Sebelum itu, kita ke pesanan penaja.
Chelsea Umum Kit Baharu – Lebih Ganteng Dan Sukses!
Chelsea Umum Kit Baharu – Lebih Ganteng Dan Sukses!

Chelsea dan adidas telah melancarkan kit musim 2010/11 yang akan diguna pakai buat kali pertama dalam perlawanan terakhir EPL menentang Wigan Athletic di tempat sendiri.
Samsung masih kekal sebagai penaja utama setelah perbincangan untuk meletakkan tulisan ‘Sokernet’ di dada setiap pemain Chelsea menemui jalan buntu.
Sempena itu kempen pengiklanan ‘Made from 100% Chelsea’ turut dilancarkan. Artis pop dan peminat Chelsea, Sir Peter Blake bertanggungjawab mereka bentuk kempen tersebut. Sir Peter juga pernah terlibat dalam mereka bentuk atwork untuk album Beatles, Sgt. Pepper’s Lonely Hearts Club Band dan juga album Oasis, Stop The Clocks.
Pergh!
Jersi terbaru Chelsea ini bakal menggunakan teknologi terbaru adidas, TechFit yang digunakan buat kali pertama dalam bolasepak kelab. Ini berbeza dengan jersi 2010/11 Liverpool yang masih menggunakan teknologi zaman batu kapur, ClimaCool.
Adakah Liverpool dianaktirikan oleh adidas? Atau tidak cukup bajet untuk dapatkan teknologi yang terkini? Kesian.
Mengikut sumber dalaman Sokernet di adidas, TechFit merupakan satu teknologi fabrik terkini yang membantu meningkatkan kepantasan pemain, kesinambungan daya tahan yang lebih lama dan melipat gandakan propriosepsi (menatang apakah ini?). Ini dicapai dengan mewujudkan keharmonian otot-otot dan memfokuskan tenaga yang menjana pecutan mendadak dan memberikan keberhasilan kuasa maksimum.
Serius bai.
Satu laman promosi interaktif boleh dilayari di adidas yang menceritakan banyak mengenai latar belakang kit terbaru ini dan juga Chelsea. Macam asal-usul jalur merah Chelsea, perlawanan epik menentang Dynamo Moscow yang menarik 100,000 penonton, kaitan dengan Pensioners, kenapa Chelsea dikenali sebagai Los Numerados di Amerika Selatan dan juga rekod jaringan terbesar perlawanan peringkat Eropah.
Tempahan kini dibuka. Jorji khabarnya dah tempah satu, sekali dengan nameset Kakuta.
Derbi Manchester
Esok kita semua bakal disajikan dengan sepak mula awal yang menemukan Manchester City dan Manchester United.
Peri pentingnya perlawanan ini sangat jelas bagi kita semua. City perlu menang untuk memastikan peluang mereka ke Champions League terus bersinar. United pula perlukan 3 mata untuk terus mengejar Chelsea.
Wayne Rooney dijangka bakal diturunkan esok, satu langkah terdesak dari Pak Alex setelah melihat persembahan cemerlang, gemilang dan terbilang Dimitar Bebal-Betul di Ewood Park. Aku jangkakan mamat Rudeboy tumbukan padu ke udara ini akan terhincut-hincut keluar padang esok dan punahlah harapan Piala Dunia buat England.
Dengan Roberto Mancini sebagai nakhoda, Carlos Tevez dalam keadaan yang terbaik, kelebihan bermain tempat sendiri dan pentingnya untuk City menjarakkan kedudukan dari Spurs, aku jangkakan mereka akan berjuang habis-habisan malam esok. Apatah lagi tiada yang lebih indah untuk City melainkan dari menafikan peluang menjuarai EPL buat jiran dan musuh ketat mereka.
Man City menang. Itupun kalau pengadil tak bagi masa tambahan sampai 1 jam untuk Pak Alex.
Derbi London
Hampir 5 jam selepas sepak mula di Eastland, Spurs pula memulakan saingan menentang seteru London mereka, Chelsea.
Spurs bakal turun penuh keyakinan setelah menundukkan Sekolah Sukan Arsene Wenger 2-1 manakala Chelsea pula perlu memastikan tiga mata penuh untuk terus mengukuhkan kedudukan di puncak klasemen.
Tapi aku tak nafikan esok bakal menjadi laluan getir buat The Blues, yang kali terakhir menang di White Hart Lane dalam saingan EPL ialah pada musim 2005/06.
Kemenangan juga penting buat Spurs untuk terus menyaingi Manchester City. Spurs mempunyai rekod tempat sendiri yang agak baik, cuma tewas 3 perlawanan setakat ini.
Tetapi Chelsea juga tidak kurang hebat dan dari 7 perlawanan menentang kelab-kelab London dalam EPL musim ini, masih lagi belum tewas.
Rekod pertemuan Chelsea dan Spurs dalam semua perlawanan, Chelsea menang 59, Spurs menang 48 dan seri sebanyak 33 kali.
Tilikan esok? Chelsea menang, lebih ikut perasaan sebenarnya.
Dan Lain-Lain
Wigan Athletic menentang Arsenal dengan The Latics perlu menang untuk keluar dari zon penyingkiran dan The Gunners pula mahu terus menghidupkan peluang menjuarai EPL. Oleh kerana Pipiyapong khabarnya sibuk mahu pasang pendakap gigi, aku tolong tilikkan.
Wigan menang. Tapi menang sorak je.
Portsmouth, yang sudah layak ke Championship League (tolong ambil perhatian, Championship League dan Champions League dua benda berbeza!) meraikan kunjungan Aston Villa. Bermain tanpa apa-apa, fokus Avram Grant lebih tertumpu ke akhir FA Cup pastinya dan di sini aku menjangkakan kemenangan untuk Villa.
Tuah pula tidak begitu menyebelahi Liverpool, yang bakal menentang West Ham United di Anfield. Memang 3 mata lebih memihak pada Liverpool tapi harus diingat, The Hammers masih belum layak ke Championship League dan mereka pastinya tidak berminat untuk layak pun.
Bermain untuk menyelamatkan diri, West Ham bakal berhempas pulas untuk sekurangnya mencatat keputusan seri. Dan itulah juga tilikan aku sekali ini, lagi pun peminat Chelsea mana yang tak sayang Gianfranco Zola?
Keadaan pastinya akan lebih panas jika Everton menang ke atas Blackburn Rovers di Ewood Park. Saingan EPL musim ini cukup mendebarkan dari Chelsea di puncak klasemen hinggalah ke Everton di tangga ke-8.
Sila pastikan stok kacang Menglembu dan Nescafe anda di rumah cukup sepanjang hujung minggu ini jika menonton di rumah. Bagi mereka yang kerap ke mamak, harap buat tempahan awal agar tidak kecewa di kemudian hari.
Awek-awek yang tak minat bola, harap jangan kacau balak-balak anda semua!
LANGGANI RSS KAMI