Memaparkan catatan dengan label australia. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label australia. Papar semua catatan
23

Piala Asia 2011: Laporan Hari Ke-8

LuciusMaximus Sabtu, Januari 15, 2011 , , , , ,




May The Force Be With You!


Malam ini semua perlawanan Piala Asia 2011 akan bertembung dengan perlawanan-perlawanan liga bolasepak tempatan yakni EPL. Maka macam biasa keutamaan perlu kita berikan kepada EPL. Kalau bukan rakyat Malaysia nak sokong EPL, siapa lagi?

Senario EPL diutamakan dari Piala Asia ini bukan baru sangat dalam Malaysia. Pada tahun 2007 berjuta-juta anak jati Manchester di Malaysia pernah dihampakan kerana kunjungan Manchester United ke Kuala Lumpur terpaksa dibatalkan akibat protes AFC kerana Malaysia juga adalah tuan rumah Piala Asia 2007. Ramai yang kecewa tetapi tidak menyedari Piala Asia 2007 adalah yang pertama buat negara kita sejak perginya arwah Mokhtar Dahari.

Malam ini, kerana EPL maka ESPN dan Star Sport terpaksa memberi laluan kepada perlawanan EPL. Buat mereka yang mempunyai Astro B.yond bagaimanapun bolehlah layan perlawanan Piala Asia 2011 di ESPN HD.

Sepatutnya FAM melobi kepada FA England supaya membenarkan pasukan Harimau Malaya bermain dalam EPL. Atau pun suruh Tony Fernandes beli Hull City dan namakan Harimau Malaya kemudian sumbat pemain Malaysia dalam kelab itu. Lambang pun dah harimau dah.

Asian Heavyweights

Negara bolasepak paling berjaya di Asia, Korea Selatan bertembung dengan pendatang baru bolasepak Asia, Australia. Korea Selatan pernah ke Piala Dunia 8 kali berbanding 3 kali untuk Australia, tetapi dalam ranking FIFA Australia ialah pasukan nombor satu Asia berbanding ke-3 buat Korea.

Korea Selatan yang pertama merobek gawang Australia, pada minit ke-24 melalui pemain muda Koo Ja-Cheol yang bermain untuk Jeju United. Keseluruhan babak pertama dikuasai baik oleh Korea Selatan dengan Australia lebih banyak mengejar bola. Tim Cahill dan Harry Kewell tidak langsung mengancam kubu Korea, dengan Cha Du-Ri cemerlang mengawal pergerakan Cahill.

Australia bagaimanapun menunjukkan peningkatan positif pada separuh masa kedua. Dan pada minit ke-62 mereka diselamatkan oleh pahlawan Jedi bernama Mile Jedinak yang bermain untuk kelab Turki, Genclerbirligi. Ia adalah gol antarabangsa pertama buat Jedinak.

Seri merupakan keputusan yang memuaskan buat kedua pihak. Cuma Korea Selatan kini lebih selesa kerana perlawanan berikutnya ialah India. Australia pula perlu berdepan Bahrain dan wajib menang jika mahu ke suku akhir. Masalahnya Luke Wilshire, David Carnay dan Jason Culina kesemuanya mengalami kecederaan dan sedikit menjejaskan persediaan Socceroos.

Goal Fest

Tujuh gol disajikan dalam pertemuan antara Bahrain dan India dengan penyerang Bahrain Ismaeel Abdullatif menjaringkan 4 gol manakala seorang lagi penyumbang gol Bahrain, Faouzi Aaish dilayangkan kad merah kerana melakukan aksi terjun dalam kotak penalti India.

India walaupun bolos 5 gol tetap memberikan saingan selayaknya buat Bahrain. Gouramangi Singh dan Sunil Chhetri menjaringkan 2 gol buat India. Okaylah tu, Malaysia pun hanya mampu mencatatkan satu gol dalam Piala Asia 2007.

Kalah 5-2, India kini sudah terkeluar dari saingan Piala Asia 2011. Tetapi mengikut kata jurulatih India, Bob Houghton, pengalaman bermain Piala Asia 2011 dan menentang pasukan handalan merupakan pengajaran yang berharga buat Bhangra Boys.

Malam Ini

Pertarungan Paksi Kejahatan antara Iran dan Korea Utara berlangsung jam 9:15 malam dan Jong Tae-Se kali ini berjanjikan akan melakukan satu tumbukan padu ke udara. Kemudian pada 12:15 pagi Emiriah Arab Bersatu berdepan pula dengan juara bertahan Iraq.

Sebelum berpisah, aksi gol dari pemain Sporting Kansas City dan India, Sunil Chhetri. Jadahnya India ada pemain yang bermain di MLS Amerika Syarikat? Kita baru nak hantar Safee Sali keluar pun dah kecoh satu kampung. Tapi sebenarnya kalau dilihat dengan teliti, Renedy Singh sudah pun terlebih dulu meletakkan bola dalam gawang melalui screamer beliau.

25

Piala Asia 2011: Tabik Tim Cahill!

LuciusMaximus Selasa, Januari 11, 2011 , , , , ,


Mencanai India

Aku suka Tim Cahill. Sebab dia main untuk Everton dan suka bertinju dengan tiang bendera. Malam tadi Tim Cahill memberikan satu sebab lagi kenapa kita kena suka dan tabik hormat pada beliau.

Seleps menjaringkan gol ke-4 Socceroos, mamat ini telah membuat aksi panggilan telefon sebagai simbolik kepada rayuan derma beliau untuk bencana banjir Queensland, Australia. Kemudian seperti biasa dia kembali bertinju dengan tiang bendera.

Sebagai salah satu usaha mengutip derma, Tim Cahill telah membuat lelongan di eBay untuk satu pakej yang dinamakan 'Tim Cahill Everton Experience'. Pakej tersebut adalah pakej menonton perlawanan Everton dan hasil lelongan akan didermakan kepada tabung bencana banjir Queensland. Maklumat lanjut boleh klik pautan eBay ini.

Socceroos malam tadi mencanai India 4-0. Gol adalah hasil jaringan Tim Cahill (11 dan 65), Kewell (24) dan Holman (45+2). India yang berada di ranking 142 dunia memang bukan lawan Australia yang berada di ranking ke-26 dan majoriti pemainnya bermain di kelab ternama Eropah.

Pun begitu jurulatih India, Bob Houghton positif dan yakin ia pendedahan yang baik buat skuad Bhangra Boys. Ketiadaan ayam tambatan Baichung Bhuttia membuat barisan serangan sedikit tumpul. Jentera serangan India banyak bergantung kepada 'Beckham India', Steven Dias dan penyerang berbakat Sunil Chhetri. Sunil Chhetri ini bermain untuk kelab Sporting Kansas City dalam Major League Soccer di Amerika Syarikat. Safee Sali pun belum pernah sampai sana jadi jangan nak pandang India sebelah mata.

Park JS Kirim Salam Dari Doha

Red Devils paling sepet tidak menjaringkan sebarang gol malam tadi ketika bertemu Bahrain tetapi Taegeuk Warriors tetap memastikan 3 mata penuh dengan kemenangan 2-1.

Pemain Jeju United, Koo Ja Cheol menyumbat 2 gol untuk Korea Selatan selesa mengatasi Bahrain. Koo Ja-Cheol memegang posisi central midfield dengan Park JS dan Lee Chung Yong bermain di sayap dan bertukar posisi antara satu sama lain. Penyerang Ji Dong Won bermain sebagai lone striker.

Bahrain mendapat gol saguhati hasil sepakan penalti Fouzi Mubarak Aaish pada minit ke-85.

Korea Selatan akan bertemu Australia dalam perlawanan berikutnya. Meleleh.

Malam Ini

Pengadil Harimau Malaya, Subkhiddin nyata tidak gentar untuk mengadili perlawanan Korea Utara dan Emiriah Arab Bersatu jam 9:15 malam ini. "Siapa Kim Jong Il?!" soal Subkhiddin saat menawarkan diri sebagai pengadil perlawanan ketika semua pengadil Asia lain menikus.

Pada jam 12:15 pagi, ianya adalah pertembungan Iraq dan Iran. Perang Iran-Iraq bakal dihidupkan kembali!

Sebelum berpisah, video gol jaringan Tim Cahill dan aksi panggilan telefon serta tinju tiang bendera beliau. Minta maaf penterjemah bercuti hari ini.

18

Piala Asia 2011, Qatar, Australia, Harimau Malaya & Allahuakbar

LuciusMaximus Jumaat, Januari 07, 2011 , , , ,




Piala Asia 2011

Wakil Sokernet ke Piala Asia 2011, Pipiyapong khabarnya telah selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Doha, Qatar. Harapan Sokernet beliau tabah menempuhi cabaran hidup di padang pasir. Panas tu memanglah, tapi nanti di Padang Mahsyar lagi panas sebenarnya.

Piala Asia 2011 akan bersepak mula malam ini dengan tuan rumah, Qatar bertemu jaguh Asia Tengah, Uzbekistan. Debaran Qatar menanti kunjungan Uzbekistan adalah ibarat debaran tentera Arab menantikan kunjungan tentera Empayar Timur beribu tahun dulu. Timur dan tentera Asia Tengahnya menakluki Baghdad, membunuh 20,000 umat Islam. Ya lama dulu lagi umat Islam sudah berperang antara satu sama lain dan berbunuhan.

Jika ribuan tahun dulu Arab tewas di tangan Timur, Qatar hari ini pasti berharap situasi yang sebaliknya. Tiga mata adalah penting untuk tuan rumah yang ranking FIFA-nya tidaklah seberapa. Tetapi Qatar FA telah menetapkan sasaran juara untuk skuad mereka biarpun Qatar bukanlah pasukan pilihan.

Qatar

Selain dari misi kejuaraan Piala Asia, Qatar juga mempunyai misi yang lain. Piala Asia 2011 adalah kayu pengukur keupayaan negara Arab kecil ini dalam menganjurkan Piala Dunia yang akan menjelang tiba 11 tahun lagi.

Qatar sebelum ini telah pun menganjurkan Sukan Asia 2006 dan menerima reaksi positif kebanyakannya dari penganjuran tersebut. Kali ini mereka bakal membuktikan keupayaan menganjurkan kejohanan bolasepak dan Piala Asia 2011 adalah pentas terbaik untuk menguji keupayaan mereka.

Lantas Piala Asia 2011 ibarat serampang dua mata buat Qatar. Satu membuktikan kekuatan bolasepak mereka untuk bergelar juara Asia atau paling tidak memberikan cabaran yang terbaik. Kedua ialah membuktikan keupayaan Qatar untuk menganjurkan satu kejohanan bolasepak 16 negara yakni Piala Asia dan meyakinkan dunia mereka mampu pula menganjurkan Piala Dunia yang melibatkan 32 negara dalam tempoh 11 tahun lagi.

Australia

Negara kanggaru yang merupakan ahli gabungan terbaru AFC akhirnya telah diberi penghormatan selaku tuan rumah Piala Asia 2015. Bukan masalah besar buat sebuah negara besar dan maju seperti Australia. Paling tidak, ia mengubati luka Australia yang tewas kepada Qatar dalam perebutan hak penganjuran Piala Dunia 2022.

Masih ramai yang sebenarnya tidak bersetuju dengan kemasukan Australia ke dalam AFC. Di Malaysia kemasukan Australia ke dalam AFC akhirnya membawa kepada satu susuk bernama Ben William. Ben William ini sudah mencapai tahap kehinaan yang sama dengan Paul Keating di Malaysia.

Tetapi kemasukan Australia juga sebenarnya dapat memberi kesan positif buat bolasepak Asia. Reputasi bolasepak Asia kini dipandang lebih tinggi dengan adanya Australia yang merupakan antara negara sukan terulung dunia. Dan kuasa-kuasa bolasepak Asia yang lain kini mempunyai pencabar baru yang perlu mereka tangani. Arab Saudi, Jepun dan Kore Selatan tidak lagi boleh bersenang-lenang.

Tidak apa Australia berada dalam AFC dan bermain dalam Piala Asia. Jangan dia masuk AFF atau ASEAN dan bermain dalam Piala AFF Suzuki atau Sukan SEA sudah. Memang habis negara ASEAN semua gigit jari.

Harimau Malaya

Okay, bila lagi Harimau Malaya nak main dalam Piala Asia? Tunggu harimau bertanduk?

Kali pertama Harimau Malaya bermain dalam Piala Asia ialah pada edisi 1976 di Iran. Kita berada dalam Kumpulan A bersama Kuwait dan China. Tewas 0-2 kepada Kuwait dan seri 1-1 dengan China memaksa Mokhtar Dahari dan rakan-rakan pulang awal. Iran muncul juara Piala Asia 1976.

Kali kedua ialah pada edisi 1980 di Kuwait. Harimau Malaya diundi dalam Kumpulan B bersama Korea Selatan, Kuwait, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu. Kita seri 1-1 dengan Korea Selatan, kalah 1-3 di tangan Kuwait, menang 2-0 ke atas Emiriah Arab Bersatu dan seri 1-1 dengan Qatar. Menduduki tangga ke-3 Kumpulan B, Harimau Malaya pulang awal lagi. Kuwait muncul juara Piala Asia 1980.

Kali ketiga Harimau Malaya ke Piala Asia ialah selaku tuan rumah bersama. Ini ialah pada edisi 2007 di mana bolasepak kita bukan lagi sehebat dulu. Berada dalam Kumpulan C bersama China, Uzbekistan dan Iran, ianya adalah satu bencana. Kita dilauk China 1-5, dilauk Uzbekistan 0-5 dan kalah kepada Iran 0-2 yang pada masa itu sudah pun layak dan tidak lagi berminat menjadikan Harimau Malaya lauk penganut Syiah. Iraq muncul juara Piala Asia 2007, negara yang berperang setiap hari tidak macam Malaysia.

Selepas pertandingan tersebut, Sultan Bola masih maintain jadi Presiden FAM hingga ke hari ini.

Allahuakbar!

Macam biasa dalam bolasepak, setiap kali kejohanan maka pada masa yang sama pemimpin-pemimpin bolasepak berhimpun untuk percaturan politik bolasepak. Kesemua wakil 45 negara gabungan dalam AFC telah berhimpun semalam dalam pengundian jawatan Timbalan Presiden FIFA dari benua Asia.

Pemegang jawatan, Chung Mung-joon dari Korea Selatan hanya meraih 20 undi dan akhirnya disingkirkan oleh Putera Ali al-Hussein dari Jordan yang meraih 25 undi. Harapan Chung Mung-joon untuk mencabar Sepp Blatter dalam pemilihan FIFA bulan Jun nanti juga terkubur dengan penyingkiran ini. Kekalahan ini juga satu lagi tamparan buat Korea Selatan, yang sebelum ini tewas kepada Qatar dalam pemilihan tuan rumah Piala Dunia 2022.

Kejayaan Putera Ali pastinya kerana dibantu oleh sokongan sebulat suara negara-negara Arab. Kemenangan Putera Ali semalam disambut dengan laungan takbir Allahuakbar. Bolasepak Asia kini di-Islamkan dan ahli PAS semuanya sujud syukur. Tidak ada lagi pengaruh Wonder Girls dalam bolasepak Asia.

Sepp Blatter yang memegang jawatan Presiden FIFA turut hadir di Doha untuk meraih sokongan sebagai persediaan pemilihan FIFA bulan Jun nanti. Beliau bagaimanapun dilaporkan tidak terlibat sama dalam aktiviti laungan takbir.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...