![]() |
| Athletic Bilbao - Bukan sekadar kelab |
Ada orang kompelin Sokernet dah tak ada 'class'. Kalau dulu 'fun' dan 'full of facts' tetapi sekarang semuanya pasal 'hatred' dan 'full of craps'.
Ah, tulis benda-benda berilmiah pun bukannya korang boleh hadam. Tapi sebab dah ada yang berbunyi, aku bagi peluang sekali ini.
Bila Manchester United kalah 2-3 di Old Trafford kepada sebuah kelab Sepanyol yang bukan Real Madrid atau Barcelona, ramai yang pertikaikan apa barang kalah dengan kelab nama Athletic Bilbao. Rata-rata sebab rakyat Malaysia keturunan England tapi tak duduk di England ini berfikiran kelab macam Athletic Bilbao adalah sebuah kelab Sepanyol cikai yang mungkin setaraf dengan Sunderland atau Fulham lebih kurang.
Dan baru-baru ini, seorang rakyat Malaysia keturunan England yang khabarnya duduk di Liverpool mengeluarkan pula kenyataan sebegini:
kalau dengan Bilbao pun MU tak boleh nak kitai dekat OT, nak bongkak amendanya. yang betul-betul boleh bongkak sekarang ni, tu haa tim Barcelona tu.12 Mac 2012 7:29 PTG
Aku bagi 'the benefit of doubt' dan anggap kenyataan sedemikian adalah pendapat peribadi beliau dan tidak mewakili seluruh penduduk atau penyokong Liverpool. Sebab aku kenal ramai penyokong Liverpool lain yang bijak pandai dan mereka tidak bangang abadi untuk mengeluarkan kenyataan sedemikian.
Mereka yang berfikiran Athletic Bilbao ini kelab cikai dan sepatutnya boleh dikitai oleh Manchester United di Old Trafford jelas terlalu 'English centric' dan tidak menyedari bahawa ada banyak kelab bola sepak lain di Sepanyol khususnya dan benua Eropah amnya yang hebat selain dari Real Madrid atau Manchester United.
Athletic Bilbao bukanlah kelab cikai. Kelab berusia 114 tahun ini diasaskan pada 1898 (sumber lain mengatakan 1901 atau 1903) dan merupakan kelab kedua tertua di Sepanyol selepas Recreativo de Huelva. Tetapi berbeza dengan Recreativo de Huelva yang mungkin boleh dikatakan kelab cikai, Athletic Bilbao boleh kita anggap sebagai salah satu dari Big 3 dalam bola sepak Sepanyol.
Dalam La Liga, hanya ada 3 kelab yang tidak pernah direlegasi. Real Madrid dan Barcelona seperti biasa merupakan saspek utama dan melengkapkan senarai ini pastilah Athletic Bilbao. Ketiga-tiga Big 3 ini telah kekal bermain dalam La Liga sebanyak 80 musim sedangkan kelab lain yang mungkin lebih kita kenali seperti Valencia, Atletico Madrid, Espanyol atau Sevilla pernah dalam sejarah mereka direlegasi ke Segunda Division satu masa dulu.
Dan jika itu tidak cukup, harus diingat dalam seluruh Sepanyol, Athletic Bilbao adalah kelab yang mempunyai kabinet piala ketiga besar selepas Real Madrid dan Barcelona. Sebanyak 8 kejuaraan La Liga dimiliki mereka (berbanding 31 milik Real Madrid, 21 milik Barcelona dan 9 milik Atletico Madrid). Dan dalam Copa del Rey, yang boleh kita katakan FA Cup versi Sepanyol, Athletic Bilbao telah menjuarainya sebanyak 23 kali, kedua di belakang Barcelona yang telah menang sebanyak 25 kali sedang Real Madrid pula hanya mengumpul 18 kejuaraan Copa del Rey.
Jelas terbukti rekod Athletic Bilbao bukan kecil anak dan Athletic Bilbao sendiri bukan kelab cikai. Apa nak dihairankan kalau Manchester United kalah kepada Athletic Bilbao di Old Trafford? Sedangkan Barcelona sendiri pernah dikitai 12-1 di San Mames dan 6-0 di Camp Nou oleh Athletic Bilbao ini. Cuma, ya ada cuma, ianya berlaku puluhan tahun dulu.
Ramai orang berfikiran di Sepanyol kelab macam Real Madrid adalah sebuah kelab kaya raya yang banyak menghabiskan duit dengan projek Galacticos mereka untuk menjadi Pahang Sepanyol. Sedang Barcelona pula dianggap kelab bola yang 'true' dengan falsafah mereka serta dipenuhi semangat patriotisme Catalan. Jari tengah aku berikan bagi mereka yang beranggapan Barcelona ini 'true'.
Kalau benar Barcelona kaya dengan patriotisme Catalan, Athletic Bilbao sebenarnya lebih kaya dengan patriotisme Basque. Polisi Cantera mereka menetapkan setiap pemain Athletic Bilbao mestilah mereka dari keturunan Basque. Ya, percaya atau tidak 25 pemain Athletic Bilbao hari ini adalah dari keturunan Basque, 24 dari mereka rakyat Sepanyol dan hanya seorang yakni Fernando Amorebieta merupakan rakyat Venezuela tetapi masih merupakan keturunan Basque. Dan polisi Cantera yang menetapkan pemain keturunan Basque ini telah suci dipertahankan untuk ratusan tahun lamanya oleh Athletic Bilbao sedangkan Barcelona yang kononnya penuh semangat patriotisme Catalan telah lama dinodai oleh pemain bukan Catalan. Inilah yang baru boleh dinamakan lebih dari sekadar kelab.
![]() |
| "Més que un club" my foot lah Messi oi! |
Tetapi prinsip merekrut hanya pemain keturunan Basque ini ada memberi kesan kepada Athletic Bilbao. Berbanding dengan Barcelona yang sanggup menggadaikan maruah Catalan untuk membeli pemain terbaik, Athletic Bilbao terpaksa berpuas hati dengan bakat keturunan Basque yang sedia ada. Kesannya dalam era bola sepak moden, hari ini Athletic Bilbao tidak lagi berupaya menyaingi kelab Sepanyol lain yang sanggup berbelanja besar. Maka tidak hairanlah Athletic Bilbao kini ketandusan piala selama hampir 30 tahun lamanya. Kali terakhir mereka memenangi La Liga dan Cop del Rey adalah pada musim 1983/84.
Tetapi meminjam kata penyedap hati penyokong Liverpool, 'form is temporary, class is permanent', kita harus akui Athletic Bilbao adalah sebuah kelab yang mempunyai kelas dan berstatus besar. Dan sebagai kelab yang mempunyai kelas serta berstatus besar, 'simple logic' menetapkan ianya harus di 'compare' dengan kelab berstatus besar yang lain. Sekali lagi aku meminjam hujah penyokong Liverpool.
Maka, Manchester United kalah di Old Trafford kepada Athletic Bilbao adalah sama seperti kalah kepada Real Madrid atau Barcelona. Tidak ada apa yang perlu dimalukan oleh penyokong Manchester United khususnya di Malaysia. Dan untuk penyokong Liverpool tertentu, mereka perlu sedar Athletic Bilbao bukanlah cikai sangat cuma di Sepanyol sana Real Madrid dan Barcelona berada di galaksi yang lain. If you have been playing in Europe lately you would know. Jadi boleh berhenti gunakan hujah 'nak bongkak amendanya' kalau kalah kepada Athletic Bilbao. Padahal dengan kelab Wales pun korang setengah mati juga.
Benda yang sama juga aku tekankan kepada mereka yang minat Chelsea. Kalah dengan Napoli bukanlah satu kejutan kalau anda tahu siapa Napoli ini sebenarnya. Ini adalah kelab Itali yang mungkin tidak sepopular AC Milan atau Juventus tetapi masih ianya bukan kecil anak.
Peminat EPL di Malaysia sebenarnya terlalu 'English centric'. Mereka terlalu merasakan kelab-kelab England ini sudah cukup hebat tanpa menyedari di benua Eropah sana ada berpuluh kelab Eropah lain yang tidak kurang hebatnya. Dan kita tidak bercakap terhad sekadar Real Madrid, Barcelona, AC Milan, Juventus atau Bayern Munich.
Satu masa dulu ketika Tony Blair dari Parti Buruh menjadi Perdana Menteri United Kingdom beliau melakukan kesilapan besar dengan berkiblatkan Amerika Syarikat di seberang laut dan mengabaikan Eropah yang hanya di seberang parit. Kesannya Britain tersisih dari Kesatuan Eropah dan Perdana Menteri hari ini yakni David Cameron kini mempunyai tugas berat untuk membawa negara pulau kecil ini kembali ke pangkuan saudara Eropah mereka.
Okay aku tak faham kenapa boleh masuk hal Tony Blair. Ini semua pasal The Special Relationship aku tengok semalam. Tapi pepandailah korang aplikasikan dalam kes ini, jangan abaikan Eropah!
![]() |
| Sekadar gambar hiasan |
LANGGANI RSS KAMI




