Memaparkan catatan dengan label bolasepak 101. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label bolasepak 101. Papar semua catatan
28

Bila Pengulas Lain Menyepi...

LuciusMaximus Rabu, Mac 23, 2011 , ,
Pengulas Sokernet yang lain diam bukan kerana mereka malas.

Mereka diam kerana kecut berdepan dengan kuasa The Yobs dan The Blues. Bukan salah mereka.

Tempoh hari semasa kejohanan Mizi Sports Sokernet Futsal 2011, dari 16 pasukan yang bertanding ada 2 pasukan yang betul-betul menarik perhatian aku. Yang pertama ialah Federasi Bangi dan yang kedua ialah Gombak Osaka. Menarik perhatian kerana kedua-duanya memilih nama yang mempunyai identiti dengan sesuatu lokasi geografik.

Siapa boleh terfikir bahawa istilah 'Federasi' boleh digunakan dalam membentuk nama sebuah pasukan sebagai gantian kepada istilah 'United' yang agak Inggeris. Dan siapa sangka nama Gamba Osaka milik sebuah kelab di Jepun boleh di-Malaysia-kan menjadi Gombak Osaka?

Nama untuk sebuah pasukan atau kelab bolasepak adalah sangat penting. Aku dah berbuih mulut cakap pasal benda ini. Dan benda sama juga diulang oleh seorang pengulas bolasepak tersohor ASEAN, Jakarta Casual dalam blog European Football Weekends:

Recent private clubs include My Team (who were formed from a reality TV show), KL PLUS (owned by a toll road operator), Kuala Muda (owned by a car showroom), Pos Malaysia (Malaysian Post Office) and Sime Darby (a conglomerate). Despite the fascination with all things English the people behind these teams, some of which are no more, don’t seem to get the intrinsic value of having people ‘identify’ with their team. Supporting a team owned by the post office? Do me a favour!


Dan FAM masih tertanya-tanya kenapa kelab-kelab bolasepak tempatan 'hidup segan mati tak mahu'. Dan kenapa pasukan negeri yang diuruskan oleh FA masing-masing masih mengamalkan corak pengurusan ala pejabat tanah atau daerah.

Ada betulnya bila Ross Yusof (deejay BFM) berkata dalam rancangan Bola@Mamak terbitan Astro, "over here it's rubbish".

Ya, bolasepak Malaysia sebenarnya memang sampah.

Bincangkan.
36

Bolasepak 101: Football

LuciusMaximus Rabu, Februari 09, 2011 ,


Semuanya bermula dari permainan gila ini



Entri pasal Super Bowl kelmarin bukanlah sesuatu yang luar biasa sebenarnya dalam Sokernet. Lama sebelum ini bermacam jenis sukan lain pernah diceritakan dalam Sokernet, baik hoki, kriket, sepaktakraw juga badminton dan skuasy.

Pendek kata hampir semua jenis sukan dalam dunia ini boleh diulas dalam Sokernet jika mahu. Dan lama sebelum aku bercakap pasal Super Bowl, The Alpha Kotey terlebih dulu pernah bercerita mengenai American Football.

Jadi sesiapa yang bising tak tentu hala semalam nampak sangat baru beberapa bulan baca Sokernet tapi cakap berdegar-degar dan masih tidak faham bahawa di Sokernet, bolasepak itu lebih besar dari sekadar Liverpool dan Kelantan.

Berbalik kepada cerita Super Bowl dan American Football semalam, komen-komen pembaca banyak yang mempertikaikan 1) penggunaan istilah 'football' dalam sukan tersebut dan 2) bahawa American Football ini ialah ragbi pondan for pussies. Komen yang tak berapa cerdik aku tolak tepi.

Kita perlu memahami football secara keseluruhan untuk dapat menerima American Football sebagai sejenis football. Untuk faedah bersama dalam artikel ini aku akan gunakan istilah football dan bukan bolasepak, supaya senang kita nak faham.

Kalau diikutkan kepada Wikipedia, "football is any of several similar team sports of similar origins". Perhatikan kata kunci 'similar' di situ.

Jadi apa yang similar-nya antara football macam yang dimainkan oleh Liverpool dan football yang dimainkan oleh Green Bay Packers, selain dari ianya melibatkan 11 orang sepasukan macam yang aku cakap kelmarin?

Untuk memahaminya kita perlu kembali ke zaman dulu. Zaman dulu di sini bukan bermaksud zaman dulu-dulu di mana Liverpool adalah klasemen. Tapi belakang lagi.

Football atau sukan yang seakan dengannya telah dimainkan oleh bangsa Rom, Greek dan China sebelum lahirnya Nabi Isa lagi. Ia juga turut dimainkan oleh bangsa-bangsa lain kemudiannya, baik orang Jepun dulukala hinggalah ke orang Eskimo, atau oleh suku kaum Maori di New Zealand hingga kepada bangsa Maya di Amerika Tengah.

Menjelang Zaman Pertengahan, football dimainkan dalam bentuk Shrovetide di England atau Calcio Fiorentino di Itali. Ianya adalah permainan yang ganas dan hampir tidak ada peraturan. Lazimnya dimainkan oleh rakyat kelas bawahan, football yang sebegini pernah diharamkan oleh pihak kerajaan yang terdiri dari golongan bangsawan yang hanya tahu bermain pedang, kuda dan perempuan.

Pun begitu football terus dimainkan, khususnya di England baik secara haram atau halal. Ia kemudian jadi sukan kegemaran sekolah atau universiti di England dan perlawanan antara setiap sekolah atau universiti selalu diadakan. Pada masa yang sama, sejajar dengan tersebarnya Empayar British ke seantero dunia, football turut dimainkan dari Amerika Utara hingga ke Australia.

Tetapi oleh kerana tiadanya peraturan yang khusus, football pada masa ini dimainkan ikut suka hati kepala bapak masing-masing. Konsep hampir serupa, iaitu membawa bola ke bahagian akhir pasukan lawan untuk mendapatkan mata, tetapi Pasukan A sebagai contoh menetapkan ia hanya boleh dilakukan dengan menggunakan kicking (kaki) sementara Pasukan B pula menetapkan ia boleh dilakukan dengan carrying (tangan). Jadi jadah nak main macam mana kalau begitu?

Association Football

Maka pada petang 26 Oktober 1863 wakil dari beberapa kelab football telah bertemu di Freemasons' Tavern (Freemason?!) untuk mesyuarat pertama The Football Association. Matlamat mereka adalah untuk menubuhkan satu kod permainan yang boleh diguna pakai oleh sesiapa yang mahu bermain football. Selepas beberapa kali mesyuarat sambil pekena teh dengan karipap, terciptalah satu kod dan set peraturan baru untuk football. Dari sinilah asalnya Association Football, bersempena nama The Football Association atau ringkasnya FA. Inilah bolasepak seperti yang kita dan Lionel Messi ketahui.

Tapi ada seorang mamat dari Blackheath, FM Campbell namanya, tidak bersetuju dengan peraturan baru ini. Si Campbell ini kemudiannya meletakkan jawatan beliau sebagai Bendahari The Football Association dan terus mengundurkan diri. Dua benda yang si Campbell ini tidak setuju ialah larangan membawa bola menggunakan tangan dan larangan menyepak kaki pihak lawan.

Rugby Football (Union & League)

FM Campbell bersama Blackheath, dan beberapa kelab football yang lain berpecah dari The Football Association dan mula bekerjasama untuk menubuhkan kod serta peraturan football mereka sendiri. Maka tanggal 26 Januari 1871 lahirlah Rugby Football Union selepas mesyuarat melibatkan 21 kelab football di Pall Mall Restaurant. Penubuhan tersebut bermakna bermulanya era untuk satu lagi cabang football iaitu Rugby Football.

Rugby Football bagaimanapun menghadapi konflik dalaman pada tahun 1895. Sebanyak 22 kelab Rugby Football telah bermesyuarat di George Hotel pada 29 Ogos 1895 dan mengambil keputusan berpecah dari Rugby Football Union untuk menubuhkan pula Rugby Football League. Ianya membawa kepada dua jenis Rugby Football seperti yang kita ketahui hari ini, Rugby Union dan Rugby League.

Australian Rules Football

Football telah dibawa ke Australia oleh pendatang British lama sebelum wujudnya The Football Association dan Rugby Football Union (dan serpihannya Rugby Football League). Terpisah dari tanah asalnya, football di Australia melalui proses evolusi yang berbeza.

Pada 14 Mei 1859, Melbourne Football Club telah ditubuhkan dengan beberapa tokoh terpenting berhimpun di Parade Hotel untuk menetapkan satu kod dan peraturan mereka sendiri atas prinsip "we shall have a game of our own". Kod dan peraturan ini kemudiannya diterima oleh kelab football lain di Australia sekaligus membawa kepada wujudnya Australian Rules Football hari ini yang turut dipanggil secara meluas sebagai football di Australia.

American Football

Penghijrahan bangsa Eropah, khususnya British ke Amerika Utara turut membawa bersama mereka football dalam pelbagai kod serta peraturan. Universiti, kolej dan sekolah di Amerika bermain football mengikut kod dan peraturan masing-masing sama seperti di England. Ada bermain football mengikut gaya Association Football manakala ada pula yang bermain mengikut kod Rugby Football. Sebuah kelab, Oneida Football Club bagaimanapun mencipta satu kod hybrid (gabungan) yang kemudian dikenali sebagai kod 'Boston Game'.

Populariti kod 'Boston Game' ini tersebar meluas dan pada 23 November 1876, wakil-wakil universiti telah bermesyuarat di Massasoit House untuk merangka satu kod dan peraturan yang boleh diguna pakai oleh semua pasukan. Mengambil kod dan peraturan Rugby Football Union di England sebagai asas, mesyuarat tersebut telah membawa kepada lahirnya American Football seperti yang kita tahu hari ini.

Kod Football Yang Lain

Association Football, Rugby Football, Australian Rules Football dan American Football menjadi 4 kod utama football yang dimainkan di seluruh dunia hari ini. Tetapi di beberapa negara lain turut wujud kod football tersendiri.

Di Kanada, ada versi kod Canadian Football yang mirip American Football tetapi mempunyai peraturan yang berbeza. Ia lebih kurang seperti perpecahan Rugby Union dan Rugby League dalam kod Rugby Football.

Di Ireland, populariti Association Football dan Rugby Football membawa kepada usaha-usaha untuk mempertahankan sejenis kod football yang merupakan tradisi di Ireland. Maka satu kod dan peraturan yang standard diwujudkan, dengan nama Gaelic Football mewarisi kod football tradisi Ireland.

Beberapa kod yang lain juga wujud, kebanyakannya merupakan hybrid (gabungan) antara 4 kod utama football atau mirip kepada salah satu dengan sedikit pengubahsuaian kecil dari segi peraturan.

4 Kod Utama Football

Australian Rules - 14 Mei 1859 di Parade Hotel, Melbourne
Association - 26 Oktober 1863 di Freemasons' Tavern, London
Rugby - 26 Januari 1871 di Pall Mall Restaurant, London (Union) & 29 Ogos 1895 di George Hotel, Huddersfield (League)
American - 23 November 1876 di Massasoit House, Springfield


Kesimpulan

Football yang bermula di England, dimainkan secara kicking (kaki) atau carrying (tangan). Ia kemudian disebarkan oleh para imigran ke Australia dan Amerika.

Di Australia, football melalui proses evolusi mereka sendiri hingga kepada lahirnya Australian Rules pada 14 Mei 1859.

Di England, usaha mewujudkan satu kod dan peraturan standard membawa kepada lahirnya Association pada 26 Oktober 1863. Tetapi berlaku perpecahan antara pihak terlibat. Satu pihak telak menarik diri dari Association.

Pihak yang menarik diri ini merangka kod dan peraturan mereka sendiri, membawa kepada lahirnya Rugby pada 26 Januari 1871.

Di Amerika, football yang dibawa dari England juga mengalami proses evolusi sendiri. Usaha mewujudkan kod sendiri membawa kepada kelahiran American Football.

Rugby mengalami perpecahan pada 26 Ogos 1895, apabila wujudnya League yang berbeza dengan Union. Ia masih kod yang serupa tetapi mempunyai peraturan berbeza.

Jadi sekarang siapa yang main football yang sebenar-benarnya?

Itu cerita mengenai sejarah dan asal-usul kod football yang berbeza. Aku telah cuba ringkaskan seringkas mungkin kerana jika mahu dijelaskan secara terperinci ianya sudah boleh dijadikan buku. Apa pun jika sesiapa mahukan bacaan lebih lanjut bolehlah rujuk kepada pautan Football di Wikipedia.

Persoalan tentang football mana yang ganas dan mana pula yang pondan, bagi aku adalah tidak berfaedah. Cukup aku jelaskan disini, ketika awal kewujudan football yang dimainkan tanpa kod dan peraturan yang tersusun, ianya adalah satu permainan yang ganas dan pernah diharamkan beberapa kali.

Penubuhan kod dan peraturan, selain untuk mewujudkan satu standard, juga bertujuan untuk memastikan aspek keganasan dan pertumpahan darah dapat dipadamkan sama sekali (atau dikurangkan) dalam football.

Dari pemerhatian kasar, kita boleh mengatakan bahawa kod Association yang paling banyak mengenakan peraturan untuk membuang aspek keganasan dalam football. Tetapi dimana ianya kurang 'ganas', Association pula paling banyak dicemari dengan insiden kontroversi, penipuan dalam permainan dan pengadilan tidak konsisten. Akibat dari ini kes pemain yang tidak berdisiplin dan tidak menghormati pengadil banyak berlaku dalam Association.

Australian Rules, Rugby Football (Union & League) serta American Football masih banyak mengekalkan aspek keganasan seperti yang wujud dalam konsep asal football. Tetapi di sebalik ini ia mengenakan peraturan yang ketat sehingga hampir tiada ruang untuk penipuan dengan dibantu oleh pengadilan yang konsisten. Jarang sekali, malahan hampir tiada, insiden pemain bergaduh atau mempertikaikan keputusan pengadil dalam Australian Rules, Rugby Football dan American Football.

Begitulah adanya sedikit-sebanyak penerangan mengenai football dan kod-kod football yang ada. Okay, siapa nak kelahi boleh kelahi di ruangan komen.
19

Bengkel Bolasepak Bersama Subkhiddin : Teknik Tendangan Percuma Dalam Kotak Penalti Dan Implikasinya Ke Atas Emosi Budak –Budak Tadika

LuciusMaximus Jumaat, Februari 19, 2010
Oleh kerana ramai yang mempertikaikan kewajaran pengadil Martin Hansson mengiktiraf gol kemenangan Porto ke atas Arsenal, pihak Sokernet telah menghubungi pengadil Malaysia kelahiran Parit Buntar, Subkhiddin Salleh bagi mendapatkan penjelasan pakar. Subkhiddin mulanya agak keberatan kerana sedang sibuk dengan persiapan untuk ke Afrika Selatan tetapi setelah dijanjikan nasi goreng kampung telur mata 2 dan teh ‘o’ ais limau ketika ditemui usai solat Jumaat tadi, beliau akhirnya bersetuju.

Kita terus kepada lintas langsung bersama Subkhiddin yang sedang berselera menjamah nasi goreng kampung telur mata 2 (kuat makan telur Subkhiddin ni). Silakan Subkhiddin.

“Secara teknikal, tidak ada yang salah dengan tujuan, maupun tindakan wasit Martin Hansson. Ada jelas merupakan pelanggaran hukum dengan Sol Campbell backpass dan, selepas pengadil telah dianugerahkan tendangan bebas, Peraturan adalah bahawa keuntungan akan diberikan kembali kepada pasukan yang telah dianiaya. Dalam semangat undang, boleh dikatakan bahawa pasukan yang bertahan harus diberi kesempatan untuk berkumpul kembali sebelum tendangan dilakukan, tetapi tanggungjawab itu jatuh ke pemain. FabiaƄski bisa berpegangan pada bola atau membuangnya - seperti yang kita lihat begitu sering - dengan demikian mengambil risiko kad kuning tetapi memastikan bahawa Porto tidak akan bisa memuat tendangan bebas cepat. Adapun peranan Pemain Porto, berapa kali kami melihat Thierry Henry memuat tendangan bebas cepat selama hari di bawah Arsenal Arsene Wenger?”

Untuk pemahaman yang lebih mudah di sini Subkhiddin ada menyertakan visual berserta keterangan kerana mengikut kajian pakar akademik, budak-budak tadika lebih cepat faham jika pembelajaran mereka dibantu dengan alat visual.


1) Pemain veteran, Sol Campbell membuat hantaran backpass kepada Lukas Fabianksi. Mungkin kerana sebagai pemain veteran Sol Campbell masih terikut teknik backpass zaman dulu? Tetapi bagaimana dengan Fabianski, mungkinkah kerana jarang beraksi untuk Arsenal dan selalu bertugas mengutip bola ketika sesi latihan membuatkan beliau secara tidak sengaja terkutip bola tersebut?



2) Ruben Micael cuba merampas bola tetapi Fabianski enggan menyerahkannya macam budak-budak berebut hadiah permainan Ding Dang. Bila pengadil tiba dan memarahi Fabianksi barulah bola diberikan, macam budak kena marah dengan mak sebab berebut hadiah permainan Ding Dang.



3) Emo dengan keputusan pengadil, Fabianski membelakangi bola dan berjalan ke pintu gol sambil merengek-rengek kepada pembantu pengadil di tepian padang. Mengikut buku Panduan Bermain Bolasepak Bagi Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR), Porto dibenarkan mengambil tendangan percuma sebaik saja bola diserahkan.



4) Ruben menendang bola ke arah Falcao yang meluru laju. Para pemain Arsenal yang lain masih belum bersedia kerana masih menangisi hadiah permainan Ding Dang barangkali. Hanya Sol Campbell yang sudah dewasa menyedari malapetaka yang bakal menimpa.

5) Falcao meledakkan bola ke dalam gawang Arsenal sebaik saja Fabianksi kembali berpaling. Pengadil mengiktiraf gol Porto sebelum dikerumuni oleh para pemain Arsenal dan Arsene Wenger, mungkin mencari Ding Dang yang disorokkan pengadil agaknya. Fabianski pula seperti biasa menjalankan aktiviti rutin beliau iaitu mengutip bola.

Sokernet mengucapkan ribuan terima kasih kepada Subkhiddin hasil penjelasan panjang lebar beliau. Artikel yang serupa boleh dibaca dalam bahasa Inggeris di sini, kami syak Graham Poll telah mencuri idea Subkhiddin.

Berikut turut disertakan visual Ding Dang yang sebenar.

Ding Dang

23

Bolasepak 101: Bolasepak Ialah Menyerang, Bertahan, Mengawal Bola Dan Juga Keputusan Perlawanan, Bukan Pertandingan Main Cantik

Arsenal main pas-pas bola kat Stamford Bridge



“You have to congratulate Chelsea but we did not get a demonstration of football. But Chelsea were very efficient. We had mountains of possession and could not create it into a goal. We had 70 per cent of the possession. We were not running after the ball for 90 minutes. We were not in a position where we were dominated. We were always in an attacking position and had to risk things going wrong. Our spirit was great. I am completely happy with the performance and the spirit. We didn't turn up against Manchester United. When we got into it [against Chelsea] we were completely dominant”
- Arsene Wenger

Kem Chelsea jawab, “Aiman tak kisah”.


Who lets The Drog out?!


"Maybe they had more possession than us, but this is not football. Football is attack, defence, keeping possession when you need, and results also”
- Carlo Ancelotti

Kem Chelsea kata, “Lu fikirlah sendiri!”

20

Bolasepak 101: Kenali Maskot Anda

LuciusMaximus Rabu, Oktober 28, 2009
Setiap kali perlawanan bolasepak, kita pastinya akan terlihat haiwan, makhluk atau benda pelik di tepi padang yang terkinjat-kinjat tak tentu pasal. Mereka inilah yang dinamakan maskot, satu pekerjaan dalam mana-mana kelab bolasepak yang boleh dilakukan tanpa perlu sebarang kemahiran bersangkut-paut dengan bolasepak.

Fungsi setiap maskot ialah simbolik kepada kelab mereka. Selain dari untuk menaikkan semangat para penyokong, maskot juga ialah penghibur, bahan gelak dan bahan cacian para penonton. Atas sebab itu barangkali kebanyakan individu yang bekerja sebagai maskot merahsiakan pekerjaan mereka dari kawan-kawan.

Sokernet dengan penuh rasa tawaduk melihat beberapa maskot yang ada di dalam EPL demi pengetahuan am dan kesejahteraan rakyat 1Sokernet.

Stamford The Lion
Tipikal seperti mana-mana lelaki Chelsea, Stamford sang singa sentiasa menarik perhatian dan didampingi oleh kaum wanita. Biarpun si wanita ialah peminat Manchester United. Diilhamkan dari motif singa yang terdapat pada lambang kelab dan nama stadium, Stamford adalah simbol kekuatan dan semangat Chelsea serta United Kingdom of Great Britain. Sejajar dengan cogankata Pride of London. Maskot paling best untuk kelab yang paling best. Zigger Zagger!

Billy The Badger
Seteru Chelsea, Fulham juga tidak ketinggalan untuk menonjolkan maskot mereka sendiri. Setelah merasa kelihatan bodoh kerana menggunakan Terry Bytes (sebuah kalkulator) sebagai maskot sebelum ini, pengurusan Fulham telah memilih Billy, seekor badger (dalam bahasa Melayu apa nama menatang ni?) sebagai maskot baru mereka. Pilihan yang bijak, sesuai dengan Fulham yang kecil tapi mempunyai semangat melawan yang tinggi, macam badger juga.


Herbie The Hammer
Jika tuan ke Boleyn Ground, jangan terkejut bila melihat makhluk pelik berkepala petak. Itulah Herbie, si tukul yang merupakan maskot kepada The Hammers. Pernah hampir disaman kerana dikatakan meniru karakter siri popular rancangan TV kanak-kanak, Herbie biarpun berkepala petak adalah insan normal seperti kita semua. Kenapa? Kerana Herbie juga ada Facebook.


Chirpy Cockerel
Mati-mati selama ini kita ingatkan cap ayam pada lambang Tottenham Hotspur ialah seekor ayam jantan. Rupanya salah. Kenapa? Kerana Chirpy seperti gambar di atas mempunyai payudara. Maka memang sah cap ayam pada Spurs sebenarnya adalah seekor ayam betina. Yang menerangkan kenapa Spurs bukan Big Four.

Fred The Red
Budak-budak tadika pun tahu Fred si merah tidak lain dan tidak bukan lagi ialah seekor setan yang berwarna merah. Sekalipun mukanya comel seperti beruang Teddy tetapi dua batang tanduk hitam itu menonjolkan sifat jahatnya yang sebenar. Cuma berdasarkan gambar di atas kita tidak pasti siapa yang lebih setan, Fred atau Pak Alex?

Moonchester
Tidak mahu ketinggalan dengan kelab jiran, Manchester City juga mahu menonjolkan maskot mereka. Cuma yang meragukan ialah tidak dapat dipastikan menatang apakah Moonchester ini sebenarnya. Bila diamati dengan lebih teliti, pihak Sokernet percaya Moonchester ini ialah seekor toyol mata duitan, sama macam Robinho.

Gunnersaurus Rex
Ini yang paling tidak masuk akal, kerana haiwan yang dijadikan maskot bukan saja sudah pupus malahan tidak ada sangkut paut dengan identiti kelab Arsenal. Atau adakah kerana Denver The Last Dinosaur dan Barney and Friends merupakan peminat Arsenal? Tidak dapat dinafikan kemungkinan tersebut kerana Gunnersaurus, Denver dan Barney semuanya mempunyai sifat yang serupa iaitu berperut buncit. Hanya abang Pipiyapong saja yang tahu jawapannya. Tapi apa yang pihak Sokernet muyskil, kenapa tidak guna saja meriam sebagai maskot? Boleh namakan sebagai Siti Meriam, tak pun Meriam Bellina. Tak gitu?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...