ANDA SEDANG MEMBACA

16

Prebiu Liga Super: Perlawanan 5

LuciusMaximus Jumaat, Januari 27, 2012 , ,


PKNS FC (11) lawan Sabah (10)

Jurulatih Sabah, Justin Ganai dipetik berkata semalam bahawa beliau agak gusar dengan perlawanan yang bakal disiarkan secara langsung oleh Astro Arena ini. Puncanya kerana pada musim lepas kesemua 4 perlawanan Sabah yang disiarkan secara langsung berakhir dengan kekalahan, dan minggu lalu pula perlawanan menentang Lions XII yang disiarkan juga berakhir dengan nasib yang serupa.

Awas PKNS, awas PKNS, awas gerak langkahmu ooo...

Tapi berdepan PKNS FC adalah peluang terbaik untuk Sabah kembali mengutip 3 mata. Juara Liga Premier ini masih belum menang dan tercari-cari rentak bersaing dalam Liga Super. Namun peluang Sabah untuk menang bergantung pada keupayaan penyerang seperti Michael Baird dan Bobby Gonzales untuk menghasilkan gol. Dukacita dimaklumkan ketajaman serangan Sabah setakat ini agak tumpul (2 gol dari 4 perlawanan).

Rekod 2011: Tiada
Tilikan: Sabah menang


Felda United (7) lawan Perak (3)

Kekalahan tipis kepada Negeri Sembilan minggu lalu bukan saja membuatkan Felda United berputih mata, tetapi turut kehilangan beberapa pemain tonggak seperti Farid Ramli dan Hardi Jaafar. Dan tugas lebih berat menanti The Settlers apabila menyambut kunjungan skuad Seladang yang kini menghuni posisi ke-3 Liga Super.

Tidak ada banyak masalah buat Cikgu Jan selaku jurulatih Perak. Penyerang Akmal Rizal telah membuktikan sentuhan berbisa beliau walaupun digelar pemain veteran, sementara Lazar Popovic yang masih belum menjaringkan gol kini selesa dilihat sebagai pengumpan kepada Akmal Rizal. Selain dari itu, gandingan tengah antara Shahrulnizam Mustapa dan Michal Kubala terbukti berkesan buat Yob.

Rekod 2011: Felda United 0-1 Perak, Perak 1-0 Felda United
Tilikan: Perak menang


Sarawak (9) lawan Negeri Sembilan (5)

Ketika zaman Awang Mahyan dan Ngap Sayot dulu, mana-mana pasukan yang bertandang ke Kuching pastinya berdepan tugas getir. Hari ini tempat Awang Mahyan diganti oleh Robert Alberts, tetapi sudah wujud tanda-tanda awal munculnya kembali semangat Ngap Sayot yang pastinya boleh menggugat keupayaan Jang mencatat kemenangan di sana.

Robert Alberts menyeru semangat Ngap Sayot

Pertembungan menarik pastinya antara dua pemain Cameroon, Jean Effa Owona dari Negeri Sembilan yang akan beradu tenaga dengan pemain pertahanan Sarawak, Guy Bwele yang kini telah pulih dari kecederaan. Ketiadaan Shakir Ali yang dipanggil menyertai kem skuad Olimpik mungkin sedikit sebanyak menjejaskan rentak serangan Jang, tetapi pengalaman Azraai Khor dan anak buahnya mungkin boleh menjadi kelebihan untuk mengatasi Sarawak.

Rekod 2011: Tiada
Tilikan: Negeri Sembilan menang


T-Team (4) lawan Selangor (8)

Selangor yang masih tidak tentu hala terpaksa bertandang ke Kuala Terengganu untuk berdepan T-Team, yang tewas minggu lalu dan kini pastinya bengis ibarat seekor yang penyu luka (tak dapat aku bayangkan penyu luka bengisnya macam mana). Satu lagi kekalahan malam ini bakal meletakkan kerjaya Irfan Bakti selaku jurulatih Selangor dalam bahaya. 

Pilihan utama untuk menjadi jurulatih pertama dipecat musim ini jika kalah lagi

Dan jika dilihat dari keadaan semasa, serta rekod T-Team musim lepas yang cemerlang dalam menentang Selangor, tidak mustahil Yunus Alif mampu tersenyum biar pun Zachariah Simukonda mungkin gagal menjaringkan gol. Tidak apa kerana T-Team ada Zairo Anuar, pemain tengah yang sedang mendahului senarai penjaring gol buat masa ini.

Rekod 2011: T-Team 2-1 Selangor, Selangor 0-2 T-Team
Tilikan: T-Team menang


Lions XII (6) lawan Terengganu (2)

Lions XII kembali ke Stadium Jalan Besar, padang tiruan kesayangan mereka dan ngauman lantang penyokong Singapura. Satu kelebihan yang boleh menghantui mana-mana pasukan lawan yang bertandang ke sana dan kali ini yang bakal diuji ialah pasukan tangga ke-2 Liga Super dan juara Piala FA 2011, Terengganu.

Terengganu mempunyai barisan serangan yang gah. Francis Doe cemerlang setakat ini dengan 3 gol dari 2 perlawanan. Selain itu Mat Zan Mat Aris mempunyai penyerang pilihan lain terdiri dari Manaf Mamat dan Hadi Yahya, selain barisan tengah berbahaya seperti Ismail Faruqi, Joseph Kalang dan Ashaari Shamsuddin. Cuma satu isu yang mungkin menjadi penghalang ialah hakikat bahawa pertahanan Lions XII juga tidak kurang hebatnya dibawah teraju Baihakki Khaizan.

Rekod 2011: Tiada
Tilikan: Seri


Kelantan (1) lawan Kuala Lumpur (14)

Kuala Lumpur telah pun berjaya mengutip mata pertama mereka untuk musim ini pada minggu lalu. Tetapi perlawanan berikutnya menentang Kelantan di Kota Bharu bakal menjadi satu lagi tugas hampir mustahil buat City Boys dalam usaha mereka keluar dari dasar Liga Super.

Keputusan perlawanan ini memang sudah boleh dicongak dengan mudah (melainkan Razip Ismail ada strategi hebat yang lain). Yang agak suakr dicongak ialah sama ada perlawanan di Stadium Sultan Mohammad IV ini boleh bermula tepat pada masanya atau lewat berpanjangan.

Rekod 2011: Kelantan 2-0 Kuala Lumpur, Kuala Lumpur 0-2 Kelantan
Tilikan: Kelantan menang


Kedah (13) lawan Johor FC (12)

Pertembungan antara 2 pasukan yang melengkapkan 3 pasukan tercorot Liga Super. Kedua-duanya mempunyai rekod bolos yang hebat (6 bolos setiap satu) tetapi di mana satu pasukan telah pun berjaya menjaringkan 3 gol, satu pasukan lagi masih kemarau gol.

Persoalannya adakah jurulatih sementara Kedah, Nidzam Adzha bakal terus bersandar kepada taktik 'long ball' disebalik barisan pemain berkemahiran yang dimilikinya? Dan adakah K Devan yang sebelum ini gagal bersama Selangor bakal terus gagal bersama Johor FC pula?

Rekod 2011: Kedah 1-2 Johor FC, Johor FC 0-1 Kedah
Tilikan: Seri

16 Ulasan:

Sandokhan berkata...

ulasan super padu!

zulhilmi berkata...

kedah..kedah..agak2 kalau wan jamak amik balik power x???

Point of View berkata...

mohon ulas pasal liga premier sama, kesian kat perlis & pahang!

Union Equatoriale berkata...

aku syak tganu kalah dengan singapore lions dan harap kl buat kejutan atas red warriors

kena kasi tendang team pantai timur ni ke bawah balik

mank berkata...

kasi hancur itu selangor !!

mank berkata...

peteh mat said peteh

matdarts berkata...

Kedah ikut result LOOserfool jugak rasa...seri 0-0....hampeh tak reti buat gol.....

ijan de bunks berkata...

mohon rusa curi 3 mata dari buaya.

hobin jang hobin!!!!

ijan de bunks berkata...

dan satu lagi, mengikut twitter shakir ali, dia cakap die dah sampai kuching. so harap dia akan main malam besok.

musuhnya habis binasa!!!

Apostolos Velios berkata...

jangan pandang rendah the croc walaupun tak boleh berdiri megah macam rusa, air yang tenang jangan disangka tiada buaya

Kurast berkata...

bengis ibarat seekor penyu yang luka = priceless

Aziz Nasution berkata...

'Justin Ganai dipetik berkata semalam bahawa beliau agak gusar dengan perlawanan yang bakal disiarkan secara langsung oleh Astro Arena ini.'

Hahahaha.. Ni kes terkena badi Anandha ke apa ni?

Tanpa Nama berkata...

...bengis ibarat seekor penyu yang luka.

awang merah berkata...

dah menang pun..siugapore ape hal...

kareem berkata...

nampaknya hanya dua tilikan mengena...kebaaaboommmm!

The Fakhirin berkata...

koloLomPor menggigit Lumpur...hahahaa...

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...