Memaparkan catatan dengan label jepun. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label jepun. Papar semua catatan
34

Jepun 2-0 Malaysia (11 Perkara)

LuciusMaximus Khamis, September 22, 2011 , , ,




1) Siaran langsung di dua saluran, TV2 dan Star Sports. Di TV2 macam biasa Haji Hasbullah Awang sementara di Star Sports ianya Dez Corkhill sama satu orang lagi mat salleh. Kalau nak ulasan bola tipikal Malaysia yang syok sendiri, ada fakta luar biasa dan gelak-gelak mestilah layan TV2. Kalau mahu ulasan bola gaya EPL, berinformasi dan penuh kritikan tajam maka boleh layan Star Sports. Aku layan dua-dua sekali.

2) Dah lebih 20 tahun Tun Dr Mahathir kenalkan Dasar Pandang Ke Timur, kita masih lagi pandang tapi setakat pandang sajalah, buatnya tidak. Perlawanan semalam dimainkan di stadium sebuah kelab J. League Division 2, Sagan Tosu. Stadium bernama Best Amenity  Stadium (atau Tosu Stadium) ini hanya berkapasiti 24,490, jauh lebih kecil dari Stadium Nasional Bukit Jalil tapi dia punya padang 10 kali lebih kelas dari yang kita ada. Hanya tiga minit berjalan kaki dari stadium ini ialah Stesen Tosu yang menyediakan perkhidmatan keretapi JR Kyushu dan secara purata mengurus sejumlah 13,000 penumpang sehari. Kita punya stadium boleh muat maksimum 100,000 tapi kalau baru 10,000 datang Stesen LRT Bukit Jalil dah huru-hara. Kat sini dah nampak negara mana yang efisien dan mana yang akal pendek.

Best Amenity Stadium - Memang best!

3) Dah lebih 20 tahun juga semenjak para pegawai FA Jepun bertandang ke Malaysia untuk belajar dan tengok bagaimana kita mengadakan Liga Semi-Pro dulu, tengok pasukan negeri, tengok stadium, tengok perlawanan liga kita dan tengok Sultan Bola. Sekarang jumlah kelab profesional dan amatur mereka berjumlah lebih 200, stadium khusus bolasepak berterabur, J. League diberi penarafan Gred A oleh AFC, layak ke Piala Dunia dan Olimpik itu hal biasa dan pemain profesional Jepun bersepah di Eropah. Malaysia? Tanya Sultan Bola.

4) Malaysia memang juara bolasepak Sukan SEA tapi gelaran ini lebih kurang sama saja dengan Bangladesh jadi juara bolasepak Sukan Asia Selatan. Dalam erti kata lain jaguh kampung, jadi bila keluar dari kampung baru tahu langit tinggi atau rendah. Senario yang sama juga boleh diguna pakai ke atas skuad senior yang jadi juara Piala AFC. (okay yang sebenarnya Piala AFF)

5) Corak permainan anak buah Ong Kim Swee semalam seperti biasa ialah tendang ikut arah telor. Pemain tengah nampaknya rajin turun ke bawah membantu pertahanan tetapi sebaik bola berjaya dirampas semua lebih suka berlari-lari anak naik ke atas. Berat telor gamaknya. Barisan serangan pula nampaknya lebih mengambil sikap tunggu dan lihat. Jawabnya entah sampai ke bila setakat tunggu dan lihat bola sajalah kerja mereka.

6) Jepun kelihatan bermain dengan 22 pemain di atas padang. Tapi itu kerana mereka bermain dengan memberi tekanan serta membuat hantaran kepada kawan bukannya lawan atau mengikut arah telor. Keigo Higashi banyak mengkucar-kacirkan  pertahanan Malaysia. Pada minit ke-10 Higashi meledak gol pertama. Gol kedua datang dari Ryohei Yamazaki yang menggantikan Higashi. Kensuke Nagai yang dikatakan bintang utama bagaimana pun tidak berapa menyinar kali ini.

Gambar Kosmo! semalam - Dia punya warning, kehkehkeh!

7) Kalau tak kerana Khairul Fahmi Che Mat, Malaysia mungkin bolos 4 atau 5 biji gol. Itu pun aku rasa bolos 2 biji ini sudah cukup buat Jejari Runcing sengih sikit-sikit sambil kata 'pade muko mu ado tino lain lagi!" Tapi aku bagi jugalah Apek sebagai pemain terbaik Malaysia semalam.

8) Satu-satunya peluang Malaysia datang pada minit ke-60 melalui Fandi Othman tapi mamat ni gentel bola banyak sangat macam Nando Torres.

9) Nampak gaya kalau betul nak ke Olimpik, Malaysia kena pastikan menang ke atas Syria dan Bahrain serta cuba mencatat keputusan seri lawan Jepun di Bukit Jalil. Tapi kalau dapat nombor 2 dalam Kumpulan C, kita berkemungkinan terpaksa bersaing pula dengan lawan seperti Arab Saudi atau Uzbekistan.

10) Jadi kesimpulannya memanglah peluang kita ke Olimpik itu kurang 10%. Main dalam kelayakan Olimpik ini lebih kepada menimba pengalaman dan menguji keupayaan kita. Oleh itu paling busuk pun kita mesti menang 2 perlawanan dalam Kumpulan C ini. Tak akan nak kalah semua ye tak? Nanti kena gelak dengan Indonesia dan Singapura pula.

11) Awek Jepun yang datang stadium malam tadi aku bagi A.

Sekadar gambar hiasan - Bukan semalam punya

13

Nadeshiko Japan

LuciusMaximus Isnin, Julai 18, 2011 , ,





Aku insaf. Lepas ini aku berjanji memandang wanita Jepun lebih dari sekadar Maria Ozawa dan AV.
15

Solidaritas Bersama Sendai

LuciusMaximus Selasa, Mac 15, 2011 , ,





Sokernet bersimpati dengan rakyat dan juga peminat bolasepak di Jepun di atas bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda Sendai baru-baru ini. Kehilangan nyawa dan kemusnahan harta benda pastinya perit untuk diterima penduduk negara matahari terbit itu dan turut menerima tempias pastinya sukan bolasepak yang dekat di hati kita semua.

Sendai merupakan antara bandaraya yang mempunyai wakil kelab dalam saingan J.League Division 1 iaitu Vegalta Sendai. Kesan dari bencana yang menimpa Jumaat lepas, Vegalta Sendai adalah antara kelab yang paling teruk terjejas.

Presiden kelab Yoichi Shirohata memaklumkan bahawa stadium, padang latihan dan kemudahan kelab yang lain telah musnah. Namun berita baik ialah kesemua pemain dilaporkan terselamat dengan para pemain asing telah diberikan pelepasan pulang ke negara asal sementara pemain tempatan dibenarkan pulang untuk bersama keluarga mereka.

Vegalta Sendai baru sahaja dipromosi naik ke J1 pada musim 2009 selepas 6 musim bermain dalam J2. Kelab Sendai ini bukanlah antara kelab bolasepak terkuat Jepun tetapi sebagai wakil tunggal Sendai dalam J.League mereka mampu menarik sejumlah 300,000 penyokong setiap musim secara purata. Stadium Yurtec Sendai mereka berkapasiti 19,694 penonton dan asalnya diasaskan sebagai kelab bolasepak Tohoku Electric Power Co. pada tahun 1988.

Kesan dari bencana yang menimpa juga semua perlawanan J1 dan J2 untuk bulan Mac dibatalkan, umum pengerusi J.League Kazumi Ohigashi. Beberapa kelab dari bandaraya lain yang berdekatan juga turut terjejas, antaranya Kashima Antlers yang melaporkan berlaku kerosakan kepada Stadium Kashima mereka.

Turut terjejas ialah semua perlawanan Japan Football League, liga ke-3 dalam piramid bolasepak Jepun. Sebuah lagi kelab dari Sendai bersaing dalam liga amatur ini iaitu Sony Sendai FC yang turut menerima kesan teruk apabila kilang Sony di Sendai dan semua kemudahan sekitar musnah.

Japan FA (JFA) bagaimanapun masih belum memberi kata putus mengenai perlawanan persahabatan pasukan kebangsaan pada 25 dan 29 Mac serta penyertaan Jepun dalam Copa America pada bulan Julai nanti.

Bencana yang menimpa jelas telah memberi kesan yang besar kepada bolasepak Jepun. Namun apa yang pasti Jepun pasti bangkit kembali seperti sebelumnya dan harapan kita bolasepak Jepun amnya serta Vegalta Sendai (dan Sony Sendai FC) khususnya kembali pulih secepat mungkin.

Demi memperingati rakan bolasepak kita di sana dan sebagai tanda solidaritas, hayatilah lagu nyanyian John Denver, Take Me Home Country Roads yang merupakan club anthem untuk Vegalta Sendai.

33

Piala Asia 2011: Laporan Hari Ke-7

LuciusMaximus Jumaat, Januari 14, 2011 , , , , ,
Kata orang, Piala Asia 2011 ini makanan negara Arab. Pedulikan bagus mana Australia, Jepun atau Korea Selatan; kerana Piala Asia kali ini dianjurkan di Qatar, di tanah Arab, dalam dunia Arab; semestinya pasukan negara Arab yang akan menguasai kejohanan ini.

Tapi setakat ini belum ada negara Arab yang telah memijak sebelah kaki dalam pusingan suku akhir. Qatar bernasib baik menang ke atas China untuk menghidupkan kembali peluang mereka. Tetapi dalam Kumpulan A keadaan masih agak terbuka di mana semuanya masih boleh melangkah ke sukur akhir.

Kumpulan A
Uzbekistan 6
Qatar 3
China 3
Kuwait 0

Qatar bakal bertemu Kuwait dan China pula berdepan Uzbekistan. Jika China menang ke atas Uzbekistan dan Qatar pula seri atau tewas kepada Kuwait, tidak akan ada pasukan Arab yang layak ke suku akhir dari Kumpulan A.

Jawapan pada teka-teki ini hanya akan dapat kita ketahui pada 16 Januari nanti.

Sementara itu dalam Kumpulan B, kumpulan paling Arab kerana mengandungi 3 pasukan Arab di dalamnya, paling tidak satu slot suku akhir masih boleh menjadi milik pasukan Arab. Dan jika diikut percaturan sebelum bermulanya Piala Asia, slot itu berkemungkinan besar milik Arab Saudi. Tetapi masalahnya:

Syukran Jazilla Saudi Arabia!

Bapak segala negara Arab di dunia, Arab Saudi menjadi pasukan pertama yang berkemas pulang. Tidak menjadi masalah pun kerana dari Qatar balik ke Arab Saudi naik bas pun boleh.

Selepas kalah mengejut kepada Syria, Arab Saudi malam tadi tumbang pula kepada Jordan. Kali ini kurang mengejut kerana kalau hendak ditengok gaya permainan Arab Saudi memang macam celaka. Unta pun boleh main bola lagi bagus aku rasa.

Melalui Baha'a Abdul Rahman, Jordan terlebih dulu di depan minit ke-42. Arab Saudi kemudiannya mempunyai seluruh babak kedua untuk bangkit mengatasi lawan mereka. Tapi semuanya main ikut kepala bana sendiri. Di sebalik nama-nama besar macam Yasser Al-Qahtani, Mohammad Al-Shalhoub dan Taisir Al-Jassim, masih tidak ada persefahaman antara mereka. Semua terikut dengan perangai Arab dari Semenanjung Tanah Arab, besar kepala dan perasan bagus.

Lain ceritanya dengan Jordan, sekalipun bermain dengan 10 pertahanan mereka ada semangat sepasukan. Jordan mengisi penuh babak kedua dengan pertahanan yang jitu ibarat Walls of Jericho. Bukan masalah sangat pun buat Jordan sebenarnya. Semua serangan Arab Saudi lebih bercorak individu, semua jenis nak rembat sendiri. Mungkin sebab Sultan Bola Arab Saudi ada menjanjikan telaga minyak bagi sesiapa yang menjaringkan gol.

Sebaik pengadil meniup wisel, Jordan telah melengkapkan satu kisah klasik Piala Asia. Menghantar Green Falcons, juara 3 kali pulang. Dan lebih pahit lagi sebagai pasukan pertama yang pulang dalam Piala Asia 2011 ini.

2 Penalti 2 Kad Merah

Jujur, bolasepak macam ini yang kita perlu untuk setiap perlawanan yang disiarkan waktu tengah malam di Malaysia. Yang penuh drama, kontroversi dan saspen pastinya.

Syria, bersemangat kesan dari kemenangan mengejutkan mereka ke atas Arab Saudi bertemu Jepun yang hampir-hampir tumpas kepada Jordan sebelumnya. Jepun juga perlu menang jika tidak mahu pulang awal.

Tetapi berdepan dengan Syria bukan mudah. Qasioun Eagles memang tidak tersusun macam Blue Samurai, tetapi permainan mereka tipikal bolasepak Arab. Sangat fizikal, banyak menggunakan long ball dan penuh intimidasi. Kalau semangat Jepun lemah macam budak Arsenal memang kena lauk jawabnya.

Pun begitu, Jepun terlebih dulu di depan. Kapten pasukan Makoto Hasebe meledakkan gol pertama minit ke-35 selepas huru-hara berlaku di depan gawang Syria. Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat babak pertama.

Mula separuh masa kedua, Syria banyak mengasak kubu Jepun dengan semangat yang lain macam. Macam mahu merampas Bukit Golan dari Israel lagaknya sedang Jepun bermatian mempertahankan gawang mereka ibarat ianya Pulau Okinawa.

Dan kemudian timbul kontroversi yang pertama. Syria diberikan penalti oleh pengadil dari Iran setelah penjaga gol Jepun Eiji Kawashima menjatuhkan Sanharib Malki. Tetapi penjaga garisan melayangkan bendera kerana Sanharib Malki berada dalam kedudukan ofsaid. Pengadil bagaimanapun menolak keputusan penjaga garisan dan melayangkan kad merah kepada Eiji Kawashima. Firas Al-Khatib menyempurnakan penalti untuk kedudukan 1-1.

Ianya adalah kesilapan yang jelas dari pengadil Iran bernama Mohsen Torky. Mungkin kerana itulah pada minit ke-82 Jepun pula dihadiahkan penalti, tit for tat version. Shinji Okazaki seperti dijatuhkan oleh Ali Diab dalam situasi yang agak 50-50. Keisuke Honda menyempurnakan penalti tersebut untuk Jepun yang bermain 10 orang di depan kembali.

Dalam waktu kecederaan, Nadim Sabagh pula dilayangkan kad kuning kedua selepas menerima yang pertama kurang 30 saat sebelumnya kerana merebut bola dari pemain Jepun yang masih belum melakukan sepakan percuma.

Pengadil meniup wisel penamat untuk memberikan Jepun kemenangan 2-1 tetapi ianya lebih awal dari waktu kecederaan yang sepatutnya, begitu dakwaan jurulatih Syria Valeriu Tita.

Dengan kemenangan ini, Jepun mendahului Kumpulan B dan hanya perlu seri ke atas Arab Saudi untuk layak ke suku akhir.

Malam Ini

Masuk hari ke-8 dan barulah kita bakal disajikan dengan pertembungan heavyweight pertama, Australia lawan Korea Selatan pada jam 9:15 malam. Bahrain pula menentang India pada jam 12:15 pagi.

Sebelum berpisah, aksi-aksi penuh kontroversi dari pertemuan Syria dan Jepun. Semangat Arab sungguh pengulas itu.

25

Piala Asia 2011: Dari Amman Ke Damsyik Jualan Shawarma Mencecah Paras Tertinggi

LuciusMaximus Isnin, Januari 10, 2011 , , , , ,
Sebelum apa-apa kita layan iklan Piala Asia 2011 sepam dulu, kasi semangat Asia sikit dan buang semua hantu setan Red Devils dalam diri tu.



Silap tak ada orang Melayu bersilat je dalam iklan tu. Bila agaknya? Kena tanya Sultan Bola dan K Rajagobal.

Kumpulan B memulakan persaingan malam tadi dengan Jepun bertemu Jordan dan Arab Saudi menentang Syria. Dua Goliath Asia melawan dua pasukan bertaraf David (padang tembaga).

Battle of the Js

Pasukan ke-29 dunia bertemu dengan pasukan ke-104 dunia. Atas kertas lagi terang-terang Samurai Blue dilihat mudah untuk mengatasi Al-Nashama (The Braves). Tetapi Jordan membuktikan mereka memang layak diberi gelaran Al-Nashama apabila melakukan kejutan untuk mengikat Jepun 1-1.

Reputasi Jepun sebagai juara Asia 3 kali memang tidak menggugat Jordan langsung. Sebaliknya Jordan terlebih dulu di depan minit ke-45 apabila pemain tengah Hassan Abdel Fatah merembat dari luar kotak untuk memboboli gawang Jepun. Turun minum dan Jordan selesa dengan satu gol di depan.

Babak kedua berlangsung dan seperti diduga Jordan memilih untuk bertahan dari serangan Banzai bertali-arus oleh Jepun. Jurulatih Adnan Hamad menerapkan formasi 9-1-0 untuk menahan asakan Samurai Blue. Pertahanan Jordan memang kental dan mereka ibarat telah merentangkan Sungai Jordan di depan gawang mereka yang membuatkannya mustahil untuk diseberang oleh mana-mana pemain Jepun, baik oleh Shinji Kagawa mahu pun Keisuke Honda.

Kebuntuan, Jepun beralih kepada mod Kamikaze dengan masa perlawanan yang semakin suntuk. Pemain pertahanan mereka yang bermain untuk kelab Belanda VVV-Venlo akhirnya muncul wira pada minit ke-92 bermain dalam waktu kecederaan. Maya Yoshida melompat untuk menanduk bola hasil tendangan penjuru ibarat Mitsubishi Zero meluru dalam serangan nekad Kamikaze untuk menyamakan kedudukan. Jepun dan Jordan akhirnya berkongsi mata.

Di luar padang, indeks awek antara Jepun dan Jordan juga turut mencatat keputusan seri.

Arabian Affairs

Perlawanan kedua menemukan jaguh bolasepak dunia Arab dan benua Asia, Arab Saudi bertemu dengan Syria yang bukanlah kuasa bolasepak Arab, jauh sekali Asia.

Untuk pemain Syria berdiri di atas padang menentang Arab Saudi adalah ibarat Gabenor Syam (kini Syria), Muawiyah berdiri di atas dataran Siffin memberontak ke atas pemerintahan Khalifah Ali dalam Perang Siffin. Ini adalah perseteruan Madinah-Damsyik dihidupkan kembali dalam bolasepak.

Di tempat duduk penonton, penyokong Arab Saudi dengan jubah putih dan serban mereka sementara penyokong Syria dengan baju-t dan seluar jeans. Dua dunia Arab berbeza. Yang satu budaya konservatif dan penuh dengan Wahabbisme,satu lagi berbudaya agak liberal dan kaya dengan nasionalisme Arab.

Mungkin pengalaman berperang dengan Israel berkali-kali dan diperintah junta tentera menjadikan pemain Syria lebih kental dan permainannya tersusun. Sedangkan pemain Arab Saudi seperti kehilangan arah tujuan, mungkin fikiran melayang ke Riyadh risaukan jika isteri di rumah curi-curi keluar memandu Mercedes dan BMW milik si suami.

Akibatnya Syria terlebih dulu di depan melalui jaringan Abdelrazaq Al-Hussain pada minit ke-38. Barulah Arab Saudi tersentak dan bangkit untuk kembali menyamakan kedudukan melalui tandukan kencang Taiseer Al-Jassim di minit ke-60. Tetapi ianya tidak kekal lama, selang 3 minit Abdelrazaq Al-Hussain kembali muncul wira meletakkan Qasioun Eagles di depan mengatasi Green Falcons.

Kali ini tidak ada timbang tara atau kebuntuan seperti ribuan tahun dulu antara Muawiyah dan Ali. Pertembungan dua kuasa Arab kali ini diselesaikan dalam 90 minit dengan Syria muncul pemenang 2-1 mengatasi Arab Saudi. Almarhum Muawiyah pasti tersenyum bangga, waris Dinasti Umayyah, Syria sekali lagi menindakkan hegemoni Arab dari Semenanjung.

Sebagai balasan, Sultan Bola Arab Saudi yakni Putera Sultan Bin Fahd Bin Abdulaziz berkenan mencemar duli dengan memecat jurulatih Green Falcons, Jose Peseiro yang berasal dari Portugal.

Kedudukan Kumpulan B kini agak bercelaru dengan Syria terklasemen dan Arab Saudi pula berada di dasar. Jepun dan Jordan pula kini hanya dengan bekalan 1 mata.

Malam ini:
Pertembungan Kumpulan C bermula dengan dua musuh ketat dunia sukan kriket, India dan Australia bersepak mula pada jam 9:15 malam. Cuma kali ini dalam bolasepak dan India tidak mempunyai Sachin Tendulkar dunia bolasepak. Sedang Australia dibarisi pemain taraf EPL antaranya si peninju tiang bendera penjuru, Tim Cahill.

Kemudiannya jam 12:15 pagi Korea Selatan akan bersepak mula melawan Bahrain. Sokernet ada menerima pesanan dari Red Devils paling sepet di dunia, Park JS:

"Nasib den kek Qatar. Kalau den kek Old Trafford kelmarin nayo eh anak buah King Kenny den kojo kan sampai jadi masak lomak cili api. Ni den nak posan, sapo tak tengok game Korea malam ni bukan true Red Devils yo!"


*Terjemahan bahasa Nogori Manchestee dibuat tanpa izin Jorji dan Hishamuddin Rais.

Dalam pada itu anak Harimau Malaya, Subkhiddin Mohd Salleh telah dipilih untuk menjadi pengadil perlawanan Kumpulan D antara Korea Utara dan Emiriah Arab Bersatu. Turut menemani beliau penjaga garisan Mohd Sabri Mat Daud.

Sebelum berpisah, saksikan terbangan maut Green Falcons bernama Taisir Al-Jassim dalam usaha beliau menyelamatkan nasib jurulatih Arab Saudi, Jose Peseiro. Malangnya ia tidak memadai untuk membuat Sultan Bola Arab Saudi merasa girang.



Terjemahan:

"Kini saatnya sudah tiba untuk melakar sejarah Arab Saudi. Bola ditepis keluar, saya masih belum solat, wah apakah itu? Orait! Allaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaaah! Sejarah Arab Saudi! Sejarah Arab Saudi kini telah tercipta. Yakni sejarahnya Arab Saudi. Anda, saya dan juga Cik Kamilah..." - Pengulas Arab
27

Protege Arsene Wenger Akhirnya Bawa Klasemen Ke Nagoya Grampus!

LuciusMaximus Selasa, November 23, 2010 , , , ,


Musim J. League 2010 masih lagi berbaki 3 perlawanan, tetapi 20 November lepas ketika Arsenal di bawah Arsene Wenger tumbang kepada Spurs di Emirates, para pemain dan pengurusan Nagoya Grampus sedang ber-kampai di Jepun meraikan kejuaraan liga pertama buat kelab dari Nagoya itu.

Nagoya Grampus baru saja menjuarai J. League dengan pesaing terdekat mereka Kashima Antlers, juara J. League 7 kali, ketinggalan 10 mata di belakang. Dan dengan hanya baki 3 perlawanan liga, Nagoya Grampus boleh saja memilih untuk kalah semua tapi masih klasemen, macam Chelsea.

Arsene Wenger di Nagoya - Waktu ini dia belum buat perangai hempas botol atau berak mencangkung tepi padang lagi


Rahsia kejayaan Nagoya Grampus? Mereka mewarisi seorang protégé peninggalan The Professor. Arsene Wenger berhijrah ke Nagoya Grampus dari AS Monaco pada tahun 1995 dan tahun kemudiannya membawa Grampus menjuarai Emperor’s Cup 1996 serta naib juara J. League musim yang sama. Ketika di bawah The Professor, Nagoya Grampus dibarisi tenaga import antaranya Gary Lineker dan Dragan Stojkovic.

Selepas memimpin Grampus kepada piala pertama mereka, Arsene Wenger berhijrah ke Arsenal. Tempat beliau diisi oleh banyak pengurus lain (antaranya termasuk Carlos Queiroz) tetapi tidak ada seorang pun antara mereka yang mampu menyamai pencapaian Arsene Wenger. Pun begitu di sebalik itu semua, falsafah bolasepak ART yang dipegang oleh Arsene Wenger dan Pipiyapong sebenarnya diwariskan kepada seorang pemain merangkap protégé, Dragan Stojkovic.

Dragan Stojkovic - J.League MVP 1995

Stojkovic kekal sebagai pemain Grampus untuk 7 musim, entah kenapa beliau tidak pula dijemput Wenger untuk menyertai Arsenal. Tetapi tempoh yang lama di Grampus menjadikan Stojkovic satu susuk kultus dan pemain kelab yang setia.

Stojkovic bersara sebagai pemain Nagoya Grampus pada tahun 2001 dan pulang ke negara asal beliau Yugoslavia. Beliau kemudian melakukan sesuatu yang mengejutkan dunia bolasepak bila dilantik presiden FA Yugoslavia pada usia semuda 36 tahun. Mengejutkan kerana kalau di Malaysia, memang mustahil untuk mendapatkan seorang presiden FAM lingkungan 30-an merangkap bekas pemain bolasepak.

Beliau kekal sebagai presiden FA Yugoslavia hinggalah meletak jawatan pada tahun 2005, sedikit sebanyak berpunca dari kegagalan Yugoslavia layak ke Euro 2004. Usai dari itu, Stojkovic ditawarkan kedudukan sebagai presiden kelab Red Star Belgrade, kelab tersohor Yugoslavia dan juga Serbia. Di bawah teraju beliau Red Star Belgrade mencapai kejayaan Double bolasepak Serbia bila menjuarai Superliga dan Serbian Cup musim 2006/07.

Pada 22 Januari 2008, Stojkovic mendapat tawaran untuk kembali semula ke Jepun, kali ini sebagai pengurus Nagoya Grampus. Beliau tidak berfikir panjang untuk menerima tawaran tersebut, apa lagi setelah menerima nasihat dari mentor beliau untuk menjadikan profesion pengurus bolasepak sebagai satu karier, sebagaimana mentor beliau lakukan di Arsenal.

Stojkovic pantas membawa Nagoya Grampus ke kedudukan ke-3 J. League musim 2008, tetapi pada musim 2009 kemudiannya Grampus jatuh pula ke posisi ke-9 liga. Menyedari beliau perlu melakukan sesuatu untuk memastikan Grampus akhirnya klasemen, Stojkovic berpaling kembali kepada mentornya di Arsenal.

“Setiap tahun saya ke London, bukan untuk membeli-belah tetapi untuk meluangkan beberapa hari bersama Arsene Wenger. Kami bercakap mengenai bolasepak, tentang ART dalam bolasepak yang merupakan falsafah Arsene Wenger,” tegas Stojkovic.

Hasil kaunseling bersama Wenger, Stojkovic mempunyai senarai pemain-pemain yang diperlukan Nagoya Grampus untuk musim 2010. Marcus Tulio Tanaka dibawa masuk untuk menguatkan barisan pertahanan. Pemain muda Mu Kanazaki pula cemerlang mengisi kekosongan yang dulunya milik Keisuke Honda sebagai attacking midfielder. Dan di barisan serangan, Keiji Tamada berganding baik dengan import dari Australia Joshua Kennedy (28 gol antara mereka), mirip kepada gandingan Marouane Chamakh dan Robin van Persie di Arsenal.

“Falsafah saya ialah untuk bermain bolasepak agresif dan menyerang,” jelas Stojkovic, memberi gambaran persamaan prinsip protégé dan mentor. Grampus mencetak 50 gol dalam J. League setakat ini, tetapi turut juga mempunyai jumlah bolos yang agak tinggi, sejumlah 34 gol. Mereka menjaringkan gol di setiap perlawanan tempat sendiri di Toyota Stadium.

“Kami komited untuk bermain bolasepak yang baik, bolasepak yang cantik dan pastinya mahukan kemenangan. Setakat ini kami cuma seri 3 kali, kalah boleh tahan juga banyak.”

Tanggal 20 November, gol lewat dari Keiji Tamada memastikan trofi J. League berpindah secara sah ke bandar ke-4 terbesar di Jepun bila Nagoya Grampus menundukkan Shonan Bellmare di tempat lawan. Nun di Kobe, pesaing terdekat Kashima Antlers cuma mampu seri 0-0 dengan Vissel Kobe.

“Arsene Wenger menghubungi saya dan mengucapkan ‘tahniah’. Beliau menasihatkan saya untuk sentiasa fokus kepada pasukan sendiri dan juga fokus kepada corak permainan sendiri. Yang paling penting ialah ART,” kata Stojkovic eksklusif kepada Sokernet.

Ditanya mengenai prospek si protégé menggantikan tempat si mentor satu hari nanti, Stojkovic menjawab pantas.


The next Arsene Wenger?

“Impian saya satu hari nanti ialah bekerja di England. Arsenal adalah pilihan terbaik selepas pemergian Arsene Wenger. Impian dan realiti dua perkara berbeza. Saya harap, jika Arsene bersetuju, satu hari nanti saya diterima sebagai penasihat khas dan dapat duduk di bangku sebelah beliau. Kejuaraan tidak penting, menang atau kalah juga tidak penting, apa yang penting kita bermain cantik dan itulah yang dinamakan bolasepak ART.”

Melihat kepada kejayaan Stojkovic bersama Nagoya Grampus, tidak mustahil beliau bakal ke Emirates satu hari nanti.

Untuk sementara itu, Nagoya terus berpesta meraikan ketibaan trofi J. League ke bandaraya itu. Klasemen akhirnya milik Nagoya Grampus buat kali pertama dalam sejarah mereka.

Grampus!



Klik sini untuk ke laman Nagoya Grampus yang lebih solid dari laman bolasepak FAM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...