ANDA SEDANG MEMBACA

31

Footie Friday: Down Under

LuciusMaximus Jumaat, Oktober 14, 2011 ,


Eddie Thomson mungkin tidak dikenali ramai. Lahir di Scotland tanggal 1947 beliau menempa karier sebagai pemain bolasepak di Heart of Midlothian dan kemudian bersama Aberdeen FC di zaman pra Alex Ferguson. Kemudiannya beliau merantau ke Amerika Syarikat, bermain untuk San Antonio Thunder dalam North American Soccer League (NASL, sekarang sudah berkubur) dan menamatkan karier di Australia bersama Sydney City dalam National Soccer League (NSL, juga telah berkubur).

Bersama Sydney City, Eddie Thomson menjulang kejuaraan NSL sebanyak 2 kali sebagai pemain. Maka secara automatik beliau diangkat sebagai pengurus pasukan sebaik saja menggantung but bola. Dan selaku pengurus, Eddie Thomson mengemudi Sydney FC untuk menjulang kejuaraan NSL sebanyak 2 kali tetapi kali ini sebagai pengurus pasukan. Pada tahun 1986 Eddie Thomson beralih menjadi pengurus pasukan Sydney Olympic, melatih pemain seperti Alistair Edwards, Abbas Saad dan Marshall Soper, serta tidak dilupakan seorang pemain remaja bernama Tim Cahill.

Eddie Thomson - Dari Scotland ke Down Under

Apabila Australian Soccer Federation (ASF) mula mencari jurulatih baru untuk pasukan bolasepak Australia pada tahun 1990, calon yang paling sesuai tidak lain dan tidak bukan ialah Eddie Thomson. Misi utama beliau ialah untuk membawa Socceroos layak ke Piala Dunia 1994.

Tetapi tugas tersebut nyata sukar, tidak semudah hari ini bila Socceroos selaku pasukan ranking ke-19 dunia adalah pilihan utama untuk ke setiap edisi Piala Dunia. Pada tahun 1990 bolasepak Australia ibarat hidup segan mati tak mahu. NSL, liga bolasepak mereka ketika itu hanya bertaraf amatur, tidak mendapat sambutan penonton, kekurangan penaja dan berhadapan dengan senario penghijrahan besar-besaran pemain Australia ke luar negara.

Majoriti pemain Australia ketika itu berhijrah ke kelab-kelab Eropah. Ned Zelic bersama Borussia Dortmund, Mark Bosnich memilih Aston Villa, Paul Agostino di BSC Young Boys sementara Frank Farina awalnya AS Bari dan kemudian RC Strasbourg. Mereka semua berhijrah kerana kelab Eropah menawarkan gaji lumayan sedang di Australia rata-rata pemain NSL hanya memperolehi sekitar RM45,000 setahun.

Tetapi yang lebih menggusarkan Eddie Thomson ialah kewujudan sebuah liga bolasepak baru yang turut menarik minat ramai pemain bolasepak Australia untuk berhijrah. Liga ini bukannya di Eropah, tetapi sebaliknya lebih dekat dengan Australia kerana letaknya hanya di Asia Tenggara.

Liga bolasepak tersebut diberi nama Liga Semi-Pro, melibatkan pasukan-pasukan negeri dalam Malaysia dan Singapura. Tawaran gaji yang diberikan, jika tidak setanding dengan gaji di Eropah, masih jauh lebih lumayan dari gaji di Australia.

"Saya masih ingat ketika Abbas Saad dan Alistair Edwards bermain untuk Sydney Olympic di bawah pengurusan saya dulu. Abbas Saad bekerja sebagai penjual aiskrim sementara Alistair Edwards selalu mengambil upah melakukan kerja sampingan. Mereka terpaksa melakukan kerja lain untuk menampung hidup seharian," keluh Eddie Thomson pada tahun 1993, beberapa bulan sebelum bermulanya kelayakan Piala Dunia 1994.

Keadaan tersebut memaksa Abbas Saad dan Alistair Edwards meninggalkan NSL dan berhijrah ke Liga Semi-Pro. Dari Sydney Olympic dan gaji ciput, mereka menyertai Johor. Gaji yang ditawarkan setahun mencecah RM150,000, jauh lebih tinggi dari apa yang ditawarkan di NSL. Malahan pemain kurang ternama seperti Michael Roki sendiri memperolehi gaji berjumlah RM65,000 setahun. Sedang bekas pemain skuad Olimpik 1988  Australia, Alan Davidson dibayar gaji mencecah RM200,000 setahun oleh 'Real Madrid Malaysia', Pahang.

Alan Davidson - Gaji lumayan dari poket Sultan Bola sendiri?

"Mereka mendapat gaji yang lebih lumayan, bebas cukai serta diberikan pula kemudahan seperti kereta dan rumah percuma. Tetapi saya fikir faktor tarikan yang lebih utama ialah di Malaysia, mereka bergelar pemain profesional sepenuh masa. Mereka bernafas dan hidup untuk bolasepak," jelas Eddie Thomson lagi.

Memang tidak dapat dinafikan, pada awal dekad 1990-an bolasepak lebih bernyawa di Malaysia dari di Australia. NSL tidak mendapat sambutan penonton, jatuh nombor tiga di belakang Australian Rules Football dan ragbi. Sedang di Malaysia, Liga Semi-Pro mampu menarik lebih dari sejuta penonton ke stadium dalam satu musim, persaingan antara pasukan negeri sengit dan ianya dibanjiri pemain import bukan saja dari Australia, tetapi Afrika, Amerika Selatan dan kawasan Eropah Timur.

Penghijrahan ke Malaysia juga memberi peluang untuk pemain asal Australia meningkatkan kemahiran bolasepak mereka. Rata-rata pasukan negeri diurus oleh jurulatih import. Malahan jurulatih tempatan ketika itu juga tidak kurang hebatnya, seperti Chow Kwai Lam dan M Karathu. Dan bolasepak Malaysia ketika itu berupaya menundukkan Australia seperti yang berlaku dalam Piala Jakartaraya 1992. Malaysia menewaskan Australia 1-0.

Apabila Australia memulakan kempen kelayakan Piala Dunia 1994, mereka terpaksa bertekak dengan pasukan-pasukan negeri Malaysia demi mendapatkan khidmat pemain Australia untuk tugasan antarabangsa. Nasib baik dengan campur tangan FIFA, pasukan negeri seperti Johor contohnya terpaksa beralah.

"Dek kerana masalah sebegini, saya telah meminta ASF untuk menetapkan peraturan menghalang pemain bawah 21 tahun berhijrah ke liga bolasepak luar negara."

Tetapi Eddie Thomson sedar peraturan ini hanya melewatkan penghijrahan pemain. Hijrah pemain Australia ke Liga Semi-Pro berterusan untuk beberapa tahun mendatang. Selepas Australia tewas perlawanan play-off kelayakan Piala Dunia 1994 di tangan Argentina, beberapa pemain lain turut berhijrah. Antaranya penjaring utama Mehmet Durakovic yang berpindah ke Selangor. Scott Ollerenshaw pula ke Sabah, Marshall Soper (Perak), Milan Blagojevic (Johor), Darren Stewart (Johor) dan David Mitchell (Selangor). Taksubnya Australia dengan Malaysia sehinggakan pada 5 Mac 1995 sebuah kelab NSL, Adelaide City pernah mengumumkan rancangan mahu menyertai Liga Semi-Pro!

Abbas Saad (botak) - Dari pemain bola ke pundit bola

Lebih kurang 20 tahun kemudian, senario berubah sepenuhnya. NSL gulung tikar dan ASF dibubarkan kerana gejala rasuah dan salah urusan. Football Federation of Australia (FFA) mengambil peranan sebagai badan pentadbir bolasepak Australia yang baru pada tahun 2003, sebuah liga bolasepak profesional, A-League diasaskan pada 2004 dan pada 2005 Australia menyertai AFC. Semenjak dari itu Socceroos layak ke Piala Dunia 2006 dan 2010.

Hari ini pemain bolasepak Australia memilih untuk bermain di kelab-kelab A-League yang menawarkan gaji setaraf pemain profesional. Mereka yang berbakat pula berhijrah ke Jepun atau Korea, sementara beberapa bintang ternama mencuba nasib di Eropah. Antaranya, Tim Cahill yang pernah dididik Eddie Thomson ketika remaja dulu.

Eddie Thomson mengemudi Australia ke Sukan Olimpik 1996 dan meletak jawatan selepas itu. Beliau beralih menjadi pengurus Sanfrecce Hiroshima hingga tahun 2000 dan bersara untuk menetap di Australia. Pada tahun 2003, beliau menghembuskan nafas terakhir setelah menderita penyakit Non-Hodgkin lymphoma. Beliau merupakan antara jurulatih Socceroos yang paling lama berkhidmat.

Down Under sehingga ke hari ini sinonim dengan Australia. Tapi selepas ditapau 5-0 minggu lepas kita semua tahu ianya bolasepak Malaysia yang sekarang berada 'down under'.

31 Ulasan:

Hazwan berkata...

sebak jap


haha

Jarr berkata...

Summary artikel diakhir cerita Malaysia football team ni masih tahap...ahh malas ckp.Nanti Ultras bakar flare kat kedai mamak plak kang.

Maniax berkata...

sadisnya menjadi peminat Malaysia, ibarat diluah jadi konek, ditelan jadi bola gantung .


so sad.

pale berkata...

terbaik.

Haziq berkata...

punca liga malaysia down sudah tentu drpd sultan bola

haizz =.=

cantona79 berkata...

Blast from the past,sungguh nostalgia. Mula2 aku tengok Alan aku ingat player cina mana plak ni..rupanya ex player Real Madrid Malaysia rupanya, so adakah Selangor Barcelona Malaysia masa tu..

Khuzrin Kamarudin berkata...

Aku tak tau nak cakap apa.. memang powerlah!

Benar kata pepatah Amerika.. aku lupa ayatnya macamana... tapi maksudnya...

Belajar dari sejarah dan kita takkan silap lagi..

Streetwizer berkata...

brilliant lucy, this is brilliant...

r.k berkata...

learn from history . eh ? kita belum ada lagi history down under , lepas fam gulung tikar nanti baru malaysia boleh pergi world cup , ye dok ?

aksara : kingler . <-- hehe

shukri hidayat berkata...

kira-kira 20 tahun selepas 1994 adalah 2004

terbaik la lucy

Awan berkata...

cool story bro

janxxx berkata...

terbaeks..

mcphisto berkata...

mohon sultan bola baca artikel ni

Plus Ultra berkata...

20 tahun lebih kurang selepas 1990 la tu...

apa punya bangang syukri hidayat

Cob Nobbler berkata...

hail lucy hail!footie friday will always be my favorite column!

Cesc Luzeza berkata...

pergh....era2 dunhill ni...gaji leh cecah 200k setahun...

Ozgur Cek berkata...

kalau idea ni
http://tronohtranquility.blogspot.com/2009/01/bicara-bola.html
dilakukan tentu bola sepak malaysia kembali bernyawa...

Jojoe Ali berkata...

Maknanya, masih ada harapan la Malaysia nak naik.. gitu?

Masalahnya, cuma pengurusan - bukan elemen-elemen yang tak dapat diperbaiki seperti kekurangan fizikal dan kelemahan mental?

Baguslah.

p/s : Baris bermula "Liga ini bukannya di Eropaj, tetapi sebaliknya lebih dekat dengan Australia kerana letaknya hanya di Asia Tenggara." - frankly, manly tears. Kudos, LUCI.

abahryan berkata...

naiss..

apenzz tensai berkata...

entri ni kalo dibaca sambil makan goreng pisang panas cecah sambal kicap beserta teh tarik memang meleleh!...

kita bubar F.A.M!
kasi turun itu Sultan Bola!
buang semua ahli politik yg menyemak dlm sukan!

Sistem dan pengurusan Bola Sepak negara harus dikemudi oleh orang2 yg professional dlm bidang sukan!

marah nie... grrrr....

Tanpa Nama berkata...

terharu aku.
good job lucy. teruskan mengarang artikel bermutu dan mendapat royalti hasil dari usaha yang jitu dan padu

Dewajiwa berkata...

as usual, nice one.
dah rasa tak perlu baca artikel konvensional (syoratkabar) bila dah baca artikel dari Luci.

kalau la liga kita dibubar (mansuh) untuk tempoh 10 tahun (atau lebih), ada harapan boleh rejuvenate balik tak ye? biar bola nie sukan hobi atau layan futsal je.

rashideeshukri berkata...

ini entri terulung.

bagi gua, sebenarnya scene bola sepak Malaysia memang dah lama suam-suam kuku. mungkin ada nampak peningkatan dari segi usaha rejuvenasi masa menang Sukan SEA, AFF Suzuki Cup, dan kelayakan third-round ke Sukan Olimpik. tapi dari segi kualiti, masih lagi di tahap yang sama.

tapi ini tak bermakna gua boleh kondem usaha K. Raja, Ong Kim Swee dan pemain-pemain. mereka dah usaha untuk membuktikan sesuatu, bukan macam kita yang boleh cakap belakang je, kutuk bagai nak rak tapi tak boleh nak menyumbang apa-apa langsung.

berbalik kepada kes ni, selagi Sultan Bola tak mampus, selagi tu la Liga Malaysia tak boleh nak jadi macam tahun 1990 dulu. sekian.

Ajeossi berkata...

terbaik!

Qazwsx berkata...

bila baca entri 'Jubilo Iwata' dan entri ni ak rasa mmg patut sultan bola step down dan segala kerabat politikus dibuang terus dari hirarki FAM.kalau sultan bola trun ganti dengan anak dia,xde makna juga.

kitt berkata...

good one . footie friday!

kareem berkata...

ni ade masuk dalam buku Cerita Malaysia Tidak ke Piala Dunia kan?Oh yeah.,.bila bole order ni?

Jimmy Stracqualursi berkata...

mohon ultras malaya bawak banner SULTAN BOLA SILA BERUNDUR untuk perlawanan kelayakan nanti. kasi besar sikit la.

hantuLongkang berkata...

ciss..lucius membawak memori lama..
macam biasa, kuasa duit kuat..selangor, pahang, johor, perak kelab kaya..jadi pemain import diorang kuat2..

tapi terengganu yang miskin pun apa kurangnya..ada frank pastor, marlon, thomas hossmang, ahmad paijan, etc...tapi peristiwa alexander kauchokov takkan dilupakan...

dan waktu kelab lain masih duk main style english cross2, terengganu dah main possession..samuel chebli yang tak menjadi di perak, main di terengganu jadi power..keh2

ok..aku dah jauh menyimpang dari zaman semi-pro dan entri ni :D...

Fitrix berkata...

@rashidee

Kalau Sultan Bola mampus,anak dia Tengku Mahkota pulak naik.2x5 je

Bola sepak Malaysia ni mmg akan trus dipegang kerabat ni sampai kiamat atau revolusi berlaku

Dan Sultan Bola patut ditukar nama kepada Diktator Bola.Pegang jwtn Presiden FAM sampai mati.X tau la dh masuk world record ke belum sebagai Presiden FA paling lama

avid berkata...

artikel macam ni punya superb, all you could say was 'terbaik'?

this is football journalism at its best!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...