ANDA SEDANG MEMBACA

50

1989: Ngap Sayot Menggoncang Malaysia!

Lucius Maximus Khamis, Oktober 14, 2010 , , , ,

(Kisah Headhunters yang sebenar)

Sinopsis

Tragedi di Shah Alam pada 12 Oktober lepas merupakan satu lagi episod kontroversi dalam saingan Piala Malaysia. Ia mengajar kita semua satu perkara, setaik mana pun bolasepak Malaysia tetapi bila tiba musim Piala Malaysia ia lebih dari sekadar soal hidup dan mati. Ia soal maruah negeri serta rakyat dan bolasepaknya. Hatta sehingga sekujur tubuh kaku yang diliputi bendera negeri.

Di sebalik itu semua, aku teringat pada insiden tahun 1989. Walaupun tidak ada yang maut tetapi insiden yang berlaku pada masa itu hampir menghancurkan Persekutuan Malaysi. Aku masih ingat menontonnya di depan kaca televisyen bagaimana Sarawak membawa semangat Ngap Sayot ke tahap yang tidak pernah terjangkau oleh mana-mana pasukan sehingga ke hari ini.

Ah, itulah namanya bolasepak!

Awang Mahyan Dan Ngap Sayot

Awang Mahyan Awang Mohamad. Ingat nama ini. Kalau aku pernah diberi kuasa menentukan pengurusan skuad Harimau Malaya dulu, akan aku letak Dato’ Paduka Ahmad Basri Akil sebagai pengurus dan Awang Mahyan sebagai jurulatih. Individu yang pertama buat mengurus pasukan secara cekap dan jujur, yang kedua pula untuk melatih dan menampar mana-mana pemain yang kurang ajar. Atau suka kahwin dengan artis di Siam.

Belum pernah ada negeri dari Malaysia Timur (atau Borneo) yang menjuarai Piala Malaysia. Malahan layak ke perlawanan akhir juga tidak pernah hinggalah Sabah melakukannya pada tahun 1996. Tetapi ketika penghujung dasawarsa 1980-an Sarawak muncul sebagai sebuah pasukan bolasepak yang digeruni.

Individu di sebalik kebangkitan Sarawak ialah jurulatih bernama Awang Mahyan. Dilantik sebagai jurulatih pada 1988, Awang Mahyan adalah susuk yang bertanggungjawab memperkenalkan slogan keramat ‘Ngap Sayot’. Beliau merevolusikan pasukan bolasepak Sarawak dan terkenal sebagai jurulatih yang tegas dan berdisiplin. Sebaik memegang tugas, Awang Mahyan berikrar untuk terjun ke Sungai Rajang sekiranya Sarawak layak ke Piala Malaysia (zaman itu hendak layak ke Piala Malaysia bukan mudah, hanya 8 pasukan sahaja boleh layak)

Dalam musim pertama sebagai jurulatih, Awang Mahyan berjaya memimpin Sarawak ke separuh akhir Piala Malaysia. Mereka disekat oleh Kedah, tetapi tidak sebelum kontroversi pertama apabila 30,000 penyokong Sarawak memenuhi Stadium Negeri yang berkapasiti hanya 17,000 hingga penonton melimpah masuk ke padang ketika perlawanan separuh akhir kedua. Dan Awang Mahyan pula dengan selamba rock masuk ke tengah padang ketika perlawanan berlangsung untuk bertekak dengan pengadil yang dikatakan berat sebelah. Perlawanan dibatalkan, Sarawak dan Kedah dipaksa bermain di Stadium Nasional, Singapura kemudiannya.

Seperkara yang perlu kita semua ketahui (khusus buat mereka di Semenanjung) hubungan Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak sentiasa berada di atas garis yang sensitif. Dalam dasawarsa 1980-an khususnya, ada banyak isu nasional yang menjadi pertikaian antara kerajaan Persekutuan di Kuala Lumpur dengan Sarawak. Dari hal kuasa politik hinggalah sukan. Malahan pada tahun 1988 itu sudah hampir sepuluh tahun lamanya sejak kali terakhir anak Sarawak dipilih bermain untuk skuad bolasepak Malaysia (James Yaacob melakukannya buat kali terakhir hinggalah Abu Bakar Amran terpilih pada 1989).

1989, Tahun Baru Dan Semangat Baru

FAM pantas bertindak menghukum Awang Mahyan atas perbuatan beliau ketika Piala Malaysia 1988 dan mengenakan penggantungan jurulatih selama setahun berkuatkuasa pada 7 Januari 1989. Pun begitu, Sarawak FA bertindak menggunakan ‘technical loophole’ yang ada dan melantik Awang Mahyan sebagai ‘pengarah latihan’, sekaligus mengekalkan khidmatnya kepada Sarawak tetapi tidak boleh terlibat secara langsung dengan perlawanan di bawah FAM, baik liga atau Piala Malaysia.

Tahun 1989 sebenarnya menandakan era baru bolasepak Malaysia. FAM mengisytiharkan musim bolasepak 1989 sebagai permulaan era semi-pro, era separa profesional di mana pemain terdiri dari profesional yang bermain sepenuh masa dan amatur yang bermain secara sambilan, serta penggunaan pemain import buat mana-mana pasukan yang berminat.

Tanggal 15 April 1989, hari yang sama berlakunya Tragedi Hillsborough yang mengorbankan 96 penyokong kelab bawahan Liverpool, FAM pula mengumumkan jadual Liga Semi-Pro musim pertama, terbahagi kepada 2 divisyen dengan sepak mula 30 Jun buat Divisyen 2 dan 3 Julai buat Divisyen 1. Sarawak bermain dalam Divisyen 1 bersama Selangor, Johor, Pulau Pinang, Kedah, Pahang, Singapura, Kelantan dan Kuala Lumpur.

Sebulan setengah sebelum bermulanya musim bolasepak 1989, hulubalang FAM berhimpun di Teluk Cempedak dalam mesyuarat tahunan mereka dan membuat beberapa keputusan di luar dugaan. Yang paling sensasi, penggantungan setahun ke atas Awang Mahyan dipendekkan kepada hanya 6 bulan. Ini bermaknan selepas 30 Jun Awang Mahyan boleh kembali melatih Sarawak dan terlibat secara langsung dalam perlawanan pertama mereka pada 5 Julai menentang Kuala Lumpur.

Sarawak 2 – Kuala Lumpur 3

Gendang perang berbunyi. Lawan pertama Sarawak ialah Kuala Lumpur, juara liga dan juga Piala Malaysia 1988 dengan dibimbing oleh jurulatih tersohor Chow Kwai Lam. Siang sebelumnya akhbar Sarawak mencetak muka depan dengan perkataan DESTROY! sebagai provokasi ke atas Kuala Lumpur.

Sarawak sebelumnya menyertai kejohanan pra musim di Kota Bharu, dalam kejohanan empat penjuru menentang Kelantan, Kedah dan Terengganu. Sarawak tumpas kesemua perlawanan dan sedikit sebanyak ia menggusarkan peminat Ngap Sayot.

Tetapi Awang Mahyan, rambut panjang melepasi bahu dan tattoo burung helang di lengan kiri tenang menjawab, “Kami sedikit risau dengan prestasi pasukan dalam kejohanan pra musim. Tetapi para pemain memberi jaminan keadaan akan berubah sebaik liga bermula. Mereka telah berjanji dan saya tidak meragu janji mereka”. Begitulah kata Awang Mahyan dengan tenang, kerana dia tahu jika pemain Sarawak memungkiri janji, penampar akan singgah di pipi mereka semua.

Chow Kwai Lam, walau mempunyai Rashid Hassan, Serbegeth Singh, Razip Ismail, Malek Awab, Mat Zan Mat Aris, Ramlan Askolani, Subadron Aziz dan Lim Teong Kim sedar bahaya yang menanti mereka. “Dengan Sarawak, ianya soal bermain menentang pasukan bersemangat dan satu susuk kultus yang merasuk pemainnya kepada kesetiaan ‘kill-or-be-killed’ untuk negeri”.

Susuk kultus itu ialah Awang Mahyan.

“Secara jujur, saya lebih rela berdepan dengan pasukan yang taktikal dari yang bersemangat,” tambah Chow Kwai Lam.

Kedua-dua pasukan berentap malam itu di Stadium Negeri yang telah diubahsuai untuk menempatkan 40,000 penonton. Laporan media mengatakan yang hadir lebih dari 40,000, dengan slogan Ngap Sayot dan Agi Idup Agi Ngelaban memenuhi setiap teres stadium. Malangnya, Sarawak tewas.

Kelantan 0 – Sarawak 1

Sehari sebelum perlawanan negara dikejutkan dengan pendedahan oleh Perdana Menteri Dr. Mahathir Mohamad tentang rancangan sulit untuk membunuh Ketua Menteri Sarawak, Taib Mahmud. Ia membuktikan betapa gentingnya situasi di Sarawak ketika itu, tetapi Awang Mahyan dan skuad Ngap Sayot tetap fokus kepada bolasepak.

Mereka bertandang ke Stadium Sultan Mohamed IV berdepan dengan Kelantan yang telah membelasah Sarawak 4-1 ketika perlawanan pra musim. Sejumlah 15,000 gedebe Kelate meraikan kunjungan Ngap Sayot.

Kelantan dilihat sebagai pilihan utama, apa lagi dengan Hashim Mustapha mengepalai jentera serangan. Tetapi perlawanan terus terikat 0-0, hinggalah pada minit ke-86 apabila Jalil Ramli memecah kebuntuan malam tersebut.

Sarawak memperolehi 3 mata pertama mereka, sementara Kelantan diejek penyokong sendiri.

Pulau Pinang 3 – Sarawak 0

Jika Sarawak ada Ngap Sayot, Pulau Pinang memiliki apa yang dipanggil jurulatih mereka Azmi Othman sebagai Flexi-4. Apa yang dimaksudkan dengan Flexi-4 berada di luar jangkauan pengetahuan bolasepak para pengulas Sokernet yang agak terhad.

Apa yang pasti di jentera serangan Pulau Pinang ketika itu ialah seorang pemain bernama Adnan Ibrahim, digembar-gemburkan sebagai John Aldridge Malaysia. Awang Mahyan pantas memberi reaksi “Flexi-4 tidak membawa sebarang makna di sebalik namanya yang hebat”.

Namun, Pulau Pinang muncul pemenang dan kembali meletakkan Sarawak berpijak di bumi nyata. Azmi Othman tanpa berlengah memulang paku buah keras gaya anak mami kepada Awang Mahyan, “ambik hang ubat!”.

Sarawak ketika ini terperosok di tangga ke-5 Divisyen 1, di belakang Kuala Lumpur, Pahang, Pulau Pinang dan Kedah. Hanya 3 mata dari 3 perlawanan.

Sarawak 0 – Kedah 0

Perlawanan berikutnya tanggal 16 Julai ialah menentang seteru lama Kedah, yang menewaskan Sarawak ketika separuh akhir Piala Malaysia 1988.

Skuad Ngap Sayot dan penyokong setia mereka masih berdendam pada insiden tahun lepas di Kuching yang menyaksikan perlawanan dibatalkan kerana penonton melimpah ke tepi padang dan Awang Mahyan masuk ke tengah padang. Sarawak tewas dalam perlawanan ulangan yang diadakan di Singapura, tetapi rata-rata rakyat Sarawak percaya mereka pasti sudah menundukkan Kedah jika ia dilangsungkan di Kuching.

Sebelum perlawanan, 30,000 penonton disajikan dengan persembahan pantomim matador dan seekor lembu. Seperti diduga, lembu tersebut merupakan simbol pasukan Kedah sedang Sarawak memainkan peranan matador. Dan di akhirnya matador membunuh lembu tersebut disambut tepukan gemuruh penyokong Sarawak.

Kedah bermain tanpa V Sundramoorthy, tetapi masih mempunyai khidmat import Rincic Bratislav dan ‘midfield general’ Radhi Mat Din yang membekalkan amunisi kepada Hussin Jaafar. Berdepan dengan lawan yang lebih hebat dari segi skil dan taktik, Sarawak bertahan dan banyak bermain kasar.

Setelah 45 minit dan 12 kekasaran, pengadil meniup wisel untuk rehat.

Separuh masa kedua bermula dan peminat Sarawak cuba mebangkitkan semangat pemain mereka dengan semboyan perang Ngap Sayot. Tetapi sekali lagi Kedah menguasai permainan. Kali ini Norazam Ishak dan Naina Mohd Ismail bijak merencana serangan tetapi Sarawak perlu berterima kasih kepada Affendi Jol yang cemerlang di gawang.

Perlawanan berkesudahan seri dan Sarawak jatuh lagi ke tangga ke-6 Divisyen 1. Namun, sokongan peminat masih tetap padu kepada Awang Mahyan dan skuad Ngap Sayot.

Sarawak 2 – Singapura 1

4 perlawanan, 1 menang, 1 seri dan 2 kalah bukan apa yang Awang Mahyan harapkan dari anak buahnya. Ngap Sayot mempunyai semangat luar biasa tetapi ianya dalam bidang taktikal mereka kelihatan serba kekurangan.

Tanggal 23 Julai menyaksikan kunjungan Singapura ke Kuching. Juara Piala Malaysia 23 kali ini merupakan antara pasukan pilihan musim 1989. Sebelum perlawanan dengan bongkak Singapura mendakwa Sarawak tidak mempunyai sebarang kemahiran dan hanya mengharap kepada corak permainan kasar.

Dan itulah yang terbukti seawal minit ke-30, bila D Tokijan membuka akaun untuk Singapura mendahului dengan satu gol. Ramai yang menjangka ketika itu lebih banyak gol bakal terhasil dari skuad Singa kerana buat kali pertamanya malam tersebut, Sarawak bermain bolasepak dengan disiplin dan tanpa sebarang terjahan keras. Khabar angin mengatakan permainan Sarawak agak lembut malam itu kerana kehadiran Pengerusi Majlis Pengadil FAM, Tan Sri Jeneral (B) Zain Hashim.

Tetapi di separuh masa kedua permainan taktikal Sarawak mula membuahkan hasil. Burhaniza Abu Bakar merobek gawang Singapura pada minit ke-65 dan 11 minit berselang Mohd Ali Shafie memastikan 3 mata penuh buat Sarawak. Tetapi ketika ramai menyangka Sarawak telah berlembut, penjaga gol Affendi Jol membuktikan semangat Ngap Sayot masih hidup dengan menendang pemain Singapura setelah mereka berlaga pada minit ke-80.

Jurulatih Singapura, Jita Singh memuji Sarawak usai perlawanan, “Saya agak terkejut dengan permainan mereka. Mereka bermain baik dan layak untuk menang. Saya harap kita dapat melihat lebih sisi Sarawak yang begini”.

Namun pujian tersebut tidak diterima baik oleh Awang Mahyan. “Maksud kamu selama ini kami tidak bermain bolasepak sebenar? Baiklah. Selepas ini kami akan bermain lebih taktikal dan pastinya lebih sukar untuk dikalahkan!”

Ah, semangat Ngap Sayot. Sarawak kini melompat kembali ke tangga ke-5 dengan 7 mata.

Sarawak 0 – Selangor 0

Pembantu jurulatih Selangor, Khaidir Buyong terbang ke Kuching pada malam 23 Julai ketika Sarawak bertemu Singapura untuk mengintip kekuatan Ngap Sayot. Laporannya kepada jurulatih Stevan Bena, Sarawak bukan lawan yang mudah bila bermain di Kuching.

Sejumlah 35,000 penonton memenuhi Stadium Negeri pada 30 Julai untuk menyaksikan Sarawak bertemu Selangor. Perlawanan dijangka sengit, dengan Selangor yang terperosok di dasar liga memerlukan kemenangan sementara Sarawak dijangka mengekalkan momentum selepas kemenangan ke atas Sarawak.

Tetapi kedua-dua pasukan nampak pasif. Hanya di penghujung permainan Sarawak bangkit untuk mengkucar-kacirkan permainan Selangor tetapi Zainal Abidin Hassan cemerlang memastikan benteng Selangor terus kukuh untuk mereka berkongsi mata.

Bulan Ogos Bulan Sukan SEA

30 Julai adalah hari terakhir Liga Semi-Pro sebelum ianya berehat sebulan untuk memberi laluan kepada Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur. Malaysia menang emas acara bolasepak dan Dr Mahathir memberi cuti satu hari.

Di seberang Laut China Selatan, Awang Mahyan dan anak buah Ngap Sayot mengisi waktu rehat ini dengan mengembara ke pelosok Sarawak. Wartawan New Straits Times, Fauzi Omar adalah antara mereka yang bertuah untuk dapat turut serta.

Diceritakan ketika di Sibu, Awang Mahyan telah didatangi seorang anak kecil berusia 4 tahun bersama neneknya. Anak kecil itu mahu mendengar cerita. Cerita tentang pasukan Sarawak, tentang Ngap Sayot. Awang Mahyan pun bercerita.

Selang beberapa ketika si nenek memberitahu kepada cucunya masa sudah tiba untuk beredar. Anak kecil itu menangis. Dia masih belum puas. Masih mahu mendengar lebih cerita tentang Ngap Sayot. Awang Mahyan tersentuh dan bercerita lagi. Hanya selepas 2 jam berlalu, barulah si anak kecil itu berpuas hati.

Sarawak ketika itu bermandikan semangat Ngap Sayot. Toman Mamora, pengerusi kelab penyokong berkata, “Kami melihat Ngap Sayot sebagai kuasa penyatuan rakyat Sarawak”.

Bersama Awang Mahyan, Toman Mamora pergi ke kampung-kampung. Di Kampung Buntal dan Kampung Santubong, mereka mengedarkan skaf Ngap Sayot, menjual tiket dan berucap dengan pembesar suara mengajak orang kampung turun ke stadium.

Dalam satu perjalanan ke Serian melibatkan konvoi 20 kenderaan, mereka membawa bersama peti televisyen dan pemain kaset video. Di sana rakaman perlawanan menentang Kuala Lumpur ditayangkan kepada penduduk kampung. Dalam satu lawatan ke Bau, mereka disambut pula oleh 500 pelajar sekolah, yang kemudiannya diajar bagaimana membuat tepukan dan menyanyikan lagu Ngap Sayot.

Sarawak FA tidak memberi peruntukan yang banyak buat misi Awang Mahyan dan Toman Mamora menjelajah Sarawak. Sumbangan derma diterima dari pihak swasta seperti Petronas, Oriental Bank, Fuji Film dan Sanyo. Tetapi sumber utama mereka ialah jualan baju, skaf, topi dan stiker.

Toman Mamora mempunyai satu mesej yang jelas. “Bukan sahaja pasukan yang perlu menjadi profesional. Sokongan dari peminat juga perlu profesional. Jika tidak bolasepak di sini tidak akan berjaya sebagai satu industri.”

Dan itulah mesej Ngap Sayot yang jelas buat kita semua, khususnya peminat Selangor dan Kelantan tempoh hari.

(bersambung)

50 Ulasan:

Lucius Maximus berkata...

Sialan, baru aku sedar entri ni panjang gila. Sekarang tak pasti nak sambun ke tidak. Buat buku lagi best kot? Hehe!

Lucius Maximus berkata...

*sambung

Lucius Maximus berkata...

Beberapa poin yang menunjukkan kehebatan bolasepak Malaysia dulu:

1) Jurulatih atau pengurus hentam satu sama lain, Chow Kwai Lam lawan Awang Mahyan, Awang Mahyan lawan Azmi Othman, Jita Singh lawan Awang Mahyan, Awang Mahyan lawan semua orang.

2) Khaidir Buyong terbang ke Kuching semata-mata untuk mengintip pasukan lawan, di zaman Air Asia dan tambang murah belum ada!

3) Akhbar dan radio negeri provokasi pasukan lawan yang datang

dewajiwa berkata...

dramatik

aranhellstorm berkata...

Sarawak dulu ada player tinggi David Evans. Ngeri kalau S'wak dapat corner masa tu. heh..

Tapi lagi ngeri player lipas kudung affendi julaihi..laju nak mampus lari bawak bola...

al-rashid berkata...

cayalah lucy!

Jarr berkata...

Lucy, jangan buat malas, sila sambung.tapi kalau lu bikin buku pon, gua angkat satu.Solidaritas dah jalan?ehheh.

pakkordi berkata...

Striker takder gigi pun Sarawak ada.

FdausAmad berkata...

Bagi buku Cerita Piala Dunia keluar dan sold out dulu..

kehkehkeh.

Point of View berkata...

demm luci. lu kena buat buku pasal bolasepak malaysia...

Lucius Maximus berkata...

PERINGATAN:

Jangan sebut pasal David Evans atau John 'takde gigi' Hunter. Ingat, Awang Mahyan bawa Sarawak ke separuh akhir dan suku akhir Piala Malaysia tanpa pemain import. TANPA IMPORT.

Jangan sebut pasal pemain import Sarawak yang lain, nanti kena penampar dengan Awang Mahyan baru korang tau. Aku nak tulis pasal dia ni pun kena minta izin dulu, jangan main-main!

Jarr berkata...

Pidomat, bikin buku 50 Dalil kenapa Maher Zain bukan standard Fdausamad.

keh keh keh...

Otakku Otaku berkata...

dem lucy.. aku ternanti2 sokernet cite sal sarawak.. ko mmg gempak la

FdausAmad berkata...

Cilake jarr..hehehe.

sekarang gua menyesal..tindakan gua telah mengguris hati makwe makwe muslimah.

demn!

j or ji berkata...

abe kelate boleh ghoyak pasal Mohammad Che Su.

sapo nak tulih tu?

j or ji berkata...

diberitakan Mohammad Che Su ni jurulatioh Sarawak sebelum Awang Mahyan...kira Awang Mahyan ni jadi kental sebab dididik oleh Mohammad Che Su la.

Aku memang tabik sama 2 coach ni

Kay berkata...

sambung oi jangan tak sambung!!!
kalau betul lu nak tulis buku pasal bola malaysia, confirm gua beli!

anyway, lagi sekali gua nak highlight quote ni
"Bukan sahaja pasukan yang perlu menjadi profesional. Sokongan dari peminat juga perlu profesional. Jika tidak bolasepak di sini tidak akan berjaya sebagai satu industri.”
BUAT SEMUA PENYOKONG!

kitt berkata...

semangat. player2 ni mostly kenal.tapi citer pasal awang mahyan ni aku tak ingat sanagt.
ye la, dulu dengar radio je mlm minggu pasal laporan bola dari stadium ke stadium.paper pun x cover camni kot dulu2.

eh,sampai ke sini kes pidomat vs maher zain..kahkah.

AlpocodelaCruz berkata...

whoahhh!

meremang sial bulu hidung aku membacanya.

Ngap Sayot!!!

Otakku Otaku berkata...

alang2 cite ngap sayot bio le smpy k bujang senang lucy.. hehehe

reformist101 berkata...

Aku teringat bila setiap kali Hasbullah Awang menyebut, "lontaran ke dalam oleh Jalil Rambli".. Aku rasa Rory Delap belajar daripada dia..

Cesc Luzeza berkata...

kembang sikit pengetahuan aku pasal bola Malaysia..
klu takder gejala rasuah kat Malaysia ni, mau aku bangga dengan pasukan bola sepak malaysia pada masa kini.

dingin berkata...

Aku sebagai orang Sarawak pun tak tahu cerita. tahu nak mengamuk time Ngap Sayot tu je.

Terbaik Lucy.

lara_nur berkata...

perghh......kembang bulu tengkuk membaca nya..

Zinedine Zaiddin berkata...

Sempoi2. Ni yg wat aku sayang lebih kat blog Sokernet ni. Pengisian cukup mantap dan menarik. Tiap2 kali pun ada variasi. Cerita-cerita memang pasal bola, tapi kadang2 ada pasal negnjing Liverpool, kadang2 ada pasal team2 argentina, team2 Malaysia..best2

Takde la rasa mcm makan nasik dengan telur dadar dengan kicap aje hari2. HAHAHA. KUTGW semua!

karl berkata...

dalam keadaan masyarakat yg berpecah belah skang, artikel ni membuatkan aku emo sikit time baca

sukan mmg ade aura yg kuat utk satu padukan masyarakat

Apit berkata...

eh,sampai ke sini kes pidomat vs maher zain...<---kahkahkah

amirpo. berkata...

best entri ni..caya r lucius.

barry berkata...

Awang Mahyan sekarang aktif dalam bidang lawn bowl, semangatnya tetap ada. Aku dapat berita ni daripada adik dia Awang Thambi

HASRUL NIZAM berkata...

mantop, tahniah sokernet :)

makanbola berkata...

cerita2 bolasepak msia ini tidak sesuai dibaca oleh mereka yg lahir tahun 1990 keatas...kahkahkah

*ramai fan chelsea lahir thn 1990 keatas

ayobkelubi berkata...

@jarr : pidomat rancang nak keluar single kolobrasi dgn maher zain,dgr citer tajuk single tu.

"forgive me, my dear aweks muslimah"

keh keh keh..

mr dimaz berkata...

mantap gle luci...pasni cte psl sejarah perak lak,,gempak kowt...tu je yg blh gmbira kn ati ak time2 kemuncak piala m'sia ni...

farizizwan berkata...

Cantik,panjang gila,malaih baca lagi nak buat sebagai bahan bacaan untuk aku di pagi esok sambil breakfast.Thanks lucy.

Jarr berkata...

@ayob : kah kah kah...pidomat counter balik nanti awek awek muslimah...kalau dia nak pakai kita as the scapegoat pon takpe..hahahaha.


p/s: nama lu kat FB apa yob?gua nak add...

r.k berkata...

cerita dah sampai separuh , sambung je lucy .. lagipun , anak-anak macam ghua ni yang tak kenal zaman bola sepak 80-an perlukan maklumat macam ni ..

:)

Redz da Tsar berkata...

Awang Mahyan ni macam Alex la.. haha

Hambali ® berkata...

ah .... rindu sungguh aksi John Hunter yang bergigi rongak, mazlan wahid sebagai penjaga gol, jalil ramli ...

jon berkata...

tahun 1989 waktu aku sekolah rendah, memang hangat dan terbaik, suratkhabar bahagian sukan mesti aku gunting gambar pemain liga semi-pro buat buku skrap, rumah aku waktu tu takde tv, dengar ulasan perlawanan bola kat radio je. nak tengok live match pergi stadium simpan duit belanja 20sen sehari yang mak aku bagi,ada rezeki harapkan bapak atau pakcik aku payung.
kami anak2 80an hidup susah tapi meriah

Jarr berkata...

setuju ngan jon..
anak anak 80an hidup ala kadar tapi sgt meriah..
banyak aktiviti2 old skool...
nakkan sesuatu, sanggup ikat perut walopon utk 20 sen...yg penting balik ngaji, mandi sungai.ahaha

Jantan Terhangat berkata...

dulu aku dengar match bola dari Radio je..huhu mmg best..setiap negeri ada live radio..terbaik dan klasik

Daud berkata...

Skrg dgr game EPL live kt radio dlm kerete mmg terimbas kenangan lama dgr game piala malaysia kt radio.Radio BFM ni bagus sbb da live game EPL.

jon berkata...

kadang-kadang dengar live dari radio lebih bermakna dari tengok depan mata, kita tak nampak pun jaringan gol tu, tapi kita sekampung boleh bersorak sampai rumah nak roboh...kena bayangkan sendiri bila comentator sebut "tendangan lambung yang disambung dengan sepakan gunting melayang tepat ke arah bucu kanan pintu gol" dan-dan waktu tu kau dah nak melompat bersorak tapi "oohhhhhh berjaya ditepis dengan hujung jari"....aaaaahhhhhh

Mukmin Selamat berkata...

yes, dengar live dari radio memang seronok, lagi-lagi dalam kerate time jalan jammed.

Mirrul berkata...

" To develop football, the Govt will establish a Football Academy in Pahang with RM20m to produce quality football players "

taken from 2011's budget speech.
whats your view mad max?

budin berkata...

tu diaaaa. gila best dulu2..

talkIZcheap! berkata...

*off topic: aku tunggu masa je ni nak main angkat2 kening dengna jarr... heh heh :P

Cikgoo Jasz berkata...

Best artikel ko lucius maximus. aku sebagai anak sarawak rasa ko patut sambung. kalau ada kisah bola sepak tempatan yang best difilemkan. jawapan dia ialah kisah ngap sayot. Kenapa? :

1)Mana da coach yang sanggup terjun dari jambatan gantung dan hampir mau terjun sungai sarawak pakai helikopter kalau sarawak masuk final tahun 88 masa itu.

2) Mana da team players yang sanggup berlari balik ke rumah masing2x setelah layak ke separuh akhir piala Malayisa tahun 88. Ngap Sayot beb.

3) Mana team yang sanggup ber"royal rumble" dgn fru kalau bukan ngap sayot pada 89 di stadium merdeka lawan kl.


By the way mr lucius masa aku kecik dulu, ada satu buku khas mengenai ngap sayot nukilan cikgu jeniri amir ( sekarang lecturer kat unimas dulu).

Nazurah Aishah berkata...

the best entry!!!

Truth Finder berkata...

kalau boleh sesiapa yg ada video kuala lumpur vs sarawak yg kecoh itu tolong upload ke youtube boleh x? supaya kita semua boleh nilaikan sendiri dan supaya sejarah itu boleh terus dikenang dan mendapat pengajaran (sejarah tetap sejarah) dpd terus (seolah-olah)disembunyikan.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...