ialah menolak kemasukan mana-mana pemain keturunan Arab dalam skuad mereka.


Penyokong Beitar Jerusalem, macam Yahudi mabuk minum Brandy, meminjam dialog filem P Ramlee


Beitar Jerusalem memang terkenal sebagai kelab anti-Arab di Israel. Gelanggang mereka, Teddy Stadium digelar Gehinom yang bermaksud neraka dan setiap kali ada pemain Arab bertandang sorakan “Death to Arabs” akan kedengaran. Beitar juga mendapat sokongan padu dari pemimpin Israel, Ehud Olmert dan Benjamin Netanyahu adalah antara peminat Beitar dan sering dilihat dalam kotak VIP ketika perlawanan.

Selamat Datang Ke Gehinom

Bnei Sakhnin bertandang ke Teddy Stadium tanggal 11 Januari 2010, memenuhi jadual IPL dengan kelab Arab ini terperosok di dasar liga dengan hanya 13 mata dari 16 perlawanan. Sementara lawan mereka Beitar Jerusalem selese di kelompok 5 teratas liga, 24 mata dari 16 perlawanan.

Atmosfera Derbi Arab-Yahudi kali ini sedikit terjejas kerana beberapa faktor. Prestasi buruk Bnei Sakhnin musim ini gagal menarik penyokong Arab mereka ke stadium. Manakala Beitar Jerusalem pula tidak segah dulu, kehilangan kebanyakan bintang mereka semenjak pemilik kelab, Arkadi Gaydamak melepaskan pegangan sahamnya tahun lepas.

Perlawanan bermula sebaik sahaja selesai nyanyian lagu kebangsaan Hatikvah dan wisel ditiup pengadil. Kedua-dua pasukan bermain dengan agak berhati-hati walaupun penyokong Beitar ghairah mahu melihat pasukan mereka mengasak Bnei Sakhnin.

Jentera serangan Beitar bergantung kepada Toto Tamuz dan Idan Tal. Tetapi prestasi kedua pemain ini jelas tidak sepadan dengan nilai gaji mereka.

Ketika perlawanan kelihatan akan membuatkan penonton mati kebosanan, pertahanan Bnei Sakhnin, Mahran Abu Raiya melakukan kesilapan besar. Hantaran lintang dari pemain Beitar Avi Reikan disambut oleh Mahran Abu Raiya yang cuba untuk menendang bola keluar. Tetapi sayangnya tendangan beliau terpesong dan bola masuk ge gawang Bnei Sakhnin pada minit ke-15.

Gol sendiri Mahran Abu Raiya sekaligus mengubah rentak permainan. Terdesak, penyerang muda Bnei Sakhnin dari Togo, Arafat Djako pantas mengatur gerak tetapi tendangan beliau tersasar dari pintu gol.

Kedua-dua pasukan terus menyerang satu sama lain tetapi kedudukan gol tidak berubah hingga ke tamat separuh masa pertama. Masuk babak kedua, perlawanan bermula lebih perlahan dengan kedua-dua pasukan lebih berminat mengasari satu sama lain.

Hingga wisel penamat ditiup, tidak ada lagi gerakan menarik dari kedua pasukan. Dua kad kuning dilayangkan kepada Khaled Khalaila (Bnei Sakhnin) dan Idan Tal (Beitar Jerusalem). Haim Banoon (Bnei Sakhnin) pula dilayangkan kad merah oleh pengadil.

Secara keseluruhan perlawanan membosankan oleh kerana kurangnya minat kedua-dua pasukan untuk bermain bolasepak (mereka lebih minat berperang barangkali). Para penonton juga tidak membantu, terutama sekali peminat Beitar Jerusalem yang lebih berminat melaungkan slogan “Death to Arabs” dari menyokong pasukan sendiri.

Kemenangan 1-0 meletakkan Beitar Jerusalem di tangga ke-5 liga (27 mata) tetapi masih ketinggalan jauh dibelakang pendahulu Maccabi Haifa (48 mata). Bnei Sakhnin pula terperosok di tangga ke-15 liga dan berada dalam zon penyingkiran bersama satu lagi kelab Arab, Maccabi Ahi Nazareth.

Nota kaki: Arab dengan Yahudi kalau duduk dalam satu padang bola pun mereka lagi suka bergaduh.

YB Datuk Seri Anifah Aman - Dilaporkan masih belum berminat mengikut jejak Bung Mokhtar Radin

39

Debar Derbi Sedunia - Malang Tidak Berbau

LuciusMaximus Isnin, Januari 11, 2010
“Selamat datang Pak!,” sapa anak muda berjersi biru tua yang tersenyum girang sebaik aku turun dari bas.

Selamat datang ke Malang, Provinsi Jawa Timur, Indonesia. Harapan aku selama berada di sini tidak ada kejadian malang yang akan menimpa, macam gempa bumi atau gunung berapi. Bak kata orang, malang tidak berbau. Tapi di sini di kota Malang, bau dia memang lain macam.

Yang menyambut aku ialah Susilo, anak muda Malang yang bangga dengan gelaran ‘Arek Malang’ atau anak jati Malang. Dan macam kebanyakan anak muda Malang yang lain, Susilo bangga menjadi seorang Aremania.

Aremania merujuk kepada kelompok penyokong Arema Malang, kelab bolasepak yang bermarkas di Malang. Ditubuhkan pada 11 Ogos 1987, kelab yang popular dengan jolokan Singo Edan (Singa Gila) ini bukan saja kelab paling popular di Malang, malahan juga salah satu kelab popular dalam bolasepak Indonesia, atau nama tempatannya, sepakbola.


Stadion Kanjuruhan - kandang Arema dengan kapasitas 40,000


“Di sini pak, kami semua gak butuh sama klub yang lain, hanya Singo Edan dalam jiwa kami,” tegas Susilo penuh bangga, mula-mula tadi aku ingatkan dia mencarut dengan aku.

Sememangnya Arema kelab paling popular di Malang. Tapi ia bukan satu-satunya kelab sepakbola di sini.


Jauh lebih otai dari Arema ialah Persatuan Sepak Bola Malang atau ringkasnya Persema Malang. Kelab yang ditubuhkan semasa era Perserikatan (era amatur bolasepak Indonesia). Lahir pada 20 Jun 1953 kelab yang diberi jolokan Laskar Ken Arok dianggap saudara tua kepada Arema. Penyokong Persema pula digelar Ngalamania.


Stadion Gajayana - kandang Persema dengan kapasitas 30,000


Tapi biarpun ditubuhkan lebih awal Persema tidak sepopular Arema. Antara faktor penyebab ialah Persema sepanjang penubuhannya belum pernah memenangi sebarang kejuaraan peringkat tertinggi, berbanding Arema yang menjulang Piala Indonesia tahun 2005 dan 2006.

Lantas, berjalan di sekitar Malang ianya pemandangan yang normal jika kita terlihat patung atau gambar singa pada dinding bangunan dan penduduk Malang berjersi biru (Persema pula warna merah jersinya). Semangat Singo Edan ada dimana-mana. Malah Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) pernah mengiktiraf penyokong Arema sebagai kelompok penyokong terbaik Indonesia.

Patung Singo Edan ada di mana-mana saja, yang tiada ialah Harimau Malaya


Dan sejauh mana para Aremania sanggup berdiri di belakang kelab kesayangan mereka teruji sekali lagi tanggal 10 Januari 2010. Sebagaimana Rangers dan Celtic berentap dalam Derbi Old Firm, Arema dan Persema berentap dalam Derbi Malang memenuhi jadual perlawana Liga Super Indonesia.

Duel Gengsi

Beberapa hari sebelum perlawanan media Indonesia sudah mula bakar-membakar antara kedua kelab, atau klub. Pertarungan kelab abang-adik ini diberi jolokan Duel Gengsi. Arema setakat ini unggul di puncak klasemen dengan 30 mata manakalah Persema di tangga ke-4 dengan 22 mata.

Namun begitu, malang menimpa Arema apabila masalah kewangan dilaporkan melanda kelab tersebut. Beban hutang dilaporkan mencecah Rupiah 1.6 miliar (juta) yang perlu dilangsaikan sebelum akhir Januari. Kegagalan berbuat demikian mungkin membuatkan PSSI memaksa Arema bergabung saja dengan Persema, sesuatu yang ditolak keras oleh kelompok Aremania.

Lanjutan dari hal tersebut, kelompok Aremania menggembleng tenaga bersama pihak pengurusan untuk mengumpul dana buat melangsai hutang. Duel Gengsi menentang Persema dijadikan sandaran untuk mengutip dana secukupnya.

“Kami optimistis dapat menyelesaikannya sesuai kesepakatan,” kata Gunadi Handoro, Direktur Utama Arema.

Kempen ‘Save Arema’ dilancarkan malam sebelum Duel Gengsi. Kelompok Aremania diberitakan bakal membeli 2 papan iklan di Stadion Kanjuruhan ketika Duel Gengsi nanti. Selebihnya pula disapu bersih oleh perusahaan dan toko-toko sekitar Malang.

“Kami harus menang untuk membalas kebaikan hati dan dukungan Aremania,” kata Robert Alberts, pengurus Arema. Namun keyakinan penuh Arema tetap disangkal oleh Subangkit, pengurus Persema.

“Baru bisa dipastikan menjelang permainan. Silakan dilihat saja nanti.”

“Meskipun kami sudah mengantongi kekuatan Arema sebagai tim terkuat saat ini, kami tetap harus berjuang maksimal untuk menorehkan sejarah manis dengan memenangkan pertandingan dari tangan tim Singo Edan. Kami juga akan fokus pada latihan teknik, strategi dan kerja sama antarlini karena lawan yang kami hadapi nanti adalah tim yang sangat solid dan memiliki banyak kelebihan secara individual maupun kolektivitas pemainnya,” tegas Subangkit.

Aku mula menggaru kepala, macam nonton sinetron pun ada. Nasib Susilo disebelah untuk menjadi penterjemah.

Ancaman Arema bakal datang dari gandingan pemain Singapura, Noh Alam Shah dan Muhammad Ridhuan. Sementara gelandangan M Fachruddin bakal mengarkiteksi gebrakan Arema dengan jendral pertahanan Pierre Njanka dari Cameroon mengawal kebobolan. Aku pun dah macam sinetron.

Persema juga tidak kurang hebat. Kapten pasukan Bima Sakti bakal mengepalai serangan dengan dibantu pemain sayap M Karim dan Siswanto. Teguh di depan ialah penyerang Jaya Teguh Angga dan pemain Brazil, Jairon Feleciano.

Kedua-dua pasukan pernah bertemu sebanyak 6 kali setakat ini, semuanya dimenangi oleh Singo Edan. Maka tidak hairanlah jika Arema berniat mahu mengekalkan rekod bersih mereka sementara Persema berhajat menoreh sejarah manis Arema.

Singo Edan – Laskar Ken Arok

Sore hari minggu 10 Januari 2010, Stadion Kanjuruhan, kandang keramat Arema mula penuh. Empat puluh ribu yang hadir adalah Aremania manakala cuma 550 berdarah Ngalamania. Menyambut kehadiran aku, Susilo dan puluhan ribu peminat sepakbola yang lain ialah 1050 personel pengaman pertandingan. Sebahagian besar darinya ialah Pak Polisi.

Stadion Kanjuruhan, bukan Stadium Shah Alam

Tidak ketinggalan, 42 papan iklan mengitari lapangan dan 17 lagi tertempel di tembok stadium, jualan papan iklan tertinggi dalam sejarah liga Indonesia. Dua dari papan iklan itu milik Aremania, dibayar khusus untuk membantu menyelamatkan kelab kesayangan dari krisis kewangan.

Aku dan Susilo duduk bersama di tribun bahagian timur Stadion Kanjuruhan. Tribun (atau juga curva, stand dan kop) bahagian timur ini merupakan salah satu kawasan penyokong fanatik Aremania. Di setiap tribun akan ada dirigen atau capo yang mengokestra sokongan peminat.

Dirigen yang diinspirasikan dari konsep Capo di Itali


Perlawanan bermula sebaik wasit pertandingan (pengadil) Jimmy Napitupulu meniup peluit (wisel).

Arema terlebih dulu menguji gawang Persema pada minit ke-12. Umpanan lambung Pierre Njanka disambut baik Noh Alam Shah yang menanduk deras melampaui penjaga gol Komang Putra tetapi malang bola membentur badan pemain pertahanan Persema, Robbie Gaspar.

Laskar Ken Arok bagaimana pun mengatur gerak balas. Giliran Siswanto memberi umpanan lambung yang disambut oleh Jairon Feliciano yang kemudian pantas menjebol gawang Singo Edan, kesan dari kesilapan pemain pertahanan Purwaka Yudi.

Macam puaka.

Jaringan awal Persema membuatkan 40,000 Aremania yang memadati stadium langsung mematung menyaksikan pukulan tersebut. Lima ratus lima puluh Ngalamania pula melompat sakan tak ingat dunia.

Kaget akibat kebobolan awal akibat serangan pasukan tamu, tuan rumah Arema. Serangan berantai dilancarkan ke pertahanan Persema. Hasilnya pada minit ke-20 Muhammad Ridhuan berjaya memberi hantaran yang ditanduk Ahmad Bustomi kepada Noh Alam Shah. Penyerang Singapura itu menyelesaikan si kulit bundar (nama timangan untuk bola dalam arena sepakbola Indonesia) melalui salto (lipat gunting) ke dalam gawang Persema.

Tergamam dengan gol cantik, barisan Laskar Ken Arok mula kucar-kacir. Sementara Singo Edan terus menggila ibarat singa di Afrika yang mempunyai penyakit mental.

Minit ke-32, Singo Edan di depan. Gelandangan M Fachruddin berjaya menerobos pertahanan Persema dan melepaskan tembakan yang tak bisa dijangkau Komang Putra. Gol ke-2 Arema disambut dengan gegar gempita Stadion Kanjuruhan. Susilo disebelah melompat sakan dan Aremania kembali menyanyi riang.

Selesa di depan, Arema melambatkan rentak. Kedudukan 2-1 kekal bertahan hingga turun minum (istilah Indonesia untuk waktu rehat).

Aku dan Susilo juga bergegas mengambil kesempatan ini untuk turun minum di gerai stadium di bawah.

Usai turun minum, perlawanan kembali bersambung tetapi melambat. Arema lebih banyak menguasai si kulit bundar manakala Persema kelihatan seakan tertekan bermain di kandang lawan.

Peluang nampak jelas buat Arema pada minit ke-69 tapi sayang tendangan Ahmad Bustomi sedikit tersasar. Persema juga mempunyai peluang keemasan pada minit ke-77 tapi tendangan deras Brima Pepito ditepis oleh kiper Arema, Markus Horison.

Jimmy Napitupulu (baju kuning)


Ketika perlawanan kelihatan bakal berkesudahan 2-1, Arema sekali lagi mengatur gerak. M Fachruddin, Muhammad Ridhuan dan Noh Alam Shah berada segaris depan gawang lawan untuk kerjasama yang menarik (apa yang penting? Kerjasama!). Hasilnya gol ketiga Arema melalui Noh Alam Shah pada minit ke-83. Buat kali ketiga juga Komang Putra mengutip si kulit bundar dari dalam gawang.

Kejayaan menjaringkan gol ke-3 membuatkan Aremania di Stadion Kanjuruhan bersorak gembira. Persema cuba untuk merapatkan jurang tapi kedudukan gol kekal hingga ke wisel penamat. Sekali lagi Arema mengungguli derbi Malang.

Tiga kartu kuning dilayangkan wasit Jimmy Napitupulu, dua untuk Persema dan satu buat Arema.

Pengurus Arema, Robert Alberts berpuas hati dengan kemenangan yang menjamin kedudukan Arema di puncak klasemen.

“Saya salut dan bangga dengan mereka,” ujarnya.

Perhitungan awal juga menunjukkan sejumlah Rupiah 1 miliar berjaya dipungut hasil jualan tiket. Pihak pengurusan Arema memaklumkan bahawa semua hasil pungutan akan digunakan untuk membayar beban hutang.

“Ya, moga Arema selamat hendaknya dari dibubar PSSI dan sukses selalu dalam olahraga sepak bola,” doa Susilo dan puluhan ribu Aremania yang lain.

Aku mengharapkan yang sama. Semoga Singo Edan terus hidup di kota Malang.


Nota kaki: Sokernet mengalu-alukan kedatangan Obefiend sebagai pengulas Sokernet dan kem Chelsea, sebab aku pun sibuk dengan tugasan antarabangsa. Lepas ni nak pergi Israel pula, tu pun kalau dapat kelulusan khas Wisma Putra.

34

Di Glasgow, Bolasepak Bukan Sekadar Bolasepak

LuciusMaximus Isnin, Januari 04, 2010
Satu pihak diberi jolokan ‘Scotland’s shame’, manakala satu pihak lagi dituduh pernah menyalakan lampu limpah stadium mereka ketika Perang Dunia Ke-2 untuk membantu kapal terbang pengebom Nazi Jerman, walaupun lampu limpah itu hanya wujud sekitar tahun 1959. Selamat datang ke Glasgow, Scotland.

Di Scotland secara amnya, dan Glasgow khususnya, hanya ada dua kelab bolasepak yang utama. Selebihnya hanya kelab lain-lain. Dan kedua-dua kelab tersebut biar bertapak di bandaraya yang sama tetapi ibarat syurga dan neraka perbezaannya.

Di satu sudut ialah Rangers FC, juara liga Scotland sebanyak 52 kali, Scottish Cup (33) dan League Cup (25). Manakala di sudut yang satu lagi ialah Celtic FC, juara liga Scotland (42), Scottish Cup (34) dan League Cup (14). Rangers juga pernah menjulang Cup Winners’ Cup pada tahun 1972 (kini diganti Europa League) manakala Celtic menjulang European Cup tahun 1967 (kini Champions League).

Secara kolektif, kedua-dua kelab ini diberi jolokan Old Firm. Secara kolektif juga mereka menyapu bersih lebih 90% kejuaraan domestik Scotland. Dominasi duopoli mereka sangat ketara hinggakan kali terakhir kelab Scotland selain dari Rangers dan Celtic memenangi kejuaraan liga ialah pada tahun 1984/85, oleh Aberdeen FC.

Tetapi duopoli seperti lazimnya melibatkan pertentangan dua kuasa yang berbeza. Macam kebaikan dan kejahatan, syurga dan neraka, Amerika Syarikat dan Soviet Union mahupun Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat.

Rangers sinonim dengan Union Jack dan penyatuan Britain

Rangers secara tradisinya menerima sokongan padu dari komuniti Protestant di Glasgow. Secara politiknya pula mereka dikaitkan dengan para Unionist dan Ulster Loyalist, kelompok yang mendukung penyatuan Scotland dan Ireland Utara dalam United Kingdom. Pengibaran bendera Union Jack dan Ulster Banner adalah lumrah dalam mana-mana perlawanan Rangers. Sentimen sektarianisme yang mendalam ini menyemarakkan semangat perkauman dan anti-Irish di kalangan penyokong Rangers, hingga lagu seperti Famine song (yang merujuk kepada kebuluran Ireland tahun 1845 dan efek emigrasi bangsa Irish ke Scotland) menjadi sorakan penyokong Rangers bila bertemu Celtic.

Celtic cenderung kepada pergerakan Irish Republican


Manakala Celtic pula menerima sokongan tradisi dari kelompok Katolik dan komuniti Irish di Glasgow. Mereka mempunyai kaitan rapat dengan pergerakan politik Irish Republican, malah hingga ke tahap dikaitkan dengan Irish Republican Army (IRA). Pengibaran bendera Irish Tricolour adalah lumrah di kalangan penyokong Celtic dan mereka menggelar seteru mereka sebagai Huns dan Scotland’s shame, merujuk kepada sifat hooligan dan perkauman Rangers.

Lalu, bila Celtic dan Rangers bertembung, ia bukan sekadar bolasepak tetapi juga persoalan agama, politik dan nasionalisme.

Perlawanan pertama buat Celtic dan Rangers untuk tahun 2010 ialah sesama mereka sendiri. Rangers turun dengan kelebihan 7 mata selaku pendahulu SPL manakala Celtic perlukan kemenangan buat menghalang kejuaraan SPL kekal di Ibrox untuk musim kedua berturut-turut.

Kerusi kosong di tengah bukan kerana tiket tidak laku dijual


Kedua-dua pasukan bertembung semalam di Celtic Park, derbi Old Firm kedua musim ini yang disaksikan oleh 58,300 penonton.

Rangers bertandang dengan barisan skuad yang diperkuatkan dengan kehadiran Kris Boyd (pendahulu senarai penjaring SPL dengan 19 gol) yang bergandingan dengan Nacho Novo dan Kyle Lafferty. Barisan pertahanan Rangers juga tidak kurang hebat, dengan rekod bolos terendah SPL setakat ini dengan kapten David Weir menjadi tonggak benteng dan penjaga gol Allan McGregor cemerlang di gawang.

Celtic pula yang telah tumpas 3 kali sebelum ini, termasuk kekalahan 2-1 kepada Rangers di Ibrox pada 4 Oktober 2009, turun dengan harapan merapatkan jurang perbezaan mata dengan Rangers. Berada di tangga ke-2 SPL pemburuan gol disandarkan kepada gandingan Perancis-Greece, Marc-Antoine Fortune dan Georgios Samaras. Umpanan bola menjadi tugas pemain tengah Aiden McGeady yang cemerlang dengan 6 assist setakat ini. Benteng pertahanan menjadi isu utama buat pengurus Tony Mowbray, bolos 18 kali yang mengundang persoalan mengenai masa depan penjaga gol Poland, Artur Boruc.

Terdesak, Celtic menguasai permainan dan di depan seawal minit ke-19 bila Marc-Antoine Fortune menanduk bola masuk ke gawang Rangers. Tetapi pengadil Steve Conroy yang kali pertama mengadili derbi Old Firm membatalkan jaringan atas alasan kekasaran ke atas penjaga gol Rangers, Allan McGregor oleh Fortune.

Terlebih dulu sebelum itu penyerang Rangers, Nacho Novo terpaksa dikeluarkan awal pada minit ke-13 kerana kecederaan dan diganti oleh Maurice Edu.

Peluang dilihat terbuka buat Celtic apatah lagi dengan Kris Boyd dikekang baik oleh barisan pertahanan. Barry Robson meledakkan lipatan gunting pada minit ke-29 tetapi ianya tinggi melepasi palang. Beberapa minit kemudian Robson sekali lagi menanduk hasil hantaran lintang Andres Hinkel tetapi sayang bole terkena palang pintu gol Rangers.

Penguasaan Celtic babak pertama sangat jelas dengan Rangers hanya mampu bertahan. Georgios Samaras dilihat mempunyai peluang terbaik sebelum waktu rehat apabila melepasi pertahanan Rangers tetapi tendangan beliau gagal menepati sasaran.

Babak kedua bermula dengan Celtic terus menghuru-harakan pertahanan Rangers.

Hilang sabar, Tony Mowbray membawa masuk penyerang Australia Scott McDonald pada minit ke-71. Lapan minit berselang, McDonald membalas kepercayaan Mowbray.

Tendangan melengkung Aiden McGeady disambut baik McDonald yang menanduk masuk melepasi penjaga gol Rangers. Dengan perlawanan berbaki 11 minit peluang dilihat cerah untuk Celtic mendapatkan 3 mata.

Tetapi Rangers kembali bangkit 2 minit kemudian. Tendangan sudut oleh Steven Davis ditanduk masuk oleh Lee McCulloch yang mengatasi pemain pertahanan Celtic untuk gol penyamaan.

McCulloch muncul wira Rangers


Tertekan, Celtic kembali mengatur gerak di saat akhir dan melakukan serangan berantai ke atas Rangers.

Georgios Samaras sekali lagi mempunyai peluang terbaik buat Celtic. Minit ke-85, penyerang Greece ini melepasi benteng kiri Rangers dan meledakkan tendangan padu kaki kanan. Tetapi McGregor cemerlang di gawang dan menebus kegagalan beliau sebelum ini bila mendepakan tangan untuk menepis bola keluar.

Samaras frust menonggeng


Usai perlawanan, Rangers membawa pulang satu mata yang bukan sepatutnya milik mereka. Celtic jelas menguasai permainan dengan 15 percubaan gol berbalas 2 dari Rangers dan 6 tendangan tepat ke sasaran berbalas hanya 1 oleh Rangers.

Tetapi kebuntuan di depan jaring terus menghantui Celtic dan Tony Mowbray.

Derbi Old Firm seperti biasa diserikan dengan dengan kekasaran bertali arus. Sebanyak 28 foul dari kedua-dua pasukan dan 4 kad kuning pula dilayangkan kepada pemain Rangers. Ribuan kata-kata kesat berbau keagamaan dan perkauman bertukar ganti antara penyokong Celtic dan Rangers.

Dengan keputusan seri ini Rangers kekal mendahului SPL dengan 44 mata manakala Celtic di tangga ke-2 dengan 37 mata. Pasukan lain-lain sekadar melengkapkan jadual.

Nota kaki: McGregor, McGeady, McCulloch dan McDonald. Asal nama Scotland mesti ada Mc di depannya. Buat aku rasa lapar nak makan McD tengah hari nanti.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...