ANDA SEDANG MEMBACA

75

Biar Jasa Jadi Kenangan


Sinopsis

Setiap dari kita ada kali pertama. Kali pertama mengorat makwe, kali pertama cuba-cuba nak hisap rokok atau kali pertama ke stadium untuk tengok bola. Aku ingat betul kali pertama aku ke stadium, di bawa oleh Abah yang dapat tiket percuma dari kawannya dalam Perak FA. Dan kali pertama aku tengok bola di stadium ialah Perak lawan Kedah dalam satu pertembungan Piala Malaysia, tahun 1989.

Stadium Perak tahun itu tidaklah besar seperti sekarang. Paling-paling kalau tidak silap aku boleh mengisi 15,000 penonton. Pun begitu jumlah yang hadir tersangatlah ramai dan aku ingat jelas memori melihat orang tak bertiket memanjat pagar stadium yang dililit kawat berduri. Dan semestinya luka terkena kawat itu berbaloi buat mereka kerana ini pertemuan Perak dan Kedah, derbi utara Semenanjung.

Status raja bolasepak Malaysia memang kita tidak dapat nafikan adalah milik Selangor. Tetapi kalau ada pesaing untuk hegemoni Selangor dalam bolasepak ianya pada pendapat aku datang dari negeri-negeri utara Semenanjung. Bukan negeri Sultan Bola, bukan negeri kaki bakar stadium dan jauh sekali negeri Jang bersembilan. Secara kolektif, Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak telah menghimpun 17 Piala Malaysia, 8 kejuaraan liga dan 6 Piala FA. Masih belum mampu menandingi rekod peribadi Selangor tetapi jauh lebih banyak jika dibandingkan dengan himpunan kolektif negeri Pantai Timur, selatan Semenanjung atau Borneo. Pendek kata, wilayah kuasa dan kegilaan bolasepak Malaysia ialah di utara Semenanjung, sama seperti utara England (Manchester – Liverpool) yang menjadi wilayah bolasepak mereka.

Tahun 1989 itu, Perak tumpas kepada Kedah dan terkeluar dari saingan Piala Malaysia. Walaupun kecewa, bermula dari hari itu terbit rasa hormat aku pada Kedah dan hijau kuning.

Pulun Kedah Pulun

Tidak ada siapa yang kenal Kedah sebelum pertengahan dekad 1980-an. Satu-satunya pencapaian terbaik mereka dalam bolasepak Malaysia datang pada tahun 1940 sebagai naib juara Piala Malaysia (tewas kepada Singapura 2-0). Tetapi pada tahun 1986 angin perubahan melanda Kedah FA dan ianya dibawa oleh satu susuk bernama Ahmad Basri Akil.

Siapa Ahmad Basri Akil ini? Tidak ramai yang kenal melainkan mereka yang selalu berkunjung ke Jabatan Tanah dan Mineral Kedah pada tahun itu. Kenapa? Sebab dia pengarah jabatan. Itu pun nak tanya lagi ke?

Rancangan pertama Ahmad Basri Akil sebaik saja menjawat pengurus Kedah FA ialah mewujudkan rancangan pembangunan 5 tahun (1987 – 1991) bolasepak Kedah dengan matlamat utama memenangi Piala Malaysia. Di dalam fikiran Ahmad Basri Akil hanya satu, mengubah Kedah dari pasukan bawahan kepada kuasa baru bolasepak Malaysia.

Dengan perancangan teliti dan pengurusan yang cekap, hasil rancangan pembangunan 5 tahun ini sudah mula menunjukkan potensi pada tahun pertama. Kedah layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia buat kali kedua dalam sejarah mereka. Malangnya, bertemu Kuala Lumpur pasukan hijau kuning tunduk 1-0.

Tahun 1987 itu juga menyaksikan lagu ‘Biar Jasa Jadi Kenangan’ diangkat menjadi lagu rasmi pasukan Kedah, lirik ilham Ahmad Basri Akil dan muzik oleh Freddie Fernandes.

1988 menyaksikan Kedah sekali lagi layak ke akhir Piala Malaysia. Sekali lagi juga negeri jelapang padi berdepan dengan skuad metropolitan Kuala Lumpur. Kedah tumpas lagi, kali ini 3-0. Tetapi dengan kejayaan layak ke perlawanan akhir dua kali berturut-turut, rakyat Malaysia mula memandang Kedah dengan rasa hormat.

Apabila FAM memberi lampu hijau kepada pemain import buat kali pertama dalam bolasepak Malaysia pada tahun 1989, Kedah pantas bertindak. Sekali pun sebuah negeri yang miskin tetapi berkat pengurusan cekap Ahmad Basri Akil, Kedah mempunyai dana yang cukup untuk mendapatkan khidmat jurulatih Czechoslovakia, Milous Kvacek. Kedah juga mendapatkan khidmat pemain import dari Yugoslavia, Rincic Bratislav dan Goran Tankovic serta memanggil pulang pemain Singapura, V Sundramoorthy yang ketika itu bermain di Switzerland. Turut menguatkan Kedah ialah penjaga gol tersohor Ahmad Sabri Ismail dan Captain Marvel, Muhammad Radhi Mat Din.

Ahmad Basri Akil selaku pengurus sedar bahawa mendapatkan khidmat import perlukan dana tambahan. Kedah pantas mencari penaja dan hasilnya pada tahun 1989 itu mereka berjaya mengikat perjanjian dengan Sharp Roxy, menjadi pasukan Asia pertama di taja oleh syarikat elektronik itu dan kedua di dunia. Sebuah lagi kelab bawah tajaan Sharp ketika itu ialah Manchester United. Ya, kita boleh katakan Kedah setaraf dengan Manchester United hebatnya pada zaman itu.

Kedah layak sekali lagi ke perlawanan akhir Piala Malaysia 1989, sekali lagi bertemu Kuala Lumpur tapi malangnya sekali lagi tewas, 2-1. Tiga kali kalah kepada pasukan yang sama seakan satu sumpahan. Tetapi ianya sumpahan yang akan berakhir.

1990 – Bertemu Sang Singa

Tahun 1990 terbukti menjadi tahun bertuah buat Kedah. Sekali lagi layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia, Kedah berdepan dengan lawan yang berbeza, kali ini Singapura. Kali ini menyaksikan Kedah menerima sokongan padu 100% dari rakyat Malaysia. Kenapa? Kerana tidak ada seorang pun rakyat Malaysia yang mahu melihat Singapura merampas piala kebanggaan bolasepak Malaysia. Kali terakhir Singapura melakukannya ialah pada tahun 1980, menewaskan Selangor 2-1. Tahun 1990 menyaksikan Sang Singa kembali lagi, dengan dibarisi pemain seperti D Tokijan, Borhan Abu Samah dan awang import Abbas Saad dan Alistair Edwards.

Kemuncak malam perlawanan akhir, aku masih ingat TV3 menayangkan dokumentari khas bolasepak Kedah sebelum bermulanya siaran langsung. Lagu Biar Jasa Jadi Kenangan diperdengarkan, sambil mengisahkan tentang bolasepak Kedah dah messiah di belakangnya, Ahmad Basri Akil. Tidak terkelaluan untuk dikatakan harapan 100% rakyat Malaysia ialah untuk Kedah menang ke atas Singapura.

Malam Keramat


Perlawanan akhir Piala Malaysia 1990. Stadium Merdeka yang padat, api dan asap flare dari penyokong. Inilah zaman kegemilangan bolasepak Malaysia. Siapa yang lahir selepas tahun 1990 dan hanya kenal bolasepak Inggeris, memang malang nasibmu wahai anak muda.

Di Stadium Merdeka, stadium keramat bolasepak Malaysia, Kedah bertemu Singapura. Ini adalah perlawanan akhir Piala Malaysia ke-4 buat Kedah dalam tempoh 4 tahun dan peminat Hijau Kuning tidak mahu kempunan lagi. Kedua-dua pasukan memulakan permainan dengan berhati-hati. Ketika separuh masa pertama hampir tamat dan perlawanan kelihatan seperti terus buntu, pemain Kedah Rincic Bratislav melakukan larian pantas di sebelah kanan dan membuat hantaran silang ke dalam kotak kepada Husin Jaafar. Husin pantas menanduk bola kepada V Sundramoorthy yang meledak gol melepas penjaga gol Singapura, David Lee. Kedah 1 – Singapura 0.

Hujan renyai turun ketika waktu rehat dan pada ketika itu kelihatan seakan sumpahan Kedah dalam Piala Malaysia akan berakhir. Tetapi seperti kita tahu, football is a game of two halves.

Singapura bangkit pada separuh masa kedua melalui gandingan import Australia mereka, Alistair Edwards dan Abbas Saad. Minit ke-73, Singapura diberi tendangan percuma. Hasnim Haron menghantar bola ke dalam kotak penalti Kedah dan ditanduk baik oleh Alistair Edwards untuk gol penyamaan.

Kedudukan terikat hingga minit ke-90 dan kedua pasukan terpaksa bermain dalam masa tambahan. Tiga minit dalam masa tambahan, Ng Chew Beng merembat gol kedua Kedah dan kemudiannya Romli Ghani memastikan kedudukan menjadi 3-1 selepas menyambut baik sepakan sudut Aziz Azizan.


Kesebelasan Hijau Kuning yang menundukkan Sang Singa dan menjuarai Piala Malaysia pertama Kedah

Kedah menang 3-1 dan rakyat Malaysia menarik nafas lega kerana Singapura berjaya disekat. Ahmad Basri Akil berjaya membawa Kedah menggapai matlamatnya dan ia merupakan langkah sulung Kedah menjadi kuasa bolasepak Malaysia.

(Nota: Singapura akhirnya berjaya juga merampas Piala Malaysia buat kali terakhir pada tahun 1994, negeri Sultan Bola yang ditugaskan untuk menghalang Sang Singa telah mengecewakan kita semua apabila dilauk 4-0. Dasar tak boleh nak diharap)

Jatuh Bangun

Susuk yang mentransformasi bolasepak Kedah, Ahmad Basri Akil kekal bersama skuad Hijau Kuning hingga tahun 1996. Dalam eranya bolasepak Kedah tidaklah sentiasa indah, tetap ada jatuh bangun (Kedah tersingkir ke Divisyen 2 pada tahun 1991). Tetapi kemudiannya sekali lagi Ahmad Basri Akil membawa Kedah ke mercu jaya, juara Piala Malaysia dan juara liga pada 1993 dan juara Piala FA 1996.

Di peringkat kebangsaan, Ahmad Basri Akil kali pertama menjadi pengurus Malaysia dan membawa Harimau Malaya kepada kejayaan pingat emas Sukan SEA 1989 (kejayaan yang hanya dapat diulang 20 tahun kemudian). Beliau memangku tugas Naib Presiden FAM dari tahun 1994 hingga 1998 dan terkenal kerana pendirian lantang beliau dan keengganan menjadi Pak Turut dalam pentadbiran FAM.

Pendirian lantang dan keengganan menjadi Pak Turut inilah yang menyaksikan beliau tersingkir dari FAM kemudiannya. Ahmad Basri Akil kemudian digantung dari memegang apa-apa jawatan berkaitan bolasepak dalam Malaysia oleh FAM dari tahun 2001 hingga 2005, hanya kerana beliau mengkritik FAM dan bersuara untuk masa depan bolasepak Malaysia. Pun begitu ia tidak menyekat Ahmad Basri Akil dari terus cuba berbakti kepada bolasepak, khususnya buat Kedah.

Kembali Bersama Hijau Kuning

Dan itulah yang dibuktikannya sebaik tamat penggantungan pada tahun 2005. Ahmad Basri Akil kembali bersama Kedah tahun berikutnya, di saat skuad Hijau Kuning melalui zaman gelap, terperosok di Liga Perdana. Sekali messiah Hijau Kuning membuktikan sentuhan ajaib beliau, membawa Kedah menjuarai Liga Perdana dan dipromosi naik ke Liga Super untuk musim 2007.

(Nota: Kedah FA mendapatkan khidmat Ahmad Basri Akil sebagai ‘penasihat’ semenjak 2004, ia adalah strategi Kedah FA menggunakan kepincangan teknikal FAM yang menghalang Ahmad Basri Akil dari memegang jawatan rasmi. Sebaik tamat tempoh penggantungan, fungsi ‘penasihat’ ditukar secara rasmi kepada pengurus. Rebel juga Kedah FA!)

Bersama Ahmad Basri Akil ialah bekas pemain Kedah, Azraai Khor Abdullah (sebagai jurulatih), Muhammad Radhi Mat Din (penolong jurulatih) dan Ahmad Sabri Ismail (jurulatih penjaga gol) dalam musim pertama Kedah kembali sebagai pesaing Liga Super. Hijau Kuning muncul juara treble, menyapu bersih Piala Malaysia, Liga Super dan Piala FA.


Trio Double Treble yang dibawa masuk oleh Ahmad Basri Akil dalam gelombang kedua kebangkitan Kedah

Dalam kenyataan beliau selepas mencatat treble, Ahmad Basri Akil mendedahkan perancangan jangka pendek bermula seawal 2005 dan disasarkan dalam tepoh 3 tahun. Kedah dijangka berjaya memonopoli bolasepak Malaysia menjelang 2008, tetapi ia berlaku setahun lebih awal. Bukti jelas keberkesanan perancangan jangka pendek dari tahun 2005 itu.

Di sebalik kejayaan treble 2007 beliau masih tidak dapat lari dari kontroversi. Malaysia ketika itu sedang sibuk menyediakan persiapan untuk Piala Asia 2007 dan pada masa yang sama Manchester United pula mahu bertandang ke Kuala Lumpur. FAM sebagai sebuah badan organisasi bolasepak yang terkenal dengan budaya mengampu, membodek dan menjilat pantas menyambut kedatangan Manchester United, yang membuatkan AFC dan FIFA berang kerana dilihat mengabaikan persiapan Piala Asia 2007. Ahmad Basri Akil, selaku tokoh bolasepak tersohor mengkritik FAM yang mengagungkan kelab bolasepak Inggeris dan sekali lagi digantung untuk tempoh 3 tahun.

Ahmad Basri Akil sekali lagi disekat dari cintanya terhadap bolasepak. Namun begitu beliau tabah menerima dugaan berdepan dengan sebuah persatuan bolasepak kebangsaan yang tidak sedar diri dan gila kuasa. Atau mungkin, di luar pengetahuan kita, Ahmad Basri Akil sebenarnya sedar hidup kita di dunia ini hanya sementara maka biar jasa jadi kenangan.

Legasi

15 Julai 2008, Ahmad Basri Akil kembali menemui Sang Pencipta. Pemergian beliau merupakan kehilangan besar buat bolasepak Malaysia tetapi legasi beliau kekal. Kedah muncul juara treble sekali lagi pada 2008, sekaligus mencatat pencapaian Double Treble (pencapaian yang tidak bisa dicapai untuk tempoh 100 tahun lagi mengikut kata Radhi Mat Din). Penghujung musim, FAM menghukum Kedah berserta Marlon Alex James, Bernard Huggins dan Nelson San Martin dengan mengharamkan pemain import atas alasan ia menjejaskan pembangunan bolasepak Malaysia. Tetapi yang sebenarnya negeri-negeri kesayangan Sultan Bola tidak mampu membayar khidmat pemain import kerana banyak songlap duit.

Dato’ Paduka Haji Ahmad Basri Akil ialah legenda sebenar bolasepak Malaysia, selayaknya menerima gelaran Dato’ Paduka dan dipahat namanya dalam Hall of Fame bolasepak Malaysia. Tetapi seperkara yang perlu kita fikirkan, kenapa sepanjang hayatnya kita tidak meletakkan beliau sebagai peneraju FAM dan bolasepak Malaysia sekaligus mengubah nasib bolasepak kita?



“Saya memang gembira demi Hijau Kuning walaupun jasa tidak dikenang lagi” – Allahyarham Dato’ Paduka Haji Ahmad Basri Akil

Kredit:
Pekan Naka
Forum Komuniti Hijau Kuning

75 Ulasan:

iklansampah berkata...

fes

Jiraya berkata...

selangor tak ada ke

Cornstar berkata...

kompem masok FAM ag pasni..

el_zafa berkata...

aku sbg anak kedah, berbangga di atas artikel ini....biar jasa jadi kenangan, ramai memperlekehkan sejarah, tapi sejarahlah yg membentuk peradaban.....

I Am Legend berkata...

sebagai anak jati pokok sena, aku pun rasa bangga. memang tak dinafikan dato ahmad basri yang membawa kedah ke puncak kejayaan selama ini. hijau kuning mungkin tak kemana sangat kalau tak kerana dato basri

betui hang cakap lucy, kenapa masa hayat dia kita tak letak dia sebagai presiden fam? terbukti kebolehan beliau, kalau kedah yang tak power dia boleh ubah jadi superpower, apakan pulak malaysia. paling tidak setanding jepun ngan korea cukupla

BigMek berkata...

sandarkan pada kenangan kewww.....keh keh keh

Syafiq berkata...

aku ingatkan menang treble sebab import dorang tu?

Abu berkata...

EMOSI .....

Ini lah Hero/Lagenda Pengurus Bola Sepak Malaysia.

Al-Fatihah untuk Arwah

Tipu Tapi Benar (TTB) berkata...

R.E.S.P.E.C.T!

palytoh berkata...

artikel yang bagus... sila buat artikel hero2 bolasepak negeri masing2... bagi semangat

Lucius Maximus berkata...

Ini bukan sandarkan pada kenangan, ini renjatan realiti untuk menyedarkan kita semua tentang situasi bolasepak Malaysia dan buat menghargai jasa Dato' Paduka Haji Ahmad Basri Akil.

Jarr berkata...

two thumbs up Lucy!moh teman belanje mike mee udang.

farizizwan berkata...

Meremang bulu roma aku baca.Memang baguih dok ada punya artikel.Sempoi tatau nak habaqqqq bak hang.

Radhi Mat Din,memang idola habih.Tiap tahun,wajib beli jersey nombot 18.

ku.mahu.KAY.tahu berkata...

Orang Pendang teguh berdiri dibelakang post ini!
Tahniah,Post anda hebat!!

Hambali ® berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.
dewajiwa berkata...

tabikkk!

masa main bola kotak/bola tepuk dulu, nama pemain Kedah paling ramai dalam team aku. memang aku salute betul player Kedah/Perlis. Al-Fatihah untuk arwah Ahmad Basri. jasanya pasti dalam kenangan sampai bila-bila

Fariza berkata...

Kepada pengarang:

Terima kasih yg tak terhingga atas artikel ini. Saya berasa terharu dan berbangga setelah meniliti habis artikel ini. Sesungguh permegian arwah telah mnggalkan kesan yg mndalam kepada kita semua. Kerana jasa nya lah kita semua dapat meraih kejayaan dlm bidang bola sepak Malaysia. Dengan artikel sebegini, saya yakin anda telah byk membuka mata pihak yg selam ini cemburu dengan kejayan yg telah beliau bawakan. Dan dengan ada nya penyokong yg berjiwa kental yg sentiasa mengenang jasa arwah saya pasti orang orang seperti mereka lah yg akan sentiasa mnyambung warisi kejayaan bola sepak Malaysia di negara kita. Saya selaku wakil dari keluarga arwah mngucapkan terima kasih yg tak terhigga kepada pngarang. Biar jasa nya sentiasa dikenang selamanya. Al-Fatihah..

FarizaBasriAkil.

Jarr berkata...

alfatihah...

The Swinger berkata...

kedah selamanya..
al fatihah utk dato'..

blitz berkata...

al fatihah utk dato'

p/s: nasib baik gua lahir tahun 80-an, dapat jugak merasa kehangatan bolasepak tempatan..

Mirrul berkata...

Terima kasih lucius

Hazwan Arif berkata...

kan bagus kalo arwah yg jadi presiden, bkn soolltann bola tu.... al-fatihah utk allayarham~~


semoga terengganu menang lawan kedah malam ni yeahhhhhhhh

-zAp- berkata...

"biar jasa jadi kenangan"

awall udinn'ALFIE'starr berkata...

xpenah expect untuk sebak bila buka sokernet tapi arini jadi sejarah.1993-masih tadika tp dh minat gila bola n tau feel mcm tu..Al-Fatihah untuk keluarga dato'
biar jasa jadi kenangan

syamzari berkata...

salam, terima kasih dengan artikel yang menarik ini, pertama kali aku dok baca sahaja, tapi dengan artikel ini mengimbau kembali kenangan-kenangan sewaktu aku tidak mengenali pasukan man utd, liverpool, dan sealiran dengannya. terima kasih tak terhingga kerna artikel ini membuka mata dan minda untuk berfikir ke manakah tahap sukan bola kita pada masa ini...

aku lahir di changloon, tapi menetap lama di klang, masih menyokong hijau kuning dari kecil sehingga lah la nie...

terima kasih...sedih pulak ingat zaman2 budak2 dulu2

al-rashid berkata...

great artikel, good job!

al-fatihah.

lusmays berkata...

Menyentuh perasaan..

JaZ berkata...

Biar Jasa Jadi Kenangan
Yakinkanlah diri sendiri
Berjuanglah sejiwa murni
Tekun, berani sesungguh hati
Demi sukan mengharum negeri

Biar jasa jadi kenangan
Hijau Kuning lambang kemegahan
Jelapang Padi tempat sanjungan
Negeri Kedah Darul Aman

Kedah, Kedah pantang kalah
Walau sakit, jatuh dan rebah
Bangun lantas semula gagah
Bujur lalu melintang patah

Darul Aman negeriku
Hijau Kuning darahku
Negeri Kedah negeriku
Negeri Kedah negeriku

JaZ berkata...

Mana ada lagu bola Malaysia se'famous' lagu neh!

kitt berkata...

cayalah jaz..masa satart baca, aku dah terngiang2 lagu tu.
sbg pemegang ic 02, aku pun naik bulu roma masa baca,pluc tengok pic line up tu..
pergh2, norazam ishak,lee kin hong..etc..mmg otai gila time tu.
and aku ingat turun alor setaq (sbb aku duk penang,haha)pi tgk trophy tour.baju V dgn sharp tu pun dok teringat lagi feel pakai main petang2..

yup,niat tulis artikel ni agak berkesan. terasa era tu mcm bukan kat malaysia..lebih kepada era yg kita nampak sekarang dekat turki/brazil dan lain-lain. Boleh ke bola malaysia balik ke zaman tu.
aku pun first pegi stadium naik C100 cross feri penang dgn bapak aku pi stadium bandaraya.mmg layan era tu.

jon berkata...

arwah terbaik
kenari terbaik
aku bangga lahir tahun 1981 dan menikmat zaman bola semi-pro hingga liga perdana
aku sokong jugak statemnet lucius, malang sungguh nasib anak muda 1990an yang hidup serba bertenologi tinggi sekarang
belum tentu lagi diorang kenal radhi mat din
setakat google tanpa melihat aksi sebenar apekan daya

ayobkelubi berkata...

terbaik

aku pun dalam tak sedar boleh buat tabik hormat bila habis baca artikel ni.

betul. allahyarham ahmad basri akil memang legenda dalam bolaseak Malaysia.

Kalaulah dia memegang tampuk FAM,sekurang2nya kita mesti boleh pergi Olimpik. takat Jepun dgn Korea Selatan tu mmg tapau jek.

Serius

Gua rindu zaman bolasepak Malaysia yang dulu. mmg kecoh, mmg havoc, kalau main bola kat taman pun,bila bawak bola,mulut mesti sebut nama player tempatan, tak sebut der nama pemain EPL skang ni.

bila lagi kita nak kembali "riot" macam ni?.

reformist101 berkata...

Meremang bulu roma aku bila membaca artikel Lucy ini. Ini adalah artikel yang terbaik pernah dihasilkan dalam sejarah Sokernet. W'pun Lucy seorang penyokong Perak, namun ia tidak menghalang untuk memberi penghormatan kepada pasukan dan sosok yang gemilang. Gua angkat topi pada lu Lucy!

reformist101 berkata...

Al-fatihah untuk ayahmu Fariza. Dia insan terpilih yang hanya muncul sekali sahaja dalam arena bola sepak negara.

Untuk lebih artikel mengenai arwah, ini link daripada blog Rizal Hashim, http://rizalhashim.blogspot.com/2009/07/remembering-dab.html

Najmi berkata...

kalau buat filem ni mesti gempak giler. macam cite gridiron gang. serius best. hopefully akan lahir seorang lagi untuk memartabatkan bolasepak malaysia. al-fatihah untuk arwah.

ayobkelubi berkata...

reformist : ni bukan artikel lucy tapi diambil dari website yg diletakkan di bawah artikel ini. lucy amik untuk tatapan sokernet.

lucy is one true malaysian football fan.tabik!

pornama berkata...

Setahu aku, Jepun juga belajar dari program pembangunan bola sepak remaja Kedah untuk dipraktikkan ke negara mereka.

Dan mereka telah berjaya ke Piala Dunia.

brandon flowers berkata...

respect.

d.a.n.y. ^^ a.r.m.a.n.d.o. berkata...

menitik air mata aku bila baca artikel ni..
aku sokong arwah ketika dia dipecat dari FAM..
ape yg arwah kate memang relevan..
tapi dah dasar besar kepala dan bodoh tak boleh nak diajar, arwah dipecat!

kalaulah arwah yg dilantik untuk jadi presiden dulu.....

thanx lucy.. thanx for bring the honor, pride and respect..

aku lahir di Selangor, memegang ic 43.. tapi aku bangga dengan perjuangan bola sepak kedah.

VIVA SELANGOR!

aranhellstorm berkata...

kita berharap untuk punya 10 orang lagi macam arwah Dato basri akil. Tapi kalau ada juak2 yang hanya tahu menjilat bontot Sultan Bola, cucuk orang tu cucuk orang ni, memang sampai bila-bila lah kita dok macam ni.

Great article and nicely done.

Viva Selangor.

P/s: shame on both set of fans yang bergaduh kat stadium tadi.

Fariza berkata...

reformist101..dan rakan2

terima kasih dgn semua sokongan yg anda berikan..marilah kita sesama terus mnyokong bola sepak tanah air kita utk lebih terus maju dan success..walaupun sudah lebih 2tahun menetap di kl..hati saya memang tetap pada kedah dan terutamanya skua kenari.

reformist101..thanx for the information..i do keep in touch with rizal hashim sometimes. Sekarang ni saya tgh buat satu perancangan utk arwah dan peminat arwah dan peminat bola sepak kedah..akan di update..anything..boleh email saya di farizabasriakil@gmail.com.

thanx again to lucy..nicely done man..

regards

Momento berkata...

aku x minat gk dlu bola tempatan.tiba2 mlm tu kt stadium ada kedah lwn selangor.dh boring tahap gaban folo la dia masuk stadium.first time jejak kaki kt Stadium Darul Aman.elok Kedah boh gol pendahuluan meremang habes bulu roma.dgn marlon alex james lari celebrate gol depan kami.fuhhh..feeling siot,tmbh pulak nyanyi lagu Kedah FA ramai2.

snomed3 berkata...

basri akil mmg legend!

hobin jang hobin!

wae ismael berkata...

thanks lucy !

Lanzo berkata...

mana aku boleh lupa. 1990, sekolah rendah lagi beb. team kedah julang first piala malaysia atas lori keliling pekan alor setar sambil diarak ribuan peminat yang datang dari seluruh negeri. lepas tu, aku tak pernah tengok lagi mana-mana upacara ritual sukan penuh emosi sehebat itu di Malaysia.

mahyudin berkata...

lucy artikel mantap...

ingat lagi dulu2 masa akhir tiap2 tahun kedah pi final piala msia, kerja aku asyik beli paper, lepas tu gunting berita kedah buat buku scrap. best woo... buku latihan yg sekolah yg nipis, tu bila siap punya la tebai sebab pelekat pakai gam sekupang tu, peghh kenangan sungguh.

al-fatihah utk arwah, bapa pembangunan bolasepak kedah.

r.k berkata...

Lu tanya kenapa Lucy ? ghua rasa lu pun tahu kenapa . jika tak , takkan dua kali digantung ...

FAM , FAM ...

Al-Fatihah .

Kay berkata...

"Siapa yang lahir selepas tahun 1990 dan hanya kenal bolasepak Inggeris, memang malang nasibmu wahai anak muda."

ayat paling aku suka!

anak posmen chemor berkata...

the only legend.

Al Fatihah.

makanbola berkata...

bravoo!!
great great artikel

AlpocodelaCruz berkata...

ye!! zaman-zaman tu, zaman semi-pro, pada aku cukup meriah scene bola malaysia,boleh kata kenal nama pemain-pemain pasukan yang disokong hatta nama star-star pasukan lainpun. meriah woi! meriah!

player ada kerja pagi, petang main bola woi!!!

sekarang fulltime menyepak bola pun hampeh!!

kareem berkata...

fariza tu laki ke pompuan eh?

Mohammad Fathi berkata...

korea ngn jepun guna idea arwah DAB lepas FAM reject idea tu dan ban beliau.

great great artikel.

al-fatihah.

Nabil Hussein berkata...

terbaik entry ni,sebak aku sbg anak jati kedah.

nasz playersz berkata...

kareem: fariza tu perempuan

Fariza berkata...

nasz: hehe thanx nasz!! *high five*

mambangmabuk berkata...

da kawen blom.?? miahahahhahaha

Fariza berkata...

mambangmabuk:
amboi....

SFB berkata...

Dato' Ahmad Basri Akil ni la contoh yg kalu kita lantik org yg betul/jujur/ikhlas buat keje hasilnye kejayaan.

tak macam 'organisasi besar' tu. Apa pun tarak.

sedih.. sedih...

yetzack berkata...

romli ghani dan husin jaafar keje company gua sekarang.gua maen futsal dengan diorang.husin jaafar coach.bangga gua dapat main dengan legend..

Alke berkata...

orang yg bagus dan baik macam arwah Dato' selalu takkekal lama.....memang terbukti arwah dato; buat keje jujur dan amanah..semua hasil usaha dia berjaya dan ada hasil....tapi orang2 lahanat dalam FAM duk pecikai kan arwah Dato'....aku ni penyokong Red Giant...tapi hangat aku bila ada FAM duk pelecehkan arwah Dato'...la ni, kalu muka depa duk keluaq tv cita pasal dato', meluat aku....(pehhh..cakap utagha noo..)....Siapa yang tak dapat lupa Selangor vs Kedah di Stadium Shah Alam (tahun tak hengat la plak, tapi Peter Niketin n Adigun ada lagi masa tu), 90,000 penyokong duk mai datang tengok bola!!! masa tue baru grup match, 1st game Piala Malaysia!!tak payah Stadium NAsional Bukit Jalil pun....

budin berkata...

wuaaaaa. nak balik zaman dulu2! petang2 maen bola, yg striker sume nk jadi macam sapian wahid..keeper nk jadi macam zubir ibrahim (sbb org ganu) yg nak jadi azman adnan jgn ckp laa. aihh....rindu2.

DAB, u'r the best. Al-Fatihah.

faizburn berkata...

memang meremang dan sebak.
sebagai anak jati Kedah, kenangan menonton Final Piala Malaysia hampir setiap tahun adalah moment plg berharga dalam sejarah peminat Hijau Kuning. Walaupun baru sekolah rendah, semangat Hijau Kuning sgt menebal. Ingat lagi masa tu sanggup korbankan topi2, t-shirt kaler putih utk di kaler sendiri warna keramat hijau kuning pakai carayon. kat kiri kanan tv tampal bendera hijau kuning buat pakai kertas buku latihan cucuk lidi penyapu. kat kereta ikat reben hijau kunig kat areal. baju V hijau kuning mmg nostalgik. "moment terbaik" final = Ahmad Sobri saved penalti Allister Edwards. TERBAIK.
al-fatihah.

Nazrin Saad berkata...

ini baru legend.

touching gua bai.

al-fatihah.

DIYSAR berkata...

lagi bnda yang aku ingt tntang arwah adalah time astro nak naik arga taun bila ntah, dia sndri buat surat mintak astro x naikkan arga... sbb bolaspak gak x silap aku

ferdaus berkata...

hijau darah ku... kedah tetap di hati ku.... 16 thumbs up minus 2 finger...

Faiz Khuzairi berkata...

amat bernas sekali encik lucius. orang macam anda lah yang mengembalikan sejarah silam yg boleh membakar semangat anak muda. tahniah!

Yes Blog!! berkata...

pufff...great artikel..meremang n sebak baca post ni...sebagai anak jati kedah..terharu sb dpt merasa semua moment dari tahun 80 an..huhuu...mnta share ye...

Triplei berkata...

rasa mcm nak menitis air mata baca artikel ni. Semoga Allah merahmati Arwah. Pembangunan bola sepak remaja kedah, antara yg tersusun di negara begitu juga ngan ganu n kl. Perak club2 mereka berfungsi dgn baik. Selangor aku x tau la..

Muhammad Iqbal berkata...

Saya bangga jadi anak kedah!

Fairuz Basri Akil berkata...

Satu dalam berjuta.. terukir sejarah dan kebanggan buat kita lalui hari ini.. Al-fatihah.

TuJuH BeLaS berkata...

Good article.. Aku tak pernah tahu pulak sejarah ni.. Aku ingatkan Kedah dah memang hebat dari dulu2.. huhu.. Meremang bulu roma baca artikel ni dan sejujurnya, aku rasa BIAR JASA JADI KENANGAN adalah lagu semangat TERBAIKKKKKK pernah aku nyanyi.. Dengar pun dah cukup semangat.. Hijau Kuning sentiasa di HATI.. ^^

Walaupun Allahyarham dituduh macam2 oleh 'org2 besar FAM' tapi dari dulu aku sangat yakin bahawa arwah adalah ORANG YG SEPATUTNYA MENERAJU BOLASEPAK TANAHAIR kerana beliau adalah ANUGERAH (satu dalam berjuta)..

Al-Fatihah..

Fazreen berkata...

sebagai anak jati kedah saya bangga artikel ini dikeluarkan. terima kasih si penulis!

Fazreen berkata...

Sebagai anak jati kedah saya berbangga dengan artikel ini.

bungachengkeh berkata...

wlopon aq lahir hujung taon 80-an
tp aq tetap bangga dgn bola sepak Kedah
arwah tokwan aq yg ajaq aq tgk bola sejak aq tadika
satu2nya cucu perempuan dy yg dy ajaq tgk bola
smpai la ni aq still sokong Hijau Kuning
1 kebanggaan bg aq dlahirkn sbg anak Kedah
wlopon aq xpnh lg p tgk bola dlm stadium (ayah aq xbg sbb aq pompuan)
tp bla ad game Kedah kt tv mmg aq xpnh miss
ayah aq pon naik heran cmna aq leh hafal nma suma player wlopon xyah tgk muka or no jersi
dy ckp aq pengulas bola sepak Kedah kt umah
ahahahhaha
aq cuma minat bola Liga M n World Cup
Liga Inggeris aq cuma suam2 kuku jer..
biar la kwn2 aq dok gelak aq sbb xlayan bola omputeh
janji aq sokong Kedah kt mna ja aq brada
ahahhaha
apa pun bangga dilahirkan sebagai anak Kedah yang setia dengan Hijau Kuning

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...